Dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada tok imam, Rosli mempertahankan kampung Indah Bayu itu daripada ancaman makhluk halus. Walaupun tinggal dia bersama Mila saja lagi, tetap dia berdiri teguh di atas bumi yang nyata. Namun, hari demi hari, musuh yang datang menyerang semakin ramai dan semakin kuat. Rosli bukanlah seorang pahlawan mahu pun pendekar, apatah lagi seorang yang berilmu tinggi di dalam bab-bab sebegini. Akan tetapi, dia tidak pernah ada perasaan untuk menyerah kalah dan dia terus percaya bahawa Allah itu Maha Esa. Perjuangan dengan lelaki misteri yang dipanggil bomoh terus berlanjutan. Yang anehnya, tidak pernah dia bersua muka dengan bomoh tersebut, sebaliknya dia hanya bertempur dengan pengikutnya sahaja. Banyak kali terlintas difikiran Rosli, jika dia dapat menewaskan sang ketua durjana sudah pasti pengikutnya akan turut jatuh tersembam ke bumi. Siang dan malam terus berlalu, sejuk panas tidak dihiraukan, Rosli tetap terus beradu, walaupun cederanya tidak ringan.
"Li..akak sudah tak tahu sekarang hari yang ke berapa. Yang pasti, kita sudah terlalu lama disini. Terlalu lama kita bertahan. Akak dapat merasakan bahawa kita akan kecundang juga nanti." tegur Mila yang begitu bimbang akan kecederaan pada diri adik iparnya itu. Semakin hari semakin parah, tidak pula sembuh, ingin berjumpa dengan doktor pakar, akan tetapi, mana ada manusia di kampung itu lagi selain mereka berdua. Bagi Rosli, jika dia keluar setapak daripada kampung itu, bermakna dia telah menyerah kalah.
"Allah akan bantu kita kak. Akak jangan risau. Selagi saya masih bernyawa, selagi itu saya akan lindungi akak dan kampung ini saya akan kembalikan ia seperti sediakala." balas Rosli sambil menahan kesakitan yang teramat sangat. Sudah hampir tiga jam mereka berehat, makanan harian mereka hanyalah pucuk paku dan air masak sahaja. Tidak pernahnya sempat untuk Mila memasak, hanya mampu memetik pucuk yang ada dan merebus ianya untuk dijadikan pengisi perut yang kosong.
"Mereka dah datang, cepat pergi bersembunyi.." arah Rosli kepada Mila. Lantas Mila segera berlari bersembunyi di bilik bawah tanah di rumah ketua kampung itu. Rumah itulah yang dijadikan sebagai markas buat mereka selama ini. Kerana tanaman disekitarnya begitu subur dan banyak. Sungai juga berdekatan untuk mereka mengambil wudhuk atau pun menyucikan diri. Dihadapan Rosli kini berdirinya seekor lembaga berbadan tegap serta tinggi, matanya berwarna merah darah. Lembaga itu melayangkan sebuah tumbukan ke arah Rosli, namun, Rosli sempat mengelak lantas dengan segera Rosli membalas serangan tersebut. Serang balas dari Rosli mengenai lembaga itu lalu membuatkan lembaga itu terjatuh ke atas tanah. Datang pula seekor lagi lembaga berbadan tegap serta tinggi menyerang Rosli dari arah belakang, serangan tersebut yang begitu padu tepat terkena pada belakang badan Rosli lalu membuatkan dirinya turut jatuh tersembam ke bumi.
"Hari ni kau hantar yang sado-sado ya? Aku akan hapuskan semuanya!" jerit Rosli lalu dia bangun dan melompat tinggi dan melayangkan satu sepakan yang padu ke arah muka lembaga yang menyerangnya itu tadi. Lembaga itu tidak sempat untuk mengelak serangan yang dilakukan oleh Rosli. Namun, serangan tersebut tidak berjaya menumbangkan lembaga itu, akan tetapi, Rosli terus menerus melakukan serangan yang bertubi-tubi. Kesakitan yang dialami tidak dihiraukan sama sekali, yang penting bagi dia pada waktu itu adalah untuk menghapuskan lembaga-lembaga yang telah pun menerima arahan dari bomoh yang telah pun memulakan huru-hara dikampung tersebut. Mila ketika dibilik bawah tanah, tidak berhenti-henti berdoa kepada Illahi agar Rosli diselamatkan. Begitulah keadaan mereka setiap hari, musuhnya tiba tidak kira waktu, ada kalanya tiba ketika mereka sedang tidur, ada kalanya mereka tiba waktu mereka sedang menunaikan kewajipan.
Ketika Mila sedang khusyuk berdoa tanpa henti, dia terdengar suara jeritan milik Rosli yang begitu kuat sekali. Hatinya berdebar-debar untuk ingin tahu apa yang berlaku kepada Rosli, apakah Rosli sudah kecundang? Ingin saja Mila melangkah keluar daripada bilik bawah tanah itu akan tetapi, janjinya pada Rosli tidak mungkin dia akan mungkiri. Dia berjanji bahawa dia tidak akan pernah keluar daripada bilik bawah tanah itu selagi Rosli sendiri tidak menjemputnya untuk keluar. Walaupun dia sudah sedia maklum bahawa makhluk itu semua mampu untuk menyamar akan tetapi, Rosli sudah pun memberitahu kepada Mila jika dia yang memasuki ke bilik bawah tanah itu, dia akan mengucap dua kalimah syahadah dahulu. Jika tidak, bermakna bukanlah ia bukan Rosli. Di atas pula, Rosli sudah hampir kehabisan tenaga akibat serangan bertubi-tubi daripada musuh dan juga kecederaan pada dirinya tidak pernah sempat untuk sembuh. Dua ekor lembaga itu tadi hanya berdiri berhampiran Rosli dan merenung wajah Rosli bengis. Mata Rosli hampir terpejam akibat terlalu sakit dan letih, dia hanya mampu berdoa dan redha sahaja pada ketika itu dan berharap agar Mila tidak keluar daripada tempat persembunyiannya. Hampir saja Rosli ingin memejamkan matanya, dia terdengar suara dua ekor lembaga itu tadi menjerit seperti berada di dalam kesakitan. Perlahan-lahan Rosli membuka matanya, dihadapannya jelas dua ekor lembaga itu terbakar, yang hairannya, dari mana datangnya api tersebut?
"Bangun lekas, jembalang tu semua dah mati." jelas kedengaran suara seorang insan berjantina lelaki menegur Rosli dan membantu Rosli untuk bangun dari tempat dia terbaring itu. Rosli cuba untuk melihat wajah lelaki yang membantu dia itu namun, akibat daripada pertempuran itu tadi dia menjadi terlalu penat dan pengsan ditempat kejadian.
Apabila dia Rosli tersedar daripada pengsannya, dia mendapati bahawa dirinya berada di atas tilam yang empuk. Disebabkan dia berasa hairan dengan keadaan tersebut, dia bingkas bangkit dan memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dia berada di dalam sebuah bilik dan dia amat kenal bilik itu kerana di bilik itulah dia seringkali berehat selepas bertempur dengan musuh. Telinga dia menangkap suatu perbualan yang agak tidak berapa jelas diluar bilik. Hatinya risau akan kakak iparnya, lalu Rosli bangkit dan berjalan keluar dari bilik, dia menuju ke arah suara manusia berbual itu tadi.
"Li.. kau dah bangun?" tegur Mila selepas dia menyedari kehadiran Rosli. Mila memapah Rosli hingga ke tempat duduk. Dihadapan mereka ada seorang lelaki yang tidak dikenali sama sekali.
"Siapa kau? Kau yang bantu aku tadi?" tanya Rosli lemah. Kesakitan yang dia alami itu masih lagi belum pulih dan nafasnya seperti tidak mencukupi.
"Aku dahulu dikenali sebagai Frost. Tapi engkau panggil saja aku Qadim." jawab Qadim ringkas. Qadim menceritakan segala-galanya kepada Mila dan Rosli. Dia dalam perjalanan untuk menyelesaikan misteri yang ditinggalkan oleh arwah kawannya. Dan secara tidak langsung, dia tiba ke kampung itu. Dan dia juga dapat merasakan suatu kuasa jahat sedang menyelubungi kampung tersebut ketika dia melangkahkan kakinya buat kali pertama. Dan firasatnya kuat mengatakan bahawa ada hamba Allah berada di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
"Selepas itu, aku nampak kau tewas dengan kuasa syaitan. Lantas, dikesempatan itu aku terus menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang hamba Allah." sambungnya lagi. Mila dan Rosli hanya menggangguk tanda faham. Rosli juga menceritakan kepada Qadim akan kenapa dia masih lagi tidak meninggalkan kawasan kampung dan berpindah saja ke tempat yang lain.
"Yang kau lawan ni bukan bomoh. Dia adalah syaitan. Jasadnya saja manusia." jelas Qadim. Rosli dan Mila menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang ingin Qadim sampaikan.
"Syaitan dan Iblis ni pandai berupa-rupa, kerana itu memang sumpah dia dengan Allah bahawa dia akan menyesatkan kita semua ini. Apa yang kau lawan selama ini hanyalah tenteranya saja, atau erti kata lain, anak buahnya saja." sambung Qadim lagi. Rosli tertunduk ke bawah, dia termenung seketika. Terlintas difikirannya, jika Qadim tidak muncul tadi, sudah pasti nyawanya akan melayang.
"Beginilah..Aku akan bantu kau dalam menghapuskan syaitan-syaitan itu semua dan mengembalikan keamanan kampung ini. Tapi dengan satu syarat..." kata-kata Qadim terhenti selepas mereka bertiga terdengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung rumah. Qadim dan Rosli sudah sedia maklum siapakah dalang kepada bunyi dentuman tersebut. Qadim mengarahkan Rosli untuk duduk saja disitu bersama Mila sementara dia keluar dan pergi siasat. Setibanya Qadim dihalaman rumah, dia meninjau ke atas bumbung namun, tiada sesiapa disitu.
"Hmm..syaitan.." bisik Qadim di dalam hati. Lalu dia menutup rapat matanya dan membacakan sesuatu, kemudian dia membuka matanya kembali dan terus merenung ke atas bumbung rumah. Kelihatan seekor lembaga warna hitam dan berbulu sedang terapung di atas bumbung rumah tersebut. Qadim hanya tersenyum selepas dapat melihat kelibat lembaga tersebut.
"Engkau cari pasal dengan orang yang salah, syaitan!" jerit Qadim sekuat hati tanda marah. Lalu, sebuah pertempuran hebat pun berlaku di antara Qadim dengan syaitan tersebut. Bumi seperti bergegar, pokok dikiri dan kanan bergoncang hebat. Rosli dan Mila muncul dimuka pintu selepas mendengar jeritan dari Qadim. Qadim mengarahkan mereka berdua agar berdiri di situ saja dan bersiap sedia untuk sebarang kecualian. Qadim mula membuka langkah silatnya yang dia pelajari daripada gurunya disebuah perkampungan orang bunian di Gunung Ledang. Secara tiba-tiba, sekumpulan burung gagak hitam muncul entah dari mana, datang menyerang Qadim akan tetapi setiap serangan dapat ditepis oleh Qadim dengan tenang. Mulut Qadim tidak henti-henti membaca ayatul Qursi. Burung gagak itu semua tadi cuba untuk menyerang Qadim kembali, lalu Qadim menggenggam penumbuk kanannya lantas dilepaskan satu tumbukan padu ke tanah, maka gugurlah semua burung gagak itu tadi. Angin bertiup kencang, pokok-pokok semua seperti sedang mengetawakan mereka bertiga. Bintik-bintik peluh mulai muncul di dahi Mila, dia merasakan sedikit ketakutan pada ketika itu.
"Jangan takut! Itu yang mereka mahukan. Mereka ingin kita takut! Ingat! Tiada yang lebih berkuasa selain Allah Maha Besar!" nasihat Qadim kepada Rosli dan Mila. Dan Rosli menyuruh Mila untuk berzikir dan tenangkan hati. Mila mengangguk tanda setuju dan terus melakukan seperti yang disuruh. Jelas kedengaran hilai tawa daripada lembaga yang sedang terapung di atas bumbung itu. Qadim memeluk tubuhnya dan memejamkan matanya rapat. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Lembaga itu tadi datang menghampiri Qadim, dan melepaskan satu tumbukan tepat ke dada Qadim namun, Qadim sedikit pun tidak berganjak dari tempat di berdiri. Lembaga itu seakan marah kerana serangannya tidak memberikan kesan kepada Qadim. Kemudian, Qadim membuka matanya, wajahnya kelihatan begitu sekali, persis seorang ayah yang marah kepada anaknya yang gagal dalam setiap mata pelajaran disekolah. Kaki kanan diangkat separas dada kemudian dihentakkan ke atas tanah sekuat-kuatnya. Akibat dari perbuatan Qadim itu, lembaga tersebut jatuh tersungkur. Qadim mengulangi perkara itu beberapa kali sehingga lembaga tersebut jatuh tertiarap dan tidak boleh bangun lagi. Kemudian, Qadim mengeluarkan sebilah keris dari dalam bungkusan kain berwarna kuning, sarung keris itu dipacakkan ke atas tanah, dan bilahnya ditikam terus ke arah tengkuk lembaga itu. Bergema suara lembaga menjerit kesakitan, sehinggakan Rosli dan Mila bergoncang lutut akibat mendengar jeritan garau daripada lembaga itu. Qadim menikam terus menerus sehingga lembaga itu terbakar dan menjadi debu, terus angin yang kencang tadi telah meniup debu tersebut terbang pergi entah ke mana. Qadim mengambil sarung keris yang dipacakkannya tadi, dia menyarung kemas keris itu dan membungkusnya kembali ke dalam kain berwarna kuning. Lantas, dia berjalan menuju ke arah Mila dan Rosli. Tiada setitik peluh pun wujud diwajah Qadim, wajahnya kelihatan begitu tenang.
"Alhamdulillah..mereka tidak akan berani datang mengganggu untuk beberapa hari. Marilah kita berehat dahulu sementara itu kau boleh memulihkan kecederaan yang kau alami." kata Qadim. Mila dan Rosli mengucap syukur panjang, mereka berterima kasih kepada Qadim kerana tanpa bantuan dari dia sudah tentu mereka tidak selamat.
"Bukan pada aku. Berterima kasihlah pada Allah.. Tanpa izin dari Allah, ini semua tak akan berlaku. Ada hikmah disebalik segala kejadian." pesan Qadim kepada Mila dan Rosli.
Bersambung....
Alucard Monsieur merupakan laman Facebook rasmi untuk Seram Mengarut. Pembaca dipersilakan untuk LIKE page ini dan jika berkesempatan atau pun anda merasakan cerita ini harus dikongsi bersama rakan, amat-amatlah dialu-alukan.
No comments:
Post a Comment