Monday, 22 February 2016

Rumah Kayu #Akhir

          Wak Abu, Mak Nipah dan Kenanga terburu-buru berjalan ke arah rumah pak imam. Seperti yang dijangkakan, semua orang masih lagi berada di rumah pak imam. Entah apa yang mereka sedang lakukan pun tidak ada sesiapa yang tahu. Mungkin merancang strategi yang seterusnya. Pak imam dan ketua kampung bergegas ke luar rumah apabila nama mereka dipanggil. Melihatkan Wak Abu, Mak Nipah dan Kenanga termengah-mengah mereka dipelawa naik ke rumah.
          "Takde masa! Mokhtar dah pergi berdepan dengan makhluk tu!" kata Wak Abu tegas. Semua yang berada di situ terkejut bukan alang kepalang. Semua tertanya-tanya kenapa Mokhtar melakukan perkara sedemikian rupa. Sedangkan pak imam sendiri boleh tertumpas.
          "Habis tu, dia ada kat mana sekarang?" soal ketua kampung ingin tahu. Mereka bertiga menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Kenanga merayu pada pak imam agar dia membantu suaminya itu. 
          "Masalahnya aku tak tahu kat mana dia berada sekarang. Kalau tahu, senang je. Kita pergi je sekarang." balas pak imam kekeliruan. Perasaan serba salah tiba-tiba menyingkap di dalam hatinya. 
          "Ish.. Kenapalah semua benda ni boleh berlaku, semua salah Zubir" getus hati ketua kampung. 

          "Tok ketua! Tengok sana!" jerit salah seorang penduduk kampung sambil menunjukkan ke arah kepulan asap yang tebal. Semua yang berada di situ melihat ke arah kepulan asap tersebut.
          "Ada rumah terbakar ke?" soal ketua kampung.
          "Abang!" jerit Kenanga pula. Lalu dia berlari dari situ diikuti oleh Mak Nipah dan Wak Abu. 
          "Rumah arwah Zubir..terbakar?" soal pak imam pula. Lalu pak imam mengajak semuanya untuk mengikuti Kenanga dan menuju ke arah rumah arwah Zubir. Rumah papan kayu yang sudah lama dibiarkan kosong. Kenanga berlari tanpa memperdulikan keadaan dirinya yang pada waktu itu sudah hampir kehilangan tenaga. Jarak antara rumah pak imam dan juga rumah kayu itu agak jauh. 
          "Jadi, bunyi ngauman yang kita dengar tadi tu datang dari rumah tu. Mokhtar berlawan dengan makhluk tu ke?" soal ketua kampung. 
          "Entahlah. Aku pun tak tahu. Cepatlah sikit bawak motor. Biar kita cepat sampai." balas pak imam. Mengerti dengan kebimbangan yang mengganggu pak imam, ketua kampung terus memulas pendikit motornya agar motor itu bergerak lebih laju.

          Kenanga terus berlari tanpa berhenti. Walaupun terasa penat, namun dia tidak peduli. Apa yang penting dia sampai ke tempat kejadian. Firasatnya kuat menyatakan bahawa suaminya berada di rumah kayu tersebut. Jika berlaku apa-apa yang tidak diingini ke atas suaminya, Kenanga tidak mungkin dapat memaafkan dirinya sendiri. Kerana dia tidak berupaya untuk menghalang tindakan suaminya itu. 
          Dia terlalu risau dan bimbang dengan suaminya. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang suami dia sedang lakukan ketika itu. Wak Abu dan Mak Nipah terkedek-kedek berlari jauh dibelakangnya. Mereka tidak mampu untuk mengejar Kenanga. 
          "Abang, tunggulah kejap. Saya penat berlari ni." rayu Mak Nipah yang sudah kepenatan akibat berlari dari rumah pak imam.
          "Alaaa awak ni. Saya dah kata, jangan ikut. Tunggu je kat rumah, awak degil. Kita kena cepat ni." marah Wak Abu kerana isterinya berdegil untuk ikut walaupun sudah diarahkan supaya duduk saja di rumah. Tidak semena-mena, sebuah motorsikal honda ex-5 memecut dan meninggalkan mereka berdua dibelakang. 
          "Waahh....laju betul ketua kampung bawak motor." kata Wak Abu. Kemudian, beberapa biji motorsikal pula mengikuti jejak motor ketua kampung.

          Kenanga hanya melihat saja motorsikal yang melepasinya, yang dia tahu, dia ingin sampai cepat ke lokasi. 
          "Kak! Naik cepat!" arah Wardina yang menaiki motorsikal dan berhenti dihadapan Kenanga. Tanpa membuang masa, Kenanga terus menaiki motorsikal tersebut. Dan Wardina terus memulas pendikit motorsikal.
          "Wahhh..syoknya, takde siapa ke yang tumpangkan kita orang berdua?" keluh Wak Abu berseorangan.
          "Tunggulah kejap, bang.. Penat ni.. Dah lah panas terik.." kata Mak Nipah.
          "Leceh betullah.. Tu la, lain kali bila aku suruh duduk kat rumah, duduk je lah. Mengada nak ikut dah kenapa." marah Wak Abu sambil meneruskan perjalanannya.

          Wardina dan Kenanga sudah pun tiba di rumah kayu tersebut bersama pak imam dan ketua kampung. Warga kampung yang juga turut tiba. Memang benar, rumah kayu tersebut sedang dijilat oleh api yang marak. 
          "Kita kena call bomba juga ni. Asapnya terlalu meninggi dan tebal. Sudah semestinya kampung sebelah pun boleh lihat kepulan asap ni." saran ketua kampung. Pak imam hanya mengganggukkan kepala saja. Tidak ada apa yang boleh dia lakukan lagi. Salah seorang orang kampung telah pun membuat panggilan ke balai bomba. Kenanga meraung memanggil suaminya, disebabkan dia tidak melihat suaminya berada di situ. Dia membuat keputusan untuk memasuki rumah yang sedang dijilat api tersebut. Ketua kampung dan pak imam terus berlari mendapatkan Kenanga. Mereka menghalang perbuatan Kenanga. Kenanga hanya mampu menangis terduduk di situ. Pak imam memerhatikan keadaan sekeliling. Dilihatnya darah begitu banyak di atas tanah.
          "Darah? Aku dapat rasakan sebentar tadi ada pertempuran yang sengit berlaku." kata pak imam. Tidak lama kemudian, bomba pun tiba dengan jenteranya. Mereka cuba untuk memadamkan api yang sedang marah namun tidak terpadam juga. Orang ramai hanya mampu melihat sahaja. Bermacam-macam pihak bomba ikhtiarkan namun segala yang dibuat hanya memarakkan api. Tidak sekali pun ianya meredakan. 
          "Tak apa. Biar aku bantu." kata pak imam. Lalu dia mengambil segenggam tanah dan dia membacakan sesuatu. Selepas itu pak imam menghembuskan ke arah tanah yang digempal sebentar tadi lalu dilontarkan ke arah api yang sedang marak. Dengan izin Allah, api tersebut mulai beransur hilang. Pihak bomba pun sudah dapat memadamkan api yang menjilat rumah kayu tersebut. Masing-masing tertanya-tanya macam mana rumah kayu itu boleh terbakar? Apakah Mokhtar yang membakar rumah tersebut? Dimanakah keberadaan Mokhtar? Persoalan yang memerlukan jawapan. 

          Kenanga di bawa pulang ke rumah Wak Abu, dan Kenanga mengurung dirinya di dalam bilik tidur. Dia hanya akan keluar untuk mengambil wudhuk sahaja. Mak Nipah tidak berhenti-henti memujuk Kenanga agar dia keluar dari dalam biliknya. Dia tidak makan, tidak minum. Mak Nipah bimbang kalau Kenanga akan jatuh sakit pula. Manakala Kenanga, dia tidak berhenti-henti berdoa kepada Allah agar suaminya selamat dari semua malapetaka yang menimpa. Masanya dihabiskan dengan membaca al-Quran. Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan melawat rumah kayu tersebut kerana pihak polis dan bomba ingin melakukan siasatan. Mereka ingin mencari punca terjadinya api tersebut. 
          Sudah 2 hari berlalu semenjak peristiwa itu, Kenanga tetap tidak makan tetapi dia sudah mahu minum. Walaupun begitu, dia tetap mengurungkan dirinya. Ramai orang yang datang berkunjung ke rumah Wak Abu demi menanyakan tentang keadaan Kenanga. Namun, Kenanga masih mengurungkan diri. Hari ketiga, pihak polis datang ke rumah Wak Abu. Mereka memberitahu bahawa mereka tidak jumpa punca api itu terjadi. Akan tetapi, mereka menjumpai jejak darah manusia dan haiwan disekitar rumah itu. Anjing pengesan sudah pun dihantar untuk menjejaki ke mana arah darah tersebut pergi. Kenanga mencuri dengar perbualan antara pihak polis dan Wak Abu itu dan dia terus berdoa tanpa henti.

          Sudah lapan hari berlalu, unit yang dikerahkan untuk menjejaki darah yang dijumpai dirumah kayu itu tidak dapat dihubungi dan tidak dapat dijejaki. Perkara tersebut membuatkan orang ramai menjadi tidak senang. Akibat daripada itu, tersebarlah khabar angin bahawa orang kampung ternampak makhluk mengerikan berkeliaran dikawasan kampung setiap malam. Orang kampung mengatakan bahawa jelmaan makhluk itu adalah Mokhtar yang sudah terjebak tumpas dengan ilmu hitam. Ramai yang menuduh arwah Zubir punca segalanya, walaupun ianya adalah benar belaka. 
          "Kalau lahanat tu tak belajar ilmu hitam, kampung kita ni mesti aman sampai sekarang!" marah salah seorang penduduk kampung ketika sedang melepak di warung bersama kawan-kawannya. 
          Walaupun keadaan agak sedikit kecoh dengan penampakan kelibat makhluk mengerikan itu, namun orang kampung tetap memberikan semangat kepada Kenanga. Mereka tidak menyalahkan Kenanga dan Mokhtar tetapi mereka menyalahkan arwah Zubir. 

          Selepas kejadian itu, orang ramai sudah mula bekerja sama membuat rondaan setiap malam. Pihak polis juga turut bekerjasama kerana 8 orang anggotanya hilang tanpa jejak. Tetapi perkara tersebut tidak diberitahu kepada orang luar. Daerah itu saja yang mengetahuinya. 
          "Masalahnya, dengan anjing-anjing polis sekali hilang kau tau tak? Tak ke pelik?" kata salah seorang anggota polis yang sedang memandu kereta peronda.
          "Tu la pasal. Darah yang sepatutnya anjing tu kesan pun hilang. Aku rasa kampung ni ada masalahlah." balasnya penuh kehairanan.
          "Aku bukan nak percaya hantu ke apa. Aku tau lah benda-benda macam ni memang ada. Tapi ni dah melampau sangat."
          Dan itu adalah kali terakhir dua orang anggota polis itu dilihat meronda di kawasan kampung tersebut. Orang kampung mulai ketakutan selepas kes kehilangan kereta polis dan dua orang anggota yang ditugaskan untuk meronda kampung tersebut. 

          "Macam mana kita nak selesaikan perkara ni?" soal ketua kampung kepada pak imam selepas mereka selesai menunaikan fardhu isyak di masjid.
          "Entahlah. Buat masa sekarang ni kita hanya mampu berserah dan meminta perlindungan dari Allah SWT." balas pak imam.
          "Aku rasa memang betullah, mungkin makhluk yang dilihat orang kampung berkeliaran pada waktu malam tu adalah Mokhtar." sambung ketua kampung lagi. Pak imam tidak memberikan respon. Melihatkan pak imam hanya mendiamkan diri saja, dia terus meminta izin untuk pulang ke rumah memandangkan hari sudah begitu lewat. Dan keesokkan paginya, kampung tersebut dikejutkan dengan berita di mana mayat ketua kampung dijumpai ditepi parit. Badannya terpisah dua, kesan cakaran penuh dimuka. 
          "Tak mungkin buaya punya kerja! Ni mesti angkara makhluk tu!" kata salah seorang penduduk kampung yang berada di situ. 
          Berita kematian ketua kampung sudah tersebar hingga ke pengetahuan pihak media massa. Ramai orang luar datang ke kampung itu untuk menemu ramah dan tidak kurang juga kumpulan ahli paranormal yang datang dengan niat untuk menyiasat. Namun, kumpulan yang pernah datang, tidak ada seorang pun selamat. Semuanya hilang, mati dan ada juga yang mayatnya ditemui dalam keadaan yang mengaibkan. Makin lama, makin terkenal kampung tersebut. Tiap-tiap minggu pasti akan ada kumpulan-kumpulan yang berkunjung dan sudah tentunya kumpulan tersebut tidak akan selamat. 
          Wak Abu dan Mak Nipah turut menjadi mangsa kepada makhluk tersebut. Maka, tinggallah Kenanga seorang diri di dalam rumah tersebut.

          Bermacam jenis ustaz yang mahir-mahir datang untuk membantu. Ada sesetengah daripadanya melarikan diri dan yang selebihnya hilang tanpa jejak. Ketika segala kekalutan sedang berlaku, Kenanga di rumah tersenyum seorang diri di dalam bilik.
          "Baguskan macam ni? Tak perlu kita korbankan orang-orang kampung kat sini. Kita jadikan je orang-orang luar yang datang ke sini sebagai korban." kata Kenanga seorang diri. Tingkap biliknya dibuka. Seekor makhluk ngeri muncul. Walaupun wajahnya terlalu ngeri namun ianya tetap dapat dikenal pasti, wajah tersebut adalah milik Mokhtar.
          "Ada lagi kumpulan paranormal yang datang ke kampung ni, bang. Mulut dia orang celupar. Bongkak. Riak. Kenanga nak abang lakukan macam biasa, jangan tinggalkan jejak." arah Kenanga sambil melemparkan senyuman ke arah suaminya yang sudah tidak berupa manusia.
          "Abang akan lakukan apa saja demi kebahagiaan isteri abang yang tercinta." balas Mokhtar lalu menghilang ditiup angin. 
          "Ayah, Kenanga dah buat yang terbaikkan? Ayah sayang pada Kenanga kan?" kata Kenanga lagi. Kemudian, muncul pula kepulan asap berwarna hitam dihadapan Kenanga lalu menjelmalah Zubir di situ. Dia menghampiri Kenanga dan memberikan senyuman kepada Kenanga. 
          "Ya, anak ayah dah lakukan yang terbaik." kata Zubir lalu membaringkan Kenanga dan dia menindih anak perempuannya itu.


--Tamat--

Rumah Kayu #5

          Nafas Wak Abu tercungap-cungap. Dia kepenatan kerana berjalan jauh dari rumah pak imam hinggalah ke rumah dia. Fikirannya asyik terbayangkan Mokhtar. Entah apalah yang difikirkan anak muda itu selepas mendengar kata-kata yang keluar dari mulut pak imam sendiri yang pernah menyatakan bahwa dia akan membantu untuk menyelesaikan segala kemelut yang sedang berlaku ketika itu. Setelah Wak Abu tiba di halaman rumahnya, dia melihat kereta milik Mokhtar ada di situ.
          "Alhamdulillah, budak ni pulang ke rumah. Aku fikirkan dia lari ke mana lah tadi." bisik Wak Abu di dalam hati. Lalu, dia terus menaiki rumah dan memanggil nama Mokhtar. Kemudian, kedengaran suara Mak Nipah dari arah dapur.
          "Ada kat dapur ni haaaa.." kata Mak Nipah. Kemudian, Wak Abu terus berjalan menuju ke arah dapur rumah. Dia melihat Mokhtar sedang termenung di meja makan, sementara Kenanga di sebelahnya sedang menggosok belakang badannya dan memujuk untuk memberitahu apa yang sedang berlaku. Lantas, Wak Abu pun terus mendekati Mokhtar.
          "Sudahlah nak. Janganlah kau simpan. Lupakan saja apa yang dibicarakan pak imam tadi. Kami ada untuk kamu sekeluarga." pujuk Wak Abu sambil membelai kepala Mokhtar. Dia mengganggap Mokhtar dan Kenanga seperti anaknya sendiri. Dia begitu kasihan kepada dua pasangan itu. Apalah dosa mereka sehinggakan terpaksa menanggung beban sebegitu rupa? Sedangkan semua itu bukanlah keinginan mereka. Mereka cuma hanya menginginkan kehidupan yang normal sahaja. Mereka juga dambakan kebahagiaan sepertimana pasangan berkahwin yang lain. Wak Abu menceritakan segalanya kepada Kenanga dan Mak Nipah. Kenanga menitiskan air matanya kerana dia tidak percaya bahawa pak imam yang pada suatu ketika dahulu pernah menyelamatkan kampung tersebut boleh memberikan idea sedemikian rupa. 

          "Betul ke bang? Imam cakap macam tu?" soal Mak Nipah kepada suaminya.
          "Iya, macam tu lah dia kata. Takkan aku nak tipu pula. Kalau tak, masakan si Mokhtar balik muka masam-masam macam ni?"
          "Mesti ada sebab kenapa dia kata macam tu." kata Mak Nipah untuk menyedapkan hatinya.
          "Itu aku tak tau lah." jawab Wak Abu perlahan. Dia merasa kesal dengan semua yang terjadi. Alangkah bagusnya jika Mokhtar tahu lebih awal tentang semua benda ni. Sudah tentu semuanya boleh dielakkan. Pak imam juga satu, tidak diberitahu awal-awal yang dia mengetahui bahwa benda itu sedang menunggu Mokhtar pulang dan ingin menjadikan Mokhtar sebagai pewaris. 
          "Ini semua salah pak imam. Kalau dia bagitau awal-awal. Takkan berlaku punyalah semua benda ni. Kita boleh bagi amaran kat Kenanga dan Mokhtar. Jangan bagi dia orang balik sini." marah Wak Abu sambil menghentakkan tangannya ke atas meja makan itu. Kemudian, Mokhtar bangun dari kerusi dan berjalan memasuki bilik tidurnya. Diikuti oleh isterinya, Kenanga.

          "Abang, Kenanga minta maaf. Kalau Kenanga tau semua benda ni akan berlaku. Kenanga tak akan minta untuk tinggal di kampung." kata Kenanga sambil memeluk erat tubuh suaminya itu. 
          "Tak ada apa yang boleh dilakukan lagi Kenanga. Benda dah terjadi. Kita terpaksa hadapi je. Kita serahkan segalanya kepada Allah SWT." balas Mokhtar.
          "Jom kita lari je bang. Kita balik ke Kuala Lumpur. Tinggalkan semua masalah ni." kata Kenanga.
          "Bila ada masalah, kita kena selesaikan. Bukannya lari. Kenanga jangan bimbang. Abang akan cari jalan penyelesaian." balas Mokhtar tegas. Kenanga hanya akur dengan keputusan suaminya. 
          "Abang nak pergi jumpa pak imam. Tapi jangan bagitau Wak dengan Mak. Abang nak tau apa sebab yang membuatkan pak imam cakap macam tu." kata Mokhtar lagi.
          "Baiklah bang. Tapi jangan buat benda yang bukan-bukan ya." balas Kenanga.
          "Abang masih waras lagi sayang." sambung Mokhtar lagi. Kemudian, dia berlalu pergi selepas memberikan kucupan di dahi isterinya. Entah mengapa, Kenanga menitiskan air mata wanitanya selepas Mokhtar berbuat demikian. Seperti ianya adalah kucupan yang terakhir.
          "Halalkan makan minum abang dunia akhirat. Maafkan segala dosa-dosa abang pada Kenanga selama kita berumah tangga." kata-kata terakhir yang didengari oleh Kenanga sebelum suaminya berlalu pergi dan mengakibatkan dia jatuh melutut di atas lantai. Membuatkan dia menangis sekuat hati. Kenanga tahu. Itu adalah kali terakhir dia bersama dengan suami kesayangannya. Tetapi, dia tidak ada daya untuk menghalangnya. 
          Wak Abu dan Mak Nipah yang berada di dapur terus berlari mendapatkan Kenanga selepas mendengar dia menangis. 

          Mokhtar memandu dalam keadaan yang laju. Dia berbohong kepada isterinya. Dia sebenarnya tidak ingin berjumpa dengan pak imam dan tidak ingin mendengar penjelasan dari pak imam. Bagi Mokhtar, hanya ada satu jalan keluar saja lagi. Dia harus berdepan dengan makhluk itu.
          "Aku tak ada ilmu menentang syaitan-syaitan ni semua. Aku bukan ustaz, dukun, bomoh or whatever. Tapi aku percaya, Allah paling berkuasa. Allah akan membantu aku." kata Mokhtar sendiri. 
          Dia sudah pun tiba diperkarangan rumah arwah Zubir. Dia keluar dari keretanya dan berdiri betul-betul menghadap tangga rumah itu. Dia lihat di atas tanah ada keris milik pak imam. Anehnya keris itu sudah tidak terpacak ke dalam bumi, tapi cuma terlantar di atas tanah. Dan garam yang ditaburkan tempoh hari sudah pun hilang. Mokhtar mengambil keris tersebut dan dia menggenggam ia sekuat hati.
          "Ya Allah. Aku tahu ini semua adalah ujian dari-Mu. Aku tahu amalanku tidak cukup untuk semua ini. Tapi..tapi.. tolonglah aku harungi semua ini. Aku ingin semua ini berakhir. Aku benar-benar memerlukan bantuan dari-Mu. Makbulkanlah doa hamba-Mu yang hina ini. Tunaikanlah permintaan aku ini. Hanya pada-Mu aku berserah. Dan hanya pada-Mu aku meminta. Berikan aku kekuatan untuk tamatkan agenda syaitan yang mengganggu keluarga ini." doa Mokhtar di dalam hatinya. Air matanya menitis membasahi pipi.

          Dia melihat ke arah kiri, tandas yang terletak di bahagian luar rumah. Mokhtar berjalan ke arah tandas tersebut. Dia mengambil wudhuk dan kembali berdiri di tempat yang sama. Mokhtar sudah bersedia. Dia memanggil makhluk yang teringin sangat menjadikan dirinya itu sebagai pewaris. 
          "Mana kau? Aku dah ada kat sini!" jerit Mokhtar marah. Tidak lama kemudian, sesusuk tubuh wanita muncul di hadapannya. Rupa wanita itu tersangat cantik. Namun, tidak pernah Mokhtar melihatnya. Wanita itu tiba-tiba saja gelak mengilai selepas memunculkan dirinya. Tanpa membuang masa, Mokhtar terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali kemudian surah Qursi. Ketika Mokhtar sedang membacakan surah-surah itu, wanita tersebut diam dan merenung tajam ke arah Mokhtar. Dia merasa tidak senang apabila mendengar bacaan yang keluar dari mulut Mokhtar. Perlahan-lahan wanita tersebut mendekati Mokhtar tanpa kakinya menjejak bumi. Kemudian, dia mencekik Mokhtar agar dia tidak boleh mengeluarkan bacaan-bacaan suci tersebut. Namun, itu semua tidak cukup untuk menghentikan usaha Mokhtar. 
          "ALLAHUAKBHAR!" laung Mokhtar sekuat hati lalu dia menghunuskan keris yang digenggamnya ke arah perut wanita tersebut. Perbuatan Mokhtar tersebut berjaya membuatkan wanita itu melepaskan dirinya dan mengakibatkan wanita itu sedikit cedera.

          "Syaitan! Di sini kau akan berkubur!" jerit Mokhtar dan menerjah ke arah wanita itu sambil menghunuskan keris ke arahnya. 
          "Bongkak!" balas wanita tersebut sambil disambut dengan hilai tawanya yang menggerunkan. Kemudian, dia mengelak serangan dari Mokhtar membuatkan Mokhtar jatuh tersungkur. Namun, Mokhtar tidak berhenti di situ saja. Dia melancarkan serangan yang seterusnya. Dia menendang dengan menggunakan kaki kirinya ke arah kawasan yang dicederakannya sebentar tadi. Namun, serangan itu tidak mengenai malahan menembusi pula. Mokhtar terkejut dengan apa yang di lihat. Dia berguling menjauhkan diri dari wanita syaitan tersebut. Mokhtar berfikir sejenak, bagaimana tendangannya boleh menembusi tubuh syaitan tu tetapi keris yang dihunusnya tidak? Mungkin keris tersebut sudah pun pak imam bacakan jampi atau mantera. 
          "Bagus, aku akan gunakan ini untuk hapuskan dia." bisik Mokhtar di dalam hati. Tapi sayang, ketika dia sedang sibuk berfikir perihal keris itu. Wanita tersebut sudah pun melancarkan serangan yang seterusnya. Tiga bilah parang yang berterbangan di udara datang menerjah ke arah Mokhtar. Tidak sempat untuk Mokhtar mengelak. Ketiga-tiga parang tersebut hinggap ditubuhnya. Satu di bahu, satu diperut dan satu lagi telah berjaya memutuskan tangan kirinya. 
          Mokhtar menjadi lemah, dia jatuh melutut ke tanah. Matanya tiba-tiba kabur. Dia kehilangan terlalu banyak darah. Dia melihat ke arah tangan kirinya, begitu banyak darah merah pekat terpancur keluar. Perlahan-lahan Mokhtar cuba untuk berdiri. Di dalam hatinya tidak berhenti-henti membacakan ayat Qursi. Diulang-ulangnya beratus kali. Kerana ketika itu, hanya surah itu saja yang bermain di dalam fikirannya. 
          "Disebabkan kau melawan, kau tidak bersyukur dengan keturunan kau! Aku terpaksa bunuh kau di sini jugak!" kata wanita tersebut yang wajahnya tiba-tiba saja berubah menjadi makhluk yang menyeramkan. Dari penglihatan Mokhtar, itu adalah makhluk yang bertarung dengan pak imam pada waktu pagi. Makhluk itu lari setelah Wak Abu menghunuskan parang ke arah belakang badannya. Bermakna, parang tersebut juga telah dibacakan jampi seperti keris yang dipegangnya ketika itu. Tetapi di mana keberadaan parang itu, tidak dapat dikesan. Pada pemikiran Mokhtar, keris yang menjadi senjatanya pada waktu itu terlalu pendek. Jika dia dapat memiliki parang yang digunakan oleh Wak Abu, sudah tentu dia boleh menikam makhluk hodoh yang sedang berdiri dihadapannya.

          "Syaitan durjana.. Aku tetap nak bunuh kau walaupun aku mati sekali dengan kau!" jerit Mokhtar. Entah dari mana dia mendapat kekuatan, dia berlari ke arah makhluk tersebut. Mokhtar membuat gaya untuk menikam ia namun tidak. Sebaliknya Mokhtar menggelongsor di antara kaki makhluk itu dan melakukan tikaman ke arah kaki kanan ia. Mengakibatkan makhluk tersebut menjerit kesakitan. Kemudian, Mokhtar menarik keluar keris yang terbenam ke dalam daging kaki makhluk itu. Akibat dari perbuatannya itu, darah berwarna hitam dan berbau busuk keluar memancut. Mokhtar mengambil kesempatan untuk menikam keris ke dalam tanah dan dengan menggunakan segala kekuatannya, dia menarik keluar parang yang tertusuk di perutnya. Kesakitan yang di alami olehnya memang tidak dapat dibayangkan namun dia tetap menguatkan diri demi menghapuskan makhluk tersebut. 
          Ketika Mokhtar sedang menggenggam kembali keris yang dipacakkan ke tanah, makhluk tersebut melibaskan tangan kanannya mengenai Mokhtar dan membuatkan dirinya tercampak jauh. Akibat dari serangan itu, darah yang banyak keluar dari mulut Mokhtar. Tanpa menghiraukan kesakitan yang di alami, dia segera bangun dan bersedia untuk melakukan serang balas. 


--Bersambung--

Rumah Kayu #4

          "A..ayah?" kata Mokhtar.
          "Mari ke sini" balas Zubir. Mokhtar datang menghampiri ayah mertuanya perlahan-lahan. Ayah mertuanya sedang berdiri di hadapan Mokhtar sambil menghulurkan tangan bersama sebuah senyuman.
          "Mari lihat ke dalam perigi ini." sambung Zubir lagi.
          "Tak nak. Saya takut, ayah." tolak Mokhtar ketakutan.
          "Tidak ada apa-apa yang harus kau takutkan. Selepas kau lihat ke dalam perigi ini. Kenanga pasti akan bahagia dan gembira selepas ini. Tidakkah kau ingin melihat isterimu itu bahagia sepanjang hayat?" pujuk Zubir agar Mokhtar mendekatkan dirinya.
          "Saya bukannya tak nak.. tapi..tapi.." kata Mokhtar tergagap-gagap.
          "Tidak ada apa yang kau harus takutkan. Kau cuma perlu lihat ke dalam perigi ini, kemudian kau harus cari dua orang lagi untuk lihat ke dalam perigi ini." pujuk Zubir lagi.
          "Mak..maksud ayah???" soal Mokhtar keliru.
          "Lepas kau dah jumpa dua orang tu, kau suruh dia orang cari pula lagi dua orang untuk setiap seorang. Kita panggil ni sistem piramid ya. Yang di mana ianya akan membawa kekayaan kepada diri kau sendiri. Sebab kau adalah yang teratas." sambung Zubir tanpa menghiraukan Mokhtar yang sedang kekeliruan.

          "Bang, bangun bang..." tegur Kenanga demi membangunkan suaminya dari tidur. Perlahan-lahan Mokhtar membuka matanya dan melihat disebelah kirinya adalah isteri tercinta. Lalu, Mokhtar pun segera bangun dari katil dan menuju ke bilik air kerana jam sudah menunjukkan pukul 5:30 pagi. Lagi 30 minit untuk masuk waktu subuh. Selesai saja dia mandi dan mengambil wudhuk, Wak Abu sudah pun berdiri di depan bilik air menunggu gilirannya untuk mandi dan berwudhuk. Wak Abu memang akan berjemaah di masjid bersama Mak Nipah apabila tibanya waktu solat subuh.
          "Kenanga dah bersiap ke?" soal Mokhtar apabila dia melangkah ke dalam bilik. Kenanga membalas dengan memberikan sebuah senyuman kepada suaminya itu.
          "Pergilah tunggu dengan Mak Nipah kat luar dulu. Bagi abang siap-siap jap." arah Mokhtar sambil melihatkan isterinya meletakkan kain dan baju untuk dia pakai dengan kemas di atas tilam. Apabila semuanya sudah bersiap, mereka pun pergi menuju ke masjid dengan menaiki kereta milik Mokhtar.
          "Waktu subuh kat kampung ni memang ramai pengunjung." kata Wak Abu.
          "Tu la pasal. Berbeza betul dengan Kuala Lumpur. Waktu subuh tu lah paling tak ramai orang. Paling banyak pun 2 saf je." balas Mokhtar.

          Setelah selesai menunaikan solat fardhu subuh, mereka semua tidak terus pulang. Mereka menunggu untuk mendengar ceramah dari seorang ustaz yang selalu memberikan syarahan di masjid itu setiap pagi. Apabila tamatnya ceramah tersebut, mereka semua menuju ke kereta Mokhtar.
          "Mak Nipah tak payah buat sarapanlah pagi. Kita makan kat warung Hj. Wan sana. Saya belanja." pelawa Mokhtar.
          "Eh, tak payahlah. Susah-susah saja." balas Mak Nipah tersengih.
          "Alaaa.. susah apanya, kami ni haa yang menyusahkan Mak Nipah sekeluarga. Jom-jom.." kata Mokhtar tetap dengan pendiriannya untuk belanja keluarga itu bersarapan. Ketika mereka tiba di warung Hj. Wan tersebut. Warung tersebut sudah pun dipenuhi dengan pelanggan, kebanyakkannya adalah pengunjung masjid.
          "Ni kalau pukul 10 malam saya datang, memang saya tak singgah." kata Mokhtar.
          "Kenapa pulak kamu tak singgah?" soal Wak Abu dan Mak Nipah serentak.
          "Mana tak nya, tengoklah tu. Siap dengan telekung warna putih. Nanti saya ingatkan pocong." jawab Mokhtar disambut dengan gelak ketawa dari semua orang yang berada di dalam kereta itu. Selesai bersarapan, mereka pun terus pulang ke rumah. Mokhtar mengajak Wak Abu untuk ke rumah pak imam kerana adalah pertanyaan yang ingin diajukan kepada pak imam. Wak Abu memberikan tanda setuju dengan mengangkat ibu jarinya dan menunjukkan ke arah Mokhtar. Sebelum sampai ke rumah, Mak Nipah mengajak mereka pergi ke pasar pantai dahulu untuk membeli lauk untuk di masak pada tengaharinya nanti.

          "Assalamualaikum!" Mokhtar memberikan salam.
          "Waalaikumusalam!" Wardina menjawab salam. Mukanya bengis seperti sedang datang bulan dan senggugut sekali gus.
          "Uish.. garangnya muka. Pak imam ada rumah?" soal Mokhtar.
          "Inilah rumah dia.." jawab Wardina selamba.
          "Hek eleh, loyar buruk pulak dia. Bapak kau ada di rumah tak maksudnya si Mokhtar." kata Wak Abu pula.
          "Tak tau ke? Dia pergi rumah kayu tu pagi ni dengan anak murid dia." jawab Wardina, kali ini suaranya agak kasar. Mokhtar dan Wak Abu berpandangan sesama sendiri. Buat apa pula pak imam di rumah kayu itu pada waktu sebegitu awal sekali? Kemudian, mereka pun meminta diri untuk pergi ke rumah kayu tersebut.
          "Kenapa pulak dia orang pergi tak bagitau dekat kita ya, Wak?" soal Mokhtar aneh.
          "Wak pun tak tahu lah. Marilah kita tengok sendiri apa yang pak imam buat kat sana." jawab Wak Abu kebingungan.

          Ketika mereka tiba di rumah kayu tersebut. Mereka mendapati bahawa tiga orang anak murid pak imam sedang terbaring di atas tanah. Manakala, pak imam pula sedang bergelut dengan sejenis makhluk yang tingginya 30 kaki. Dengan pantas Mokhtar hentikan keretanya dan keluar berlari ke arah tiga orang anak murid pak imam. Mereka bertiga pengsan tapi masih bernyawa. Wak Abu pula mengambil parang yang tidak jauh dengan Mokhtar dan meluru ke arah makhluk itu. Wak Abu memberikan tiga tikaman di belakang makhluk tersebut sebagai hadiah perkenalan. Makhluk tersebut menjerit kesakitan, jeritannya itu mungkin dapat didengari hingga ke hujung kampung. Kemudian makhluk tersebut berlari ke arah hutan dan menghilangkan diri. Wak Abu berkejar mendapatkan pak imam yang jatuh rebah ke bumi. Badannya berlumuran dengan darah.
          "Bawa aku pulang ke rumah. Biarkan isteriku saja yang merawat. Ingat! Jangan beritahu kejadian ini kepada sesiapa pun. Biar ianya sampai ke telinga penduduk kampung ini saja. Aku tak mahu masalah lain pula yang datang." kata pak imam. Suaranya lemah kerana kecederaan yang dialaminya.
          "Mokhtar! Bawa pak imam ke rumah dia dulu kemudian panggil orang kampung untuk membantu aku kat sini!" arah Wak Abu. Tanpa membantah, Mokhtar terus mengangkat pak imam bawa masuk ke dalam tempat duduk belakang kereta dan berlalu pergi ke rumah pak imam. Setelah dibawa masuk pak imam ke dalam rumah. Isteri dan anaknya bergegas ke dapur untuk mengambil barang-barang perubatan. Selepas itu, Mokhtar berlari pula ke kereta dan bergerak ke warung yang terdekat. Nasib Mokhtar baik kerana ada ramai lagi pengunjung kampung di warung tersebut. Mereka semua terkejut selepas mendengar cerita dari Mokhtar, lalu mereka pun bergegas bergerak ke lokasi kejadian.

          Semua orang sudah pun tiba di kawasan kejadian. Mereka semua membantu Wak Abu angkat tiga orang anak murid pak imam yang masih belum sedarkan diri dan dibawa masuk ke dalam kereta Mokhtar untuk dibawa pulang ke rumah pak imam.
          "Jangan bagi sesiapa pun yang datang ke rumah ni! Peristiwa yang lama mungkin terjadi lagi! Sampaikan pesan kepada semua orang kampung agar berhati-hati!" pesan Wak Abu kepada semua orang yang berada di situ. Kemudian, Wak Abu memasuki kereta Mokhtar dan mengarahkan Mokhtar untuk memandu ke rumah pak imam.
          Setibanya mereka ke rumah pak imam, kelihatan ketua kampung juga turut berada di sana. Beberapa orang kampung yang berada di situ membantu Wak Abu memikul anak-anak murid pak imam dan di bawa naik ke rumah. Mereka semua di rawat oleh isteri pak imam.

          "Macam mana sekarang ni? Apa yang patut kita buat?" soal ketua kampung tegas.
          "Jangan risau, aku ada cara. Syaitan tu cuma mahukan Mokhtar saja." terang pak imam yang sedang duduk bersandar di dinding rumah sambil menahan kesakitan.
          "Apa maksud kau?" soal ketua kampung menginginkan kepastian.
          "Kita serahkan saja Mokhtar pada bangsat tu." terang pak imam lagi. Membuatkan semua yang berada di situ berada dalam keadaan yang terkejut. Mokhtar yang juga berada di situ terdiam seribu bahasa. Dia terkejut dengan apa yang pak imam ucapkan. Serahkan dia sebegitu saja? Biar betul? Orang ramai yang berada di situ mula bercerita yang macam-macam. Mereka mula menyalahkan segala yang berlaku pada hari itu pada Mokhtar. Mereka menyatakan jika Mokhtar tidak pulang, sudah tentu makhluk yang menghuni rumah itu tidak akan bangkit. Dan, mereka juga turut menyalahkan Zubir kerana kebodohannya terjebak ke alam kegelapan.
          Ketika semua sedang sibuk menyalahkan keluarga arwah Zubir. Tanpa disedari Mokhtar sudah pun menghilangkan diri.
          "Mana Mokhtar?" tanya ketua kampung kepada semua yang berada di situ. Semuanya menggelengkan kepala. Keretanya juga tidak ada di luar.
          "Apa mungkin dia terdengar cadangan aku tadi?" soal pak imam pula.
          "Mana tak dengarnya! Semua yang ada dalam ni semua ada telinga, imam oi. Kalau tak nak bantu, bagitau siang-siang. Fikir jugalah hati dan perasaan Mokhtar tu. Dia sudahlah baru je tau pasal benda-benda pelik ni!" teriak Wak Abu yang begitu marah dengan semua orang yang berada di situ terutamanya pak imam kerana dialah punca idea itu wujud. Lalu Wak Abu bergegas bangun dan keluar dari rumah pak imam.

          "Aku sudah tak mampu nak menentang benda tu lagi. Aku bukannya muda lagi. Badan aku dah tak larat." kata pak imam lemah. Nadanya seperti kesal dengan apa yang berlaku. Silapnya juga kerana berkata mengikut perasaan.
          "Aku faham. Mokhtar tu takde apalah. Paling teruk pun, dia lari tinggalkan kampung ni je." balas ketua kampung sambil menghelakan nafas yang panjang.


--Bersambung--
         
       

Monday, 15 February 2016

Rumah Kayu #3

          Wak Abu, Mokhtar dan pak imam telah pun tiba di halaman rumah arwah Zubir. Ketika mereka bertiga melangkahkan kaki keluar dari kereta. Angin yang kuat telah datang menerpa ke arah mereka. Pak imam dari tadi mulutnya tidak berhenti-henti membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Dia menyuruh Mokhtar untuk pergi membuka pintu hadapan rumah. Mokhtar akur dan berjalan menaiki tangga menuju ke pintu depan ditemani oleh Wak Abu. Selepas pintu di buka, sejenis bau hanyir menyinggah ke hidung mereka berdua. Mengakibatkan Wak Abu berlari turun ke tanah dan muntah. Mokhtar masih lagi mampu untuk mengawal diri. Namun, apabila dia tiba-tiba terlihat sesusuk tubuh wanita muncul di ruang tamu. Dia terus menjadi sangat takut dan berlari ke arah pak imam. Wak Abu juga turut berlari menyorok dibelakang pak imam. 

          Kemudian, ketua kampung pun tiba bersama dengan tiga orang pemuda yang merupakan anak didik pak imam. Mereka menghulurkan sebungkus kain kuning kepada pak imam. Pak imam mengambilnya dan meletakkan ia ke atas tanah. Kemudian, pak imam duduk bersila dan membuka kain tersebut. Di dalamnya mempunyai tiga barang iaitu limau empat biji, garam, dan lada hitam. "Bawakan aku minyak." arah pak imam kepada anak muridnya. Lalu anak muridnya dua orang berlalu pergi demi mengambil minyak yang di pinta. Mokhtar menghampiri Wak Abu. 
          "Wak.. Saya nak kebenaran, sekarang juga." kata Mokhtar tegas.
          "Hmm..baiklah..Zubir, ayah mertua kau tu. Dulu dia menuntut ilmu agama dengan seorang yang dia anggap ulama. Waktu dia menuntut ilmu tu, semuanya berjalan dengan baik. Tapi, suatu hari tu entah kenapa, dia seperti berubah tiba-tiba. Dia berubah selepas ulama tersebut meninggal dunia. Wak tengok dia macam dah hilang pedoman hidup. Sebulan selepas pemergian ulama tu. Zubir selalu pergi ke gunung setiap malam jumaat. Apa yang dia buat kat gunung tu pun Wak tak tahu. Selepas matahari dah muncul barulah dia akan pulang ke rumah dan melakukan kerja-kerja hariannya seperti biasa." kata Wak Abu. Mokhtar menumpukan perhatian kepada apa yang diceritakan oleh Wak Abu.
          "Selepas tu?" kata Mokhtar ingin tahu cerita yang selanjutnya.
          "Hmm..ada suatu hari tu. Orang-orang kampung mula di ganggu dengan makhluk aneh setiap malam. Ada seorang ustaz cuba untuk menghalau makhluk yang mengganggu tu tapi dia tak cukup kuat untuk melawan makhluk tersebut. Dia meninggal ketika sedang bertarung. Kemudian, kampung menjadi sangat kucar-kacir. Setiap malam, semua orang akan berkumpul di masjid untuk membacakan surah yassin. Makhluk tu menjadikan kaum lelaki sebagai sasaran. Jadi, semua kaum lelaki yang ada di kampung ni terpaksa bekerjasama untuk menghalang makhluk tu dari menculik lelaki. Setiap malam pasti akan hilang seorang. Lelaki yang diculik akan di makan hidup-hidup."
          "Makan??!!" kata Mokhtar terkejut dengan apa yang dia dengar.
          "Ya, makan. Sampailah suatu hari tu, aku datang ke kampung ni dengan keluarga aku. Aku dan keluarga aku buat keputusan untuk tinggal di kampung ni. Tapi tak sangka pula masa kami datang kampung ni sedang ditimpa masalah yang serius. Jadi aku menawarkan diri untuk menghapuskan makhluk durjana tersebut." kata pak imam pula menyambung cerita dari Wak Abu. 
          "Jadi, ayah mertua saya punya angkara ke semua tu?" tanya Mokhtar. 
          "Ya, Zubir punya angkara. Waktu dia tengah bersedih akibat kehilangan guru yang disayangi. Syaitan datang mengetuk pintu hatinya. Syaitan itu menjelma sebagai gurunya dan mengaku bahawa dia adalah gurunya. Syaitan tersebut berjanji akan sambung mengajar Zubir walaupun sudah meninggal. Zubir sangat gembira. Tapi dia tak tahu bahawa syaitan sedang membuatkan dia menjadi sesat dari landasan yang sebenarnya. Zubir diarahkan untuk pergi ke gunung untuk bertapa dan dia harus makan bangkai tikus sepanjang pertapaan dia. Sewaktu aku berdepan dengan ayah mertua kau. Syaitan yang menjadi gurunya muncul, dan aku terpaksa bertarung dengan syaitan tersebut. Alhamdulillah aku berjaya. Dan, ayah mertua kau aku sekolahkan cukup-cukup. Aku bawa dia kembali ke pangkal jalan. Selepas peristiwa tersebut, keadaan kat kampung ni kembali menjadi aman. Sampailah kau pulak muncul dan berkahwin dengan anak daranya." kata pak imam tersebut.

          Semuanya diam tidak berkata. Muka Mokhtar berubah menjadi sedih. Wak Abu menepuk bahu Mokhtar beberapa kali untuk menenangkan dia.
          "Makna kata selama ni Kenanga berahsia pada saya" kata Mokhtar dengan nada yang merendah. Hatinya sedikit merajuk kerana isteri yang dicintainya tidak memberitahu perkara sebenar kepada dia. Jika dia tahu, sudah tentu dia tidak akan kembali ke kampung dan bersetuju dengan cadangan isterinya itu. 
          "Orang-orang kampung ni yang paksa Kenanga untuk tutup mulut. Kami tak nak sampai orang luar tahu tentang apa yang berlaku dikampung ni. Cukup hanya kami saja yang tahu." kata ketua kampung pula. 

          "Cerita tu tak berakhir di situ." kata pak imam, kemudian anak muridnya sampai dan menghulurkan minyak kelapa kepada pak imam. Lagi seorang anak muridnya menghulurkan mangkuk kepada pak imam. Setelah semua barang-barang tersebut sudah ada di tangan pak imam. Lalu, dia pun melakukan kerja-kerjanya. Dia membaca ayat Qursi sambil menuangkan minyak kelapa ke dalam mangkuk kosong. Kemudian dia mencampakkan lada hitam ke dalam minyak tersebut. Limau dibelah dua, dan diperah ke atas keris. Garam diberikan kepada anak muridnya. Lalu, anak muridnya berjalan ke arah rumah dan menabur garam ke sekeliling rumah itu. Pak imam mencelupkan keris ke dalam mangkuk berisi minyak kelapa dan lada hitam tersebut. Kemudian, dia bangun dan berjalan ke arah rumah kayu tersebut. 
          "ALLAHUAKHBAR!!!" jerit pak imam lalu dicucuk keris ke atas tanah diluar kawasan garam yang di tabur. Kawasan disekitar rumah tu tiba-tiba saja bergegar seperti gempa bumi. Semua yang berada di situ turut dapat merasakan gegaran yang berlaku. 

          "Cukup untuk hari ini. Kita lihat dulu apa yang akan berlaku kemudian." kata pak imam dan meminta izin untuk mengundurkan diri kerana waktu zohor hampir tiba. 
          "Mokhtar nama kau kan? Lepas zohor datang ke rumah aku. Aku akan ceritakan semuanya." pesan pak imam. Dan Mokhtar angguk tanda setuju. Mereka beredar dari kawasan rumah kayu itu dan pulang ke rumah masing-masing. Selepas dia tiba di rumah Wak Abu, isterinya Kenanga sedang menanti di pangkin bersama Mak Nipah. Wak Abu menceritakan perkara yang berlaku kepada mereka berdua dan mengajak Mak Nipah untuk masuk ke dalam rumah bagi memberikan ruang untuk Mokhtar dan Kenanga bercakap berdua. 
          "Kenapa sayang tak pernah bagitau kat abang?" soal Mokhtar, wajahnya sayu.
          "Kenanga minta maaf abang. Kenanga dah berjanji dengan orang kampung yang Kenanga tak akan menceritakan hal ni kepada abang." jawab Kenanga, suaranya tersekat-sekat kerana dia hampir menangis. Takut akan suaminya. Walaupun suaminya tidak pernah memarahi dia di atas kesilapan yang dia lakukan sepanjang mereka berumah tangga. Namun, dia tetap rasa takut kerana dia telah merahsiakan sesuatu dari pengetahuan suaminya. Kerana, seseorang isteri itu boleh jatuh berdosa jika dia tidak berlaku jujur dengan suami. Disebabkan, syurga isteri adalah dibawah tapak kaki suami. Kenanga takut jika suaminya akan memarahi dirinya di atas rahsia yang dia tidak beritahu. Mokhtar masih mendiamkan diri sambil matanya ditumpukan kepada isterinya. Kenanga terus menangis kerana dia tidak dapat menahan perasaan takut dan kecewa kerana dia telah menghampakan suami kesayangannya itu. Dia memegang tangan kanan suaminya dan berkali-kali meminta maaf.

          "No more secret next time, okay?" kata Mokhtar sambil mencubit lembut pipi isterinya dan memberikan sebuah senyuman yang ikhlas.
          "Kenanga minta maaf, bang. Kenanga tau Kenanga dah buat salah. Kenanga minta maaf sangat-sangat." balas Kenanga teresak-esak. Lalu dia memegang tangan kanan suaminya dan dia kucup lama.
          "Abang faham. Kenanga hanya menunaikan janji kepada orang-orang kampung ni. Kenanga tak perlu risau. Abang faham." sambung Mokhtar lagi, sambil tangan kirinya mengusap lembut kepala Kenanga. Kemudian, meletakkan jari dibawah dagu Kenanga dan menolak dagunya ke atas agar wajah mereka bertemu. Dan, Mokhtar mengelap saki baki air mata yang masih ada di pipi isterinya. Isterinya tersenyum manja. Mata mereka bertentang. Perlahan-lahan Mokhtar merapatkan wajahnya ke arah Kenanga.
          "Hoi! Cari biliklah woi!" jerit Wak Abu dari beranda rumah. Kemudian, dia mengajak mereka berdua untuk masuk ke dalam rumah demi menunaikan fardhu zohor yang telah masuk dikawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Selesai solat, mereka pun diajak oleh Mak Nipah untuk menjamah makanan tengahari yang telah pun tersedia di dapur. 
          "Kenanga dan Mokhtar tinggal aje dulu di sini sampai semuanya selesai." pelawa Mak Nipah sambil mencedokkan nasi ke dalam pinggan Wak Abu.
          "Eh..tak apalah, saya tak nak menyusahkan keluarga Wak Abu lama-lama. Biarlah saya dan Kenanga tidur di hotel saja." balas Mokhtar.
          "Tak apalah. Tinggal sini aje. Sekurang-kurangnya Mak Nipah ada kawan. Tak adalah bosan sangat duduk rumah seorang diri." sambung Mak Nipah lagi.
          "Wak pun setuju. Lagi pun rumah ni sunyi sangat. Anak-anak semua sudah ke luar negara sambung belajar." tambah Wak Abu pula.
          "Bang, kita tinggal sini saja dulu ok." pujuk Kenanga pula sambil menggenggam tangan suaminya. Akhirnya Mokhtar bersetuju untuk tinggal di situ. 

          Selesai menjamu selera. Wak Abu dan Mokhtar pun bergerak dari rumah menuju ke rumah pak imam untuk mendengar sambungan cerita yang tergantung tadi. Selepas mereka tiba, pak imam menyambut mereka dan mengajak untuk masuk ke dalam rumah. Mereka duduk di atas sofa. Wardina, anak perempuan tunggal pak imam keluar dari dapur dan menyajikan mereka dengan air kopi dan keropok lekor losong. Kemudian, dia duduk disebelah pak imam.
          "Ni abang Mokhtar suami kak Kenanga kan?" soal Wardina. 
          "Ya." jawab mokhtar ringkas. 
          "Abah.." kata Wardina sambil memegang tangan pak imam.
          "Ya, abah tau. Biar abah handle. Dina pergi tolong mama kat dapur." jawab pak imam mengarahkan supaya anak daranya itu ke dapur. Mokhtar perasan perubahan pada riak wajah Wardina selepas dia tahu bahawa dirinya itu suami kepada Kenanga. 

          "Apa yang aku akan ceritakan ni akan membuatkan kau tak selesa. Kau kena bersiap sedia. Jangan takut atau apa. Ingat! Allah itu Maha Berkuasa ke atas segala ciptaan-Nya." kata pak imam tegas. Mokhtar hanya mengganggukkan kepalanya saja. Angin dari luar masuk ke dalam rumah dan menyinggah di pipi Mokhtar, terasa nyaman dan damai saja pada waktu itu. Membuatkan rasa tegang yang berada di dalam hatinya menjadi tenang.
          "Selepas kau dan Kenanga berpindah keluar dari kampung ni. Kampung ni kembali berada dalam keadaan kucar-kacir. Aku fikir aku sudah selesaikan masalah yang menimpa kampung ni. Rupa-rupanya aku silap. Perkara yang berlaku seterusnya memang diluar jangkaan aku. Ayah mertua kau, dia berubah menjadi seekor makhluk yang gerun. Berketinggian 200 sentimeter. Dia memakan mangsanya hidup-hidup. Dia hanya berubah menjadi makhluk gerun pada waktu malam, manakala pada waktu siang dia jadi manusia biasa. Mangsa terakhir yang menjadi santapan dia adalah, mak mertua kau. Pada waktu kejadian, aku bersama orang kampung datang ke rumah tu untuk menangkap ayah mertua kau. Tapi, apa yang kami lihat, ayah mertua kau sedang sedap meratah tubuh isterinya. Disebabkan dia sedar dengan kehadiran kami, aku terpaksa menembak dia dengan menggunakan senapang gajah. Lalu, meninggal lubang yang besar di dada dia. Akibat dari terkena tembakan tersebut. Ayah mertua kau meninggal dunia serta merta disamping isterinya." kata pak imam. Mokhtar bagaikan tidak percaya dengan apa yang dia dengar.
           "Kenanga tahu tak pasal ni?" soal Mokhtar.
          "Tak. Kami tak nak dia tahu akan perkara ni." jawab Wak Abu. Mokhtar terus mendiamkan diri dan menundukkan wajahnya ke bawah. Hatinya terasa sakit selepas mendengar kebenaran. Dia merasa sedih kerana isterinya terpaksa menanggung malu akibat ayahnya sendiri. Selamat orang kampung disitu semuanya baik-baik belaka. Jika orang lain, sudah tentu rumah itu akan dibakar, dan Kenanga juga turut dibunuh.

          "Kau adalah pewaris" kata pak imam membuatkan Wak Abu dan Mokhtar tercenggang. 
          "Pewaris? Saya tak faham." balas Mokhtar kebinggungan.
          "Sebenarnya apa yang berlaku pada Zubir akan diturunkan kepada kau. Sebab dia nak jadikan kau sebagai pengganti untuk terus mengamalkan ilmu hitam yang dia tuntut selama dia hidup." jelas pak imam. 
          "Ja..ja...jadi...apa yang patut saya buat?" soal Mokhtar sedikit merasa takut.
          "Kau tak perlu risau, aku akan bantu sedaya upaya. Kita cuma perlu tunggu dan lihat. Dia akan datang kepada kau tidak lama lagi. Bila perkara tu terjadi, kau kena tolak sekuat hati. Sebab apa yang dia tawarkan memang akan membuatkan hati kau untuk bersetuju." kata pak imam lagi.
          "In-shaa-Allah. Saya akan buat yang terbaik. Kalau boleh pak imam. Tolong selesaikan semuanya supaya tak akan ada apa-apa yang buruk lagi akan berlaku lagi di masa hadapan. Saya tak nak benda ni berlaku lagi." balas Mokhtar lemah. Hatinya terus saja rasa tidak tenang dengan semua perkara yang dia dengari.


--Bersambung-- 
          
       

Saturday, 13 February 2016

Rumah Kayu #2

          Selesai makan malam, Mokhtar bersama Wak Abu duduk bersebelahan di pangkin yang terletak tidak jauh dari tangga untuk menaiki ke rumah Wak Abu. Mokhtar memerhatikan lampu kalimantang yang tergantung di atas pokok menerangi pangkin tersebut. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Wak Abu yang sedang sibuk dari tadi membalut kretek. Agak banyak juga yang dibalutnya. Mungkin untuk bekalan ke jamban jika waktu-waktu kecemasan. Wak Abu menyalakan kretek yang dibalutnya sebentar tadi, kemudian dihembuskan asap ke arah depan. Berkepul-kepul asap tersebut. Kadang-kala, dia membuat pelbagai bentuk ketika menghembuskan asap kretek itu. Ada bentuk bulat, bentuk petak, bentuk segitiga, bentuk 28 19 30 dan bentuk dacing.
         
          "Kau memang nekad ke nak tinggal di rumah peninggalannya si Zubir?" tanya Wak Abu tidak semena-mena.
          "Itu yang isteri saya inginkan, saya kena tunaikan." jawab Mokhtar ringkas.
          "Apa yang kau dengar masa dalam rumah tu siang tadi?" tanya Wak Abu lagi. Kali ini riak wajahnya berubah serius.
          "Saya dengar bunyi orang berbisik. Saya tau mana arah bisikan tu, tapi bila saya toleh. Tak ada sesiapa pun." jawab Mokhtar, wajahnya berkerut. Selepas mendengar kata-kata Mokhtar, Wak Abu termenung panjang. Mokhtar pun hanya mendiamkan diri saja sambil melemparkan pandangan ke arah parit.
          "Wak Abu, ada apa-apa ke tentang rumah tu yang saya wajib tau?" tanya Mokhtar pula.
          "Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?" balas Wak Abu.
          "Sebab masa saya buka pintu rumah tu, saya rasa macam ada yang tak kena je. Hati saya tiba-tiba rasa tak sedap." jawab Mokhtar kemudian dia mengeluh panjang. Wak Abu masih mendiamkan diri tanpa membalas persoalan yang bermain difikiran anak buahnya itu.
          "Wak Abu mesti tau sesuatukan tentang rumah tu? Saya dan Kenanga nak tinggal lama kat situ. Kami nak beranak-pinak kat situ. Saya tak nak ada apa-apa masalah yang tak diingini berlaku terhadap keluarga saya." sambung Mokhtar lagi. Dan Wak Abu terus mendiamkan diri tanpa bercakap sepatah perkataan. Kretek di tangannya juga tidak berhisap.
          "Please Wak. Bagitau saya benda yang patut saya tau tentang rumah tu." tambah Mokhtar lagi, kali ini nada suaranya mendayu dan dia merayu kepada Wak Abu agar jangan merahsiakan apa-apa perkara dari dia tentang rumah tersebut.

          Namun, Wak Abu membuat keputusan untuk mendiamkan diri saja. Disebabkan kesal dengan sikap Wak Abu, Mokhtar mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah saja untuk menjenguk apa yang sedang di buat oleh Kenanga. Apabila dia tiba di bahagian ruang tamu rumah Wak Abu, kelibat Kenanga tiada di situ. Lalu Mokhar berjalan menuju ke arah dapur di mana dia terdengar suara Kenanga dan Mak Nipah berborak-borak. Apabila dia tiba di bahagian dapur. Dia terus memberikan salam. Mak Nipah dan isterinya sedang rancak berborak tentang kenangan silam.
          "Kalau kau nak tau, Tar. Kenanga ni dulu pernah tendang budak lelaki kat sekolah dia tau." kata Mak Nipah sambil tersenyum.
          "Eh, janganlah bagitau Mak. Malulah Kenanga." sampuk Kenanga sambil tertawa kecil. Mokhtar pula hanya tersenyum riang dan memasang telinga untuk mendengar cerita dari mulut Mak Nipah.
          "Budak lelaki tu selalu buli dia dan kawan-kawan dia, Satu hari tu, Kenanga ni dah marah sangat. Dia tendang budak yang ganggu dia tu sampai masuk ke dalam parit." kata Mak Nipah di ikuti ketawa besar bersama-sama Mokhtar dan Kenanga.

          "Apakah harus aku memberitahu pada anakmu, Zubir? Apakah harus aku menceritakan semuanya? Aku takut jika anakmu dan suaminya jadi takut lalu lari pula nanti." bisik Wak Abu di dalam hati. Wajahnya kelihatan gelisah dan runsing. Seperti ada masalah besar yang sedang berlaku.
          "Mokhtar! Mari ke pangkin ni sebentar!" jerit Wak Abu memanggil Mokhtar. Kemudian, Mokhtar terpacak di depan pintu dan memandang ke arah Wak Abu.
          "Mari sini. Duduk dengan aku. Ada cerita aku ingin beritahu." sambung Wak Abu lagi. Mokhtar tidak menjawab tetapi di akur dan turun menuruni tangga dan berjalan menuju ke arah pangkin. Setelah dia duduk disebelah Wak Abu. Wak Abu terus memberitahukan rahsia tentang rumah itu kepada dia.
          "Dengar sini baik-baik, nak. Rumah arwahnya Zubir itu. Sebenarnya, HIDUP." kata Wak Abu kepada Mokhtar yang sedang menumpukan pandangan matanya ke arah dia.

          Setelah menghirup sedikit air kopi yang di bancuh oleh Mak Nipah. Mokhtar meminta untuk beransur ke luar rumah untuk duduk bersama Wak Abu dan membiarkan Mak Nipah berbual dengan Kenanga. Dia tidak ingin mengganggu mereka berdua kerana topik perbualan mereka kebanyakkannya hanyalah mengenai wanita, kehidupan seorang isteri. Topik-topik itu semua membuatkan Mokhtar menjadi cepat muak dan bosan. Ketika Mokhtar ingin turun tangga menuju ke arah pangkin. Dia menjadi hairan kerana dilihatnya Wak Abu sedang bercakap seorang diri di situ.
          "Wak!" jerit Mokhtar dan mengakibatkan Wak Abu yang sedang rancak berkata-kata tadi terdiam dan mengalihkan pandangannya ke arah Mokhtar. Wajah Wak Abu terkejut. Mukanya tiba-tiba menjadi pucat. Dia melihat ke arah sebelah kirinya, tiada sesiapa. Habis tu, dengan siapa dia beritahu tentang rahsia rumah kayu tu?
          "Wak cakap dengan siapa?" tanya Mokhtar ketika menghampiri Wak Abu. Wajah Wak Abu benar-benar pucat dan mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak boleh kerana tekaknya terasa sakit.
          "Wak, kenapa ni? Muka Wak pucat semacam je. Wak okay tak?" tanya Mokhtar lagi setelah dia melihat keadaan Wak Abu seperti orang ternampak hantu.
          "Takda siapa. Aku bersajak saja tadi." jawab Wak Abu menipu. Mokhtar menjadi hairan dengan tingkah laku Wak Abu. Mukanya pucat tiba-tiba saja selepas dia menegur. Takkan bersajak boleh jadi pucat macam tu?
          "Dengar sini. Esok kita ke rumah tu, aku akan tolong kau kemas-kemas rumah tu. Kemudian, kita buat kenduri doa selamat. Bukan apa, dah terlalu lama sangat rumah tu terbiar kosong." sambungnya lagi.
          "Ya tak ya jugak. Rumah tu lama sangat kosong. Jadi, suara yang saya dengar tu mestilah suara yang menumpang." kata Mokhtar kepada dirinya sendiri.
          "Tentang tu kau jangan bimbang. Nanti aku minta saja tolong sama imam kampung kita untuk halau 'benda' yang menumpang tu." balas Wak Abu, dia bersyukur kerana Mokhtar masih tidak tahu tentang perkara sebenar. Tetapi, lambat laun Mokhtar kena tahu juga perkara sebenar. Namun, Wak Abu membuat keputusan untuk tidak memberitahu dia pada waktu itu. Cuma yang menjadi tanda tanya, dengan siapakah dia berbual tadi?

          Keesokkan harinya, Wak Abu dan Mokhtar bersama dengan seorang pemuda kampung bernama Zaman bergerak menuju ke arah rumah tersebut untuk membersihkannya. Zaman di suruh untuk membantu Mokhtar kemas di bahagian dalam rumah. Mereka berdua diarahkan supaya kemas pada satu ruang bersama-sama kerana bila kerjasama lebih cepat siap. Sementara Wak Abu sendiri akan membersihkan bahagian luar rumah. Setelah semuanya bersetuju, mereka pun terus melakukan kerja masing-masing. Zaman berdiri dibelakang Mokhtar ketika da sedang membuka kunci pintu rumah itu. Setelah pintu di buka dan salam pun di beri. Mereka berdua pun masuk melangkah kaki ke dalam rumah. Zaman memberitahu Mokhtar bahawa dia terbau benda busuk seperti bangkai. Mokhtar turut dapat menghidu bau tersebut. Zaman menyarankan agar buka tingkap dahulu supaya bau tersebut cepat hilang, kemudian barulah cari mana punca bau busuk tersebut.
          Setelah semua tingkap di ruang tamu dan bilik di buka. Mereka pun berjalan menuju ke arah dapur. Zaman perasan seperti ada objek di atas lantai dapur tersebut tetapi dapat lihat samar-samar saja kerana keadaan di dapur gelap. Selepas membuka kesemua tingkap, mereka lihat di atas lantai dapur itu terdapat banyak bangkai kucing bulu berwarna hitam. Keadaan tersebut membuatkan mereka menjadi sangat terkejut.
          "Semalam abang masuk, abang tak perasan ke bangkai-bangkai ni semua?" tanya Zaman ingin tahu. Mokhtar menggelengkan kepala dan memberitahu bahawa bangkai itu semua tidak wujud pada hari sebelumnya. Zaman berlari ke luar rumah memanggil Wak Abu untuk melihat bangkai-bangkai itu semua. Setibanya Wak Abu di dapur. Dia juga turut terkejut melihat perkara tersebut. Sambil mengangkat bajunya untuk menutup hidung akibat tidak tahan dengan bau busuk tersebut, dia mengajak Zaman dan Mokhtar untuk beredar saja. Mereka berdua tidak membantah dan mengikut Wak Abu menuju ke luar rumah. Tetapi, ketika mereka bertiga melintasi bilik besar, mereka bertiga terdengar suara perempuan. Kali ini ianya bukan suara bisikan. Suara itu amat jelas kedengaran.
          "Busuk ke? Pergilah kemas kalau rajin." kata suara misteri itu. Zaman yang ketakutan, terus berlari terjun keluar tingkap. Mokhtar dan Wak Abu juga terus berlari keluar rumah melalui pintu hadapan. Apabila mereka bertiga sudah berada di luar, kedengaran pula suara perempuan misteri itu ketawa mengilai. Membuatkan mereka bertiga berlari masuk ke dalam kereta. Mokhtar tergesa-gesa menghidupkan enjin kereta.

          Akibat ketakutan yang amat sangat, dia terus menggerakkan keretanya tanpa menurunkan brek tangan. Zaman yang perasan akan kesilapan yang dilakukan Mokhtar, segera menurunkan brek tangan mengakibatkan Wak Abu dan Mokhtar menjerit serentak.
          "Bila masa kau ada dalam kereta?!" jerit Mokhtar.
          "Bukan kau naik motor ke!?" jerit Wak Abu pula.
          "Ya Allah. Korang kalau ya benar takut pun janganlah sampai lupa ingatan. Kan saya datang menumpang sekali tadi. Motor kat rumah Wak Abu." balas Zaman resah dengan perangai mereka berdua. Walaupun dalam keadaan kelam kabut begitu, dia masih mampu untuk mengawal perasaan.
          "Saya rasa lebih baik kita terus pergi rumah pak imam dengan ketua kampung. Minta laporkan peristiwa tadi pada mereka." cadang Zaman. Mokhtar bersetuju lalu terus memandu keretanya menuju ke rumah pak imam. Setelah tiba di rumah imam, Wak Abu pun menceritakan perkara yang berlaku di rumah itu. Pak Imam mengurut janggutnya macho. Lalu dia kata dia akan bantu dan mengajak mereka untuk membawa dia ke rumah tersebut. Zaman ditinggalkan di rumah Wak Abu kerana pak imam menyuruhnya untuk memanggil tiga orang anak muridnya untuk datang ke rumah itu bersama barang yang di pesan. Zaman akur dengan permintaan pak imam dan pergi melaksanakan tugasnya menaiki motor. Kemudian, mereka pergi berjumpa dengan ketua kampung pula. Pada mulanya, ketua kampung tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun, setelah pak imam sendiri yang memberitahu bahawa dia juga turut merasakan perkara yang aneh. Ketua kampung terus bersetuju untuk membantu dari segi apa saja. Tetapi dia mengarahkan mereka semua untuk pergi dahulu dan dia akan menyusul selepas 30 minit.

--Bersambung--

Monday, 8 February 2016

Rumah Kayu #1

          Sebuah kereta berwarna ungu memasuki perkarangan rumah papan yang kelihatan sedikit usang akibat di mamah usia. Kereta tersebut berhenti tidak jauh dari tangga menuju ke pintu depan rumah itu. Enjin dimatikan. Perlahan-lahan pintu di buka. Seorang gadis berusia lingkungan 20-an melangkah keluar dari kereta tersebut. Lalu dia menutup pintu kereta dan membuka bonet untuk mengambil bagasinya. Dan perlahan-lahan dia berjalan menuju ke tangga rumah tersebut. Matanya memerhatikan keadaan rumah yang telah berusia itu. "Sudah setahun arwah mak ayah meninggal dunia, ini kali pertama aku menjejakkan kaki di rumah ni." kata gadis tersebut.

          "Kenanga, ambil kunci ni. Pergi buka pintu rumah tu. Buka semua tingkap kat dalam. Bagi habuk keluar." kata seorang lelaki yang baru saja melangkahkan kakinya keluar dari tempat pemandu.
          "Baiklah bang." balas Kenanga sambil melemparkan senyuman yang manis terhadap suaminya yang baru saja 3 tahun mendirikan rumah tangga bersama. Lalu, dia berjalan ke arah suaminya untuk mengambil kunci rumah tersebut.
          "Banyak kerja nak kena buat ni. Racun rumput, racun anai-anai. Nak kena gantikan balik mana dinding yang dah rosak dan berlubang." kata suaminya sambil menyerahkan kunci kepada Kenanga.
          "Wak Abu kata dia boleh bantu kita. Nanti abang cakaplah kat dia, okay?" balas Kenanga mesra. Kemudian, dia terus berjalan menaiki tangga rumah itu dan membuka kunci pintu rumah tersebut. Perlahan-lahan dia membuka daun pintu. Secara tiba-tiba, sekumpulan kecil kelawar terbang keluar dari arah dalam rumah. Membuatkan Kenanga terkejut dan menjerit. Suaminya yang baru saja sampai ke anak tangga, terkejar-kejar mendapatkan isterinya apabila dia mendapati isterinya itu menjerit.

          "Kenapa sayang? Ada apa?" tanya suaminya cemas.
          "Ada kelawar bang. Saya takut." jawab Kenanga ketakutan.
          "Laaa..Abang ingatkan apalah tadi. Kelawar je, tak payah takut. Rumah dah lama terbiar, memanglah macam ni." balas suaminya selamber.
          "Abang check lah dulu kat dalam tu. Mana tau kalau ada haiwan lain pulak yang menumpang. Please..tunaikan permintaan adindamu yang tersayang ni." rayu Kenanga sambil membuat muka manja.
          "Yalah, yalah. Kenanga tunggu kat kereta dulu. Abang masuk periksa kejap. Kalau 10 minit abang tak keluar, call polis okay?" jawab suaminya bergurau. Lalu suami Kenanga melangkahkan kaki kanan memasuki pintu hadapan. Dia membuka semua tingkap yang ada di ruang tamu rumah tersebut. Begitu banyak habuk dan sawang labah-labah yang harus dikemaskan. Semua perabot ayang ada di dalam rumah itu ditutupi dengan kain berwarna putih.
          "Uish, dua tiga hari jugak baru siap ni." bisiknya di dalam hati. Kemudian, dia menuju ke lima-lima buah bilik yang ada untuk membuka tingkap. Setibanya dia ke bilik yang ke lima, perasaan tidak sedap hati mulai menyerang. Dia merasakan was-was untuk memeriksa bilik yang ke lima tersebut. Bilik itu adalah bilik utama atau pun master bedroom. Bilik yang paling besar sekali di dalam rumah peninggalan arwah mak dan ayah mertuanya kepada Kenanga.

          Dia membuang perasaan was-was itu jauh-jauh dan terus membuka pintu bilik tersebut. Tanpa membuang masa, dia terus membuka tingkap di bilik itu agar cahaya terus masuk dan menerangi kegelapan yang menyelubungi. Ketika dia ingin melangkah keluar dari bilik itu, dia terperasaan akan katil yang ditutupi dengan kain putih itu seakan-akan bergerak. Akalnya berkata ia mungkin akibat daripada tiupan angin dari luar. Namun, hati kecilnya meronta-ronta untuk menoleh dan periksa. Lantas, perlahan-lahan suami Kenanga menoleh ke arah katil tersebut dan dia mendapati bahawa kain putih itu timbul. Seperti ada manusia yang sedang sembunyi di bawah kain tersebut. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Perkataan 'hantu' terus menyingkap ke akal fikirannya dan membuatkan dia terus berlari ke luar bilik. Kemudian, dia memberanikan diri untuk periksa lagi sekali untuk mendapatkan jawapan apakah benar apa yang dia lihat sebentar tadi? Perlahan-perlahan dia melangkahkan kaki menuju ke depan pintu bilik itu. Matanya ditumpukan pada katil tersebut. Tiada. Kain putih yang menutupi katil itu elok berlapik. Seperti tidak ada pernah sesiapa pun yang mengusiknya.
          "Ahhh..perasaan aku je rupanya. Apa da.. Selamat Kenanga tak ada tadi. Kalau tak, buat malu aku je." rungutnya di dalam hati. Lalu dia berlalu pergi dari bilik tersebut dan terus menuju ke arah dapur di mana dia harus berjalan menuruni tangga. Setibanya dia di dapur, tanpa membuang masa dia terus membuka pintu belakang dan segala tingkap yang ada. Pada masa yang sama, dia memeriksa setiap sudut dapur termasuklah tandas jika-jika ada haiwan-haiwan liar atau berbisa yang menumpang rumah tersebut. Setelah memastikan semuanya selamat. Dia terus berjalan ke arah tangga.

          Apabila dia ingin menaiki tangga tersebut, dia tertoleh sekilas ke arah kerusi yang berada dekat dengan meja makan. Seperti ada seorang lelaki tua sedang duduk di atas kerusi tersebut. Langkah kakinya terhenti di anak tangga yang pertama. Perlahan-perlahan dia menoleh kembali ke arah kerusi tersebut untuk memastikan. Tiada sesiapa di situ. Kemudian dia terus menaiki tangga dan berjalan menuju ke pintu hadapan. Ketika dia melintasi bilik besar, dia terdengar seperti ada bisikan yang memanggil nama isterinya, Kenanga.
          "Kenanga...Kenanga dah pulang?" jelas kedengaran ditelinganya. Perkara tersebut membuatkan dia terus menoleh ke dalam bilik besar itu. Kerana dia pasti suara bisikan tersebut datang dari arah bilik itu. Tetapi tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba saja bulu ditengkuknya tegak berdiri. Perasaan seram mulai menyingkap di dalam hati. Tanpa mempedulikan semua itu dan menganggapkan ianya hanyalah perasaan, dia terus berjalan keluar dari rumah itu. Ketika dia tiba di depan pintu, dia di sapa oleh seorang lelaki tua.

          "Haaa.. Mokhtar. Assalamualaikum." sapa lelaki tua tersebut.
          "Waalaikumusalam. Eh.. Wak Abu.. Bila sampai?" balas Mokhtar mesra.
          "Baru saja. Kenapa tak dibagitaunya nak balik? Selamat Wak nampak kereta kamu masa kat kedai Joko tadi. Kalau bagitau, bolehlah Wak kemaskan sikit-sikit laman ni haaa.." kata Wak Abu mesra sambil tersenyum menampak giginya yang jarang-jarang.
          "Alaa.. tak payah susah-susahlah Wak. Saya boleh kemaskan nanti. Maaflah, nak pelawa masuk pun rumah ni tak kemas lagi. Kami baru je sampai haa.." balas Mokhtar.
          "Tak apa, tak apa. Sekarang ni udah petang. Banyak kerja kamu nak kena buat. Apa kata malam ni tidur saja di rumah Wak." pelawa Wak Abu.
          "Eh.. Tak apalah Wak. Menyusahkan je." tolak Kenanga lembut kerana dia tidak ingin menyusahkan keluarga Wak Abu.
          "Tak ada nya susah-susah. Mari aje lah. Mak Nipah mesti seronok punya bila tengok kamu berdua. Mari, mari.." pelawa Wak Abu lagi, dia memang nak sangat mereka berdua datang bermalam dirumahnya sebab sudah lama tidak berjumpa.
          "Kalau dah macam tu kata Wak, kami pun tak mampu nak menolak. Tambah-tambah pula kalau Mak Nipah masak pecal. Mengalir air liur ni. HAHAHAHA!" balas Mokhtar yang akhirnya bersetuju untuk menerima pelawaan dari Wak Abu.
          "HAHAHAHA! Bagus, bagus. Nanti Wak singgahnya di pasar beli kacang, ikan sama sayur untuk Mak Nipah kau buat pecal." balas Wak Abu gembira apabila Mokhtar dan Kenanga bersetuju untuk bermalam dirumahnya.
          "Sekejap ya, saya nak tutup semua tingkap dan pintu dulu." kata Mokhtar dan terus menuju ke dalam rumah sambil ditemani Wak Abu. Wak Abu mempelawakan diri untuk membantunya menutup tingkap-tingkap. Sementara Kenanga sibuk mengambil semua bagasi dan memasukkannya semula ke dalam bonet kereta.

          Sewaktu Wak Abu memasuki bilik besar untuk menutup tingkap. Tiba-tiba saja ada orang mencuit bahunya dan membuatkan Wak Abu melatah kerana terkejut. Latahnya itu dapat di dengar hingga ke dapur. Kebetulan si Mokhtar sedang berada di dapur untuk menutup pintu belakang dan tingkap.
          "Wak! Kenapa Wak? Wak okay tak?" tanya Mokhtar kehairanan.
          "Wak baik-baik aja. Ada ni haa cicaknya, beserrrrrrr." balas Wak Abu dari dalam bilik besar itu yang membuatkan Mokhtar tergelak kecil apabila mendengar loghat jawa yang keluar dari mulut Wak Abu. Setelah semuanya selesai, mereka berdua pun menuju ke arah pintu hadapan. Sekali lagi ketika Mokhtar melintasi bilik besar itu, dia mendengar suara bisikan.
          "Nggak mau bermalam di sini?" jelas kedengaran di telinga Mokhtar membuatkan langkah kakinya terhenti. Wak Abu yang pada waktu itu berada di muka pintu juga turut sama mendengar suara bisikan itu.
          "Laaa. Tadi kata mau bermalam dirumah Wak." tanya Wak Abu kepada Mokhtar. Mokhtar yang berdiri di depan bilik besar itu menggelengkan kepalanya.
          "Bu...bukan saya, Wak." balas Mokhtar. Kegelisahan jelas terpancar diwajahnya yang di mana Wak Abu dapat lihat dengan jelas. Wak Abu memanggil Mokhtar menggunakan isyarat tangan. Mokhtar hanya menurutinya saja. Ketika kaki mereka mencecah bumi, tiba-tiba seluruh kawasan di situ berangin. Anginnya bukan biasa-biasa, kerana pokok disekeliling mereka tidak bergoyang. Air muka Wak Abu tiba-tiba berubah. Kemudian Wak Abu memberitahu kepada Mokhtar agar dirahsiakn perkara itu.
          "Antara kita saja. Jangan kasi yang lain tau. Nanti Wak jelaskan pada kau." kata Wak Abu kepada Mokhtar yang sedikit kehairanan. Mokhtar hanya mengangguk tanda setuju.

          Kemudian, Wak Abu menuju ke motosikal buruknya dan memesan kepada Mokhtar agar terus bergerak menuju ke rumahnya saja. Sementara dia pergi ke kedai membeli bahan untuk di masak pada malam hari. Setelah Wak Abu berlalu pergi, barulah Mokhtar berjalan memasuki ke kereta.
          "Abang okay tak? Berpeluh je ni." tanya Kenanga.
          "Tak ada apa. Abang okay. Dalam tu panas. Sebab tu berpeluh." balas Mokhtar, merahsiakan perasaan dia ketika itu.
          "Hmm..Luaskan rumah ni. Nanti kita dah repair mana yang rosak tu, cantiklah nanti. Kan bang?" kata Kenanga sambil memandang ke arah suaminya dengan senyuman yang paling manis sekali.
          "Ya Kenanga, kita akan baiki rumah ni dan akan jaga rumah ni sampai kita tua." balas Mokhtar lemah lembut. Sehabis saja perkataan yang keluar dari mulut Mokhtar, tiba-tiba dia terdengar suara bisikan lagi ditelinganya.
          "Janji tau." jelas kedengaran ditelinga Mokhtar tapi tidak Kenanga.
          "Sayang dengar tak tadi?" tanya Mokhtar sedikit cemas.
          "Dengar apa bang? Kenanga tak dengar apa-apa pun." jawab Kenanga pelik dengan soalan suaminya itu. Terdetik di hati Mokhtar, kenapa isterinya tak dengar tetapi dirinya dan Wak Abu yang dengar? Walhal rumah tu rumah peninggalan arwah mak dan ayah kandung isterinya.
          "Bu...bunyi abang kentut tadi." balas Mokhtar dengan gurauan kotor untuk menyembunyikan rasa seram yang menyinggah dari pengetahuan isterinya. Isterinya memukul manja kerana gurauan Mokhtar itu. Mereka gelak ketawa bersama-sama di dalam kereta. Kemudian, Mokhtar menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari perkarangan rumah tersebut. Kini destinasi mereka adalah rumah Wak Abu. Sebelum mereka pergi dari situ, Mokhtar ternampak seperti kelibat di tangga rumah tersebut melambai-lambai ke arah mereka. Tanpa perlu berfikiran rasional, dia memijak pedal minyak sehingga mencecah karpet di bawah.

          "Argh! Abang! Kenapa laju sangat ni!?" marah isterinya apabila Mokhtar berkelakuan begitu.
          "Sorry, sorry. Abang tak sengaja. Abang penat sangat. Tertekan pedal lebih pulak" jawab Mokhtar yang sedang ketakutan tetapi dapat sembunyikan dari isterinya, Kenanga.
          "Abang okay tak? Nak Kenanga bawak tak?" tanya Kenanga simpati dengan suaminya kerana dari pagi memandu tanpa henti.
          "Kenanga bawak? Nampak parit depan tu? Nanti kita terjunam ke dalam tu kalau abang bagi Kenanga bawak." seloroh Mokhtar mengakibatkan dirinya menerima secebis cubitan padu di peha kiri. Dia hanya mampu ketawa saja melihatkan Kenanga memanjangkan muncungnya seperti itik. Walaupun begitu, jauh di sudut hati Mokhtar tertanya-tanya. Apakah keputusan yang dibuatnya untuk tinggal dikampung isterinya adalah tepat? Meninggalkan kehidupan di kota pada usia lewat 20-an. Walaupun Mokhtar merupakan seorang pekerja dan juga bos pada perniagaannya sendiri, tetapi dia tetap tidak puas hidup di kota. Masih terlalu awal untuk dia tinggal di kampung, anak pun tak ada lagi. Masih belum ada rezeki. Tetapi memandangkan isterinya sendiri yang meminta untuk tinggal di kampung sempena hadiah hari jadinya. Nak atau tidak, terpaksa Mokhtar tunaikan. Kenanga begitu gembira apabila Mokhtar bersetuju untuk tinggal di rumah peninggalan arwah mak dan ayahnya. Kenanga merupakan anak tunggal, selepas mak dan ayahnya meninggal. Tidak ada sesiapa pun yang boleh tengok-tengokkan rumah tersebut. Walaupun Wak Abu pernah menawarkan diri untuk menjaga rumah itu tetapi ditolak tawaran tersebut. Kenanga tidak mahu menyusahkan Wak Abu dan keluarganya.

          "Aku harap aku buat keputusan yang tepat." bisik Mokhtar di dalam hati. Hatinya menjadi gusar apabila mendegar bisikan-bisikan di rumah itu tadi. Dan dengan anak matanya sendiri dia dapat melihat kelibat di tangga rumah tersebut. Tetapi setelah dia memandang raut wajah isterinya yang ayu, hatinya kembali tenang.
          "In-Shaa-Allah, tak akan ada apa-apa yang berlaku." bisik hatinya lagi. Dan dia terus menumpukan perhatian seratus peratus pada pemanduan.


--Bersambung--

Monday, 1 February 2016

Bomoh Itu Janda Aku #Final

         Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Aku dan Arif menaiki bot berenjin menuju ke pulau di mana kumpulan ajaran sesat itu akan melangsungkan ritual yang haram dan tidak patut. Aku harus segera dan menyelamatkan nyawa anak aku dan anak-anak mangsa yang lain. Arif mematikan enjin bot apabila kami hampir tiba di pulau itu. Kemudian kami harus mengayuh bot tersebut sehinggalah tiba di jeti.
         "Nah..pakai jubah ni..Lepas tu cover sikit muka kau supaya dia orang tak perasan." kata Arif sambil menghulurkan jubah berwarna hitam berserta hoodie. Lalu aku mengambil jubah tersebut dari tangan Arif dan aku sarungkan ia ke tubuhku.
         "Ambik ni.. buluh runcing, sorokkan kat sini" sambungnya lagi sambil menyarungkan buluh tersebut di dalam jubah yang aku pakai. Arif telah mengubah suai jubah itu supaya ada poket kecil yang muat-muat untuk masukkan buluh tersebut. Setelah semuanya telah bersedia, kami berdua pun memulakan langkah. Kami meredah sedikit hutan yang ada. Dari jauh aku sudah boleh lihat cahaya.
         "Unggun api.." kata Arif. Sambungnya lagi, apabila kami mendekati unggun api tersebut. Akan ada lukisan di atas tanah. Lukisan yang aneh seperti lukisan kuno. Lukisan tersebut dilukis secara bulatan penuh dan besar mengelilingi manusia-manusia yang berada dekat dengan unggun api tersebut. Apabila kami sampai, kami mendapati bahawa semua orang sudah pun memulakan upacara haram tersebut. Di bahagian tengah terlihat adanya unggun api, dan bayi-bayi malang itu semua ditempatkan di sekeliling api tersebut. Dan mereka yang lain-lain sibuk berjalan mengelilingi unggun api tersebut sambil penumbuk kiri dan kanan bertemu dan kepala menghala ke bawah. Aku tidak pasti apakah yang di baca oleh mereka kerana bahasa yang digunakan memang asing sekali. Hanya mereka sahaja yang mengerti.

         Arif mengarahkan aku untuk ikut jejak langkah dia. Aku mengikuti dia tanpa ada sebarang bantahan. Ketika berjalan, mata aku tidak berhenti memandang ke arah bayi-bayi tersebut. Setegarnya mereka membiarkan bayi-bayi itu duduk berdekatan dengan unggun api yang sangat besar. Hati aku sebak apabila mendengar tangisan-tangisan dari bayi-bayi yang tidak berdosa itu. Aku harus selamatkan bayi-bayi itu. Tidak lama kemudian, kelihatan dua orang lagi manusia berjubah dan bertutup kepala lain dari yang lain. Dua orang tersebut memakai jubah berwarna merah darah dan ada lambang yang pelik di belakang jubah tersebut. Mengertilah aku bahawa mereka adalah Mutalib dan juga janda aku. Setelah Mutalib dan janda aku mengambil posisi seperti yang Arif beritahu beberapa hari lepas. Aku dan Arif pun memulakan operasi yang di rancang.
       
        Aku mengambil kedudukan aku dibelakang janda aku. Aku pasti dia adalah janda aku kerana dari ketinggian dia. Walaupun wajahnya di tutup. Namun, aku pasti dan yakin bahawa itu adalah dia.
        "Kau tak boleh mati dengan peluru dan parang semua. Tak apa. Kau jangan tumpas dengan buluh ni." bisik aku di dalam hati. Apabila posisi aku betul-betul berada di belakang janda aku. Aku mengeluarkan buluh runcing yang tersedia ada di jubah dan tanpa berfikir panjang, aku terus menikam janda aku dari arah belakang. Arif juga turut melakukan perkara yang sama. Semua orang yang berada di situ berhenti dari berjalan. Dan kedengaran semuanya menjerit seakan-akan marah. Kemudian, kedengaran pula bunyi tembakan beberapa das dilepaskan ke udara. Aku lihat hampir 30 orang anggota polis datang menghampiri. Senjata api diacukan ke arah mereka semua. Dan aku dapat lihat dua orang lelaki seorang berjubah warna putih dan seorang lagi seperti memakai uniform. Aku agak yang berjubah putih itu adalah Hj. Jalal dan beruniform tersebut adalah bos kepada Arif. Anggota polis memberkas semua ahli kumpulan sesat itu dan sesetengah dari mereka menyelamatkan bayi-bayi yang berada di situ. Belum sempat aku nak pergi cari anak aku tiba-tiba Arif membawa aku pergi bertemu dengan Hj. Jalal.

         Tiba-tiba kami semua terdengar suara jeritan dua orang anggota polis yang sedang memeriksa tubuh Mutalib dan janda aku itu. Aku toleh ke arah jeritan itu dan aku dapati bahawa dua orang anggota polis tersebut berada dalam keadaan cedera parah. Seorang tangan kanannya putus, manakala lagi seorang pula, kedua-dua belah kakinya putus. Semua yang berada disitu terkejut dengan perkara yang berlaku. Tidak semena-mena, api yang berada ditengah tersebut menjadi semakin marak dan meninggi. Dan ianya berubah menjadi bentuk seorang manusia. Aku jatuh terduduk. Imej yang terbentuk dari api tersebut teramatlah aku kenal.

        "Kau ingat senang-senang je nak bunuh aku? Kau ingat aku tak tahu rancangan kau  orang? Ingat aku bodoh ke?!"

        "Engkau telah dikuasai syaitan wahai makhluk yang dahulunya manusia." kata Hj. Jalal tiba-tiba.
       
        "Kau orang semua manusia berdosa. Manusia lemah dan tak tahu apa-apa! Aku akan takluki dunia ini! Semua akan jadi milik aku!"
         Tanpa membalas percakapan mahkluk tersebut, Hj. Jalal memejamkan mata dan mulutnya terkumat-kamit seperti membacakan sesuatu. Hj. Jalal merendahkan badannya separuh, kaki kanannya di letakkan setapak ke hadapan. Gaya Hj. Jalal ketika itu saling tidak tumpah seperti seseorang yang sedang bersedia untuk bersilat. Lantas, kaki kiri Hj. Jalal diangkat ke depan di hentak ke tanah sekuat hati. Kemudian, dia melepaskan satu tumbukan keras ke atas bumi. Semua yang berada di situ dapat merasakan gegaran akibat tumbukan tersebut. Arif datang mendekati aku, dia menolong aku bangun.
         "Susah jugak janda kau ni nak mati ek? Mana kau kutip dia? Jalan pasar ke?" kata Arif berseloroh. Aku tidak menghiraukan seloroh Arif. Aku menumpukan perhatian terhadap perlawanan yang bakal berlangsung sebentar lagi. Kelihatan janda aku mengeluarkan sebilah parang yang berapi. Lalu dia melompatkan kehadapan demi menikam Hj. Jalal. Namun, serangan tersebut dapat dibaca oleh Hj. Jalal dan dia mengelak tanpa sebarang masalah. Kemudian, Hj. Jalal menendang pasir ke arah janda aku membuatkan dia menjerit kesakitan. Tetapi janda aku tidak berhenti di situ, dia hayunkan parang tersebut ke arah Hj. Jalal. Parang tersebut mengenai dada Hj. Jalal dan mengakibatkan pendarahan berlaku. Hj. Jalal terbatuk-batuk menahan perit. Janda aku tergelak-gelak melihatkan serangan dia mengenai dada Hj. Jalal. Dia berjalan menghampiri Hj. Jalal. Dan menghembuskan api keluar dari mulutnya. Mengakibatkan Hj. Jalal terbakar dan meronta-ronta kesakitan! Semua yang melihatkan perkara itu menjadi sangat terkejut. Beberapa orang polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah janda aku. Namun ianya tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada dirinya. Manakala yang lain pun berusaha untuk memadamkan api yang sedang lincah menjilat tubuh Hj. Jalal.

           Arif yang berdiri disebelah aku mengambil buluh runcing dan terus berlari ke arah janda aku. Kini Arif pula berdepan dengan makhluk berapi tersebut. Arif menghunuskan buluh tersebut ke arah dia tetapi tidak mengena. Jelas kelihatan wajah janda aku sedikit ketakutan apabila buluh itu hampir mengenai dirinya. Arif melakukan beberapa serangan terhadap janda aku namun semuanya dapat di elak.
           "Laju betul kau mengelak. Nampak gayanya aku tak ada cara lain lagi." kata Arif. Entah mengapa, selama ni aku tidak dapat pernah mengagak atau pun meneka apa yang bermain difikiran Arif. Tetapi pada saat itu, aku boleh baca apa yang bakal dia lakukan. Aku tidak akan membenarkan dia melakukan perkara tersebut. Aku lihat Arif mencampakkan buluh tersebut ke arah aku, aku sambut buluh tersebut dan terus berlari mendapatkan Arif. Baru sahaja Arif ingin berlari menuju ke arah janda aku. Aku mematikan niat dia dengan menolak dia jatuh dan aku lemparkan buluh itu ke arah dia. Kemudian aku berlari ke arah janda aku dan aku peluk dia sekuat hati.
           "Kau gila! Kau gila! Kau nak sangat mati!" jerit janda aku tetapi aku biarkan saja. Aku dapat rasakan api sedang merebak ke seluruh tubuh aku. Sakitnya tidak terkata. Namun demi menghentikan semuanya, aku harus bertahan.
           "LAN!! Apa kau buat ni!!???" jerit Arif setelah dia melihat aku sedang memeluk janda aku.
           "JANGAN BANYAK CAKAP! TIKAM DIA CEPAT!" balas aku. Aku dapat lihat wajah Arif berubah 100%. Tidak seperti sebelum ni yang di mana aku lihat dia seperti tidak ada perasaan. Tetapi waktu itu aku boleh tahu dari riak wajahnya, dia marah dan sedih dengan perlakuan aku.
           "Aku tak boleh lakukan! Aku belum sempat minta maaf kat kau lagi!" kata Arif.
           "Jaga anak aku untuk aku!!!" balas aku.
           "LEPASKAN AKU! LEPASKAN AKU!" jerit janda aku.
           "Hari ni kau mati bersama aku. Kita sama-sama merangkak di padang masyhar nanti." balas aku. Arif bangun perlahan-lahan dan aku dapat lihat dia mengalirkan air mata jantan. Dia mengambil buluh dan terus menikam ke arah kami berdua. Jelas kedengaran jeritan dari janda aku. Jeritan kesakitan akibat ditikam objek yang mampu menumbangkan segala ilmu dia dan nyawa dia.

          Secara perlahan-perlahan api yang sedang marak tadi hilang. Ketika itu, yang sedang berada di dalam dakapan aku adalah seorang wanita yang tidak kenali. Berwajah sangat tua dan hodoh. Berbau busuk seperti bangkai gajah. Kulitnya berkedut sejuta. Aku menolak tubuh si tua itu dan aku dapat rasakan buluh yang menembusi tubuh aku bergerak sama mengikut si tua tersebut. Setelah aku berjaya melepaskan diri. Aku lihat ke arah bekas tikaman tadi, begitu banyak darah yang mengalir keluar. Aku jatuh melutut. Terlalu sakit dan penat. Semua yang berada di situ dalam keadaan terkejut. Aku dapat lihat beberapa orang paramedik berlari mendapatkan aku.
         "Dia tidak boleh mati disebabkan api tadi. Api tadi sebenarnya ilusi. Aku masih belum cukup kuat lagi untuk berlawan dengan syaitan yang macam ni." kata Hj . Jalal yang aku lihat elok berdiri dan tidak ada sebarang kesan terbakar pada tubuhnya melainkan dadanya yang cedera akibat terkena parang tadi.
          "Dia tak apa-apa. Buluh tu tak terkena pada usus-usus penting. Pendarahan pun kita dah berjaya hentikan. Jadi, kita kena segera bawa dia ke hospital untuk melakukan rawatan yang selanjutnya." kata salah seorang paramedik yang merawat aku.

           Aku membuka mata aku perlahan-lahan, terasa sakit apabila melihat cahaya yang terang benderang. Apabila aku sudah boleh membuka mata aku seluasnya, aku mendapati bahawa aku sedang berada di dalam sebuah bilik. Aku berada di atas katil.
          "Relakslah. Muka terkejut apa hal? Kau kat hospital sekarang." kata Arif. Aku dapat lihat Arif bersama Hj. Jalal dan beberapa orang yang lain. Aku tidak kenal pun siapa mereka itu. Seorang jururawat datang menghampiri aku bersama bayi. Dia menyerahkan bayi itu kepada aku dan aku menyambut bayi tersebut. Air mata aku mengalir. Aku gembira. Terlalu gembira kerana anak aku selamat. Kemudian, Hj. Jalal menerangkan semuanya. Dari A hingga Z. Barulah aku faham bahawa Arif sudah bertahun-tahun menyertai kumpulan sesat itu untuk mendapatkan maklumat demi memberkas mereka. Pertemuan aku dengan dia memang sengaja di rancang kerana aku telah pun berkahwin dengan pengasas kumpulan itu.
           "Sebenarnya dia memang cintakan kau. Sebab dia pernah mengaku dengan aku. Tapi, syaitan dah kuasai diri dia. Dia tak dapat nak melawan sebab dia terlalu lemah. Dan, akhirnya dia tumpas ke tangan syaitan. Tambahan pula, suami dia tu memang syaitan yang menyamar sebagai manusia." jelas Arif.
          "Syaitan? Apa maksud kau?" tanya aku meminta jawapan.
          "Mutalib tu syaitan. Yang kita lawan semalam tu Mutalib lah. Yang jadi mutalib pula, manusia. Konco-konco dia juga. Upacara yang dia orang buat tu sebenarnya untuk Mutalib si syaitan tu." jelas Arif. Aku semakin bingung dan tak dapat tangkap dengan penerangan yang diberikan.
          "Macam ni, janda kau. Dah lama meninggal dunia. Syaitan tu arahkan konco-konco dia untuk bunuh janda kau. Sebab janda kau menyesal dan tak mahu untuk melakukan kerja-kerja haram lagi. Akibat daripada itu, janda kau di bunuh." jelas Hj. Jalal pula. Aku mengalirkan air mata. Setelah aku mendengar semua penjelasan daripada Hj. Jalal dan Arif. Aku membuat keputusan untuk mengampunkan dosa-dosa janda aku. Walaupun tubuhnya tidak ditemui.
       
           "Arif. Kita kawan dah lama. Aku tak akan maafkan kau sebab kau banyak berahsia dengan aku." kata aku kepada Arif membuatkan dia terkejut mendengarnya.
           "Ha!? Apa?! Wei.. janganlah macam tu! Maafkanlah aku.. aku janji lepas ni tak ada rahsia lagi." balas Arif bersungguh-sungguh.


--Tamat--