Pada hari jadi aku beberapa tahun lalu, aku telah menerima sebuah pakej dari seseorang yang aku tak kenali. Bungkusannya berwarna merah pekat seakan-akan ianya dicat dengan menggunakan nippon paint. Sehingga ke hari ini aku masih lagi belum membuka bungkusan misteri tersebut kerana aku rasa tidak penting dan tidak perlu. Takut pun ada juga sebab aku tak tahu siapa pengirimnya.
Tetapi semenjak aku menerima bungkusan itu, aku selalu tidur tak lena. Aku selalu menerima mimpi yang menyeramkan. Mimpi yang di mana aku berada di tempat yang begitu asing sekali. Tempat yang aku tidak pernah kunjungi sepanjang usia aku. Di dalam mimpi itu juga aku dikunjungi oleh seseorang yang aku tidak kenal, dia menyuruh aku untuk membuka bungkusan itu. Dia juga memberitahu bahawa isi kandungan bungkusan tersebut merupakan sesuatu yang istimewa.
Sudah beberapa kali aku menerima mimpi sebegitu rupa, Namun aku tetap tidak pernah membuka bungkusan itu. Kadang-kadang aku terasa seram dan takut bila memikirkan mengenai bungkusan misteri tersebut. Pada suatu hari, aku menghampiri bungkusan itu. Aku simpan di dalam stor yang terletak di bahagian belakang rumah. Aku memegang bungkusan tersebut. Aku membelek bungkusan yang berbentuk segi empat tepat dan tidak begitu besar itu. Aku amati bungkusan tersebut.
Terdapat perasaan tidak menyenangkan ketika aku berada dekat dengan bungkusan itu. Perasaan ingin tahu aku terlalu kuat, aku ingin tahu apa yang terkandung di dalam bungkusan tersebut. Aku takut jika ianya adalah bom atau pun objek yang digunakan untuk mengenakan sihir ke atas manusia. Apabila aku memikirkan akan perkara tersebut, aku menjadi bimbang dan khuatir terhadap keselamatan keluarga aku. Pernah juga terfikir untuk melaporkan kepada pihak polis, tapi atas sebab apa? Nanti jadi bahan jenaka pula.
Beberapa minggu lepas aku pernah buang bungkusan itu ke dalam tong sampah dan aku melihat sendiri bahawa lori sampah itu sendiri telah mengambil semua isi-isi yang ada di dalam tong tersebut. Tapi entah macam mana, pada waktu malam. Aku melihat bungkusan itu berada di atas meja kerja aku yang terletak di bahagian ruang tamu. Aneh, siapa pula pergi kutip bungkusan tu? Sedangkan aku dah buang tadi. Aku mengambilnya semula dan lontar ke dalam tong sampah. Esok paginya, bungkusan tersebut ada lagi di dalam rumah aku, tetapi ianya berada bersebelahan dengan sinki di dapur. Aku mulai merasakan perasaan tidak enak dengan kehadiran bungkusan itu.
Isteri aku meminta aku untuk bertanyakan perihal tersebut kepada sesiapa yang berilmu kerana isteri aku mulai menerima kesan dari bungkusan misteri itu. Isteri aku juga turut mengalami mimpi ngeri setiap kali dia tidur. Disebabkan mimpi ngeri tersebut, kesihatan isteri aku terganggu. Kerana dia tidak cukup rehat. Selalu terjaga diantara pukul 2 atau 4 pagi.
Aku juga mengalami perkara yang sama. Setiap kali aku tidur, lelaki misteri yang tak dikenali akan datang menghampiri dan menyuruh aku untuk membuka bungkusan tersebut. Semakin hari semakin teruk mimpi yang aku alami. Aku mula mengalami kecederaan fizikal yang di mana di dalam mimpi aku telah dicekik, dan apabila aku tersedar, terdapat kesan tangan manusia di leher aku.
Aku meminta ayah aku untuk datang ke rumah dan melihat bungkusan misteri itu. Namun, ketika ayah aku tiba di rumah, bungkusan itu hilang. Puas aku mencari tetapi tidak jumpa. Aneh. Sedangkan aku sudah letak di atas meja di bahagian ruang tamu. Lantas aku memohon maaf kepada ayah aku kerana sudah penat lelah dia datang dari jauh tetapi bungkusan itu tiada pula. Ayah aku menjelaskan bahawa ada seseorang yang dengki dengan keluarga aku, dia ingin menghancurkan keharmonian yang terjalin antara aku dan isteri aku. Memandangkan ayah aku seorang yang berilmu dan pakar dalam hal-hal agama, jadi aku menurut sahaja apa yang disuruh.
Aku kembali menjaga solat, mengaji setiap malam, mendekatkan diri pada Allah. Aku juga mengajak isteri aku untuk melakukan hal yang sama. Isteri aku juga sudah menutup aurat penuh. Dia tidak lagi mengenakan pakaian yang ketat dan menayangkan rambutnya lagi. Selepas perubahan besar yang aku lakukan itu, Alhamdulillah tidak ada lagi apa-apa mimpi ngeri yang mengganggu kami.
Tapi pada suatu, bungkusan misteri yang hilang tiba-tiba itu muncul kembali. Ketika aku dan isteri baru saja pulang dari melawat kawan kami yang sedang sakit dihospital, aku mendapati bahawa bungkusan merah itu terletak di atas meja makan. Dan terdapat haruman yang aneh di dalam rumah kami. Isteri aku memegang erat tangan kanan aku. Aku dapat lihat dari riak wajahnya bahawa dia sedang dalam ketakutan. Aku mengarahkan isteri aku untuk berzikir sahaja dan jangan takut dengan benda-benda ghaib. Aku memberitahu kepada isteri bahawa tiada yang lebih hebat selain Allah yang Maha Besar. Isteri aku akur dan aku boleh lihat perubahan dalam dirinya selepas aku berkata sedemikian. Dia melepaskan genggaman tangannya dan terus keluar berlari masuk ke dalam kereta.
Aku jadi hairan dengan tingkah lakunya. Lalu aku bertanyakan soalan kepada dia, dia menjawab bahawa dia tidak mahu masuk ke dalam rumah selagi dia rasa tidak selamat. Aku faham dengan perasaan takut yang dia alami ketika itu. Jadi aku membiarkan dia menunggu di dalam kereta lalu aku yang masuk ke dalam rumah dan memastikan keadaan rumah itu selamat. Ketika kali kedua aku melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Aku mendapati bahawa bungkusan yang berada di atas meja makan tadi sudah beralih tempat pula, ianya tiba-tiba berada di atas rak buku yang berada di ruang tamu.
-Bersambung-
No comments:
Post a Comment