Arif menghampiri wanita itu, Arif mencari denyut nadi di tubuh wanita tersebut. Tiada. Wanita itu sudah tidak bernyawa lagi. Arif menjadi serba tidak kena. Apa yang sudah berlaku? Siapa wanita itu? Dia berada di mana? Arif mendapati bahawa dirinya saat itu berada di dalam sebuah bilik. Arif berjalan menuju ke arah pintu, dia menolak daun pintu perlahan. Setelah memastikan dirinya selamat, barulah dia melangkah keluar dari dalam bilik tersebut. Arif meraba-raba poket seluarnya. Tiada barang yang berguna untuk dia gunakan. Arif berjalan lemah menuju ke pintu utama. Sambil-sambil itu dia cuba untuk mengingatkan kembali tentang apa yang sudah berlaku, bagaimana dia boleh berada di situ, dan siapa wanita yang kena bunuh tadi tu. Akan tetapi, semakin Arif cuba untuk ingat, semakin kepalanya sakit.
Arif melekapkan telinganya ke pintu. Dia cuba mendengar sebarang bunyi dari arah luar. Sunyi. Arif memandang ke arah ruang tamu rumah tersebut pula. Kosong. Tiada perabot atau pun apa-apa barang. Tiada karpet, tiada kipas, tiada lampu. Keadaan agak sedikit malap di dalam itu. Arif tidak mahu membuang masa, dia terus membuka pintu rumah tersebut dan melangkahkan kakinya keluar. Cahaya yang terang dari arah luar membuatkan Arif menghadapi kesukaran untuk membuka matanya. Ditelinganya kedengaran bunyi burung-burung berkicauan. Akhirnya mata Arif menjadi biasa dengan suasana cahaya yang terang. Tadi dia sangka hari malam, rupanya siang benderang. Arif memandang keadaan sekeliling. Dia berada di dalam hutan. Arif cuba menjerit meminta tolong walaupun dia tahu tiada sesiapa yang berada di situ.
Dia terus berjalan mencari jalan keluar dari hutan tersebut. Hutan itu tidaklah tebal mana, tetapi disebabkan kepala Arif masih lagi sakit jadi, dia tidak boleh nak berfikir. Dia hanya jalan ke mana dia rasa dia patut jalan. Arif melihat ke arah jam yang berada di tangan kanannya, walaupun skrin jam itu sudah pecah namun ianya masih lagi berfungsi dan mampu menunjukkan waktu yang sebenar. Sudah pukul 2 petang. Arif teruskan berjalan. Dia sendiri tidak sedar sudah berapa jauh dia berjalan. Apabila dia toleh ke belakang, rumah usang tadi sudah lagi tiada. Akibat terlalu jauh berjalan, Arif jadi keletihan. Dia membuat keputusan untuk berehat saja. Tekaknya terasa dahaga. Tetapi dia tidak mampu untuk berjalan. Akhirnya, Arif tertidur.
Kedengaran bunyi ranting patah. Membuatkan Arif tersedar dari lenanya. Arif mendapati bahawa hari sudah gelap. Arif sedikit gelabah kerana hari sudah malam. Kedengaran lagi bunyi ranting patah. Tidak jauh dari tempat Arif tertidur. Arif segera bangun. Dia memerhatikan ke arah bunyi ranting patah tersebut. Dia berharap agar ada orang yang berada di sekitar situ dan selamatkan dia. Arif bersuara, dia meminta tolong. Namun, suaranya tidak kuat dan tidak perlahan. Cukup untuk sesiapa yang berada di situ mendengar. Akan tetapi, tiada sahutan yang Arif terima. Arif tidak mengalah, dia melangkahkan kakinya menuju ke arah bunyi ranting patah tersebut. Berkali-kali Arif memanggil. Tetap tiada sesiapa yang menyahut. Arif berputus asa.
Kemudian, dia terdengar lagi bunyi ranting patah dan kali ini dia terdengar bunyi nafas seseorang hanya beberapa langkah saja dari tempat dia berdiri. Arif terus menuju ke arah tersebut. Dia tiba di sebatang pokok. Tapi tiada orang di situ. Namun, di batang pokok tersebut terdapat sekeping kertas yang di tikam ke pokok itu dengan menggunakan pisau. Arif mendekati kertas tersebut. Tidak berapa jelas apa yang ada pada kertas itu atau apa isi kandungannya disebabkan keadaan terlalu gelap. Arif berasa kecewa, lalu dia duduk di bawah pokok itu untuk berehat.
Esok harinya, Arif telah dikejutkan dari tidurnya. Terdapat beberapa anggota polis berdiri dihadapannya. Arif tergamam dengan situasi tersebut. Melihatkan semua anggota polis itu sedang mengacukan senjata api ke arah dirinya, Arif terpaksa duduk diam. Dia tidak mahu ada sebarang masalah. Seorang polis menghampiri Arif dan melayangkan sebuah tendangan ke arah mukanya. Arif menjerit kesakitan. Dia mempersoalkan kenapa dirinya diperlakukan sebegitu. Jelas kelihatan riak wajah Arif yang bingung dengan apa yang sedang dilakukan terhadap dirinya. Seorang anggota polis menunjukkan sekeping kertas ke arah Arif. Dia menyuruh Arif membacanya.
"Aku yang pertama. Aku bukanlah subjek atau bahan uji kaji. Aku adalah aku. Aku menyerahkan diri aku kepada kegelapan untuk menunaikan janji aku yang aku pendam selama ini. Maria, seorang gadis yang amat aku cintai. Tapi, maafkan aku. Aku terpaksa bunuh kau untuk jadikan kau korban. Dan, maafkan aku sebab semua ini berlaku. Jika sesiapa yang menjumpai aku berserta nota ini. Ketahuilah bahawa memang aku yang bunuh Maria di dalam rumah usang di tengah-tengah hutan Gombak. Memang semua kerja aku. Aku membuat keputusan untuk membunuh Maria hanya dengan satu tujuan. Korban. Korban untuk kegelapan. Selepas upacara ini berlaku. Aku akan hilang ingatan. Jadi, ini adalah pengakuan aku. Apa yang berlaku adalah benar. Dan, aku ialah pembunuh.".
Arif terkedu setelah membaca isi kandungan surat tersebut. Dia melihat ke atas kepalanya. Ternyata surat tersebut adalah surat yang dia pegang pada malam tadi sebelum dia tertidur. Arif meronta-ronta minta dilepaskan. Dia menjerit-jerit mengatakan bahawa diri dia tidak bersalah dan dia tidak kenal siapa wanita yang dibunuh dan siapa Maria. Namun, isi kandungan surat tersebut telah membuktikan bahawa Arif telah bersalah.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment