Friday, 4 May 2018

Orang Gaji #Akhir






“Sara” keras suara yang kedengaran tiba-tiba menyentak Sara yang leka memandang Mia. Dia pantas menoleh ke arah pintu yang terbuka.






Kelihatan Mak Yam yang sudah menjegil ke arahnya di luar pintu. Sara menahan debaran di dadanya yang kian berdetak apabila menerima renungan Mak Yam yang bagaikan ingin menelannya hidup-hidup itu.






Lambat-lambat Sara melangkah keluar. Pelbagai andaian sudah memenuhi benaknya apabila melihatkan ekspresi wajah Mak Yam yang nyata ketara tidak suka dengan perbuatannya.






Mak Yam menarik daun pintu bilik tidur Mia dengan berhati-hati apabila Sara sudah berada di depannya. Dia tidak ingin mengganggu Mia tidur walaupun matahari sudah meninggi.






“Kau memangkan? Degil!” herdik Mak Yam melepaskan geram terhadap Sara sebaik saja pintu bilik Mia di tutup rapat. Matanya tajam merenung Sara.






“Saya...saya cuma...” Sara cuba menyusun ayat ingin membela diri di depan Mak Yam.






“Bukan aku..” Mak Yam yang ingin membalas mengerling ke arah pintu bilik Mia. Kalau dia memarahi Sara di situ, Mia pasti akan mendengarnya.






Lengan Sara ditarik kasar untuk mengikut langkanya turun dari situ. Mak Yam membawa Sara ke dalam bilik Sara. Tubuh Sara ditolak hingga jatuh ke atas katil.






“Berapa kali aku nak cakap yang kau cuma buat apa yang aku suruh saja, hah!?” Mak Yam meluahkan rasa yang ditahan-tahan sejak tadi. Kalalah tidak mengenangkan Mia yang mungkin terbangun tadi, dia akan mengajar Sara di situ juga.






“Saya cuma nak tengok budak tu, itu saja.” jawab Sara yang sudah mula menahan esak. Dia tidak faham mengapa Mak Yam begitu marah padanya.






“Mula-mula kau nak tengok, lepas tu apa?!” herdik Mak Yam lagi.






“Tak! Sumpah! Saya tak buat apa-apa. Saya... saya cuma teringin nak tengok dia.” sahut Sara dalam esakan. Air matanya yang mula mengalir mula diseka.


Mak Yam berdecit geram.






Naik turun dadanya cuba mengawal nafas gara-gara sikap Sara yang menimbulkan kemarahan dalam dirinya. Susuk pembantu itu ditatap geram. Kata-kata Sara cuba ditafsir. Betul ke? Betul ke dia cuma nak tengok? Macam mana kalau dia..






“Kau ingat Sara, kau jangan ingat aku tak tahu apa yang kau fikir. Kalau kau nak tunjuk pandai, aku takkan teragak-agak minta kepada tuan dan puan untuk pecat kau. Faham!?” ugut Mak Yam sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah Sara.






Sara menganggukkan kepala tanda faham. Akur dengan kata-kata Mak Yam biar pun pelbagai soalan yang ada di dalam kepalanya ketika itu. Kenapa dia dilarang berjumpa dengan Mia?






Mak Yam menjeling sebelum melangkah. Tiba di pintu, dia berpaling semula ke arah yang masih berada di atas katil.






“Ingat, kau jangan nak memandai-mandai di sini. Untuk hari ni, kerja kau dah habis. Yang lain, aku dah suruh Liya yang buat. Kalau nak makan, malam nanti baru kau keluar makan.






Jangan keluar sampai aku suruh. Ingat tu!!” keras suara Mak Yam sebelum menutup pintu bilik dengan kasar.






Sara terus menangis sendirian. Kalaulah tidak mengenangkan emaknya di kampung dan tanggungjawabnya sebagai anak tunggal untuk menyara emaknya yang keseorangan, dia sendiri tidak ingin berlama-lama di situ. Namun, apalah daya. Mak Yam, ada apa hal dengan orang gaji tu? Apa masalah dia?






Perut yang berbunyi memaksa Sara mencelikkan mata yang sudah sembap kerana menangis siang tadi. Sejak memulakan kerjanya tengah hari tadi, dia langsung tidak menjamah sebarang makanan. Selepas dimarahi oleh Mak Yam, dia hanya berkurung di dalam bilik. Biar pun mata terasa betul-betul mengantuk dan minta ditutup, tetapi rasa laparnya memaksa dia bangun berteleku di atas katil.






Suis lampu tidur di hujung katil di tekan. Cahaya kuning malap lampu tidur menerangi sudut bilik. Jam loceng di atas meja kecil di sisi katil segera dikerling. Jarum jam yang menunjukkan pukul 11.40 malam membuatkan Sara menggeleng kesal.






“Melepas solat.” ujarnya perlahan. Sara bertekad, selepas makan, dia akan membersihkan dirinya dan qada semula solat maghrib yang terlepas.






Sara melangkah turun dari katil. Perutnya yang semakin rancak berbunyi perlu di isi. Lagi pun, waktu itu sudah malamkan? Rasanya dia sudah mengikut arahan dan kehendak Mak Yam yang membenarkannya untuk makan pada waktu malam.


Pintu dikuak perlahan-lahan sebaik tombol di pulas.






“Janganlah ada sesiapa yang terbangun.” pinta Sara penuh mengharap.






Bunyi berkeriut yang kedengaran tatkala pintu di tarik membuatkan bulu roma Sara berdiri. Lebih-lebih lagi apabila dia menjengah ke luar bilik dan memerhati sekeliling ruang rumah yang gelap. Gelap gelita. Hanya cahaya suram yang menerangi ruangan dapur.






Kaki segera di atur menuju ke dapur. Pinggan nasi di ambil dari rak pinggan. Sara berlalu pula ke periuk nasi. Nasi yang masih ada di dalam periuk itu di senduk dengan tidak sabar. Bibir sudah tersenyum membayangkan makanan yang bakal menjadi santapannya sebentar lagi.






Meja makanan sederhana di dapur itu segera di tuju. Meja yang juga turut menjadi tempat Mak Yam melakukan kerja seperti memotong sayur dan sebagainya. Tudung saji terus di angkat sebaik Sara melabuhkan punggung ke kerusi.






Sambal ikan kembung dan sayu goreng campur yang masih berbaki benar-benar membangkitkan selera Sara yang sememangnya kebulur. Ikan dan sayur terus disudukan ke dalam pinggan. Tidak bertangguh, Sara terus menjamah nasi. Suapan demi suapan dilakukan demi memenuhi kehendak perutnya.






Selepas beberapa minit pinggannya licin. Sara menyandar kekenyangan. Pinggan-pinggan kotor di capai ketika dia bangun. Di sinki, dia mencuci pinggan-pinggan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Air dibiarkan mengalir perlahan agar tidak terhasil bunyi yang mungkin akan mengganggu majikan dan Mak Yam.






“Alhamdulillah.” ucap Sara sebaik saja selesai menyelesaikan kerjanya di sinki. Tangannya mencapai sebiji mug sebelum berlalu ke peti sejuk.






Baru saja tangannya menyentuh pintu peti sejuk. Telinganya tertangkap alunan lagu yang sayup-sayup kedengaran. Terkebil-kebil sepasang mata Sara apabila telinganya cuba mengesan arah alunan bunyi tersebut.






Mug yang dipegang segera diletakkan ke atas peti sejuk. Sara menapak perlahan-lahan meninggalkan ruang dapur. Dia berhenti di meja makan utama yang terletak di ruang makan tengah yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu. Alunan lagu tersebut semakin jelas kedengaran.






Tangan Sara merayap ke dinding mencari suis lampu. Suis di tekan, namun lampu di ruangan tersebut tidak menyala. Jari Sara menekan lagi untuk beberapa kali. Namun, hasilnya tetap sama. Ruang tersebut masih gelap.






“Emmm..emmm...”






Suara halus menggumam mengikut alunan tersebut yang tiba-tiba kedengaran menyentak jantung Sara. DIa cuba memberanikan diri melangkah beberapa tapak ke hadapan. Kepalanya juga mengikut menjengah seiring langkah kakinya.






“Sss..siapa?” tegur Sara. Air liurnya di telan. Terasa helaan nafasnya sudah tidak teratur. Lebih-lebih lagi suara tersebut dan alunan lagu tersebut semakin kedengaran di hujung telinganya seiring langkahnya yang di hala ke ruang tamu.






Belum pun tiba di ruang tamu, langkah Sara terhenti betul-betul di anak tangga. Kelihatan seorang budak perempuan sedang duduk di situ dengan sebuah kotak muzik di tangan. Alunan lagu terus mengalun dari kotak muzik yang sedang dipegangnya itu.






“Mia?” tegur Sara.






“Emm..emm..” budak perempuan itu tidak mengendahkan . Kepalanya menunduk memerhati kotak muzik yang terbuka di tangan. Dia terus menggumam mengikut alunan lagu itu. Sara yang terpacak di depannya bagaikan tidak wujud. Suara Sara bagaikan tidak didengari. Dia terus tenggelam dalam dunianya sendiri.






“Mi..Mia?” Sara menegur lagi. Nada suaranya yang menggeletar di kawal. Dia menjeling kiri kanan yang sunyi sepi. Kenapa Mia di sini? Mengigau mungkin?






Sara menapak menghampiri anak tangga. Ketakutan yang dirasakan semakin menebal seperti mana rasa ingin tahunya mengenai Mia. Rasa ingin tahu itulah yang membuatkan kakinya menghampiri Mia secara perlahan-lahan. Tangannya dihulur untuk menyentuh bahu anak kecil itu.






Pap!






Sara tersentak apabila Mia menutup kotak muzik itu secara tiba-tiba. Terus terhenti tangan yang baru di hulur untuk menyentuh bahu Mia. Keadaan kembali sunyi sepi. Apa yang ada sekarang hanya dia dan Mia yang masih menunduk di situ.






Mata Sara tidak berkerdip memandang Mia yang kaku di situ. Masih menunduk dengan sebahagian wajahnya yang terselindung di sebalik rambut yang mengurai. Jantung yang kian berdetak dirasakan terus menumbuk-numbuk dadanya.






“Ma... mak.. mak cik...” Sara cuba menutur ayat-ayat yang dia sendiri tidak tahu. Entah apa yang dia hendak terangkan kepada Mia, anak majikannya itu pada saat-saat begini? Agaknya Mia tidak suka dengan kehadirannya?






Tiba-tiba Mia berdiri tegak. Situasi yang tidak dijangkakan itu membuatkan Sara terkejut sekali gus terundur ke belakang beberapa tapak menjauhi anak tangga. Matanya tidak lepas daripada terus memandang Mia. Dalam samar cahaya, mata Sara dapat melihat gaun tidur yang dikenakan oleh Mia. Entah apa warnanya Sara tidak pasti. Gaun tersebut labuh mencecah ke anak tangga.






“Hehehe...” Budak perempuan itu tertawa kecil.






Sara sudah kelu. Tidak tahu apa lagi yang hendak diluahkan. Dia yakin sekarang yang Mia tidak mengigau, tapi kenapa keadaan Mia begitu? Takkanlah malam-malam begini nak bermain?






Budak perempuan yang berdiri itu tiba-tiba membelakangi Sara dan terus berlari anak menaiki tangga. Sara yang memerhati merasa hairan. Kakinya pantas mengekori. Tindakan yang dia sendiri tidak rancang. Namun, hatinya ingin mengenali Mia.






“Mia!”






Sara memanggil seiring langkah kaki yang memijak anak tangga. Tiba di aras dua, kelihatan Mia berdiri menghadap pintu bilik tidurnya yang tertutup rapat.






Seakan-akan menunggu Sara untuk tiba dan melihatnya di situ.






Belum pun sempat Sara hendak melakukan apa-apa, kelihatan budak perempuan itu melangkah perlahan-lahan memasuki ke dalam bilik. Sara yang masih tercegat di situ sudah terjegil apabila melihat kelibat itu menghilang daripada pandangan matanya.






Mia berjalan menembusi pintu!? Sara merasakan tubuhnya mulai menggeletar dengan apa yang baru dia saksikan dengan matanya sendiri. Akalnya gagal apabila cuba mentafsir. Logiknya hilang entah ke mana.






Sesuatu yang terlintas di dalam kepalanya membuatkan jantung Sara semakin berdetak laju. Nafasnya turun naik terasa sukar dikawal. Budak perempuan yang baru hilang daripada pandangan matanya tadi berambut panjang paras pinggang. Sedangkan Mia anak majikannya berambut paras bahu. Itu bukan Mia! Ya. Itu memang bukan Mia. Dia yakin bahawa itu bukan Mia.






“Hehehe...” tawa halus itu kedengaran lagi. Seakan-akan bergema di sekelilingnya.






Sepasang mata Sara meliar sekeliling. Tiada sesiapa pun yang kelihatan. Namun, tawa halus itu masih kedengaran. Mata Sara terarah semula ke pintu bilik tidur Mia. Pintu yang ditembusi oleh budak yang disangkakan Mia itu tadi.






Sara ingin meninggalkan aras dua itu dan pergi ke biliknya semula, tetapi kakinya bagaikan dipasak ke lantai. Tidak boleh digerakkan. Apa yang mampu dilakukannya ada terus memerhati. Juga, menanti.






“Nak tengok tak?” Soalan yang kedengaran dari dalam bilik Mia membuatkan Sara terjegil. Nada separa berbisik itu benar-benar menyeramkan dan meremangkan bulu romanya. Rasa bagaikan suara itu berbisik hampir di telinganya. Sungguh, dia tidak ingin lihat!






Sesuatu berbentuk bulat dan berwarna hitam kelihatan terbentuk di pintu bilik tidur Mia dari bahagian dalam. Mata Sara yang sedari tadi memaku di situ seakan-akan terpukau untuk terus memerhati. Kelihatan seperti lubang yang terhasil. Nalurinya memaksa Sara menunduk perlahan-lahan untuk mengintai.






Belum pun ingin melihat, dari lubang tersebut terpacul kepala budak perempuan tadi dengan rambut yang mengurai. Hanya kepalanya! Kepala yang terkeluar dari pintu itu perlahan-lahan mengangkat untuk memandang Sara.






Sara terjelepok ke lantai. Dia merasakan kakinya lembik tidak bermaya. Matanya terus terjegil memerhati kepala yang kian mendongak memandangnya. Sedikit demi sedikit sisi wajahnya yang dilitupi oleh rambut yang mengurai kian kelihatan.






Sara dapat melihat dengan jelas kulit wajah budak tersebut yang pucat bagaikan mayat! Dia berpaut di susur tangga untuk bangun. Sedaya upaya dia mencuba untuk menolak tubuhnya yang dirasakan lembik bagaikan agar-agar dengan situasi yang tidak di duga sama sekali itu.






“Hehehe...” Bagaikan dapat memahami perasaan Sara, budak itu melepaskan tawa lagi. Tawa yang seakan-akan mengejek dengan keadaan Sara yang sedang berusaha untuk bangun. Kalau tadi hanya kepalanya yang tersembul keluar di pintu, kali ini sebelah tangannya turut kelihatan keluar perlahan-lahan dari pintu. Kemudian, sebelah lagi tangannya. Kedua-duanya dihalakan kepada Sara. Seakan-akan ingin menghalang Sara yang sedang berusaha untuk bangun.






Segala kudrat dikerahkan Sara untuk menolak tubuhnya. Tangannya terus berpaut di susur tangga untuk menampung tubuhnya yang dirasakan tidak bermaya. Dalam susah payah dia kembali berdiri dengan tangan yang masih erat memaut susur tangga.






Sara yang sudah kembali berdiri tidak membuang masa untuk menuruni anak tangga. Nafasnya sudah tercungap-cungap. Suara tawa halus yang sayup-sayup kedengaran tidak lagi dipedulikan.






Kakinya berlari menuju ke bilik. Sebaik memasuki ke dalam bilik, Sara terus menutup pintu. Dia yang masih menggeletar ketakutan kelam-kabut menarik selimut sebelum terus berselubung di atas katil.






Di dalam selimut, sepasang matanya terkebil-kebil. Sara terus memasang telinga kalau-kalau ada lagi suara halus budak perempuan tersebut. Keadaan begitu sunyi sepi. Suasana begitu hening sehinggakan dia dapat mendengar helaan nafasnya sendiri.






Sara menelan air liur. Terasa kesat untuk melepasi kerongkongnya yang kering. Nafasnya kembali teratur. Agaknya budak itu sudah tiada? Macam mana kalau dia keluar ke dapur dan minum sekarang? Kalaulah tidak kerana bunyi lagu yang didengarinya tadi sehingga membawa dirinya ke anak tangga dan bertemu dengan budak perempuan itu, sudah pasti dua sudah dapat minum dan masuk tidur.






Sara membuat pertimbangan. Nak ke dapur atau tidak? Tekaknya benar-benar terasa kering akibat terlalu takut dan penat berlari. Walaupun jarak dari tangga ke biliknya hanya beberapa langkah, namun, dia terasa seperti baru saja berlari dari rumah banglo itu ke gunung Fuji. Sara membuat keputusan, untuk tidak keluar dari bilik sehingga matahari timbul. Dia sudah menonton terlalu banyak filem hantu untuk mengetahui nasibnya jika dia keluar dari bilik itu.






Lalu, Sara menyelubung seluruh tubuhnya dengan selimut. Walaupun dirinya berpeluh tetapi terasa sangat dingin. Sara baru ingin menutup matanya, dia terdengar pintu biliknya di buka. Berdegup kencang jantung Sara. Adakah budak perempuan itu sedang cuba untuk masuk ke dalam bilik tidurnya?






Telinga Sara boleh mendengar dengan jelas bunyi tapak kaki orang berjalan selangkah demi selangkah menuju ke sisi katinya. Sara ingin mengetahui gerangan siapakah yang memasuki biliknya, akan tetapi dia terlalu takut untuk melihat. Dengan tidak semena-mena, Sara merasakan ada sepasang tangan menarik selimutnya. Sara ingin menjerit tetapi tiada suara yang keluar.






“Apa yang kau nampak tadi?” terdengar soalan yang diajukan. Suara itu Sara kenal sangat-sangat. Perlahan-lahan Sara membuka kedua-dua kelopak matanya. Mak Yam sedang berdiri di sisi katil sambil matanya yang garang memerhatikan.






“Kau ni memang degil! Suka memandai-mandai, ada aku suruh kau keluar bilik ke? Huh?” herdik Mak Yam, matanya terjegil memandang Sara tanpa berkelip.






Sara keliru antara takut dengan benda yang dia lihat tadi atau takut kena marah dengan Mak Yam lagi. Dia cuba mengatur ayat di dalam fikirannya namun gagal. Tiada apa yang dapat keluar dari fikirannya.






“Kau nak tahu sangatkan? Yang kau tengok tadi tu, itu Liya!”






Tergamam Sara apabila mendengar perkataan yang keluar dari mulut Mak Yam. Liya? Liya boleh keluar dari bawah pintu dan jalan tembus dinding ke? Liya wallhack ke macam mana?






“Disebabkan kau dah tahu, aku tak boleh nak simpan kau lagi. Tak boleh biarkan kau hidup. Nanti semua orang tahu perancangan aku.”






Mak Yam mencekik leher Sara tanpa belas kasihan. Dalam keadaan terkejut dengan tindakan Mak Yam, Sara meronta-ronta dengan harapan Mak Yam longgarkan cengkaman dia pada leher. Akan tetapi, Sara tidak percaya bahawa kudrat Mak Yam lebih hebat dari dirinya. Sara bergelut untuk menyelamatkan nyawanya. Mak Yam langsung tidak melepaskan cengkaman pada leher Sara, matanya membulat ketika melihat Sara terseksa sehingga Sara perlahan-lahan menjadi lemah.






Sara hampir-hampir kehabisan tenaga untuk menolak Mak Yam, dan nafasnya pula semakin sukar. Air mata Sara mengalir. Tiada upaya untuk Sara lakukan apa-apa demi menyelamatkan dirinya sendiri dari tindakan kejam Mak Yam.






“Padan muka kau.” ujar Mak Yam berpuas hati dengan hasil kerjanya itu. Kemudian, Mak Yam berlalu ke dapur apabila dia rasakan tiada nadi yang berdenyut di leher Sara. Mak Yam mengambil sebilah pisau pemotong daging dan kembali semula ke dalam bilik Sara.






ESOK paginya, Irham seperti biasa akan turun ke ruang makan dan meneguk air kopi yang disediakan oleh Mak Yam.






“Tuan nak makan pagi ni? Mak Yam ada masakkan rendang daging pagi ni.”






“Wow. Rendang daging? Kegemaran saya tu Mak Yam. Tapi saya tak laparlah Mak Yam. Mak Yam masukkan dalam bekas jelah. Saya makan apabila di tempat kerja nanti.” balas Irham sambil matanya tertumpu pada skrin telefon.






Akur dengan arahan Irham, Mak Yam menuju ke dapur.






“Kali ni aku tahu dia tak akan menolak masakan aku. Banyak-banyak daging, daging manusia paling sedap...” Ujar Mak Yam sambil terukir sebuah senyuman di bibirnya. Dia terus menyenduk lauk rendang daging Sara dan nasi putih ke dalam bekas buat santapan majikannya ketika di pejabat nanti.






Tanpa Irham tahu, bahawa dirumahnya sebenarnya sudah berlaku sebuah pembunuhan yang kejam. Pembunuhan yang meragut nyawa seorang insan yang tidak berdosa. Semuanya kerana harta duniawi.






-Tamat-



No comments:

Post a Comment