Tuesday, 5 January 2016

Busut Di Tengah Padang

Pada suatu petang, ketika aku sedang seronok bermain bola padang bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku terjatuh berguling-guling di atas padang. Kerana tiba-tiba saja ada bonggol di tengah-tengah padang itu. Kami semua menjadi hairan, sejak bila pula ada bonggol disitu? Kami perhatikan betul-betul bonggol itu, rupa-rupanya bonggol itu adalah busut. Kami semua menjadi sangat terkejut. Dengan perasaan yang marah, aku terus menyepak busut itu berkali-kali demi menghancurkan ia. Sudahlah muncul ditengah-tengah padang, nak main bola pun jadi susah kerana busut itu. Setelah berjaya menghancurkan busut tersebut. Kawan-kawan aku bersorak tanda seronok. Kemudian, kami sambung bermain bola semula. Petang itu membuatkan aku jadi sangat marah. Kerana setiap sepakanku tidak ada satu pun berjaya masuk ke gawang gol. Petang itu aku pulang dengan perasaan yang hampa dan kecewa. Ketika aku sampai dirumah, aku meletakkan bola ke dalam store dan terus berlari ke dalam bilik mengambil pakaian yang akan aku kenakan pada tubuhku malam itu. Bapa aku menyuruh memakai baju melayu sahaja memandangkan malam itu aku harus hadir ke kelas mengaji. Aku turuti saja arahan bapaku itu. Kemudian, aku terus bergegas berlari ke bilik air yang terletak diluar rumah. Selepas aku menghidupkan suis lampunya, aku terus mandi. Ketika sedang mandi itu, aku terdengar pula bunyi azan maghrib. Aku mempercepatkan mandianku.

Selesai menunaikan solat maghrib berjemaah bersama keluarga. Aku terus berlari ke dapur demi membantu ibuku menghidangkan makan malam. Santapan malamku pada hari itu begitu menyelerakan. Ikan perkasam dimasak bersama cili kering dan minuman air milo panas. Terasa segar dan kenyang seluruh tubuh ini. Selesai makan, aku meminta diri untuk pergi ke rumah Haji Manaf untuk menghadiri kelas mengaji. Dua orang kawanku sudah tiba diperkarangan rumahku. Aku menyertai mereka untuk pergi ke rumah Haji Manaf. Ketika di dalam perjalanan menuju ke rumah Haji Manaf, mereka berdua iaitu kawanku asyik mengejek diriku kerana tidak dapat menghasilkan sebarang gol pada petang tadi. Aku membiarkan saja mereka menggelakkan aku, kerana aku tahu mereka niat hendak bergurau. Memang selalu kami mengusik sesama sendiri seperti ini. Kami tiba disebuah simpang empat, dari simpang itu kami wajib belok ke kiri jika untuk pergi ke rumah Haji Manaf. Jikalau kami terus berjalan ke hadapan tanpa membelok, kami akan menemui jalanraya utama iaitu jalan besar. Andai kami memilih untuk membelok ke kanan, jadi harus berpatah balik kerana rumah Haji Manaf berada di simpang sebelah kiri. Langkah kami bertiga terhenti apabila kami lihat tiada lampu jalan yang hidup ketika itu. Kami membuat keputusan untuk teruskan perjalanan saja sehinggalah kami tiba ke rumah Haji Manaf.

Aku sebenarnya ada rasa sedikit ketakutan untuk melalui jalan yang gelap di waktu malam. Manalah tahu jika ada hantu atau jembalang yang muncul pula nanti. Tetapi tidak mengapalah, disebabkan aku ditemani dua orang kawan. Jadi, aku jalan sajalah. Lagi pun, niat aku baik. Aku hendak pergi belajar mengaji. Bukannya hendak pergi bermain. Demi menghilangkan rasa takut yang hadir, kami menyanyikan Asma ul Husna. Ketika kami sedang seronok menyanyi. Kawan aku yang bernama Zul membuat isyarat menggunakan jari telunjuk di bibirnya, menyuruh kami diam. Kami pun diamkan diri. Langkah kami terhenti apabila kami terdengar suara orang ke empat menyanyikan Asma ul Husna. Siapa pula yang bersama dengan kami ketika itu? Setahu aku, hanyalah kami bertiga saja, bagaimana boleh ada suara yang ke empat? Backup vokal barangkali. Zul berbisik kepada Hamdan, kemudian Hamdan berbisik kepada aku. Zul menyarankan supaya kami bertiga berlari sepantas hati menuju ke rumah Haji Manaf. Disebabkan aku pun terasa takut dan seram, lalu aku pun bersetuju dengan keputusan Zul. Dengan kiraan tiga, kami terus berlari sekuat hati. Nampak gayanya aku bakal ditinggalkan kerana aku lihat Zul dan Hamdan sudah jauh di hadapan meninggalkan aku. Aku cuba untuk menjerit memanggil nama mereka akan tetapi nafas aku tidak cukup. Aku terlalu penat. Lantas aku berhenti seketika untuk mengambil nafas semula. Aku tertunduk akibat terlalu penat dan kemungkinan terlalu kenyang ketika makan malam tadi.

Apabila aku dongakkan kepala aku semula, aku mendapati Zul dan Hamdan sudah tiada. Mereka sudah hilang jauh ke hadapan. Aku menjadi sangat takut ketika itu. Aku memang tidak suka untuk bersendirian di dalam kawasan yang gelap. Mengapalah hari itu pula boleh tidak ada lampu. Secara tiba-tiba, ada sepasang tangan memegang kedua-dua bahuku. Bulu romaku semua berdiri tegak. Mulutku terlopong. Aku ingin menjerit tetapi tekakku terasa kering. Kemudian, aku ditendang dari arah belakang. Tendangan itu begitu kuat sehingga membuatkan aku jatuh tersembam menyembah bumi. Aku mengaduh sakit. Selepas itu, aku terasa kedua-dua belah kakiku dipijak berkali-kali. Aku menangis menahan kesakitan. Aku cuba untuk melihat siapa yang melakukan perkara itu kepada aku. Namun hampa, kerana keadaan begitu gelap. Aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku hanya mampu menangis sahaja. Puas aku merayu supaya berhenti dari mencederakan aku. Tetapi insan yang bertanggungjawab tidak mengendahkan aku, malah dia terus menerus memijak kakiku. Tidak cukup dengan memijak kaki, dia pijak-pijak pula perutku. Kemudian, di cakar-cakarnya seluruh tubuhku. Aku meraung, menjerit. Tetapi, raungan dan jeritanku itu tidak keluar dari anak tekak ini. Aku merangkak, cuba untuk menjauhkan diri walaupun aku tahu ianya perkara yang sia-sia. Kenapalah aku diperlakukan sebegini rupa? Aku masih lagi budak-budak. Tidak tahu apa-apa. Siapalah insan yang begitu kejam sangat ni?

Ketika aku sedang berusaha untuk merangkak pergi, aku terdengar suara lelaki bercakap dengan aku. Suaranya terlalu garau dan menyeramkan, Dia berkata bahawa aku telah pun menghancurkan rumahnya. Dia baru sahaja pindah bersama keluarganya ke kampungku tetapi aku telah mengakibatkan rumahnya hancur dan anak-anaknya tercedera. Aku langsung tidak mengerti. Bila masa pula aku hancurkan rumah orang ni? Kemudian, dia sambung lagi mencederakan aku. Dalam pada masa yang sama, aku terdengar bunyi bayi menangis dan suara perempuan merintih. Di dalam keadaan yang gelap itu memang aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku sudah tidak mampu untuk bergerak lagi. Aku tertiarap di atas jalan raya itu ditemani kesakitan dan air mata. Aktiviti mencederakan aku dihentikan apabila munculnya sebuah cahaya dari arah hadapan. Cahaya itu datangnya dari sebuah kereta. Aku dapat lihat Haji Manaf keluar dari kereta itu dan berlari ke arah aku. Di dalam kereta itu ada lagi dua orang kawan aku iaitu Zul dan Hamdan. Mungkin mereka bimbang kerana aku tidak kunjung tiba juga di rumah Haji Manaf. Selepas itu aku terus tidak menyedarkan diri.

Seminggu kemudian, barulah aku sedarkan diri. Aku berada dihospital dikelilingi keluarga aku dan juga keluarga Haji Manaf. Bapa aku memberitahu bahawa ketika Haji Manaf menjumpai aku, aku sedang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Jika lambat dibawa ke hospital ketika itu, sudah tentu aku menemui ajal. Dan kaki aku pula, memang tidak dapat dibuat apa-apa, terpaksa dipotong. Semasa Haji Manaf menjumpai aku, kedua-dua kakiku sudah pun hampir-hampir terputus. Aku mengalami trauma tahap tiga. Haji Manaf berkata kepada aku, ini semua adalah disebabkan kedegilan aku sendiri kerana suka-suka hati pergi hancurkan busut. Haji Manaf berkata lagi, busut yang aku hancurkan itu sebenarnya adalah rumah jin. Selepas perkara itu, aku telah berjanji aku tidak akan melakukan apa-apa perkara mengikut suka hati aku lagi. Aku kesal. Angkara diri sendiri, aku menjadi cacat seumur hidup dan tidak boleh bermain bola di padang bersama-sama kawan lagi.

--Tamat--

No comments:

Post a Comment