Monday, 12 February 2018

Bungkusan Misteri #2

Aku mendekati bungkusan tersebut. Lalu aku bertanyakan soalan, apakah kau? Aku benar-benar ingin tahu isi kandungan bungkusan itu. Namun, perasaan seram yang menyelubungi diriku membuatkan aku jadi tidak berani. Aku bimbang jika sesuatu berlaku pada keluarga aku. Aku mengambil bungkusan itu dan aku campakkan ke tong sampah di luar rumah. Namun, kali ni aku campak ke dalam tong sampah rumah jiran. Kemudian aku menyakinkan isteri aku bahawa semuanya baik-baik sahaja. Lalu, isteri aku keluar dari dalam kereta dan berjalan bersama aku masuk ke dalam rumah.

Pada malam itu, aku tidak dapat lelapkan mata. Fikiran aku asyik terfikir mengenai bungkusan misteri tersebut. Lalu, aku bangkit dari katil. Aku lihat isteri aku sedang nyenyak tidur disebelah. Begitu cantik dan ayu sekali isteri kurniaan Illahi ini. Aku bersyukur dengan kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah.

Aku pergi ke ruang dapur. Mengambil segelas cawan dan aku isi cawan tersebut dengan air yang dingin. Lalu, aku teguk perlahan-lahan. Terasa lega ketika air dingin itu turun ke tekak dan terus ke perut. Dengan tidak semena-mena, isteri aku yang sedang tidur di dalam bilik tiba-tiba saja menjerit. Aku panik dan terus berlari mendapatkan isteri aku. Dia menangis tak henti-henti. Aku tak tahu kenapa dia menangis. Isteri aku memberitahu bahawa ketika dia cuba untuk memeluk tubuhku. Tiba-tiba dia merasakan seperti seluruh tubuhku itu penuh dengan bulu. Apabila dia membuka matanya, dia melihat bahawa orang yang dia peluk itu bukanlah aku, akan tetapi sejenis makhluk yang berbulu lebat dan bermata bulat berwarna merah. Lantas, isteriku terkejut dan menjerit.

Semenjak peristiwa itu berlaku, aku dan isteri aku rasa seperti tidak selamat untuk terus tinggal di dalam rumah itu. Isteri aku juga mengadu bahawa dia seringkali terasa seperti dirinya seakan-akan sedang diperhatikan. Perasaan aku mulai rasa tidak enak. Isteri aku memujuk agar pindah sahaja dari rumah itu. Tapi aku membantah kerana duit aku sudah habis gara-gara membeli rumah idaman isteriku itu. Dia yang pilih untuk tinggal di situ dan dia suka dengan suasana persekitaran kawasan perjiranan di situ. Jadi, aku tidak akan pindah. Pinjaman bank pun tak habis bayar lagi.

Aku memberitahu kepada isteriku bahawa dia tidak perlu bimbang kerana aku tidak akan mengalah dengan syaitan yang sedang mengganggu kami sekeluarga. Aku akan lawan dan pertahankan hak aku sebagai manusia. Aku yakinkan isteri aku bahawa kalau boleh bawa perkara itu ke mahkhamah, aku akan heret syaitan yang mengganggu itu sekali. Kemudian, pintu bilik air di dalam bilik tidur aku tu terbuka. Aku lihat isteri aku melangkah keluar dari dalam bilik air dengan wajah yang mengantuk. Aku terkedu seketika. Aku memandang isteriku aneh dan isteriku juga melihatku dengan wajah penuh kehairanan. Dia bertanyakan kepada aku "Dah kenapa pandang macam tu?".

Aku jawab bahawa aku tunggu dia keluar dari bilik air kerana aku ingin menggunakan tandas. Aku terpaksa menipu kerana tidak mahu isteri aku takut. Di dalam pelukan aku ketika itu adalah bantal peluk. Aku betul-betul hairan. Apakah aku sedang dipermainkan? Siapa pula yang menjerit tadi? Siapa pula yang aku peluk tadi? Siapa pula yang menangis dan mengadu dengan aku tadi? Disebabkan mata aku sudah terlalu berat, lalu aku membuat keputusan untuk tidur sahaja.

Esoknya ketika di tempat kerja. Aku menceritakan perkara tersebut kepada bos aku dan meminta izin untuk pulang sejam awal kerana aku ingin menjemput ayah aku di stesen bas. Dan Alhamdulillah bos aku meluluskan permohonan aku dan dia ada juga beri sedikit tips untuk aku hindarkan keluarga dari gangguan syaitan. Aku bersyukur kerana bos aku memahami masalah aku. Aku pun ingin selesaikan perkara ini dengan pantas sebab tidak mahu ianya berpanjangan. Risau nanti akan mengganggu prestasi kerja pula.

Setengah jam aku menanti di stesen bas, tapi aku masih tak nampak bas yang ayah aku naiki menjelma. Mungkin lewat sedikit. Aku sudah memaklumkan perkara ini kepada isteri aku dan ayah aku juga pagi tadi sudah aku hubungi. Aku betul-betul terdesak. Tidak tahu nak minta bantuan siapa lagi selain dari ayah aku yang serba serbi tahu mengenai perkara sebegini. Dalam masa yang begitu singkat, ayah aku datang ke bandar semata-mata nak membantu aku dengan masalah gangguan entiti.

Ketika aku sedang menanti ketibaan ayah aku, aku perasan ada seorang wanita berpakaian serba hitam merenung aku semenjak aku sampai ke tempat parking kereta. Mula-mula aku buat tak tahu sahaja. Tapi hampir 45 minit aku perasan yang dia asyik tenung aku. Aku mula rasa tak selesa. Aku tahu aku kacak, tapi kemonlah. Aku dah kahwin. Disebabkan aku rasa tidak selesai dengan tenungan wanita itu. Lantas, aku membalas balik renungan matanya itu dengan niat nak menundukkan dia. Tapi tak berhasil. Makin lama aku tenung, makin aku rasa tak selesa. Kemudian, aku lihat ada seorang perempuan yang manis datang menghampiri dia dan memimpin tangannya berlalu pergi dari situ. Aku dapat lihat bahawa wanita itu memegang tongkat berbelang-belang warna merah. Rupanya wanita itu buta. Aku malu sendiri waktu tu.

Aku hubungi ayah aku kerana bas yang dia naiki tu terlalu lambat. Sepatutnya sudah lama sampai tapi ni sudah lambat sejam lebih pula. Ayah aku kata bahawa enjin bas tu bermasalah. Dia dan penumpang yang lain kena pindah naik bas yang lain. Kemudian, bas yang dinaiki itu juga turut rosak. Sekarang sedang menanti bas yang lain lagi untuk jemput mereka. Akan tetapi, sudah dua buah bas yang dalam perjalanan ke tempat ayah aku tu rosak. Bermakna, sudah 4 biji bas yang rosak gara-gara nak menjemput ayah aku dan penumpang yang lain. Aku mula rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Masakan semua bas tu boleh rosak? Aku meminta ayah aku untuk menghantarkan lokasi dia dengan menggunakan applikasi tercanggih abad ini iaitu yahoo messenger. Selepas aku terima lokasi bas rosak tu, aku terus hidupkan enjin kereta dan berlalu pergi dari stesen bas tersebut. Aku sempat memberitahu kepada isteri aku bahawa aku sedang dalam perjalanan pergi menjemput ayah aku dan aku ingin dia ikut aku sekali memandangkan dia pun sudah sampai di rumah dan aku tidak ingin dia duduk seorang diri di rumah itu.

Ketika aku dan isteri aku tiba dilokasi tempat ayah aku menunggu, kami nampak sudah ada 8 biji bas yang terkandas di situ. Semuanya enjin tidak berfungsi. Aku jadi hairan sangat-sangat. Kenapa tiba-tiba boleh jadi macam tu pula? Perkara yang jarang-jarang dilihat. Setelah ayah aku masuk ke dalam kereta, aku terus memandu pergi dari tempat tersebut dan berdoa agar bas-bas itu semua kembali seperti sediakala. Sepatutnya pukul 4 petang ayah aku sampai, sudahnya sampai ke rumah selepas isyak.

Ketika kami sampai diperkarangan rumah, aku nampak bahawa ada cahaya dibahagian ruang tamu rumah. Isteri aku kata dia sudah pastikan semua suis tutup sebelum keluar tadi. Kami bertiga tidak keluar dari kereta lagi, aku ingin pastikan bahawa keadaan selamat dulu. Dengan tidak semena-mena, lampu diruang tamu rumah aku tersebut tiba-tiba terpadam. Aku bergegas keluar dan menyuruh ayah dan isteri aku tunggu dalam kereta kerana aku bimbang jika ada perompak berjaya pecah masuk ke rumah aku. Aku pergi kebahagian belakang rumah dan aku lihat lampu diruang dapur terbuka. Kemudian tertutup kembali. Aku tidak buang masa, aku keluarkan telefon bimbit dan aku dial nombor kecemasan dan memberitahu mereka bahawa ada orang yang tak dikenali berada di dalam rumah.

Kemudian, aku kembali masuk ke dalam kereta dan menunggu ketibaan polis. Tak sampai 10 minit, sebuah kereta peronda pun tiba. Aku bercakap dengan mereka seketika dan lagi sekali lampu dibahagian ruang tamu terbuka. Dua orang anggota polis tu pun nampak dengan biji mata mereka. Lalu aku dan keluarga aku diarahkan untuk jauhkan diri dari rumah. Kemudian, aku menyerahkan kunci rumah kepada salah seorang anggota polis tersebut supaya dia boleh buka pintu rumah.

Ketika dua orang anggota polis itu menghampiri pintu depan, tiba-tiba kami semua terdengar bunyi seperti almari terhempas ke atas lantai. Agak gugup jantung kami ketika itu. Mungkin kami akan dapat lihat aksi yang mengerikan sebentar lagi. Mungkin akan dengar bunyi beberapa das tembakan.

Anggota polis berjaya membuka pintu depan. Mereka melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah dengan penuh berhati-hati. Tiba-tiba, kami dapat lihat dua orang anggota polis itu seakan-akan disedut dan pintu terus tertutup. Kami boleh dengar bunyi tembakan di dalam rumah itu dan jeritan dua orang anggota polis tadi. Jiran-jiran mula keluar dari kediaman mereka dan berkerumun di rumah aku. Kemudian, keadaan tiba-tiba jadi sunyi. Kami tidak lagi kedengaran bunyi tembakan mahupun jeritan polis-polis tadi. Kami tak tahu apa yang berlaku di dalam rumah itu.

Secara tiba-tiba, pintu depan pecah dan aku dapat lihat Naruto Uzumaki melompat keluar dan menerpa ke arah aku. Semua orang menjerit dan terkejut dengan situasi tersebut. Lantas, aku terbangun dari mimpi. Aku menjerit. Aku jadi keliru. Isteri aku menenangkan aku. Dia mengusap dadaku. Aku berpeluh-peluh. Aku lihat jam sudah pukul 5.30 pagi.


-bersambung

No comments:

Post a Comment