Monday, 22 February 2016

Rumah Kayu #4

          "A..ayah?" kata Mokhtar.
          "Mari ke sini" balas Zubir. Mokhtar datang menghampiri ayah mertuanya perlahan-lahan. Ayah mertuanya sedang berdiri di hadapan Mokhtar sambil menghulurkan tangan bersama sebuah senyuman.
          "Mari lihat ke dalam perigi ini." sambung Zubir lagi.
          "Tak nak. Saya takut, ayah." tolak Mokhtar ketakutan.
          "Tidak ada apa-apa yang harus kau takutkan. Selepas kau lihat ke dalam perigi ini. Kenanga pasti akan bahagia dan gembira selepas ini. Tidakkah kau ingin melihat isterimu itu bahagia sepanjang hayat?" pujuk Zubir agar Mokhtar mendekatkan dirinya.
          "Saya bukannya tak nak.. tapi..tapi.." kata Mokhtar tergagap-gagap.
          "Tidak ada apa yang kau harus takutkan. Kau cuma perlu lihat ke dalam perigi ini, kemudian kau harus cari dua orang lagi untuk lihat ke dalam perigi ini." pujuk Zubir lagi.
          "Mak..maksud ayah???" soal Mokhtar keliru.
          "Lepas kau dah jumpa dua orang tu, kau suruh dia orang cari pula lagi dua orang untuk setiap seorang. Kita panggil ni sistem piramid ya. Yang di mana ianya akan membawa kekayaan kepada diri kau sendiri. Sebab kau adalah yang teratas." sambung Zubir tanpa menghiraukan Mokhtar yang sedang kekeliruan.

          "Bang, bangun bang..." tegur Kenanga demi membangunkan suaminya dari tidur. Perlahan-lahan Mokhtar membuka matanya dan melihat disebelah kirinya adalah isteri tercinta. Lalu, Mokhtar pun segera bangun dari katil dan menuju ke bilik air kerana jam sudah menunjukkan pukul 5:30 pagi. Lagi 30 minit untuk masuk waktu subuh. Selesai saja dia mandi dan mengambil wudhuk, Wak Abu sudah pun berdiri di depan bilik air menunggu gilirannya untuk mandi dan berwudhuk. Wak Abu memang akan berjemaah di masjid bersama Mak Nipah apabila tibanya waktu solat subuh.
          "Kenanga dah bersiap ke?" soal Mokhtar apabila dia melangkah ke dalam bilik. Kenanga membalas dengan memberikan sebuah senyuman kepada suaminya itu.
          "Pergilah tunggu dengan Mak Nipah kat luar dulu. Bagi abang siap-siap jap." arah Mokhtar sambil melihatkan isterinya meletakkan kain dan baju untuk dia pakai dengan kemas di atas tilam. Apabila semuanya sudah bersiap, mereka pun pergi menuju ke masjid dengan menaiki kereta milik Mokhtar.
          "Waktu subuh kat kampung ni memang ramai pengunjung." kata Wak Abu.
          "Tu la pasal. Berbeza betul dengan Kuala Lumpur. Waktu subuh tu lah paling tak ramai orang. Paling banyak pun 2 saf je." balas Mokhtar.

          Setelah selesai menunaikan solat fardhu subuh, mereka semua tidak terus pulang. Mereka menunggu untuk mendengar ceramah dari seorang ustaz yang selalu memberikan syarahan di masjid itu setiap pagi. Apabila tamatnya ceramah tersebut, mereka semua menuju ke kereta Mokhtar.
          "Mak Nipah tak payah buat sarapanlah pagi. Kita makan kat warung Hj. Wan sana. Saya belanja." pelawa Mokhtar.
          "Eh, tak payahlah. Susah-susah saja." balas Mak Nipah tersengih.
          "Alaaa.. susah apanya, kami ni haa yang menyusahkan Mak Nipah sekeluarga. Jom-jom.." kata Mokhtar tetap dengan pendiriannya untuk belanja keluarga itu bersarapan. Ketika mereka tiba di warung Hj. Wan tersebut. Warung tersebut sudah pun dipenuhi dengan pelanggan, kebanyakkannya adalah pengunjung masjid.
          "Ni kalau pukul 10 malam saya datang, memang saya tak singgah." kata Mokhtar.
          "Kenapa pulak kamu tak singgah?" soal Wak Abu dan Mak Nipah serentak.
          "Mana tak nya, tengoklah tu. Siap dengan telekung warna putih. Nanti saya ingatkan pocong." jawab Mokhtar disambut dengan gelak ketawa dari semua orang yang berada di dalam kereta itu. Selesai bersarapan, mereka pun terus pulang ke rumah. Mokhtar mengajak Wak Abu untuk ke rumah pak imam kerana adalah pertanyaan yang ingin diajukan kepada pak imam. Wak Abu memberikan tanda setuju dengan mengangkat ibu jarinya dan menunjukkan ke arah Mokhtar. Sebelum sampai ke rumah, Mak Nipah mengajak mereka pergi ke pasar pantai dahulu untuk membeli lauk untuk di masak pada tengaharinya nanti.

          "Assalamualaikum!" Mokhtar memberikan salam.
          "Waalaikumusalam!" Wardina menjawab salam. Mukanya bengis seperti sedang datang bulan dan senggugut sekali gus.
          "Uish.. garangnya muka. Pak imam ada rumah?" soal Mokhtar.
          "Inilah rumah dia.." jawab Wardina selamba.
          "Hek eleh, loyar buruk pulak dia. Bapak kau ada di rumah tak maksudnya si Mokhtar." kata Wak Abu pula.
          "Tak tau ke? Dia pergi rumah kayu tu pagi ni dengan anak murid dia." jawab Wardina, kali ini suaranya agak kasar. Mokhtar dan Wak Abu berpandangan sesama sendiri. Buat apa pula pak imam di rumah kayu itu pada waktu sebegitu awal sekali? Kemudian, mereka pun meminta diri untuk pergi ke rumah kayu tersebut.
          "Kenapa pulak dia orang pergi tak bagitau dekat kita ya, Wak?" soal Mokhtar aneh.
          "Wak pun tak tahu lah. Marilah kita tengok sendiri apa yang pak imam buat kat sana." jawab Wak Abu kebingungan.

          Ketika mereka tiba di rumah kayu tersebut. Mereka mendapati bahawa tiga orang anak murid pak imam sedang terbaring di atas tanah. Manakala, pak imam pula sedang bergelut dengan sejenis makhluk yang tingginya 30 kaki. Dengan pantas Mokhtar hentikan keretanya dan keluar berlari ke arah tiga orang anak murid pak imam. Mereka bertiga pengsan tapi masih bernyawa. Wak Abu pula mengambil parang yang tidak jauh dengan Mokhtar dan meluru ke arah makhluk itu. Wak Abu memberikan tiga tikaman di belakang makhluk tersebut sebagai hadiah perkenalan. Makhluk tersebut menjerit kesakitan, jeritannya itu mungkin dapat didengari hingga ke hujung kampung. Kemudian makhluk tersebut berlari ke arah hutan dan menghilangkan diri. Wak Abu berkejar mendapatkan pak imam yang jatuh rebah ke bumi. Badannya berlumuran dengan darah.
          "Bawa aku pulang ke rumah. Biarkan isteriku saja yang merawat. Ingat! Jangan beritahu kejadian ini kepada sesiapa pun. Biar ianya sampai ke telinga penduduk kampung ini saja. Aku tak mahu masalah lain pula yang datang." kata pak imam. Suaranya lemah kerana kecederaan yang dialaminya.
          "Mokhtar! Bawa pak imam ke rumah dia dulu kemudian panggil orang kampung untuk membantu aku kat sini!" arah Wak Abu. Tanpa membantah, Mokhtar terus mengangkat pak imam bawa masuk ke dalam tempat duduk belakang kereta dan berlalu pergi ke rumah pak imam. Setelah dibawa masuk pak imam ke dalam rumah. Isteri dan anaknya bergegas ke dapur untuk mengambil barang-barang perubatan. Selepas itu, Mokhtar berlari pula ke kereta dan bergerak ke warung yang terdekat. Nasib Mokhtar baik kerana ada ramai lagi pengunjung kampung di warung tersebut. Mereka semua terkejut selepas mendengar cerita dari Mokhtar, lalu mereka pun bergegas bergerak ke lokasi kejadian.

          Semua orang sudah pun tiba di kawasan kejadian. Mereka semua membantu Wak Abu angkat tiga orang anak murid pak imam yang masih belum sedarkan diri dan dibawa masuk ke dalam kereta Mokhtar untuk dibawa pulang ke rumah pak imam.
          "Jangan bagi sesiapa pun yang datang ke rumah ni! Peristiwa yang lama mungkin terjadi lagi! Sampaikan pesan kepada semua orang kampung agar berhati-hati!" pesan Wak Abu kepada semua orang yang berada di situ. Kemudian, Wak Abu memasuki kereta Mokhtar dan mengarahkan Mokhtar untuk memandu ke rumah pak imam.
          Setibanya mereka ke rumah pak imam, kelihatan ketua kampung juga turut berada di sana. Beberapa orang kampung yang berada di situ membantu Wak Abu memikul anak-anak murid pak imam dan di bawa naik ke rumah. Mereka semua di rawat oleh isteri pak imam.

          "Macam mana sekarang ni? Apa yang patut kita buat?" soal ketua kampung tegas.
          "Jangan risau, aku ada cara. Syaitan tu cuma mahukan Mokhtar saja." terang pak imam yang sedang duduk bersandar di dinding rumah sambil menahan kesakitan.
          "Apa maksud kau?" soal ketua kampung menginginkan kepastian.
          "Kita serahkan saja Mokhtar pada bangsat tu." terang pak imam lagi. Membuatkan semua yang berada di situ berada dalam keadaan yang terkejut. Mokhtar yang juga berada di situ terdiam seribu bahasa. Dia terkejut dengan apa yang pak imam ucapkan. Serahkan dia sebegitu saja? Biar betul? Orang ramai yang berada di situ mula bercerita yang macam-macam. Mereka mula menyalahkan segala yang berlaku pada hari itu pada Mokhtar. Mereka menyatakan jika Mokhtar tidak pulang, sudah tentu makhluk yang menghuni rumah itu tidak akan bangkit. Dan, mereka juga turut menyalahkan Zubir kerana kebodohannya terjebak ke alam kegelapan.
          Ketika semua sedang sibuk menyalahkan keluarga arwah Zubir. Tanpa disedari Mokhtar sudah pun menghilangkan diri.
          "Mana Mokhtar?" tanya ketua kampung kepada semua yang berada di situ. Semuanya menggelengkan kepala. Keretanya juga tidak ada di luar.
          "Apa mungkin dia terdengar cadangan aku tadi?" soal pak imam pula.
          "Mana tak dengarnya! Semua yang ada dalam ni semua ada telinga, imam oi. Kalau tak nak bantu, bagitau siang-siang. Fikir jugalah hati dan perasaan Mokhtar tu. Dia sudahlah baru je tau pasal benda-benda pelik ni!" teriak Wak Abu yang begitu marah dengan semua orang yang berada di situ terutamanya pak imam kerana dialah punca idea itu wujud. Lalu Wak Abu bergegas bangun dan keluar dari rumah pak imam.

          "Aku sudah tak mampu nak menentang benda tu lagi. Aku bukannya muda lagi. Badan aku dah tak larat." kata pak imam lemah. Nadanya seperti kesal dengan apa yang berlaku. Silapnya juga kerana berkata mengikut perasaan.
          "Aku faham. Mokhtar tu takde apalah. Paling teruk pun, dia lari tinggalkan kampung ni je." balas ketua kampung sambil menghelakan nafas yang panjang.


--Bersambung--
         
       

No comments:

Post a Comment