Thursday, 1 October 2015

Bubur #4

Malam kian menjelma, beberapa orang penduduk kampung kelihatan sedang berkumpul di halaman rumah ketua kampung. Masing-masing berada di dalam keadaan bersiap sedia, seperti seorang tentera yang sudah bersedia untuk menuju ke medan peperangan. Ketua kampung sedang rancak berucap dihadapan penduduk kampung, kata-kata sakti dilaungkan. Mereka semua berdiri teguh bersama kayu yang digenggam erat di tangan. Mereka seperti wira-wira yang bakal mencipta sejarah dunia.

"Kita mesti bersatu dan bekerjasama!" kata-kata semangat yang dilaungkan oleh ketua kampung mampu memecahkan langit yang tinggi di atas, meruntuhkan bangunan yang setinggi gunung.

"Nampak hantu! Kita menyorok belakang tok imam! Biar imam yang selesaikan!" tambah ketua kampung lagi.

"Waaa...apa? Belakang aku? Amboi...kau nak biarkan aku je ke depan? Apa punya ketua lah kau ni.." balas tok imam menandakan dia tidak bersetuju.

"Imam..you're the chosen one..." sambung ketua kampung.

Lalu mereka semua bergerak meninggalkan halaman rumah ketua kampung bersama panji dan sepanduk. Tok imam diarahkan untuk mengetuai rombongan itu untuk pergi ke surau bagi menunaikan solat maghrib.

"Risaulah saya kak..macam bahaya je misi dia orang ni." kata Rosmah bimbang.

"Tak ada apalah Ros. Jangan risau. Imam boleh kawal keadaan.." balas Mila cuba menenangkan anak perempuan ketua kampung itu.

Tepat pukul 9:00 malam, mereka semua bertolak pergi ke tanah perkuburan daripada surau itu. Ketika di dalam perjalanan, mereka telah singgah sebentar ke balai raya untuk meninggalkan beberapa orang penduduk kampung untuk berkawal kerana keselamatan kampung harus juga dipertimbangkan, bahaya itu tidak datang hanya daripada hantu atau pun jin, turut juga datang daripada manusia itu sendiri. Kemudian, mereka semua bertolak tanpa membuang sebarang masa. Tok imam mengarahkan semuanya untuk jarakkan 10 langkah antara mereka dengan tok imam demi keselamatan masing-masing, supaya mudah untuk mereka melarikan diri. Namun, Rosli tidak bersetuju dengan cadangan tok imam tersebut dan menawarkan diri untuk berjalan disamping tok imam. Maka dengan itu, Rosli berjalan dihadapan bersama tok imam, sementara yang lain berjalan dibelakang dengan jarak antara mereka sebanyak 10 langkah.

"Ketika kita berjalan ni, ada baiknya kita berzikir. Sekurang-kurangnya, jika ada apa-apa kemalangan meragut nyawa menimpa kita, kita tidak pergi dalam keadaan yang tidak bersedia." cadang tok imam kepada Rosli yang sedang berjalan disebelahnya. Rosli bersetuju dengan cadangan daripada tok imam, lalu dia mengamalkan perkara tersebut. Tidak lama kemudian, mereka pun tiba ke tanah perkuburan yang ingin ditujui.

"Tok imam, sepanjang perjalanan kita tadi, saya hanya dengar bunyi tapak kaki kita berdua saja. Dan saya hanya mendengar bunyi nafas tok imam dan saya saja." tanya Rosli.

"Kamu homo ke?" balas tok imam dengan wajahnya yang agak kekeliruan dengan soalan Rosli.

"Eh! Tak.. Bukan itu maksud saya, yang saya maksudkan tadi ialah......" kata-kata Rosli terhenti apabila dia menoleh ke arah belakang dan mendapati tiada sesiapa pun yang berada dibelakang mereka berdua. Tok imam juga turut menoleh dan berasa amat terkejut dengan keadaan yang berlaku pada waktu itu.

"Sekarang aku faham apa maksud kamu tadi...Tak guna betul. Tidak aku sangka bahawa penduduk kampung ni semuanya tak ada telur. Mungkin minum susu lembu terlalu banyak barangkali." kata tok imam dengan nadanya yang sedikit geram. Lalu, tok imam dan Rosli melangkahkan kaki kanan mereka memasuki tanah perkuburan tersebut dan Rosli membawa tok imam menuju ke arah pondok yang di mana dia duduk bersama dengan Wan serta Ajak tempoh hari. Setelah mereka tiba di pondok itu, mereka mendapati bahawa Wan dan juga Ajak sudah berada di situ. Wan dan Ajak memaklumkan bahawa mereka sudah lama berada di situ kerana mereka khuatir jika kelibat yang mereka lihat pada tempoh hari muncul lebih awal pula kali ini.

"Habis tu, dah muncul ke belum?" tanya tok imam kepada mereka berdua.

"Belum lagi, mam. Tapi sejak tadi lagi memang kami ada terhidu bauan yang sama macam hari tu." jawab Ajak.

"Baiklah. Kita tunggu dan lihat, sementara kita menunggu, aku nak kamu bertiga berzikir. Walau apa pun yang berlaku, apa yang kamu lihat, jangan berhenti berzikir, faham?" arah tok imam kepada mereka bertiga. Dan, mereka berempat pun menunggu dipondok tersebut. Nasib saja si Wan dan Ajak ada membawa sedikit makanan dan juga minuman untuk dijamah. Tok imam dan Rosli juga baru menyedari bahawa mereka tidak menjamah apa jenis makanan mahu  pun minuman sejak petang tadi.
Ketika mereka sedang berselera menjamu makanan, tok imam mengarahkan mereka untuk berhenti dan diam. Perlahan-lahan tok imam bangun dan melihat ke arah pusara Ramli. Jelas kelihatan seorang manusia sedang berdiri disebelah pusara itu, dia mengeluarkan bungkusan makanan dari dalam plastik berwarna hitam lalu diletakkan di atas pusara tersebut. Kemudian, berkepullah asap putih keluar dari tanah dan menjelma sebagai makhluk yang berbungkus atau lebih digemari digelar sebagai pocong. Pocong itu membongkok ke bawah dan memakan bungkusan yang berisi bubur itu. Kejadian itu disaksikan oleh mereka berempat. Rosli menggenggam penumbuknya sekuat hati, entah mengapa hatinya menjadi sangat marah dengan apa berlaku pad aketiak itu.

"Sekarang pergilah engkau membuat huru-hara! Sudah tiba masanya mereka mengenali diri aku!!!" jelas kedengaran ayat yang dilaungkan oleh lelaki. Lalu pocong tersebut melompat jauh daripada tanah perkuburan itu. Mereka berempat yang sedang melihat menjadi sangat terkejut dengan kebolehan yang diperolehi oleh pocong itu.

"Masuk sukan olimpik dapat pingat emas tu.." bisik Wan perlahan tetapi tetap boleh di dengari oleh yang lain. Perutnya disiku oleh Ajak yang berada dihadapannya. Ajak memarahi Wan kerana perbuatan Wan itu tidak kena pada tempatnya.

"Jenah! Pergi engkau membantu Ramli!" laungan itu membuatkan mereka semua yang berada dipondok tergamam. Siapa pula Jenah yang dipanggil oleh lelaki misteri itu? Lalu kelihatan seekor pontianak sedang terbang melintasi kepala lelaki itu dan menuju ke arah kampung sambil ditemani hilai tawa yang sangat ngeri.

"Itulah kot yang ganggu kita masa kat balai raya itu hari. Suara lebih kurang je.." kata Ajak. Kemudian, lelaki itu berjalan menuju ke arah hutan berdekatan dan hilang dari pandangan mata. Mereka bertiga menanyakan soalan kepada tok imam tentang perancangan tok imam. Tok imam hanya mendiamkan diri sambil memejamkan mata.

"Kita ke kampung dulu. Dari firasat aku, ada sesuatu yang dia inginkan dari kampung ni. Aku dapat hidu bau darah, tapi aku tidak tahu darah siapa.." balas tok imam. Mereka bertiga tercengang selepas mendengaran jawapan dari tok imam. Darah siapakah yang dia maksudkan?

"Ayuh! Kita bergerak sekarang! Ada misi yang harus kita selesaikan!" ajak tok imam. Lalu mereka berempat pun berlalu pergi dari tanah perkuburan tersebut. Mereka bertiga cuba untuk mengejar tok imam namun tok imam seperti berjalan terlalu laju sehinggakan mereka bertiga terpaksa berlari sekuat hati. Walaupun di mata mereka kelihatan tok imam hanya berjalan seperti manusia biasa akan tetapi mereka tetap terpisah jauh dan mereka sudah pun penat berlari. Akhirnya, tok imam hilang dari pandangan mereka. Mereka berhenti rehat seketika, jelas kedengaran bunyi jeritan manusia di dalam kesusahan.

"Dari arah kampung. Cepat wei.. kita tak boleh buang masa lagi." kata Ajak. Wan dan Rosli seperti sudah tidak berdaya lagi namun, mereka gagahi juga untuk berjalan mengikuti Ajak. Entah bila ianya berlaku pun mereka tidak pasti tetapi Ajak sudah tidak ada dihadapan mereka berdua. Kini tinggallah Wan dan Rosli berdua sahaja disitu. Tanpa sebarang lampu, hanya ditemani oleh ihsan cahaya dari sang bulan.

"Kenapa dia orang berjalan cepat sangat? Aku dah tak berdaya lagi ni." rungut Wan yang juga turut dipersetujui oleh Rosli yang sedang tercungap-cungap disebelahnya. Mereka berdua meneruskan perjalanan mereka walaupun berjalan perlahan. Rosli mulai sedar akan situasi yang berlaku, mereka telah melalui kawasan yang sama berulang kali!

"Wan, macam mana ni? Aku rasa kita yang termasuk dalam perangkap syaitan ni." kata Rosli.

"Aku pun rasa macam tu juga. Sepatutnya kita dah sampai ke kampung ni, paling kurang pun rumah si Hamdan tu. Sebab tanah perkuburan tu penghujung kampung." balas Wan.

Mereka tetap meneruskan perjalanan sambil mata mereka melilau memerhatikan keadaan sekeliling. Fikiran mereka benar-benar bercelaru pada waktu itu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan, kerana mereka tidak pernah mengalami keadaan seperti itu.

"Adik......." jelas kedengaran ditelinga Rosli dan Wan namun mereka tidak mengendahkan itu semua kerana mereka tahu bahawa itu adalah syaitan. Sudah beberapa kali mereka mendengar bisikan itu dan akhirnya Rosli yang sudah hampir hilang sabar berhenti dan menjawab seruan suara misteri itu yang dia amat kenali, ianya adalah suara milik Ramli, abang kandungnya sendiri.

"Kau nak apa? Aku tahu itu bukan kau, abang. Tunjukkan diri kau!" Rosli memberanikan diri dengan menyeru makhluk yang berbisik memanggilnya sejak tadi untuk munculkan diri. Dia sudah tidak tahan lagi dengan usikan tersebut, dia terasa dirinya seperti dipermainkan.

"Wei Li..kau gila ke apa ni? Selamba kau je wei..Fikirlah aku.....arrr.." kata-kata Wan terhenti.

Rosli yang berdiri tidak jauh dari Wan menjadi tergamam selepas melihatkan keadaan yang menimpa diri Wan. Kelihatan darah yang banyak memercik keluar dari mulut Wan, diperutnya pula kelihatan seperti tangan yang mempunyai kuku tajam menikam dan menembusinya. Akhirnya Wan jatuh rebah ke bumi, Dibelakang Wan, berdirinya seekor makhluk aneh yang ngeri, ianya rendah dan membongkok. Makhluk itu yang telah menikam Wan.

"Sehari, aku cuma ingin satu nyawa..." kedengaran bunyi bisikan suara milik Ramli itu ditelinga Rosli. Kemudian, makhluk aneh itu tadi hilang seperti angin dan keadaan kembali seperti biasa. Rosli memandang keadaan sekeliling, dia berada di tanah perkuburan. Dia menjadi hairan dengan apa yang berlaku. Kemudian, dia berlari ke arah Wan yang sedang terbaring di atas tanah. Rosli memangku Wan di atas ribanya namun, segala-galanya sudah terlambat. Wan sudah tiada lagi. Rosli benar-benar tergamam dengan situasi itu. Malapetaka apakah yang sedang menimpa kampung Indah Bayu itu?

Bersambung..



Alucard Monsieur merupakan laman facebook rasmi bagi Seram Mengarut. Anda semua dijemput untuk like laman ini.

No comments:

Post a Comment