"Mungkin perasaan aku saja." bisik aku di dalam hati untuk menyedapkan perasaan aku sendiri yang sedang ditenggelami dengan rasa takut dan seram. Tidak pernah aku alami situasi sebegini sebelum ini. Entah mengapa pada hari itu tiba-tiba saja perasaan seram itu menyingkap. Aku sudah bertahun tinggal di flat tersebut. Sebelum-sebelum ini aku pernah ada rakan serumah dan sebilik yang turut menyewa sekali seperti aku. Mereka pernah juga bercerita kepada aku tentang peristiwa aneh yang mereka sendiri alami sepanjang mereka menyewa di situ akan tetapi aku hanya buat tak tahu dan menganggap bahawa itu semua permainan perasaan mereka. Akhirnya, mereka semua berpindah keluar dari flat tersebut atas alasan yang tidak diketahui. Maka, tinggallah aku keseorangan dirumah tersebut sehinggalah ke hari ini. Pernah juga aku mengiklankan untuk mencari penyewa yang lain, akan tetapi tiada sesiapa pun yang ingin menyewa, aku sendiri pun tidak tahu mengapa dan apakah sebabnya. Terpaksalah aku tinggal seorang diri disini, bukannya tidak mahu mencari bilik sewa yang lain tapi, aku masih mampu untuk membayar sewa dan tempat ni terlalu dekat dengan pejabat aku.
Aku membuka pintu bilik untuk menuju ke arah dapur rumah. Tekak aku masih lagi terasa dahaga dan kering. Ketika aku melangkah keluar dari bilik tidur, aku terasa seperti ada angin yang menerjah aku dari arah belakang. Angin tersebut tidak sama seperti angin yang dihasilkan oleh kipas siling. Angin tersebut tersangatlah sejuk, seperti ais sejuknya. Tetapi aku mengendahkan ia dan terus melangkahkan kaki aku menuju ke arah dapur. Setibanya aku di dapur, ada suatu bau yang busuk menerjah ke dalam hidung aku sehingga membuatkan aku terpaksa menutup hidung. Dengan segera, aku membuka suis lampu dapur rumah. Keadaan terang benderang membuatkan mata aku menjadi sakit. Tanpa membuang masa, aku mencari-cari punca bau busuk tersebut. Rupa-rupanya tong sampah rumah aku yang berbau. Mungkin kuah gulai yang aku buang ke dalamnya sudah menjadi basi dan berbau. Terus, aku membungkus plastik sampah itu dan tanpa rasa malas aku terus menuju ke luar rumah untuk menuju ke arah tempat pembuangan sampah yang terletak dihujung blok. Untungnya aku tinggal diflat ni. Tak perlu bersusah payah turun ke bawah untuk buang sampah, campakkan saja ke dalam lubang yang disediakan dan sampah itu akan jatuh ke bawah.
Ketika aku sedang berjalan menuju ke tempat pembuangan sampah, mata aku melilau-lilau memandang ke arah bawah flat, kelihatan ada dua orang pengawal sedang berkawal ditempat letak motorsikal. Aku pun teruskan berjalan sambil mendendangkan lagu ulek mayang. Setibanya aku ditempat pembuangan sampah, aku nampak ada seorang budak perempuan sedang berdiri di situ dan sedang membuka pintu tempat buang sampah tersebut. Lalu, dia terus terjun ke dalam lubang khas yang disediakan untuk membuang sampah. Lubang itu agak besar, memang muat untuk manusia dewasa terjun ke dalamnya. Aku jadi terkejut dengan perbuatan budak perempuan itu. Dengan pantasnya, aku campak sampah aku tu ke tepi dan berlari turun tangga hingga ke bawah ditempat pembuangan sampah. Sampai saja dibawah, aku mencari-cari pengawal yang bertugas tadi dan memanggil mereka. Aku memberitahu mereka akan perkara yang aku saksikan sebentar tadi. Pengawal itu pun pergi ke pondok dan mengambil kunci untuk membuka pintu bilik pembuangan sampah tersebut. Setelah pintu terbuka, mereka pun masuk ke dalam dan mencari-cari kelibat budak perempuan yang aku katakan tadi. Namun, mereka tidak jumpa seketul tubuh pun di dalam tempat tersebut, semuanya penuh dengan sampah. Aku jadi hairan bila mereka berkata sedemikian rupa, lalu aku sendiri pergi masuk ke dalam sana dan mencari. Memang tiada. Yang ada hanyalah plastik-plastik yang dipenuhi dengan sampah sahaja.
"Tak apa lah. Maafkan saya. Mungkin saya mamai barangkali." jelas aku pada pengawal yang berada disitu dan aku terus melangkahkan kaki aku menuju ke arah lif untuk pulang ke rumah. Semasa aku di dalam lif, aku terdengar seperti ada bunyi benda jatuh di atas lif. Tiba-tiba jantung aku berdegup kencang, aku fikirkan kabel lif tu akan terputus tetapi Alhamdulillah aku selamat sampai ke tingkat yang aku ingin tujui. Saat aku melangkah keluar daripada lif tersebut, aku terdengar bunyi suara perempuan seakan berbisik ditelinga aku tetapi aku tak dapat nak dengar dengan jelas apa yang disebutkan. Aku terus menoleh ke arah belakang dan mencari-cari punca suara tersebut. Tiada sesiapa pun yang berada disitu kecuali aku. Tanpa membuang masa, aku terus berlari menuju ke arah rumah aku, agak kelam kabut aku membuka pintu rumah. Selepas aku masuk ke dalam rumah, aku kunci pintu dan memastikan ianya tidak boleh dibuka. Aku berpeluh...panas...apa yang berlaku pada aku? Kejadian apa yang menimpa diri aku pada pagi-pagi buta ni? Aku sendiri pun tidak mengetahui. Aku cuba untuk menenangkan diri dengan meminum segelas air sejuk. Terasa nyaman sekali apabila air sejuk itu melalui tekak aku yang kering sejak tadi. Segala keanehan yang berlaku tadi membuatkan aku terlupa tentang plastik sampah yang aku tinggalkan diluar tempat pembuangan sampah.
"Ahhh..sudah..tak apalah..esok kalau ada orang tanya, cakap je lah tak tau.." bisik aku seorang diri. Aku melihat jam di dinding sudah hampir pukul lima pagi. Aku membuat keputusan untuk terus berjaga kerana pukul tujuh nanti aku sudah kena keluar rumah dan pergi ke pejabat. Kalau aku tidur balik sudah semestinya aku akan terlajak tidur sampai ke tengahari. Untuk menjaga reputasi aku disyarikat tersebut, aku haruslah menjaga kedatangan aku. Aku pun tidak suka datang lambat ke tempat kerja, kalau ada sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan saja baru aku akan datang lambat itu pun tidak selalu berlaku. Aku meletakkan gelas kosong ke dalam sinki dan terus berjalan menuju ke arah ruang tamu. Aku memasang televisyen dan menonton apa saja yang disiarkan demi mengisi masa lapang. Secara tiba-tiba, aku terdengar air sinki didapur terbuka dan bunyi seperti ada orang sedang mencuci sesuatu. Aku segera menuju ke dapur dan aku lihat air disinki memang terbuka. Aku pun terus pergi tutup dan gelas kosong yang letakkan tadi sudah tiada di dalam sinki, ianya sudah dicuci oleh seseorang. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi semakin hairan. Mungkin aku sudah mencucinya tadi dan aku terlupa.
Pada malam berikutnya, aku terjaga lagi ditengah-tengah malam. Aku lihat jam ditelefonku menunjukkan pukul 2:10 pagi. Tekak aku terasa sangat-sangat dahaga dan keadaan pada waktu itu sangat panas. Kipas sudah aku pasangkan ke maximun akan tetapi sejuk itu tidak ada. Aku bingkas bangun dan menghidupkan suis lampu, kemudian aku menoleh ke arah belakang untuk memastikan tiada sesiapa yang berdiri atau pun bernafas dibelakang aku. Pengalaman semalam membuatkan aku lebih berhati-hati. Badan aku terasa lesu, fikiran aku selepas minum nanti aku ingin terus masuk tidur semula. Dengan perasaan mengantuk dan malasnya, aku membuka pintu bilik tidur dan berjalan menuju ke arah dapur. Belum sempat aku sampai ke dapur, langkah aku terhenti. Lampu dapur aku terbuka, aku menjadi hairan. Setahu aku, sebelum tidur tadi memang aku dah tutup. Setiap hari kalau aku masuk tidur memang tidak akan ada satu lampu pun yang dihidup dirumah tu, semuanya aku tutup, nak jimatlah katakan. "Siapa pulak yang hidupkan lampu ni?" membebel aku seorang diri. Pelik aku, sudahlah aku seorang diri saja di dalam rumah tersebut, boleh pula aku tanya soalan sebegitu rupa. Jika ada yang membalasnya? Mampuslah aku.
Aku berjalan malas menuju ke arah peti sejuk. Hidung aku mencium-cium bau di dapur, manalah tahu jika tiba-tiba ada bau busuk lagi ke? Aku mengambil sebotol air sejuk lalu aku teguk saja tanpa menggunakan gelas. Aku malas nak gunakan gelas sebab risau ada orang tolong cucikan pula untuk aku nanti. Aku nak tinggal lama kat rumah tu, tak nak lah ada entiti lain selain aku menghuni kat situ tanpa kebenaran aku. Setelah hilang dahaga ditekak, aku meletakkan kembali botol air itu ke dalam peti sejuk. Saat aku ingin menutup pintu peti sejuk tersebut, aku terasa ada orang mencuit bahu aku. Tersentak aku dibuatnya. Aku terus menoleh ke belakang akan tetapi ianya tetap sama juga, tiada ada sesiapa pun yang berada di situ. Waktu itu aku dah mula merasa seram, rasa ingin saja aku pindah. Tapi bila difikirkan balik, kalau aku pindah, mesti akan dapat tempat tinggal yang jauh dari pejabat aku. Sebab sebelum ni aku memang pernah mencari, kebanyakkan kawasan sini semuanya sudah penuh disebabkan kemudahan dan pengangkutan awam terlalu dekat. Aku tutup pintu peti sejuk dan menggaru-garu kepala aku yang tidak gatal. Bagaimanakah aku harus buat? Apa mungkin rakan serumah aku sebelum ni beritahu adalah perkara sebenar? Ada gangguan dirumah ini? Tapi kenapa sebelum ni aku tak pernah kena? Kenapa bila aku tinggal seorang diri baru kena? Kenapa sekarang? Aku pun malas nak fikir panjang, aku terus berjalan menuju ke dalam bilik tidur dan merebahkan badan aku ke atas tilam yang empuk. Aku mencapai telefonku dan membuka laman sosial facebook untuk melihat apa-apa saja yang mampu membuatkan mata aku kembali menjadi mengantuk. Lama aku menelaah facebook tu, sampai mata jadi berat sangat-sangat. Sikit je lagi aku nak melayang ke alam mimpi.
"Awak".
Aku terus terjaga kembali. Kali ni aku benar-benar dengar jelas suara budak perempuan. Otak aku terus menangkap imej yang semalam, budak perempuan yang terjun ke dalam lubang tempat pembuangan sampah. Entah kenapa tiba-tiba aku teringat budak perempuan tu selepas aku mendengar suaranya memanggil aku. Jantung aku berdegup kencang. Mata aku terbuka luas. Seluruh tubuh aku menggeletar, aku jadi tak keruan pula waktu tu. Otak aku giat berfungsi pula pada saat macam tu, aku terfikir budak perempuan yang aku nampak semalam. Berbaju putih lusuh, berambut panjang. Ketika aku sedang giat berfikir, aku terdengar pula suara yang sama tetapi diluar bilik aku iaitu dibahagian ruang tamu. Jelas kedengaran ditelinga aku suara tawa kecil manja oleh budak perempuan. Memang aku pasti suara itu adalah milik budak perempuan yang nampak semalam. Itu kesimpulan yang singgah dikepala otak aku pada ketika itu. Aku menelan air liur. Aku lihat jam ditelefon, pukul 3:30 pagi. Alamak! Masih lama lagi untuk menunggu waktu siang menjelang. Apa yang harus aku lakukan? Tiba-tiba aku terdengar pula bunyi air sinki didapur rumah terbuka. Kemudian, aku terdengar pula suara budak perempuan sedang menyanyi lagu ulek mayang. Seluruh tubuh aku memang dah menggeletar habis. Otak jadi cramp, tak berfungsi. Aku capai selimut dan aku selubung seluruh tubuh aku. Aku terdengar lagi bunyi suara ketawa halus manja milik budak perempuan tu. Aku pejamkan mata aku serapat mungkin, jantung aku waktu tu bagaikan ingin tercabut. Perasaan takut benar-benar menguasai diri aku. Secara tiba-tiba, jelas kedengaran bunyi pintu bilik aku dibuka. Aku memang kenal bunyi pintu kayu tu kalau dibuka sebab aku tuannya, mestilah aku kenal akan bunyinya apabila dibuka. Bertambah teruk pula tubuh aku menggeletar.
"Awak".
Aku dengar lagi suara dia memanggil aku. "Kenapa kau panggil aku, budak?" bisik aku di dalam hati dan masih lagi merasakan ketakutan yang teramat sangat. Dalam keadaan aku tengah menggeletar ketakutan tu, aku terasa pula seperti ada orang sedang duduk dibirai katil aku. Lagilah bertambah teruk aku rasa takut. Rasa macam nak lari keluar dari rumah je tapi risau budak perempuan tu tangkap aku pula. "Memang sahlah budak ni hantu..Apa aku nak buat sekarang?" bisik aku di dalam hati ketakutan yang teramat sangat. Mata aku masih lagi terpejam rapat. Entah bila dan apa sebabnya, aku boleh tertidur di dalam ketakutan tu. Aku tersedar saat telefonku berbunyi, cepat-cepat aku menjawab panggilan yang masuk. Rupa-rupanya bos aku yang menelefon aku kerana sudah pukul 9 pagi dan aku masih lagi tidak sampai ke pejabat.
"Maafkan saya, bos. Saya tak sihat dan tak sedar sudah terlajak tidur. Maafkan saya, bos."
"Tak apa lah, kalau macam tu hari ni awak ambil saja Mc. Berehatlah dirumah." kata bos aku. Belum sempat dia mematikan talian, aku memanggil bos aku.
"Kenapa?" tanya bos aku.
"Bos ada kenal tak siapa-siapa yang tahu pasal nak usir jin iblis syaitan ni semua?" tanya aku ringkas.
"Adalah seorang dua yang saya kenal, kenapa?" tanya bos aku lagi.
"Complicated bos. Susah saya nak terangkan." jawab aku dan aku merasa sedikit bimbang jika bos aku tahu bahawa alasan aku tidak hadir ke kerja pada hari tersebut adalah berpunca dari gangguan makhluk halus dirumah.
"Oh, rumah awak kena ke?" tanya bos aku lagi.
"Ya bos. Itulah puncanya. Maafkan saya, bos. Tolonglah bos, saya betul-beul terdesak sangat nak bantuan ni." jawab aku jujur dengan harapan bos aku tidak marah dan dapat membantu aku. Dan bos aku berjanji akan membawa kenalan dia untuk datang ke rumah aku selepas waktu rehat tengahari nanti. Aku merayu untuk membawa dia pada waktu pagi itu juga akan tetapi bos aku ada mesyuarat penting yang patut dia hadir pada pagi itu. Aku terpaksa menunggu sehingga ke tengahari. Walaupun di luar sudah terang benderang namun, aku masih lagi merasakan ketakutan. Sedikit pun aku tidak berganjak dari katil itu. Walaupun aku rasa nak membuang air kecil, tapi aku tahankan juga. Sebab keberanian aku terus hilang seratus peratus.
Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang tepat dan bos aku masih lagi belum muncul bersama dengan kenalan dia. Aku menjadi semakin tidak sabar dan tidak keruan dengan situasi yang menimpa diri aku. Akibat aku sudah tidak tahan mahu ke tandas, akhirnya aku beranikan juga diri aku untuk bergerak menuju ke tandas, Aku melangkah dengan penuh berhati-hati. Mata aku melilau keadaan sekeliling demi memastikan tiada sesiapa pun disitu. Selepas aku berjaya membuang air kecil aku menjadi sedikit berani dan aku tidak kembali masuk ke dalam bilik. Aku terus pergi membuat secawan air kopi dan aku duduk menunggu diruang tamu sambil menonton televisyen. Lama aku menanti bos aku untuk kunjung tiba tetapi tidak juga ada khabar berita darinya. Ingin saja aku menelefon tetapi terasa seperti menyusahkan dia pula, aku terus menunggu. Tidak lama kemudian, lebih kurang pukul 2:45 petang, aku mendapat panggilan daripada pejabat yang di mana aku diberitahu bahawa bos aku telah mengalami kemalangan yang meragut nyawanya ditempat kejadian. Kereta yang dipandunya bertembung dengan lori pasir ketika dia dalam perjalanan pulang dari mesyuarat. Tiba-tiba hati aku terasa hiba dan sedih apabila mendengar berita tersebut. Sudahlah dia satu-satunya bos yang paling baik pernah aku dapat dan jumpa. Kini, Allah telah mengambilnya untuk pulang ke tempat asal.
Aku pun membuat keputusan untuk keluar saja berpindah dari rumah tersebut. Aku mengambil segala barang-barang dan pakaian aku termasuklah televisyen dan astro, aku sumbatkan saja ke dalam kereta. Peti sejuk dan mesin basuh aku tumpangkan dirumah jiran dan berjanji akan datang mengambilnya selepas aku dapat tempat tinggal yang baru.
Sebulan kemudian, aku kembali ke flat tersebut bersama lori sewa untuk berjumpa dengan jiran aku untuk mengambil mesin basuh dan peti sejuk aku. Aku lalu di depan rumah yang aku sewakan dulu, ketika aku melalui di depan rumah tersebut. Aku dapat merasakan sepasang mata sedang memerhatikan aku melalui celah tingkap. Aku menjeling sedikit ke arah tingkap tersebut, memang jelas aku dapat lihat ada manusia sedang memerhatikan aku dari dalam rumah itu. Aku nampak jarinya memegang cermin tingkap tersebut. Setelah aku memuat naik dua barang elektronik ke atas lori, aku menanyakan kepada jiran aku kalau ada orang baru pindah ke rumah itu.
"Tak ada. Lepas kau pindah, rumah tu kosong. Tuan rumah tu pun memang nak jual rumah tu. Dia tak nak sewakan lagi." jawab jiran tersebut.
Sebelum aku berlalu pergi dari flat itu, aku mendongak ke atas ke arah rumah tersebut, aku lihat pintu rumah yang aku pernah menyewa dulu terbuka sedikit dan aku dapat lihat dengan jelas seorang budak perempuan sedang mengintai ke bawah dari celah pintu tersebut yang terbuka sedikit.
"Awak......."
Itulah kali terakhir aku mendengar bisikan halus tersebut. Selepas aku berpindah, Alhamdulillah tidak ada lagi gangguan yang menimpa diri aku.
-Tamat-