Aku tersedar dari tidur yang agak nyenyak. Entah bila aku tertidur pun aku tak sedar. Yang aku tahu, nikmatnya dapat tidur. Seperti sudah berpuluh kurun tidak dapat tidur sebegini nyenyak. Aku memandang ke arah sekelilingku. Senyap, gelap, dan sunyi. Aku hampir terlupa bahawa kami sekarang masih lagi berada ditengah-tengah hutan dan bersebelahan dengan tanah perkuburan. Aku memandang ke arah jam di tangan. Baru pukul 2:30 pagi. Masih terlalu awal untuk bangun. Aku membuat keputusan untuk kembali tidur. Aku toleh ke kiri menghadap tingkap kereta, aku nampak hutan. Aku toleh ke arah hadapan, tetap nampak hutan. Aku toleh ke arah kanan. Terkejut aku dibuatnya apabila aku lihat Arif tidak ada lagi bersama dengan aku di dalam kereta. Mengucap panjang aku. Aku membuka laci bawah kerusi kerana seingat aku waktu dulu aku pernah letakkan lampu picit di situ. Alhamdulillah lampu picit tersebut masih ada dan baterinya juga berada di dalam keadaan yang baik. Aku halakan lampu picit tersebut ke arah luar menghadap kubur. Aku cuba mencari Arif. "Manalah dia pergi ni, kalau pergi tandas pun, takkanlah jauh-jauh kot." rungut aku di dalam hati. Aku menjadi hairan, tidak mungkin si Arif membuang air kecil jauh-jauh. Ditengah-tengah hutan macam ni, takkan dia berani untuk pergi seorang diri? Tak faham betul aku dengan perangai dia ni. "Arif..Arif..Arif..Ooo..Arif" aku cuba untuk memanggil dalam nada yang perlahan. Tiada jawapan. Aku mula menggaru kulit kepalaku yang tidak gatal. "Ke mana pula budak ni dah pergi? Kalau ya pun, kejutkanlah aku sekali. Aduhh.." keluh aku berseorangan. Sudahlah aku berseorangan, di dalam hutan, sebelah kubur pula tu.
Entah mengapa, seluruh tubuhku terasa seram sejuk, seperti ada angin yang menempa. Sedangkan sememangnya tiada angin pun ketika itu. Pokok-pokok diluar pun tidak bergoyang. "Masakan pokok bergoyang kalau tak ditiup angin. Masalahnya pokok pun tak bergoyang sekarang ni.. Masak aku beb." rungut aku di dalam hati. Terlintas difikiranku untuk menoleh ke arah belakang tetapi badan aku tidak mahu bertindak mengikut arahan. Kemudian, aku terdengar seperti bunyi orang bernafas dibelakang. Berdiri tegak terus bulu roma aku seluruh badan. Aku bangunkan balik kerusi aku dan aku bersandar seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dengan harapan si Arif akan segera pulang. Hampir 30 minit aku di dalam kereta itu seorang diri. Arif masih lagi tidak kunjung tiba. Bunyi nafas yang aku dengar itu masih lagi ada dan tidak hilang lagi. Dan, kali ini bunyi lain pula yang hadir. Bunyi seperti kerusi bahagian belakang itu ditikam dengan sesuatu yang tajam dan perlahan-lahan aku dengar bunyi tingkap seperti dicakar. Aku boleh agak ketika itu jantung aku berdegup lebih pantas dari kelajuan cahaya. Di dalam hati aku hanya berdoa saja lah bahawa aku tidak di apa-apa kan. Walaupun aku di dalam keadaan yang takut akan tetapi, difikiran aku tetap ingin toleh ke belakang dan melihat sendiri siapakah yang melakukan aktiviti vandalism tersebut. Tak tahu kenapa badan aku tak nak langsung menoleh. Lepas tu, perlahan-lahan aku lihat kerusi disebelah dibangunkan. Bertambah seram pula aku rasa, kerusi tu tak akan boleh bangun kalau tak ada orang yang menarik tuasnya. Badan aku berpeluh-peluh. Aku berusaha untuk menenangkan diri. Aku cuba untuk berfikiran positif. Kemudian, dari ekor anak mata aku, aku dapat melihat cahaya seperti bebola api dari arah kanan. Aku dapat jangka cahaya tersebut datangnya dari arah kubur. "Sudah..benda apa pulak kali ni?" bisik aku di dalam hati. Kemudian, aku terdengar pula suara dari arah belakang. Suara seperti ketawa kecil. Berderau darah aku, umpama semua sel-sel darah warna merah sudah hilang, yang tinggal hanya sel-sel berwarna putih saja.
Aku nekad untuk menoleh, apa nak jadi pun jadi lah. Aku tak tahu ke mana Arif sudah pergi. Yang aku tahu sekarang ni aku harus fikirkan cara untuk aku selamatkan diri. Aku genggam lampu picit dan aku pastikan semua kelengkapan cukup. Aku raba kocek seluar aku untuk memastikan dompet aku masih disitu dan aku capai telefon serta pengecajnya sekali. Semuanya aku sumbatkan sekali di dalam kocek kiri dan kanan. Manalah tahu kalau kejap lagi aku perlu untuk larikan diri, aku lari je. Sekurang-kurangnya kalau aku dah sampai tempat yang selamat, bolehlah aku caj semula bateri telefon ni dan cuba buat panggilan ke Arif. Aku pejamkan mata aku rapat-rapat. Dengan lafaz bismillah, aku buka semula mata aku. Dan, dengan pantas dan muka seposen aku menoleh ke arah belakang. Biji mata aku memandang tepat ke arah seekor makhluk yang aku sendiri tidak pasti identitinya. Tetapi, berambut panjang, matanya berwarna merah darah, taringnya sebelah saja. Kukunya panjang dan ketika itu dia sedang mencakar cermin tingkap. Makhluk itu juga memandang ke arah aku sambil tersenyum. Tangan kiri aku dari tadi berusaha untuk buka pintu tapi tak boleh-boleh. Tak tahu apa yang silapnya. Aku tak nak duduk di dalam tu lama-lama bersama dengan makhluk yang tak tahu dari mana asal usulnya. Dah lah seram, hodoh pula tu. Semasa aku menoleh ke arah makhluk hodoh dan seram tu, aku dapat hidu sesuatu yang busuk. Dan aku pasti bau itu adalah bau daging yang busuk. Bau seperti bangkai. Sudah semestinya bau itu datang dari makhluk hodoh yang sedang menemani aku sekarang. Aku semakin hilang sabar dengan pintu yang cuba buka dari tadi. Kuncinya sudah dibuka, tetapi pintunya seperti kena gam pula. Akibat perasaan marah di dalam hati aku. Aku mengabaikan kehadiran makhluk hodoh itu tadi dan aku mengalihkan pandangan aku ke arah pintu pula. Tetapi pemandangan yang aku dapat lihat ketika itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Patutlah pintu itu tidak boleh dibuka, rupa-rupanya ada makhluk sedang berdiri diluar pintu tersebut. Kedua-dua tapak tangannya berada dicermin dan wajahnya juga dia rapatkan ke cermin bersama lidahnya yang terjelir keluar. Perkara tersebut membuatkan aku ingin menumbuk saja wajah hantu itu akan tetapi disebabkan aku tahu bahawa aku tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Akhirnya aku buat keputusan untuk keluar menggunakan pintu sebelah kanan.
Ketika aku ingin berpindah ke kerusi sebelah kanan. Waktu itu jugalah si Arif ni buka pintu dan masuk ke dalam kereta.
"Uish. Bau busuk apa ni? Kau kentut ke Lan? Busuklah. Kalau nak berak, pergilah berak sana." kata Arif kepada aku dengan selambanya. Sumpah. Waktu itu aku rasa seperti nak menangis seperti dalam cerita kartun jepun. Kenapalah kau buat aku macam ni Arif? Kau tak sedar ke ada makhluk selain kita kat dalam kereta ni sekarang? Aku dah tak tahu nak buat apa-apa dah. Kemudian, disebabkan aku diam saja tanpa bagi apa-apa jawapan. Arif tanya aku lagi sekali. "Kau berak pergilah ber....." kali ini dia tidak dapat untuk menghabiskan kata-katanya apabila saat dia menoleh ke arah aku, dia terlihat makhluk yang berada diluar tingkap sedang menjilat-jilat cermin kereta itu. Kemudian dia terpandang ke arah cermin pandang belakang dan dia nampak ada lagi seekor makhluk yang sedang memerhatikan dia dalam keadaan tersenyum. Arif mengalihkan kembali pandangannya ke arah aku.
"Rajin dia tu kan? Siang kerja mentadbir, malam kerja cuci kereta." kata Arif sambil membuka pintu kereta dan terus berdesup lari keluar meninggalkan aku berseorangan. Sudahlah dia hilang hampir sejam lamanya, lepas tu bila dia kembali, tak ada pula dia bagi tahu dia dari mana. Dan sekarang, dia lari tinggalkan aku pula. Tanpa membuang masa, aku pun turut mengikut jejak langkah Arif. Bergegas aku keluar dari kereta itu dan terus berlari. Lampu picit aku suluhkan ke arah Arif yang agak sudah jauh ke depan. "Bangsat budak ni, dia tinggalkan aku!" bentak aku di dalam hati. Aku terus berlari tanpa berfikir apa-apa. Yang ada difikiran aku ketika itu, aku ingin selamatkan diri.
Ketika tengah asyik berlari, anak mata aku tertangkap objek berapi sedang terbang disebelah kanan. Kelajuannya sama dengan kelajuan larian aku. Aku tak fikir panjang, aku terus menoleh ke arah objek yang terbang itu. Aku tak percaya dengan apa yang aku lihat. Objek berapi yang sedang tebang itu rupanya kepala manusia atau lebih spesifik lagi digelar penanggal. Ia terbang sambil memandang ke arah aku. Yang anehnya dia tidak pula melanggar pokok. Bagaimana ia boleh melihat arah mana dia berlari? Aku toleh ke arah belakang pula, ada seekor makhluk sedang mengesot mengejar aku. Terkejut aku dibuatnya, laju sungguh makhluk ni mengejar aku dalam keadaan macam tu. Kemudian, aku terdengar pula si Arif menjerit memanggil nama aku. "Woi! Jangan fikirkan benda-benda tu! Lari je!" jerit Arif. Memang itu yang sepatutnya aku lakukan tapi tenaga aku semakin lama semakin menghilang. Aku jadi letih dengan larian pecut ini. Sampai bila kami kena berlari? Aku lihat Arif seperti tidak ada masalah. Seperti tiada batasan pada tenaganya. Aku terus mempercepatkan larian. Aku harus keluar dari hutan ini! Waktu itu jugalah aku terdengar bunyi ketawa mengilai dari setiap pelusuk hutan itu. "Ahhh! Banyak pula yang datang mengacau!" jerit aku sekuat hati. Kemudian Arif menyuruh aku untuk mengabaikan semua itu dan fokus kepada larian saja. Akhirnya kami keluar juga dari hutan tersebut, kami tiba di tepi jalan raya yang gelap tidak berlampu. Arif membuat keputusan untuk berlari ke arah kanan dan aku turuti saja keputusan dia. Aku tidak dapat berfikir. Yang aku tahu, kami terus berlari dan berlari dengan harapan adalah kenderaan yang sudi berhenti dan membantu kami.
Agak lama kami berlari sepanjang jalan raya tersebut, makhluk mengesot itu sudah tidak kelihatan lagi. Yang aku nampak hanyalah penanggal tadi, kali ini ia terbang setinggi pokok-pokok yang ada. Aku boleh lihat darah-darah menitis dari organ makhluk itu. "Kau boleh terbang kira beruntunglah! Kami ni kena berlari sebab tak nak kena tangkap dengan kau!" jerit aku sendiri di dalam hati.
"Woi! Bila benda tu nak berhenti kejar kita! tanya Arif meminta kepastian. Macamlah aku tahu bila benda tu nak berhenti!
"Manalah aku tahu!'' balas aku. Tak ada gunanya kalau dia tanya aku.
"Woi! Penanggal! Bila kau nak berhenti kejar kami!!!?" tanya Arif kepada penanggal tersebut. Perkara tersebut membuatkan aku jadi hairan. Bangang atau gila si Arif ni? Lebih baik dia simpan nafasnya untuk berlari dari bertanya soalan bodoh macam tu kepada makhluk yang terang-terangan nak minum darah dia. Selepas Arif bertanyakan soalan tersebut, terus saja penanggal itu berhenti dari mengejar kami. Tidak semena-mena, penanggal itu terus terbang masuk ke dalam hutan semula. Apa yang berlaku sebenarnya? Aku pun tidak tahu samada ingin berhenti berlari atau pun tidak. Aku lihat Arif sudah pun berhenti berlari. Aku yang tidak sedar akan diriku yang masih lagi berlari ni, terus terlanggar Arif. Kami berdua terjatuh menyembah jalan tar.
"Aduh. Aduh. Sakitnya." keluh Arif.
"Sorry. Sorry. Aku tak perasan kau dah berhenti tadi." aku memohon maaf. Aku alihkan pandangan ke arah hutan untuk memastikan tidak ada lagi makhluk yang mengejar kami. Manalah tahu jika penanggal itu pandai pula untuk menipu. Bila dia tengok kami berhenti lari, dia keluar meluru ke arah kami dan bunuh kami. Setelah memastikan keadaan sudah selamat. Kami terus menyeberang jalan raya itu. Rasa lebih selamat jika kami berjalan di seberang jalan. Sambil-sambil itu, kami perhatikan juga hutan disebelah kanan dan kiri. Kalau-kalau ada pula makhluk yang mengejar kami. Kami kepenatan akibat berlari tadi. Lampu jalan satu pun tak ada yang berfungsi. Dan tidak ada sebiji pun kenderaan yang melalui jalan tersebut. Aku lihat jam sudah pun pukul empat lebih. Apalah nasib buruk yang menimpa kami kali ini?
--Bersambung--
No comments:
Post a Comment