Friday, 2 October 2015

Bubur #5

Berita tentang kematian Wan telah sampai ke telinga semua penduduk kampung, tidak ketinggalan juga kampung-kampung yang berdekatan. Ada yang menuduh bahawa abang kandung kepada Rosli telah mengamalkan ilmu hitam sepanjang hayatnya sehinggakan bila sudah meninggal dunia 'benda' tu tidak mahu meninggalkan badannya dan ingin membalas dendam kepada semua orang kampung kerana tidak membantu dirinya ketika diancam oleh Razak. Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga Rosli pernah membela saka dan saka itu selama ini duduk diam, sekarang waktunya untuk saka itu bangun dan mencari pengganti yang baru. Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga Rosli ni membela hantu raya dan semua pembunuhan yang berlaku adalah disebabkan hantu raya itu dan Rosli adalah penjaga baru kepada hantu raya itu. Ada juga yang mengatakan bahawa Rosli ni sebenarnya daripada planet Namek.

"Sudah, sudahlah tu. Wan sudah kembali ke rahmatullah. Kita sedekahkan saja doa dan bacaan al-Quran buat dia." pujuk Mila bagi meredakan kesedihan yang menyelubungi diri Rosli.

"Saya ada kat situ kak. Tapi saya tak mampu nak buat apa-apa." kata Rosli kepada Mila. Rosli telah pun menceritakan segala yang terjadi kepada ketua kampung dan juga tok imam. Mereka akan menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam. Bantuan daripada pihak polis juga sudah pun dilakukan dan pada malam harinya beberapa anggota polis akan menetap dikampung itu untuk berjaga. Empat orang anggota polis ditempatkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah Bayu. Walaupun ramai diantara pihak polis tidak mempercayai dengan cerita gangguan oleh makhluk halus itu, namun mereka tetap juga menjalankan tanggungjawab sebagai polis. Orang ramai sudah tidak rasa selamat lagi untuk menetap di kampung Indah Bayu selepas berita kematian dua orang penduduk kampung itu dan seorang lagi penduduk yang berasal daripada kampung sebelah. Ketiga-tiga mereka mati dalam keadaan yang tragis. Ramai daripada penduduk kampung Indah Bayu telah pun keluar dan berpindah ke kampung yang lain. Ketua kampung tidak dapat menghalang perbuatan mereka itu kerana ianya adalah hak mereka. Semakin hari kampung Indah Bayu semakin sunyi dengan manusia. Hanya tinggal puluhan sahaja lagi penduduk yang masih menetap dan tidak mahu meninggalkan kampung halaman dan kesayangan mereka itu. Hal ini telah mendapatkan liputan meluas ke seluruh Malaysia. Ada pihak tidak bertanggungjawab telah pun datang ke tanah perkuburan dikampung itu dan meminta nombor ekor daripada pusara Ramli.

Akibat daripada itu, bilangan kematian hari demi hari semakin meningkat, ramai orang luar datang dengan niat tidak elok dan mereka telah mendapat balasan yang setimpal. Ada di antaranya yang mati di panah dengan petir. Ada yang terkambus ke dalam tanah. Ada juga yang hilang kepala secara misteri. Disebabkan itu, gangguan makhluk halus semakin menjadi-jadi dikampung Indah Bayu. Kini, hanya tinggal Mila, Rosli, dan ketua kampung sendiri. Mereka bertiga sahaja yang masih menetap, manakala ahli keluarga ketua kampung telah pun berpindah ke negeri lain. Pihak polis sudah tidak berani lagi untuk berjaga dikampung tersebut kerana ramai anggotanya telah pun menjadi mangsa. Kini, tidak ada lagi pihak daripada luar yang sanggup untuk menyinggah atau pun datang ke kampung Indah Bayu. Kampung tersebut semakin hari semakin dilupakan oleh orang ramai. Ada yang menyuarakan agar kampung tersebut dihapuskan terus kerana gangguan daripada makhluk halus itu telah pun merebak ke kampung-kampung yang berdekatan. Namun, ketua kampung dan juga tok imam masih berdegil. Mereka memberikan jaminan bahawa mereka akan menghapuskan makhluk itu semua akan tetapi, mereka berdua terkorban ketika sedang bertempur. Yang tinggal untuk berjuang hanyalah Rosli dan Mila.

"Tinggal kita berdua saja lagi kak. Ada baiknya akak pindah. Biar saya saja yang menguruskan semuanya. Biarlah saya berjuang hingga ke titisan darah terakhir." kata Rosli kepada Mila.

"Engkau pun sudah cedera teruk Li. Macam mana akak nak tinggalkan kau. Kau saja keluarga yang akak ada." balas Mila teresak-esak. Rosli hanya mampu diam tanpa berkata apa-apa. Apakah nasib yang bakal menimpa mereka pada kemudian hari?


Bersambung...



(Maaf sebab cerita kali ni pendek kerana pengarang terlalu sibuk, cerita selanjutnya bakal menyusul pada hari Sabtu, 3 oktober, 2015.)

No comments:

Post a Comment