Di suatu pagi yang gelap, keadaan masih lagi sejuk, sejuk hingga ke tulang. Kampung Indah Bayu masih lagi kelihatan sunyi, tidak banyak lagi penduduk kampung yang bangun pada waktu sebegitu. Begitu awal sekali. Kelihatan seorang lelaki bernama Ramli sedang keluar dari rumah bersama pelita tanah di tangan. Tuala di ikatkan pada pinggang, matanya masih lagi berat untuk di buka. Perlahan-lahan beliau mengatur langkah menuju ke arah bilik mandi yang terletak diluar rumah. Setiba beliau di bilik mandi tersebut, beliau membuka pintu dengan berhati-hati lalu dijenguk ke dalam bagi memastikan tiada bahaya yang menanti. Setelah memastikan keadaan selamat, beliau terus masuk dan menutup pintu rapat. Pelita yang dipegangnya tadi diletakkan di atas bendul kayu berdekatan dengan kolah mandi. Dengan perasaan malas beliau menggapai gayung lalu dicedoknya air dan dijiruskan ke badan. Jeritan penuh kesyahduan jelas kedengaran, air yang datang dari gunung berdekatan tersebut bukanlah sebarangan. Jika orang bandar yang menggunakannya untuk mencuci badan, sudah pasti akan lari menyelamatkan diri. Hanya mereka yang 'otai' sahaja yang mampu menandingi kehebatan air dari gunung tersebut. Mila isteri kepada Ramli yang sudah lali dengan jeritan si Ramli hanya mampu tersenyum di dalam rumah sambil memasak air untuk dibancuhkan kopi buat suaminya pergi menoreh sebentar lagi.
Selesai Ramli memandikan diri, dia berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik mandi tersebut bersama tuala di kepala. Keadaannya saling tak tumpah seperti manusia yang baru sahaja terserempak dengan hantu, seluruh tubuhnya menggigil menahan sejuk. Walaupun sejak kecil lagi dia mandi air dari gunung, namun tetap tidak dapat menahan kesejukkan yang melanda kalbu. Ramli terus melangkah menuju ke dalam rumah bagi mengenakan pakaian ke atas badannya.
"Bang, Mila dah sediakan kopi ni. Marilah turun, cekodok pun ada ni." jerit Mila dari arah dapur memanggil suami kesayangannya. Mila begitu sayang sekali kepada suaminya si Ramli, walaupun mereka hanya hidup sederhana dan suaminya bekerja sebagai penoreh getah, namun Mila tetap bersyukur kerana dikurniakan kebahagiaan. Ramli juga turut begitu, namun dihatinya tetap berazam untuk membina masa depan yang lebih bahagia dari sekarang, dia ingin melihat Mila tersenyum hingga tak cukup ruang di mukanya lagi untuk senyum. Dia ingin membelikan barang kemas yang cantik-cantik untuk Mila. Namun ekonomi pada waktu itu tidak berapa baik, akhirnya Ramli terpaksa bersabar dan terus bekerja keras demi mencapai azamnya itu. Ladang pokok getah milik arwah ayahnya itu di ambil alih oleh Ramli, memandangkan adiknya hidup senang lenang dibandar akan tetapi adiknya tetap tahu setinggi mana langit dan bumi. Tidak pernah adiknya belagak dan sombong, malahan adiknya begitu bangga dengan pekerjaan Ramli kerana tidak ramai orang yang ingin pekerjaan sebegitu lagi. Seteruk malasnya manusia pun, belum tentu mereka ingin bekerja sebagai penoreh getah. Tetapi tidak bagi Ramli, walaupun beliau seorang yang memilikki 'degree' namun beliau tidak malu untuk bekerja sebagai penoreh getah, kerana peluang pekerjaan yang setara dengan dirinya tidak pernah ada yang kosong. Disebabkan dia mendengar nasihat adiknya, dia akhirnya bersetuju untuk bekerja sebagai penoreh getah professional dikampungnya itu.
"Abang pergi dulu ye Mila. Tengahari nanti abang balik bersama senyuman paling manis seperti biasa." pesan Ramli kepada Mila isterinya.
"Ye la bang, hari-hari pun abang senyum manis, hari-hari hati Mila ni tertawan.." balas Mila dengan penuh senyuman yang manis. Mereka ketawa kecil bersama, kemudian Mila melihat suaminya berlalu pergi sambil menaiki motor Kawasaki Ninja miliknya. Apabila bayang-bayang suaminya sudah tidak kelihatan, barulah Mila masuk ke dalam rumah dan membuat semua kerja-kerja hariannya seperti membasuh pakaian, menyapu sampah, membaiki bumbung, mengetatkan skru pada pintu dan sebagainya. Sebelum Mila melangkah ke alam perkahwinan, ramai kawan-kawannya yang beritahu bahawa menjadi seorang isteri tidak mudah, tanggungjawabnya terlalu besar. Tetapi Mila tidak mengendahkan semuanya itu, kerana pada usia mudanya, dia pernah menguak mulut seekor buaya dan pernah melempang serigala jadian yang pernah menganggu ketenteraman kampungnya itu.
**************************************************************************
Ramli meletakkan motornya dibawah sepohon daunnya rimbun, dia melihat ke arah sekeliling ladang pokok getahnya. Memang menjadi rutin harian si Ramli apabila tiba sahaja di ladang pokok getahnya, dia akan meninjau dahulu bagi memastikan tiada mat dadah atau pun pembuat maksiat di situ. Setelah memastikan keadaan clear, Ramli terus melakukan kerja-kerja hariannya, satu demi satu pokok dia singgah dan toreh bagi mendapatkan hasilnya. Hari-hari Ramli akan membuat kerja dengan penuh semangat kerana dia tau jika dia buat kerja secara malas, sudah pasti hasilnya nanti menjadi tidak menarik. Arwah orang tuanya pernah berpesan, "jika melakukan sesuatu kerja itu, lakukan ia dan ikhlaskan hati kerana Allah SWT".
Seperkara lagi, Ramli selalu berfikir jika dia kerja dengan bersungguh-sungguh, hasilnya nanti boleh dikongsikan bersama isterinya yang dia cintai itu, melihat senyuman isterinya itu adalah sesuatu perkara yang amat menyenangkan hati Ramli.
"Wah, sudah tengahari ni. Hmm..tinggal dua batang pokok lagi, lepas ni boleh balik, makan dan berehat. Apalah agaknya Mila masak hari ni?" bisik Ramli di dalam hatinya sendiri tanpa menghiraukan keletihan yang mengundang. Begitulah Ramli hari-hari, paginya dia akan ke ladang pokok getah, kerjanya akan siap menjelang tengahari, kemudian dia akan pulang ke rumah dan menjamu selera bersama si isteri, kemudiannya dia akan berehat dan luangkan masa bersama isteri. Bila pulak dia pungut dan kutip getahnya tu? Entahlah..
Setelah selesai mengerjakan pokok yang terakhir, Ramli segera bergerak ke arah motorsikalnya lalu dihidupkan enjin dan meneguk sedikit air bagi menghilangkan dahaga. Lalu dia pun bergerak pulang ke rumah bersama perut yang lapar. Mila sudah siap sedia menanti Ramli dirumah bersama hidangan kegemaran suaminya itu, bubur nasi berlaukkan ikan masin. Dia tidak sabar hendak melihat suaminya itu menjamah bubur tersebut dan memberikan senyuman hingga ke pangkal telinga.
"Assalamualaikum! Honey, I'm home..."
Mila tersedar dari lamunan dia sebentar tadi apabila mendengar salam yang diberikan oleh suaminya. Dengan segera Mila berlari anak menuju ke arah pintu hadapan rumah bagi menyambut kepulangan suaminya yang tercinta. Sekeping senyuman paling manis dilemparkan oleh Ramli kepada Mila dan disambut dengan penuh romantis sekali. Mila menghulurkan tangan demi menyalam tangan suaminya yang hari-hari bekerja keras bagi menampung perbelanjaan harian dirumah.
"Amboi bang, bahasa omputih pula hari ni ya?" usik Mila sambil tersenyum manja.
"Ala, sekali sekala. Kali terakhir abang cakap omputih pun masa belajar degree dulu.." balas Ramli sambil terus melangkahkan kaki kanannya ke dalam rumah.
"Iyalah bang, mari ke dapur, Mila sudah sediakan makanan kegemaran abang tau." sambung Mila lagi sambil mencuit lengan suaminya. Kegembiraan jelas terpancar dari wajah milik Ramli selepas mendengar kata-kata dari mulut isterinya itu. Dia pasti isterinya telah memasakkan bubur berlaukkan ikan masin kegemarannya sejak kecil lagi untuk jamahan tengaharinya pada hari itu. Tanpa membuang masa lagi, Ramli mencapai tangan Mila dan menariknya menuju ke arah dapur. Akan tetapi, baru saja mereka ingin melangkahkan kaki, terdengar pula ada orang memberikan salam dari luar rumah. Ramli menyuruh Mila agar ke dapur dan dia akan ke luar bagi melihat siapa yang mengganggu waktu makan tengaharinya itu. Dengan langkah yang malas Ramli menuju ke muka pintu, setelah menjawab salam yang diberi, Ramli terus rebah ke bumi. Badannya tidak boleh bergerak dengan tiba-tiba, perlahan-lahan bebola matanya melilau mencari kelibat si pembuat laku. Alangkah terkejutnya Ramli apabila dia mendapati bahawa seorang lelaki yang seusia dengannya sedang berdiri betul-betul di hadapannya ketika itu. Ramli memang kenal akan siapa lelaki itu, dia adalah seorang jejaka yang pernah berebutkan Mila pada waktu dahulu, namun Mila telah membuat keputusan untuk hidup bersama dengan Ramli,
"Raa...aa..Raa..za..zakkkk..." agak sukar bagi Ramli untuk bersuara pada waktu itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapakah badannya tidak menurut kata, Ramli seakan-akan lumpuh sehingga membuatkan lidahnya tidak mampu bergerak dan mengakibatkan dirinya tidak mampu untuk bertutur sebarang kata. Difikiran Ramli terbayangkan Mila, hatinya merasakan bimbang jika Razak melakukan perkara yang tidak senonoh terhadap Mila. Ramli pasti bahawa kehadiran Razak pada hari itu adalah untuk membalas dendam akibat cintanya ditolak oleh Mila pada waktu dahulu.
"Kau baring secara tenang je kat sini ya jibauk. Aku tak nak apa-apakan kau. Jangan risau, lagi 5 atau 6 jam kau akan boleh berjalan seperti biasa, aku bubuh ubat pelumpuh dalam minuman kau masa kat ladang tadi. Kau tak sedar kehadiran aku sebab kau bodoh nak mampus. Hari ni aku akan bawa lari Mila, dia sepatutnya menjadi milik aku dan bukannya engkau. Kau perampas, jilake" Razak berbisik ke telinga Ramli yang sedang terbaring lemah. Kemudian, Razak melangkahkan kaki menuju ke arah dapur rumah tersebut.
Ramli terdengar jeritan daripada si Mila, dia tahu Mila berada di dalam kesusahan sekarang. Dengan segala kekuatan yang ada pada diri Ramli ketika itu, dia cuba untuk memaksa diri agar bangun dan pergi menyelamatkan Mila. Tidak henti-henti doa dihatinya agar Allah membantu dirinya pada ketika itu. Dan akhirnya doa Ramli dimakbulkan, kelumpuhan pada dirinya segera hilang, dan perlahan-lahan Ramli bangun walaupun dia sendiri terasa kesukaran. Dengan langkah yang perlahan, Ramli berjalan menuju ke arah dapur. Hatinya begitu marah sekali pada ketika itu, dia hanya fikir untuk menyelamatkan Mila dengan membunuh Razak. Kemarahan di dalam diri Ramli menjadi semakin menjadi-jadi apabila setibanya dia di dapur, dia melihat Razak sedang memeluk tubuh Mila sambil mulutnya berlegar ke seluruh leher milik isterinya.
"Lepaskan dia manusia bangsat!" jerit Ramli sekuat hati lalu dia terus berlari ke arah Razak dan menarik tubuhnya agar jauh daripada Mila. Lalu seketul tumbukan yang begitu padu dilepaskan ke arah wajah milik Razak. Sedikit lagi Razak hampir jatuh ke lantai namun dia dapat mengawal pergerakan kakinya dan berdiri stabil semula. Ramli mengarahkan isterinya untuk berlari menyelamatkan diri dan pergi meminta bantuan daripada pihak polis. Mila mengangguk tanda setuju dan terus berlari keluar rumah. Ramli mengambil sebilah pisau yang berada di sinki dan terus membuat serangan terburu-buru. Dia hanya mahukan Razak mati sahaja, kerana dia sedar jika dia membiarkan Razak hidup, Razak pasti akan kembali sekali lagi untuk membalas dendam.
Setiap serangan yang diberikan oleh Ramli dapat di elak oleh Razak dengan mudah dan senang. Kemudian, Razak mencapai kerusi kayu yang berada berdekatan dengan dirinya lalu dihayunkan sekuat hati ke arah Ramli dan mengakibatkan Ramli jatuh terjelupuk ke atas lantai dapur rumah tersebut. Razak mengambil pisau yang terlepas dari genggaman Ramli dan dihunuskan ke arah leher Ramli.
"Aku tak suka bunuh-bunuh ni. Tapi kau yang paksa aku. Aku tak akan hidup senang selagi engkau masih bernyawa, kambing gurun!" Razak mengakhiri kata-katanya dengan menikam pisau yang berada digenggamannya itu ke arah dada Ramli. Darah merah pekat memercik keluar dari dada Ramli, matanya terbeliak, mulutnya ternganga luas. Dia tahu bahawa tidak mungkin dia akan terselamat daripada tikaman itu. Akhirnya Ramli menghembuskan nafasnya yang terakhir di lantai dapur rumahnya sendiri bersama pisau yang ditikam oleh Razak yang masih berada di dadanya.
Satu jam kemudian, Mila tiba dirumah bersama dengan dua buah kereta polis. Mila diarahkan duduk di dalam kereta sambil ditemani oleh seorang anggota polis sementara lagi tiga orang anggota polis melangkah dengan berjaga-jaga menuju ke dalam rumah tersebut. Beberapa detik kemudian, seorang anggota polis keluar dari dalam rumah itu dan memanggil Mila untuk mengikutinya pergi ke arah dapur rumah, Mila hanya menggangguk kepalanya dan pergi mengikuti anggota polis itu tadi menuju ke dalam rumah.
"ABANG!!" jerit Mila sekuat hati apabila dia melihatkan suaminya, Ramli sedang terbaring bersama pisau yang masih terbenam di dalam dadanya itu. Anggota polis memaklumkan kepada Mila bahawa lelaki yang terbaring itu sudah tidak bernyawa lagi akibat kehilangan darah yang terlalu banyak. Setelah mendengar penjelasan dari anggota polis itu, Mila terus meraung sekuat hati, dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Dia menjerit-jerit memanggil suaminya namun Ramli tetap tidak bangun dan bergerak walaupun sedikit. Hati Mila luluh, dia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah mayat suaminya. Mila jatuh terduduk disamping mayat Ramli, dia mengangkat kepala Ramli lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas ribanya. Mila mengusap lembut kepala suaminya itu, air matanya mengalir membasahi pipi lalu jatuh berderai di atas dahi suaminya.
"Wajah ini lah yang selalu membuatkan Mila gembira, membuatkan Mila tersenyum, membuatkan Mila bahagia." kata Mila sambil tangannya mengusap lembut kepala suaminya, lalu tangannya dialihkan ke arah mulut Ramli dan diusap lembut dibahagian bibir.
"Bibir ini yang sering kali melemparkan senyuman yang paling manis sekali selepas ibu dan ayah, bibir ini lah yang sering kali mengeluarkan kata-kata indah romantis bagi melembutkan hati Mila selama ini." air mata Mila jatuh sekali lagi, tidak dapat dia menahan sebak di hati, kemudian, dengan perlahan-lahan Mila mencapai tangan suaminya itu dan digenggam erat.
"Tangan ini lah yang selalu mencari rezeki demi mengisi perut kita berdua, demi mencari sesuap nasi, demi berbakti pada keluarga sendiri, dan dengan tangan ini lah abang selalu membelai Mila, memegang erat Mila, menyentuh lembut Mila dan...dan....dan.." kata-kata Mila terhenti akibat sebak di dada yang tidak dapat dibendungnya lagi. Seraya dengan itu, Mila kembali menangis meraung, anggota polis yang berada disitu hanya mampu melihat dan menyuruh Mila agar bersabar serta redha dengan ketentuan Illahi. Seorang lagi anggota polis datang mendekati Mila dan berbisik kepada Mila supaya kembali ke kereta polis dan menunggu di sana sementara mereka menjaga di situ. Mila akur dengan arahan daripada anggota polis itu lalu meletakkan kepala suaminya itu perlahan-lahan ke atas lantai dapur rumahnya, dan meminta anggota polis itu untuk memberikan plastik hitam yang dipegang oleh anggota polis itu kepada dirinya untuk menutup jenazah suaminya tersebut. Mila sendiri ingin menutup jenazah suaminya walaupun hatinya terlalu sebak dengan pemergian tragis suaminya itu.
"Abang berehatlah sayang, ini semua ketentuan Allah Maha Esa. Jangan risau, Mila akan tabahkan diri untuk terus mengharungi hidup ini..." bisik Mila perlahan ke telinga jenazah suaminya itu. Lalu Mila bangkit dan terus berjalan keluar dari rumah.
"Maafkan Mila sebab abang tidak dapat merasa bubur kegemaran abang buat kali terakhir"
Beberapa hari kemudian, Razak berjaya diberkas oleh pihak polis ketika dia sedang sibuk melekakan diri bersama kawan-kawannya diladang getah milik arwah Ramli bermain judi. Razak dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun kerana membunuh beserta 10 sebatan dipunggung di atas tuduhan mencabul kehormatan wanita yang sudah berkahwin. Adik kepada arwah Ramli memberitahu Mila akan berita itu akan tetapi ianya tidak menggembirakan hati Mila. Bagi Mila, buatlah apa saja pun ke atas Razak namun hatinya tetap tidak tenang dan dia telah bersumpah bahawa dia tidak akan pernah mengampunkan dosa Razak sehingga ke akhirat.
"Tak apa lah Rosli, engkau pulanglah. Mesti banyak lagi kerja kau di pejabat bukan? Tak baik menangguhkan kerja, nanti bertimbun pula." tegur Mila sopan.
"Jangan risau kak, kerja saya semua dah selesai. Sebab tu saya dapat ambil cuti dua minggu ni." balas Rosli.
"Kalau macam tu bolehlah kiranya akak minta tolong kau bawakan akak ke kubur abang lepas zohor nanti?" soal Mila.
"Boleh kak. Saya memang berniat nak ke sana pun.." jawab Rosli lemah. Hatinya masih terasa sedih dengan pemergian abang kandungnya itu. Ramlilah satu-satunya keluarganya yang ada, akan tetapi, Allah lebih menyayanginya. Rosli hanya mampu redha dengan semua yang terjadi. Dia merasakan kasihan terhadap kakak iparnya itu kerana terpaksa menanggung derita sebegini rupa. Sudahlah dia itu seorang wanita, anak tunggal pula, ibu bapa pun sudah lama tiada. Cuma ada Rosli sahajalah yang tinggal.
"Kau termenung apa tu dik? Usah difikirkan lagi lah. Tak baik, kasihan arwah dalam kubur tu, kita yang hidup ni kena teruskan hidup." tegur Mila. Rosli hanya tersenyum melihatkan kakak iparnya itu berkata sedemikian. Ketika dia masih lagi berada dalam keadaan yang sedih, hatinya tetap gembira apabila melihat ketabahan kakak iparnya itu.
Bersambung ...
No comments:
Post a Comment