Sunday, 7 May 2017

Yang Kedua

Seorang jejaka kelihatan sedang terbaring di atas lantai.Tubuhnya tidak bergerak seakan-akan tidak bernyawa. Kedengaran bunyi air menitis jatuh ke atas lantai berkali-kali. Bunyi tersebut membuatkan jejaka tersebut membuka mata. Seluruh anggota badanya terasa sakit. Dia cuba bangun dari baringannya tetapi tidak mampu. Keadaan tubuhnya membuatkan dia tidak mampu untuk bangun. 

Jejaka tersebut memandang keadaan sekeliling bilik. Dia berasa aneh. Dia berada di mana? Dia ingin bangun dan selidik kawasan sekitar, akan tetapi keadaan tubuhnya menyatakan "TIDAK'. Hanya bahagian kepala sahaja yang boleh bergerak-gerak. Hatinya mulai berasa tidak enak. Kerana, dia pasti dia bukan berada di rumahnya. Keadaan bilik tersebut sangat suram. Kelihatan tingkap di dalam bilik tersebut sudah di tutup dengan menggunakan papan. 

Jejaka itu mulai sedar bahawa dirinya ketika itu bukan berada di rumah. Apakah dirinya sudah di culik? Mungkin sebab itu seluruh tubuhnya terasa sakit-sakit? Dia masih lagi berusaha untuk bangkit. Akan tetapi, tetap tidak berjaya. Namun, dia berjaya menggerakkan kaki kanannya. Kemudian, di hujung kakinya dia terasa seperti dia telah menyentuh sesuatu yang lembut. Jejaka tersebut berasa hairan. Apakah objek yang telah di sentuh oleh kakinya itu? Bantal? Tilam? 

Dia cuba untuk melihat ke arah kakinya demi mengetahui apakah objek yang telah dia sentuh sebentar tadi. Alangkah terkejutnya diri jejaka tersebut setelah dia mengetahui bahawa terdapat sekujur tubuh wanita terbaring di situ, dengan sebilah pisau terbenam di dadanya. Kelihatan juga darah merah di atas lantai. Jejaka tersebut gagahkan juga dirinya untuk bangun dan menghampiri wanita tersebut. Berkali dia berusaha untuk bangun, dan akhirnya dia berjaya juga. 

Dia melihat tubuh wanita tersebut tidak bergerak. Diperutnya tidak ada sebarang turun naik. Wanita itu tidak bernafas! Apakah dia sudah mati? Persoalan demi persoalan bermain di fikiran jejaka tersebut. Apakah yang sedang berlaku sebenarnya? Dia menghampiri wanita itu. Dia menatap wajah wanita itu, dia amati betul-betul. Hatinya berbolak balik. Dia berada dalam keadaan keliru. Air matanya secara tiba-tiba mengalir keluar membasahi pipi. 

Dengan segera jejaka tersebut dengan pantas membelek tangan kanan wanita yang tidak bernyawa tersebut. Dia seakan-akan mencari sesuatu di tangan wanita itu. Kemudian, dia berhenti di satu bahagian. Di bahagian nadi wanita itu. Terdapat tanda lahir. Dan tanda itu sememangnya dia kenal dan tahu. Dengan tidak semena-mena, jejaka tersebut meraung dan menjerit. Dia bagaikan tidak percaya dengan semua itu. Jasad wanita yang berada di dalam bilik bersama denganya itu adalah ibu kandungnya sendiri. 

Setelah puas meraung. Dia segera bangun. Di dalam fikirannya cuba untuk menolak bahawa wanita itu adalah ibunya. Dan dia beranggapan bahawa apa yang sedang dia lalui saat itu adalah mimpi semata-mata. Dia amat yakin bahawa apa yang sedang berlaku hanyalah mimpi. Dan dirinya sedang tidur lena di rumah dan didatangi sebuah mimpi ngeri. Namun begitu, semuanya terasa bagaikan realiti. Air matanya tetap gugur ke bumi. 

Jejaka tersebut meraba-raba kocek seluarnya. Dan, dia menjumpai sekeping kertas yang telah di lipat empat berada di dalam kocek seluarnya. Dia segera membaca isi kandungan surat tersebut. 

"Mak, maafkan Wan. Wan sayangkan mak. Wan sayangkan mak lebih dari segala-galanya. Maafkan wan, mak. Wan terpaksa lakukan benda ni. Wan lakukan untuk kebaikan kita bersama. Selepas ayah tinggalkan kita berdua. Wan dah tak ada sesiapa lagi di dalam dunia ni selain mak. Hanya mak saja yang memahami isi hati dan kehendak Wan selama ni. Wan sayang sangat-sangat kat mak. Wan harap mak boleh faham dengan kehendak Wan kali ni. Kehendak kali terakhir. Wan terpaksa lakukan benda ni mak. Wan terpaksa. Wan terpaksa korbankan nyawa mak kepada kegelapan. Ya, mak. Kegelapan. Kegelapan yang bimbing dan berikan semangat kepada Wan selama ni, mak. Wan harap mak faham dan ampunkan dosa Wan. Wan terpaksa bawa mak datang ke rumah usang ni. Wan terpaksa tutup mata mak. Wan terpaksa tikam kedua-dua kaki mak supaya mak tak boleh lari. Wan heret mak masuk ke dalam rumah ni. Wan tipu mak. Wan kata Wan nak tunjukkan kat mak rumah yang Wan baru beli. Tetapi, tidak. Wan tak beli rumah. Rumah ni bukan rumah Wan. Rumah ni adalah tempat untuk menerima korban supaya Wan boleh sertai kegelapan. Wan tahu yang mak akan bangga dengan keputusan Wan. Wan tak pernah salah kan selama ni, mak? Apa yang Wan buat, semuanya mak sokong. Wan harap, mak boleh juga sokong perbuatan Wan kali ni. Wan terpaksa tikam pisau tu pelan-pelan ke dada mak. Wan terpaksa dengar bunyi mak menahan kesakitan apabila pisau tu menusuk jantung mak. Wan terpaksa lihat darah-darah yang mengalir keluar apabila pisau tu tepat mengenai jantung mak. Dan, Wan terpaksa melihat bagaimana mak hembuskan nafas terakhir. Wan terpaksa semua itu mak. Wan pun turut menderita, mak. Lagi sekali, maafkan Wan. Wan sangat mak sangat-sangat. Wan adalah yang kedua, mak. Yang kedua. Antara yang terawal. Wan harap mak bangga dengan anak mak ni. Dan peringatan untuk kau Wan. Kau akan pengsan dan tak akan ingat apa yang telah kau lakukan. Jangan risau. Itulah adalah proses awal untuk menyertai kegelapan. Kau patut bangga."

Setelah selesai membaca isi kandungan surat tersebut. Wan terus meraung sekuat hati. Hatinya hancur lebur. Dia tidak percaya dengan isi kandungan surat yang dijumpai di dalam kocek seluarnya itu. Dia cuba mengejutkan ibunya. Berkali-kali dia menggoncangkan tubuh ibunya. Akan tetapi, dia sendiri lebih mengetahui bahawa apa yang berada dihadapannya ketika itu adalah jasad sahaja. Rohnya sudah lagi tiada. 

Secara tiba-tiba, pintu bilik di tendang dari luar. Beberapa anggota polis menyerbu masuk dan memberkas Wan. Wan meronta-ronta minta dilepaskan. Dia cuba memberitahu bahawa dirinya tidak bersalah dan dia tidak tahu apa-apa. Namun, setelah pihak polis meneliti surat yang berada di situ, ianya sudah cukup membuktikan bahawa Wan memang bersalah dan telah melakukan jenayah pembunuhan. Dia telah membunuh ibunya sendiri. 

Itu adalah kes kedua pembunuhan terjadi di rumah usang yang terletak di kawasan Gombak.

No comments:

Post a Comment