"Haaaa. Arif.. Kenapa tiba-tiba sekarang pukul dua belas tengah malam pulak ek?" aku bertanya untuk kepastian selepas aku melihat jam di tangan. Aku menjadi terkejut bukan alang kepalang apabila jarum jam di tangan aku itu menunjukkan pada waktu itu masih lagi awal. Sedangkan ketika aku bangun dari tidur di dalam kereta tadi, jam sudah pun pukul dua lebih. Malahan, ketika habis berlari tadi aku lihat jam sudah pukul empat lebih. Apa yang sedang berlaku ni? Bila difikir-fikirkan balik, aku dan Arif sudah berjalan sudah lama. Boleh dikatakan sudah lebih dari satu jam setengah.
"Aku rasa jam kau rosak tu. Mungkin masa berlari tadi kau terlanggar pokok ke apa. Manalah nak tau, kita tengah kelam kabut waktu tu." jelas Arif yang sedikit pun tidak berjaya mengurangkan rasa kerisauan di hati aku.
"Tapi Arif, jarum masih bergerak ni. Mustahillah jam aku rosak." tanya aku lagi. Aku benar-benar keliru waktu itu dan aku benar-benar menginginkan jawapan yang mutlak.
"Tak apa. Sekarang ni kita tunggu je hari jadi cerah. Lepas tu kita sambung berjalan balik." kata Arif cuba untuk menenangkan aku dan ianya berhasil. Benar kata Arif, barang kali jam aku rosak ketika sedang sibuk berlari tadi.
Tiga jam berlalu...
"Arif, jarum jam aku tunjuk sekarang pukul tiga pagi."
"Ha? Tak apa, kita tunggu lagi. Jangan bimbang."
Dua jam berlalu...
"Arif, pukul dua belas tengah malam." aku menjadi semakin muskyil dengan keadaan yang sedang berlaku.
"Errr.. Jam kau rosak tu. Kau jangan fikirkan sangat. Kita tunggu je." kata Arif sekali lagi untuk menenangkan aku dan aku rasa kali ini dia berkata untuk diri dia sekali.
Mungkin lima jam sudah berlalu...
"Arif! Pukul sepuluh malam!" jerit aku.
"Kau buang je jam tangan bodoh kau tu! Teruskan berlari! Kita selamatkan diri dulu!!" balas Arif. Benar kata dia, lebih baik aku fokuskan pada perlarian. Ketika kami sedang duduk menunggu matahari untuk memancarkan sinar paginya, dua ekor jembalang tiba-tiba muncul dari arah hutan sebelah kanan kami dan terus mengejar kami tanpa memberitahu sebab musabab. Walaupun sudah beberapa jam juga kami berehat tadi, namun kepenatan tetap hadir ketika kami sedang berlari. Ini disebabkan kami tidak cukup tidur dan juga kehausan. Ditambah pula kami sedang lapar.
"AH! Aku dah penat berlari!" jerit Arif dan tiba-tiba dia berhenti secara mengejut. Lantas dia menoleh ke arah belakang, secara tiba-tiba dia melayangkan sebuah penumbuk ke wajah aku yang membuatkan aku terus tidak menyedarkan diri.
Aku disedarkan dengan siraman sebaldi air sejuk. Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku cuba untuk melihat sekeliling. Aku dapat rasakan diri aku berada dalam keadaan terikat dengan ketat. Mata aku masih kabur. Di dalam keadaan aku separa sedar itu, telinga aku tertangkap suara seorang wanita sedang berbual dengan seorang lelaki. Aku mencuba untuk membuka mata aku seluas yang mungkin. Apa yang aku lihat tidak jauh dari depan aku itu sangat-sangat mengejutkan. Aku benar-benar tidak menyangka akan perkara ini. Aku lihat dua orang lelaki dan seorang wanita. Wanita tersebut adalah isteri aku! Manakala salah seorang dari lelaki itu adalah kawan baik aku sendiri, Arif! Dengan tidak sengaja, air mata aku jatuh menitis di pipi. Hati aku begitu sebak sekali. Adakah Arif sudah lama berkomplot dengan mereka semua? Adakah ini disebabkan dosa-dosa aku tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami?
"Oh, hero kita dah bangun dari tidur dia." tegur seorang lelaki berbadan sasa. Aku masih kenal wajah dia ini. Dialah lelaki yang tempoh hari aku lihat bermesra dengan isteri aku di dapur rumahku. Dia berjalan mendekati aku. Setelah aku amati wajah dia betul-betul. Barulah aku tahu bahawa dia adalah pak cik Mutalib yang menegur aku dan memberitahu aku lokasi keberadaan isteri dan anak aku. Perkara tersebut membuatkan aku benar-benar terkejut. Apa maksud semua ini?
"Aku rasa kau masih lagi ingat dengan pertemuan kita tempoh hari" katanya lagi.
"Benda ni semua sudah di rancang. Sepatutnya Arif bawa kau pergi ke hutan itu untuk membiarkan diri kau di bunuh oleh jin-jin belaan keluarga aku. Tapi entah kenapa, jin-jin belaan aku semuanya susah sangat nak mendekati diri kau." tambahnya lagi. Kini jelaslah segalanya, kenapa penanggal itu boleh berhenti dari mengejar kami selepas Arif bertanyakan soalan. Rupa-rupanya Arif adalah sebahagian dari mereka.
"Oh iya, sebelum aku terlupa. Seluruh kawasan perumahan yang kau tinggal tu, adalah milik aku dan mereka yang tinggal di situ adalah konco-konco aku.
Aku tak tahu apa perasaan aku ketika itu, marah, sedih, kelakar. Kenapa aku boleh terjebak dengan perkara-perkara ini? Benarlah kata seorang ustaz yang pernah aku kenali dulu. Seekor syaitan mampu menyamar menjadi sesiapa saja, bahkan menjadi seorang yang sangat alim. Pak cik Mutalib berjalan berlalu pergi dari situ. Arif, kawan baik aku sedang berdiri di antara muka pintu. Dia sedang memandang aku dengan wajahnya sayu. Aku tenung wajahnya. Aku tenung dengan penuh kebengisan.
"Nyah kau dari sini. Aku tak mau tengok muka kau. Kau pengkhianat agama dan bangsa!" marah aku kepada Arif. Tidak dapat aku pendamkan lagi. Tidak pernah aku berdendam dengan sesiapa, tetapi kali ini lain. Aku menjadi seorang yang sangat pendendam. Dendam terhadap mereka ini semua.
"Kau tak boleh nak buat apa-apa, kawan." kata Arif.
"Kau bukan kawan aku! Setan!" aku membalas. Kemudian, Arif berlalu pergi. Dan tidak lama kemudian, aku terdengar suara ketawa bayi. Terbeliak mata aku ketika aku mendengar suara ketawa tersebut. Difikiranku hanya satu, anak aku! Isteri aku muncul dimuka pintu bersama anak aku yang dingendongnya. Sekali lagi air mata aku jatuh, tidak dapat aku menahan sebak di dada. Dalam pada masa yang sama aku bersyukur kepada Allah kerana anak aku yang tidak berdosa itu tidak diapa-apakan.
"Tengok tu sayang, papa kena ikat. Tengok muka papa tu puas-puas. Lepas tak dapat tengok dah." kata isteri aku. Hati aku begitu sebak. Apa yang mereka nak lakukan ke atas budak yang tidak berdosa itu?
"Awak jangan apa-apakan dia. Dia tak berdosa!" aku cuba untuk memujuk. Walaupun aku tahu ianya tidak akan berhasil.
"Oh. Kau jangan bimbang. Dia ni akan aku jadikan korban santapan ratu malam. Yang di mana dia ni akan menjadi penyambung warisan keturunan aku. Dia akan menjadi ketua kepada ilmu turun temurun yang seterusnya." jelas isteri aku.
"Abang tak akan biarkan awak buat macam tu! Kembalilah ke pangkal jalan!" aku cuba lagi untuk memujuk. Aku tak nak anak aku dipersatukan dengan ilmu-ilmu kesyaitanan.
"Apa yang kau boleh buat? Siapa suruh kau berkahwin dengan bomoh?" kata isteriku yang membuatkan aku tergamam.
"Apa maksud awak? Bomoh?" aku meminta perjelasan.
"Ya, aku bomoh. Suami aku adalah pembantu aku. Mutalib tu. Aku ketua dalam kumpulan ni." jelasnya lagi. Bagai terkena hentakan yang kuat dikepala selepas mendengar penjelasan dan penerangan dari isteri aku itu tadi. Bomoh? Aku selama ni membina masjid bersama bomoh? Betapa bodohnya aku, macam mana aku boleh tidak sedar akan hal ini? Aku lihat isteri aku berjalan membelakangi aku dan berlalu pergi meninggalkan aku.
"Nanti!" langkah isteriku terhenti selepas mendengar arahan dari aku. Dia kembali pusing berjalan ke arah aku.
"Kau nak apa lagi? Kau patut bersyukur sebab kami tak jadi nak bunuh kau sekarang tapi kami akan bunuh kau selepas kau sendiri melihat ritual yang akan dilangsungkan nanti."
"Kau patut berterima kasih pada Arif sebab yakinkan kami untuk membenarkan kau melihat ritual itu malam esok."
"Oh.. macam tu ke?" aku memandang ke arah isteri aku dan anak aku.
"Sebelum kau pergi, izinkan aku untuk berkata sesuatu." aku tatapi wajah anak kecil aku.
"Aku ceraikan kau dengan talak tiga. Dan segala dosa-dosa kau terhadap aku termasuklah menduakan aku serta berbohong dengan aku tidaklah aku ampunkan hingga ke akhirat." mata aku tidak berkedip dari memandang wajah anak aku. Kemudian, bekas isteri aku berjalan berlalu pergi sambil ketawa.
"Kau fikir aku ada kisah? Kat dunia ni aku berkuasa." dia memberikan senyuman sinis dan melangkah pergi. Aku tertunduk dan merenung ke atas lantai. Aku kena fikirkan cara untuk melarikan diri dari tempat ini dan selamatkan anak aku.
"PAAAKKK!"
Secara tiba-tiba ada sebilah pisau yang jatuh dihadapan aku. Aku segera mengalihkan pandangan aku ke arah muka pintu. Tiada kelibat sesiapa. Aneh, siapa pula yang bagi aku pisau ni? Aku toleh pula ke arah siling. Pun sama, tiada sesiapa. Kemudian, pintu dihadapan aku ditutup.
"Aik? Macam nak bagi aku senang meloloskan diri je?" bisik aku di dalam hati. Terlintas difikiran aku, Allah sedang membantu aku. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Kemudian, aku memerhatikan keadaan diri aku. Aku di atas kerusi, diikat bersama dengan kerusi. Tangan disilangkan ke belakang. Tetapi pengelangan tangan aku tidak diikat.
Memandangkan situasi aku ketika itu, aku harus berdiri dan duduk membelakangi pisau yang terpacak di atas lantai tersebut. Nasib baik lantai kayu, jika simen, sudah tentu pisau itu tidak mampu untuk berdiri sebegitu dan sudah tentu ianya akan lebih menyukarkan buat diri aku. Kemudian, aku kena jungkitkan sedikit kerusi aku ke belakang dan seharusnya aku sudah boleh capai pisau tersebut dan boleh memotong tali yang diikatkan kepada aku. Satu jam kemudian...
"Ya Allah, tebal betul tali ni." keluh aku sendiri. Akhirnya terputus juga tali yang diikatkan itu. Aku bangun perlahan-lahan. Aku melilau sekeliling untuk mencari bahan yang boleh dijadikan sebagai senjata.
"Oh.. Lupa pulak pisau ni boleh dijadikan senjata." bisik aku di dalam hati. Aku gapai pisau tersebut dan aku berdiri betul-betul menghadap pintu keluar. Aku tak tahu apa yang berada disebalik pintu itu. Dan aku kena bersedia untuk sebarangkalian. Aku pejamkan mata dan berbisik di dalam hati. "Bomoh tu janda aku, dan aku akan pastikan dia terima nasib dia." kemudian aku membuka mata aku perlahan-lahan. Aku menarik nafas dalam-dalam dan aku lepaskan dengan lafaz bismillah.
--Bersambung--
No comments:
Post a Comment