Monday, 22 February 2016

Rumah Kayu #5

          Nafas Wak Abu tercungap-cungap. Dia kepenatan kerana berjalan jauh dari rumah pak imam hinggalah ke rumah dia. Fikirannya asyik terbayangkan Mokhtar. Entah apalah yang difikirkan anak muda itu selepas mendengar kata-kata yang keluar dari mulut pak imam sendiri yang pernah menyatakan bahwa dia akan membantu untuk menyelesaikan segala kemelut yang sedang berlaku ketika itu. Setelah Wak Abu tiba di halaman rumahnya, dia melihat kereta milik Mokhtar ada di situ.
          "Alhamdulillah, budak ni pulang ke rumah. Aku fikirkan dia lari ke mana lah tadi." bisik Wak Abu di dalam hati. Lalu, dia terus menaiki rumah dan memanggil nama Mokhtar. Kemudian, kedengaran suara Mak Nipah dari arah dapur.
          "Ada kat dapur ni haaaa.." kata Mak Nipah. Kemudian, Wak Abu terus berjalan menuju ke arah dapur rumah. Dia melihat Mokhtar sedang termenung di meja makan, sementara Kenanga di sebelahnya sedang menggosok belakang badannya dan memujuk untuk memberitahu apa yang sedang berlaku. Lantas, Wak Abu pun terus mendekati Mokhtar.
          "Sudahlah nak. Janganlah kau simpan. Lupakan saja apa yang dibicarakan pak imam tadi. Kami ada untuk kamu sekeluarga." pujuk Wak Abu sambil membelai kepala Mokhtar. Dia mengganggap Mokhtar dan Kenanga seperti anaknya sendiri. Dia begitu kasihan kepada dua pasangan itu. Apalah dosa mereka sehinggakan terpaksa menanggung beban sebegitu rupa? Sedangkan semua itu bukanlah keinginan mereka. Mereka cuma hanya menginginkan kehidupan yang normal sahaja. Mereka juga dambakan kebahagiaan sepertimana pasangan berkahwin yang lain. Wak Abu menceritakan segalanya kepada Kenanga dan Mak Nipah. Kenanga menitiskan air matanya kerana dia tidak percaya bahawa pak imam yang pada suatu ketika dahulu pernah menyelamatkan kampung tersebut boleh memberikan idea sedemikian rupa. 

          "Betul ke bang? Imam cakap macam tu?" soal Mak Nipah kepada suaminya.
          "Iya, macam tu lah dia kata. Takkan aku nak tipu pula. Kalau tak, masakan si Mokhtar balik muka masam-masam macam ni?"
          "Mesti ada sebab kenapa dia kata macam tu." kata Mak Nipah untuk menyedapkan hatinya.
          "Itu aku tak tau lah." jawab Wak Abu perlahan. Dia merasa kesal dengan semua yang terjadi. Alangkah bagusnya jika Mokhtar tahu lebih awal tentang semua benda ni. Sudah tentu semuanya boleh dielakkan. Pak imam juga satu, tidak diberitahu awal-awal yang dia mengetahui bahwa benda itu sedang menunggu Mokhtar pulang dan ingin menjadikan Mokhtar sebagai pewaris. 
          "Ini semua salah pak imam. Kalau dia bagitau awal-awal. Takkan berlaku punyalah semua benda ni. Kita boleh bagi amaran kat Kenanga dan Mokhtar. Jangan bagi dia orang balik sini." marah Wak Abu sambil menghentakkan tangannya ke atas meja makan itu. Kemudian, Mokhtar bangun dari kerusi dan berjalan memasuki bilik tidurnya. Diikuti oleh isterinya, Kenanga.

          "Abang, Kenanga minta maaf. Kalau Kenanga tau semua benda ni akan berlaku. Kenanga tak akan minta untuk tinggal di kampung." kata Kenanga sambil memeluk erat tubuh suaminya itu. 
          "Tak ada apa yang boleh dilakukan lagi Kenanga. Benda dah terjadi. Kita terpaksa hadapi je. Kita serahkan segalanya kepada Allah SWT." balas Mokhtar.
          "Jom kita lari je bang. Kita balik ke Kuala Lumpur. Tinggalkan semua masalah ni." kata Kenanga.
          "Bila ada masalah, kita kena selesaikan. Bukannya lari. Kenanga jangan bimbang. Abang akan cari jalan penyelesaian." balas Mokhtar tegas. Kenanga hanya akur dengan keputusan suaminya. 
          "Abang nak pergi jumpa pak imam. Tapi jangan bagitau Wak dengan Mak. Abang nak tau apa sebab yang membuatkan pak imam cakap macam tu." kata Mokhtar lagi.
          "Baiklah bang. Tapi jangan buat benda yang bukan-bukan ya." balas Kenanga.
          "Abang masih waras lagi sayang." sambung Mokhtar lagi. Kemudian, dia berlalu pergi selepas memberikan kucupan di dahi isterinya. Entah mengapa, Kenanga menitiskan air mata wanitanya selepas Mokhtar berbuat demikian. Seperti ianya adalah kucupan yang terakhir.
          "Halalkan makan minum abang dunia akhirat. Maafkan segala dosa-dosa abang pada Kenanga selama kita berumah tangga." kata-kata terakhir yang didengari oleh Kenanga sebelum suaminya berlalu pergi dan mengakibatkan dia jatuh melutut di atas lantai. Membuatkan dia menangis sekuat hati. Kenanga tahu. Itu adalah kali terakhir dia bersama dengan suami kesayangannya. Tetapi, dia tidak ada daya untuk menghalangnya. 
          Wak Abu dan Mak Nipah yang berada di dapur terus berlari mendapatkan Kenanga selepas mendengar dia menangis. 

          Mokhtar memandu dalam keadaan yang laju. Dia berbohong kepada isterinya. Dia sebenarnya tidak ingin berjumpa dengan pak imam dan tidak ingin mendengar penjelasan dari pak imam. Bagi Mokhtar, hanya ada satu jalan keluar saja lagi. Dia harus berdepan dengan makhluk itu.
          "Aku tak ada ilmu menentang syaitan-syaitan ni semua. Aku bukan ustaz, dukun, bomoh or whatever. Tapi aku percaya, Allah paling berkuasa. Allah akan membantu aku." kata Mokhtar sendiri. 
          Dia sudah pun tiba diperkarangan rumah arwah Zubir. Dia keluar dari keretanya dan berdiri betul-betul menghadap tangga rumah itu. Dia lihat di atas tanah ada keris milik pak imam. Anehnya keris itu sudah tidak terpacak ke dalam bumi, tapi cuma terlantar di atas tanah. Dan garam yang ditaburkan tempoh hari sudah pun hilang. Mokhtar mengambil keris tersebut dan dia menggenggam ia sekuat hati.
          "Ya Allah. Aku tahu ini semua adalah ujian dari-Mu. Aku tahu amalanku tidak cukup untuk semua ini. Tapi..tapi.. tolonglah aku harungi semua ini. Aku ingin semua ini berakhir. Aku benar-benar memerlukan bantuan dari-Mu. Makbulkanlah doa hamba-Mu yang hina ini. Tunaikanlah permintaan aku ini. Hanya pada-Mu aku berserah. Dan hanya pada-Mu aku meminta. Berikan aku kekuatan untuk tamatkan agenda syaitan yang mengganggu keluarga ini." doa Mokhtar di dalam hatinya. Air matanya menitis membasahi pipi.

          Dia melihat ke arah kiri, tandas yang terletak di bahagian luar rumah. Mokhtar berjalan ke arah tandas tersebut. Dia mengambil wudhuk dan kembali berdiri di tempat yang sama. Mokhtar sudah bersedia. Dia memanggil makhluk yang teringin sangat menjadikan dirinya itu sebagai pewaris. 
          "Mana kau? Aku dah ada kat sini!" jerit Mokhtar marah. Tidak lama kemudian, sesusuk tubuh wanita muncul di hadapannya. Rupa wanita itu tersangat cantik. Namun, tidak pernah Mokhtar melihatnya. Wanita itu tiba-tiba saja gelak mengilai selepas memunculkan dirinya. Tanpa membuang masa, Mokhtar terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali kemudian surah Qursi. Ketika Mokhtar sedang membacakan surah-surah itu, wanita tersebut diam dan merenung tajam ke arah Mokhtar. Dia merasa tidak senang apabila mendengar bacaan yang keluar dari mulut Mokhtar. Perlahan-lahan wanita tersebut mendekati Mokhtar tanpa kakinya menjejak bumi. Kemudian, dia mencekik Mokhtar agar dia tidak boleh mengeluarkan bacaan-bacaan suci tersebut. Namun, itu semua tidak cukup untuk menghentikan usaha Mokhtar. 
          "ALLAHUAKBHAR!" laung Mokhtar sekuat hati lalu dia menghunuskan keris yang digenggamnya ke arah perut wanita tersebut. Perbuatan Mokhtar tersebut berjaya membuatkan wanita itu melepaskan dirinya dan mengakibatkan wanita itu sedikit cedera.

          "Syaitan! Di sini kau akan berkubur!" jerit Mokhtar dan menerjah ke arah wanita itu sambil menghunuskan keris ke arahnya. 
          "Bongkak!" balas wanita tersebut sambil disambut dengan hilai tawanya yang menggerunkan. Kemudian, dia mengelak serangan dari Mokhtar membuatkan Mokhtar jatuh tersungkur. Namun, Mokhtar tidak berhenti di situ saja. Dia melancarkan serangan yang seterusnya. Dia menendang dengan menggunakan kaki kirinya ke arah kawasan yang dicederakannya sebentar tadi. Namun, serangan itu tidak mengenai malahan menembusi pula. Mokhtar terkejut dengan apa yang di lihat. Dia berguling menjauhkan diri dari wanita syaitan tersebut. Mokhtar berfikir sejenak, bagaimana tendangannya boleh menembusi tubuh syaitan tu tetapi keris yang dihunusnya tidak? Mungkin keris tersebut sudah pun pak imam bacakan jampi atau mantera. 
          "Bagus, aku akan gunakan ini untuk hapuskan dia." bisik Mokhtar di dalam hati. Tapi sayang, ketika dia sedang sibuk berfikir perihal keris itu. Wanita tersebut sudah pun melancarkan serangan yang seterusnya. Tiga bilah parang yang berterbangan di udara datang menerjah ke arah Mokhtar. Tidak sempat untuk Mokhtar mengelak. Ketiga-tiga parang tersebut hinggap ditubuhnya. Satu di bahu, satu diperut dan satu lagi telah berjaya memutuskan tangan kirinya. 
          Mokhtar menjadi lemah, dia jatuh melutut ke tanah. Matanya tiba-tiba kabur. Dia kehilangan terlalu banyak darah. Dia melihat ke arah tangan kirinya, begitu banyak darah merah pekat terpancur keluar. Perlahan-lahan Mokhtar cuba untuk berdiri. Di dalam hatinya tidak berhenti-henti membacakan ayat Qursi. Diulang-ulangnya beratus kali. Kerana ketika itu, hanya surah itu saja yang bermain di dalam fikirannya. 
          "Disebabkan kau melawan, kau tidak bersyukur dengan keturunan kau! Aku terpaksa bunuh kau di sini jugak!" kata wanita tersebut yang wajahnya tiba-tiba saja berubah menjadi makhluk yang menyeramkan. Dari penglihatan Mokhtar, itu adalah makhluk yang bertarung dengan pak imam pada waktu pagi. Makhluk itu lari setelah Wak Abu menghunuskan parang ke arah belakang badannya. Bermakna, parang tersebut juga telah dibacakan jampi seperti keris yang dipegangnya ketika itu. Tetapi di mana keberadaan parang itu, tidak dapat dikesan. Pada pemikiran Mokhtar, keris yang menjadi senjatanya pada waktu itu terlalu pendek. Jika dia dapat memiliki parang yang digunakan oleh Wak Abu, sudah tentu dia boleh menikam makhluk hodoh yang sedang berdiri dihadapannya.

          "Syaitan durjana.. Aku tetap nak bunuh kau walaupun aku mati sekali dengan kau!" jerit Mokhtar. Entah dari mana dia mendapat kekuatan, dia berlari ke arah makhluk tersebut. Mokhtar membuat gaya untuk menikam ia namun tidak. Sebaliknya Mokhtar menggelongsor di antara kaki makhluk itu dan melakukan tikaman ke arah kaki kanan ia. Mengakibatkan makhluk tersebut menjerit kesakitan. Kemudian, Mokhtar menarik keluar keris yang terbenam ke dalam daging kaki makhluk itu. Akibat dari perbuatannya itu, darah berwarna hitam dan berbau busuk keluar memancut. Mokhtar mengambil kesempatan untuk menikam keris ke dalam tanah dan dengan menggunakan segala kekuatannya, dia menarik keluar parang yang tertusuk di perutnya. Kesakitan yang di alami olehnya memang tidak dapat dibayangkan namun dia tetap menguatkan diri demi menghapuskan makhluk tersebut. 
          Ketika Mokhtar sedang menggenggam kembali keris yang dipacakkan ke tanah, makhluk tersebut melibaskan tangan kanannya mengenai Mokhtar dan membuatkan dirinya tercampak jauh. Akibat dari serangan itu, darah yang banyak keluar dari mulut Mokhtar. Tanpa menghiraukan kesakitan yang di alami, dia segera bangun dan bersedia untuk melakukan serang balas. 


--Bersambung--

No comments:

Post a Comment