Thursday, 3 May 2018

Rasukan Samanos #2

Sayup-sayup kedengaran azan maghrib berkumandang memenuhi ruang udara. Matahari mulai terbenam, bulan pula mula menjelmakan diri. Ramai manusia muslim dan muslimah berjalan kaki menuju ke masjid. Jalanraya masih lagi sesak dengan kenderaan. Lampu-lampu jalan mula dinyalakan. Beberapa biji motorsikal kelihatan sedang berhenti dibahu jalan sambil menghisap rokok John biru. Dan, Razali pula masih berada di rumah bersama mentuanya sedang menyediakan persiapan untuk tahlil arwah Munirah, isterinya yang tercinta.

Wajah Razali kelihatan begitu sayu sekali, sudah beberapa hari dia murung sebegitu rupa. Ramai yang cuba menenangkan dia tapi tidak berjaya. Razali tidak banyak bercakap semenjak dua menjak. Sepatah yang ditanya, sepatah jugalah yang dijawab. Lapan patah yang ditanya, sepatah juga yang akan dijawab. Walaupun ditempat kerja, Razali tetap kelihatan murung. Dia tidak seceria seperti dahulu. Seperti waktu arwah isterinya masih lagi hidup.

Selesai tahlil, Razali duduk di satu sudut seorang diri sambil memegang secawan air sirap. Wajahnya termenung jauh ke atas lantai. Ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa diri Razali. Ahli keluarganya telah cuba bermacam cara untuk menghiburkan Razali, tetapi semuanya tidak berhasil. Kemudian, Razali didatangi oleh seorang kawan lamanya.

“Li. Boleh aku duduk?”

“Hmmph..” itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Razali. Dia tidak langsung memandang ke arah orang yang ingin duduk disebelahnya itu. Dia cuma tahu bahawa orang tersebut adalah lelaki.

“Aku tahu benda ni sukar untuk kau lalui. Aku mungkin tak merasa derita yang kau rasa sekarang ni, tapi aku boleh faham. Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, just beritahu aku saja. Jangan seksa diri kau macam ni.”

“Mir, terima kasih. Tapi aku okay je. Aku cuma terkenangkan password game aku je. Dari semalam aku cuba ingat tapi tak dapat.” balas Razali.

“Kau? Kau? Huuummm. Tak mengapalah. Walau apa jua alasan kau tu. Ingatlah pesan aku ni, jangan seksa diri kau. Kalau kau perlukan bahu atau kawan untuk menemani kau, cari aku. My arms always open for you, bruh.”

“Aku masih waras. Aku tak akan jatuh ke dalam perangkap gay kau tu, Amir.” balas Razali, dia bangkit dari kerusi dan berlalu masuk ke dalam rumah.

Amir terpinga-pinga disitu setelah mendengar jawapan Razali. “Cis, tuduh aku gay pula. Aku dengan Cikgu Suraya kot.” bentak Amir di dalam hatinya.

Malam itu, seperti kebiasaannya, setelah semuanya selesai dikemaskan, semua orang akan pulang ke rumah. Dan, Razali akan mengurungkan dirinya di dalam bilik sehingga matahari menjelma pada esok harinya. Walaupun kesedihan masih lagi berada di dalam dirinya, tetapi dia tidak pernah tinggalkan tanggungjawab dia pada syarikat dia bekerja.

“Kau tengoklah tu. Muka dia muram je semenjak arwah isteri dia meninggal. Kau pergilah ceriakan hari dia kejap, Siti.” mulut-mulut bawang mula bersuara ditempat kerja Razali.

“A’ahlah Siti. Duda tak ada anak tu. Gaji pun tinggi, rumah pun besar. Pergilah try nasib. Mula-mula dia tak nak layan, lama-lama nanti dia akan layan juga. Dia lelakilah, dia akan haus juga nanti. Dia akan cari telaga juga nanti. Senang hidup kau nanti, Siti.” seorang lagi mulut puaka cuba menghasut rakan sekerjanya.

Terlalu lancang perbualan mereka berdua dan Siti hanya menundukkan wajahnya sambil melakukan kerja. Dia mengganggap bahawa dia tidak pernah mendengar apa-apa dari mulut mereka berdua.

Kaki gosip segera berambus dari meja Siti kerana dilihatnya Razali mendekati mereka.”Siti...” seru Razali.

“Ya saya?” balas Siti sedikit terkejut. Dia risau jika Razali terdengar perbualan makcik mulut puaka berdua tadi.

“Tolong call klien ni dan set kan temujanji dengan dia. Anytime anywhere, okay?” arah Razali, kemudian dia meletakkan sekeping kertas bersaiz A4 di atas meja Siti.

Siti segera melakukan kerja yang diberi tanpa merungut. Sementara dua orang makcik puaka tadi memerhatikan tingkahlaku Siti dari jauh. “Heh, dah berlendirlah tu sepender. Baru orang tu tegur sikit. Kau tengok je lah si Siti tu nanti. Tahu-tahu je nanti kita dapat kad undangan dia orang. Seronoklah Razali dapat merasa asam muda.”

“Saya ada kat sini. Kenapa?” balas Razali yang tiba-tiba saja berdiri dibelakang mereka berdua. Terkejut mereka, dan segera meminta maaf pada Razali. Razali memarahi mereka kerana terlalu banyak buang masa dari buat kerja. Sebenarnya Razali ni kerja apa? Dah lupa plak.

Pada malam itu Razali tidak dapat melelapkan matanya. Wajah arwah isterinya bermain diminda. Wajah kesakitan yang isterinya alami ketika dimasuki oleh makhluk yang tidak dikenali. Ianya bagaikan mimpi ngeri buat Razali.

“Maafkan abang, sayang. Abang tak dapat nak bantu waktu tu. Abang minta maaf sangat-sangat.” teresak-esak kedengaran suara Razali. Dia menangis buat entah ke berapa kali dalam minggu itu. Kesedihan yang dia alami teramatlah memeritkan. Insan tak dapat makan cendol pun tak sesedih Razali.

Dalam keadaan Razali masih lagi mengalirkan airmatanya, secara tiba-tiba dia terdengar suara perempuan menjerit diruang tamu. Dia segera bangkit dari katil dan berlari ke luar. Razali terndegar lagi bunyi seperti huru hara diruang tamu. Apabila Razali tiba diruang tamu, dia melihat ibu bapanya dan keluarga mentuanya sedang berada dalam keadaan terkejut. Razali ingin tahu apa yang berlaku.

“Abah! Kenapa ni?” soal Razali kepada bapanya. Bapanya tergamam dan tak mampu untuk berkata-kata. Dia hanya mampu menunjukkan jari telunjuknya saja ke arah sesuatu. Razali memalingkan wajahnya dan melihat apa punca kekecohan yang berlaku.

“Emma!” jerit Razali setelah dia melihat adik iparnya sedang melekat didinding ruang tamu. Matanya berwarna hitam, rambutnya mengurai dan tak terurus, lendir-lendir hitam berbentuk buih keluar dari mulutnya dan kelihatan urat berwarna hitam memenuhi seluruh tubuh Emma.

Situasi ketika itu sama seperti mana arwah isterinya kena. Cuma kali ni Emma tidak berpusing kepalanya. Adakah ianya merupakan first stage of rasukan? Dan rasukan kedua baru kepalanya berpusing? Dah macam video game pula.

“Aku pernah beritahu, aku tak akan mudahkan kerja-kerja korang. Dan, aku akan susahkan kau seumur hidup!!!” jerit Emma sambil menuding jari ke arah ayahnya.

Sementara Razali pula seperti kebingungan berdiri disitu. Dia seperti tidak mengerti. Kenapa benda yang sama berlaku pada adik iparnya? Bukankah motif makhluk itu untuk meragut nyawa Munirah, arwah isterinya? Razali tidak dapat berfikir apakah sebabnya. Tapi dia tahu bahawa dia kena selamatkan adik iparnya itu. Dia tidak akan biarkan adik iparnya menjadi mangsa kepada syaitan yang mengganggu. Cukuplah dia kehilangan isteri tercinta.

Sementara ayah mentuanya cuba untuk melemahkan Emma dengan bacaan suci al-Quran. Razali pula bertindak dengan meluru ke arah Emma dan menariknya turun ke bawah. Tetapi perbuatan Razali tersebut telah mengakibatkan Emma menjadi lebih liar lagi. Razali ditendang oleh Emma. Tendangannya itu membuatkan Razali tercampak agak jauh dari situ. Tendangan yang dirasakan bukanlah tendangan biasa-biasa. Bekas tendangan yang mengena pada tubuh Razali terasa panas. Razali menggelupur cuba untuk memadamkan api yang tidak kelihatan ditubuhnya.

Ibu dan ayahnya berlari mendapatkan Razali, mereka cuba membantu Razali. Razali menjadi sangat lemah selepas tendangan pertama. “Malaslah nak lawan secara fizikal. Kita baca surah je lah, abah.” ujar Razali dalam keadaan mengah. Bapanya angguk tanda setuju. Lalu mereka semua yang berada disitu memulakan bacaan yang patut.

Emma masih lagi tidak berganjak didinding. Dia masih melekat disitu. Seperti tidak mahu turun. Mungkin seronok agaknya melekat kat dinding. Jarang-jarang dapat menjadi Spiderman. Dia tidak seperti ambil tahu mengenai alunan-alunan yang memenuhi ruang rumah tersebut. Kemudian, dia melompat ke arah pintu depan dan memecahkan pintu itu. Lantas, dia melompat ke luar rumah.

Mereka semua berlari mengejar Emma. “Budak ni milik aku!” ujar Emma dan terus melompat ke atas bumbung rumah. Kemudian dia melompat ke bumbung rumah yang lain sehinggalah tidak lagi kelihatan.

“Allah. Allah. Allah. Anak kita, bang!” kata mak mentua Razali kepada suaminya. Dia memeluk tubuh suaminya erat.

Razali segera masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Dia ingin mengejar Emma. Dia menuju ke arah rumah terakhir dia melihat Emma melompat. Adik iparnya tiada disitu. Namun, dia mengesyaki bahawa adik iparnya itu melompat masuk ke kawasan hutan yang berada di belakang rumah tersebut. Razali segera keluar dari kereta dan berlari masuk ke dalam hutan tanpa mengunci pintu kereta, ala-ala movie barat gitu.

Sudah jauh dia berlari ke dalam hutan tersebut, namun dia tetap tidak dapat jejaki keberadaan Emma. Kemudian, dia terdengar bunyi aneh yang dia tak pernah dengari sebelum ni. Dia mencari arah punca bunyi tersebut. Tapi tidak berhasil.

Dan secara tiba-tiba, dia terdengar bunyi tersebut berada betul-betul dibelakangnya. Dia segera menoleh, tetapi dia telah diterkam oleh sesuatu. Rupa-rupanya Emma, adik iparnya yang menerkam.

“Emma! Sedar Emma! Sedar! Abang kau ni!” jerit Razali cuba untuk menyedarkan adik iparnya. Dia tidak tahu samada ianya akan berhasil atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya dia mencuba.

“Adik kau? Dia dah tak ada!” jerit Emma, lalu dia mencekik leher Razali. Razali cuba untuk melawan akan tetapi kudratnya tidak setanding makhluk yang berada di dalam tubuh adik iparnya itu.

Cecair berwarna hitam kelihatan mengalir keluar dari mata Emma. Wajah Emma ketika itu sungguh mengerikan.

Razali sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Tenaganya semakin hilang. Genggaman tangannya semakin lemah. Dia sudah tidak mampu untuk menahan diri Emma dari terus mencekiknya. Razali dapat merasakan kuku Emma seperti tenggelam di dalam lehernya itu. Razali bagaikan sudah menyerahkan dirinya pada takdir.

“Mungkin dah tiba masa untuk aku pergi.” bisik Razali di dalam hatinya.

Matahari sudah terbit. Burung-burung pun berkicauan. Kereta kembali memenuhi jalanraya. Dan, bayang Razali tidak juga kelihatan. Keluarganya begitu risau sekali. Keretanya juga tidak tahu berada di mana, disyaki telah dicuri sebab dia tidak kunci pintu dan dia parking depan rumah orang lain.


-Tamat-



No comments:

Post a Comment