Rizal bekerja sebagai pakai IT pakar EKONOMI disebuah syarikat pembangunan ditengah bandar yang semakin hari semakin pesat dengan manusia yang mengada-ngada dan bangang. Rizal tidak ada bezanya dengan manusia yang lain, turut bangang dan mengada. Tiada bezanya dengan hari-hari yang lain, Rizal akan bangun pagi dan bersarapan seperti biasa. Apabila pukul tiga petang, dia akan bersiap untuk pergi ke tempat kerjanya. Dan, akan pulang pukul sebelas malam. Aneh dan hairan, kerja pejabat tetapi shift petang pula. Saling tidak tumpah seperti kerja di shopping kompleks. Rizal menaiki motor jenama kebangsaan dan bergerak menuju ke pejabatnya. Seperti biasa, dia akan memarkirkan motorsikalnya itu ditingkat tiga bawah tanah kerana dia diarahkan untuk parkir kat situ saja. Rizal akan memanjat tangga menuju ke pejabat, dia tidak suka naik lif kerana lif hanya untuk manusia malas. Jika menaiki tangga, sudah tentu badan akan menjadi sihat. Kerana ianya dianggap sebagai senaman ringan. Apabila dia memasuki pejabatnya, matanya akan tertumpu pada seorang staff yang bekerja di situ. Wajahnya ayu, anggun, cantik dan manis. Memang mana-mana lelaki akan terpegun melihat kesempurnaan yang ada pada diri wanita tersebut. Rizal berazam untuk memiliki hati gadis itu tetapi hanya selepas dia mencukupi segalanya. Dari segi wang dan harta. Rizal memasuki bilik pejabatnya yang di mana ianya adalah sebuah bilik khas untuk pekerja IT. Dia bersama seniornya saja bekerja di situ. Mereka tidak perlukan pekerja IT banyak-banyak sebab tak mampu nak bayar gaji. Yang bagusnya, dia orang tetap akan membayar OT jika ianya berkaitan dengan kerja dan disertakan dengan bukti ketika mereka claim.
Sudah sebulan Rizal merasa shift petang, dan apabila malam saja dia akan jaga seorang diri. Semua pekerja akan pulang tepat pukul 5.30 petang. Kalau ada yang nak OT pun, paling lewat sebelum mahgrib. Selepas dari waktu itu, Rizal akan bersendirian sambil membuat kerja-kerjanya sebagai seorang IT yang digeruni rakyat. Tetapi, pada hari itu, Rizal seperti biasa sibuk dengan kerja-kerjanya. Dengan tidak semena-mena, dia merasakan perasaan yang seram. Bulu ditengkuknya berdiri tegak seperti sedang berdiri untuk berkawad kaki. Rizal memandang ke arah sekeliling. Tidak ada orang selain dirinya saja. Jadi, dia membuat keputusan untuk kembali menyambung kerja sambil mendengar kaset al-Quran yang dihadiahkan oleh ibunya pada hari jadi dia yang ke 24. Sedang leka dia melakukan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah. Telinganya tertangkap satu bunyi. Bunyi tapak kaki. Dia merasakan hairan, kerana dipejabatnya itu semuanya pakai karpet. Mana ada pakai simen atau batu. Macam mana dia boleh dengar bunyi tapak kaki pula? Rizal keluar dari bilik pejabatnya dan meninjau keadaan sekeliling. Dia ingin memastikan bahawa tiada orang di pejabat itu. Agak lama Rizal berdiri dimuka pintu bilik pejabatnya. Selang beberapa minit. Sebuah kotak yang di susun di atas almari fail terjatuh. Perkara tersebut membuatkan Rizal terperanjat. Dia bergegas berlari menuju ke arah kotak itu.
Rizal merasakan hairan kerana kotak tersebut tidak boleh jatuh sebenarnya. Sebab ianya telah diletakkan secara elok dan dirapatkan ke dinding. Kotak itu tidaklah besar mana sampai boleh terjatuh kena tarik dengan graviti bumi. Melainkan kalau ada sesuatu yang usik. Rizal mula rasa tidak sedap hati. Dia letakkan semula kotak itu ke atas almari fail. Dan dia kembali ke meja kerjanya dan menyambung melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan. Akan tetapi, hatinya tetap tidak rasa tenang. Rizal lihat jam di dinding. Sudah masuk waktu untuk solat Isyak. Dia pun menuju ke ruang solat, setelah mengambil wudhuk dan membentangkan sejadah. Rizal pun melakukan kewajibannya sebagai seorang yang muslim. Selesai saja solat, dia terdengar pula bunyi pintu diruangan solat itu seperti diketuk dari luar. Rizal bergegas bangun menuju ke pintu itu dan membukanya. Hairan. Tidak ada sesiapa. Rizal menegur untuk memastikan jika ada manusia atau tidak. Rizal menunggu jawapan, tetapi tidak ada yang menjawap. Ketika Rizal sedang melipat sejadah, dia terdengar pula bunyi pinggan dan cawan di bahagian pantry jatuh. Berlari Rizal menuju ke arah pantry. Dia mendapati bahawa pinggan dan cawan berteraburan di atas lantai. Rizal mulai merasakan perasaan yang tidak sepatutnya dia rasa. Perasaan seram sejuk mulai menghampiri. Takut dan gementar turut tidak lupa untuk menyertai. Rizal membuat keputusan untuk pulang saja ke rumah. Rizal sempat menaip teks mesej dan dihantarkan kepada nombor telefon bosnya. Dia menyatakan bahawa dia terpaksa balik awal kerana ada sesuatu yang tidak kena berlaku di pejabat. Mungkin bosnya itu mengerti dan mengizinkan Rizal untuk pulang.
Rizal berjalan menuruni tangga untuk menuju ke tempat parkir motor. Dia merasakan seperti ada seseorang sedang mengikuti dirinya kerana Rizal selama ini hanya mendengar bunyi tapak kasutnya saja jika dia menuruni tangga itu. Tetapi pada kejadian, dia mendengar bunyi tapak kasut yang bukan miliknya pula. Bunyi tersebut tidak jauh dari dirinya. Rizal berhenti dan menoleh ke arah bunyi tersebut yang datangnya dari arah belakang. Rizal masih dengar lagi bunyi tapak kasut itu yang semakin dekat, dan Rizal tidak nampak apa-apa kelibat kecuali bayang hitam yang sedang menghampiri dirinya. Bayang hitam itu saja sudah cukup membuatkan Rizal berlari menuruni tangga. Ketika dia sedang berlari itu lah dia terdengar bunyi besi pemengang di tangga diketuk dengan sesuatu. Akibat dari ketukan itu, maka terhasillah satu bunyi yang bising dan kuat. Rizal semakin takut dan gementar. Dia ingin cepat sampai ke parkir motor dan ingin berambus dari tempat itu secepat mungkin. Apabila dia sudah sampai ke parkir motor, tanpa membuang banyak masa, Rizal menghidupkan motorsikalnya. Dengan tergopoh-gapah akibat takut, dia masuk gear satu dan terus memulas throttle motornya. Dia tidak peduli lagi, walaupun dia sudah terlanggar kon yang berada di situ dan mengakibatkan motornya calar sedikit. Waktu dia sedang kelam kabut itu lah dia terdengar bunyi orang ketawa. Bunyi ketawa yang dia pasti bukan terhasil dari anak tekak manusia. Kerana dia tidak pernah mendengar bunyi ketawa seperti itu. Atau lebih tepat lagi, ianya di gelar sebagai mengilai.
Selepas dari peristiwa tersebut, Rizal tidak lagi perlu balik lewat malam. Bos ditempat kerjanya telah menetapkan bahawa semua staff harus pulang tepat pukul 5.30. OT hanya apabila berkumpulan. Bos kepada Rizal tidak mahu peristiwa seperti Rizal menimpa diri sesiapa lagi. Kerana bosnya sangat-sangat menjaga kebajikan para pekerja. Rizal rasa bersyukur selepas mendengar berita dari bosnya itu. Bosnya kagum dengan Rizal kerana berani bercakap benar dan jujur. Walaupun pada telinga orang lain ianya agak kelakar dan tidak masuk di akal. Tetapi tidak pada bos kepada Rizal. Kerana bosnya itu tahu bahawa pejabat itu ada puaka. Ada penunggu.
No comments:
Post a Comment