Sebuah motokar berwarna jingga putih kelihatan membelok memasuki tanah perkuburan islam Kampung Indah Bayu. Rosli memarkirkan motokar miliknya dibawah sepohon kayu daunnya rimbun bagi mengelakkan panas terik cahaya matahari daripada terus menembusi masuk ke dalam kenderaannya itu. Lalu Rosli keluar dari kenderaannya dan meluru berjalan ke arah bahagian penumpang demi membantu kakak iparnya membuka pintu. Sebuah senyuman dilemparkan ke arah Rosli oleh kakak iparnya kerana perbuatan 'gentleman' dia tersebut. Mereka berdua kemudiannya berjalan menuju ke arah kubur yang di mana arwah Ramli dikebumikan.
"Kak.. Apa benda atas kubur abang ni?" soal Rosli.
"Ini..ini....ini..." tidak dapat Mila menghabiskan kata-katanya selepas melihatkan objek yang diletakkan tepat di atas kubur milik arwah suaminya. Dia merasakan begitu terperanjat sekali apabila melihat objek tersebut.
"Ini bungkusan nasi! Siapa yang biadap sungguh dan berani melakukan perkara sebegini?!" marah Mila.
"Sabar kak, sabar. Mungkin si penggali kubur, dia terlupa untuk membuangnya." jelas Rosli dengan harapan kakak iparnya itu boleh mengurangkan tahap kemarahan yang melebihi Rikishi ahli WWF.
"Macam mana akak tak marah. Kau tengoklah ni. Makan tak reti nak buang, bubur pulak tu dia makan." sambungnya lagi dalam keadaan marah, kemudian menangis. Rosli tiba-tiba menjadi hairan dengan kakak iparnya yang tadinya marah dan sekarang menitiskan air mata pula.
"Sudahlah abang kau tak sempat nak merasa bubur kegemaran dia, boleh pulak ada orang makan bubur lepas tu tinggalkan kat atas kubur ni." sambung Mila lagi dan terus menangis. Rosli terdiam selepas mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Mila. Dia merasakan kasihan terhadap arwah abangnya itu kerana tidak dapat menikmati kelazatan makanan kegemarannya buat kali terakhir.
"Sudahlah kak. Kita datang untuk bersedekah pada abang. Abang mesti tak suka kalau dia tahu akak marah-marah macam ni." pujuk Rosli.
Lalu dia membentangkan tikar getah dan mereka duduk menghadap pusara Ramli. Angin bertiup tenang pada petang itu, walaupun cuaca panas terik tetapi dengan tiupan yang hadir disebabkan kekuasaan Allah SWT, mereka tidak terasa panas malah terasa sejuk. Lalu mereka berdua pun meneruskan aktiviti dengan membaca surah-surah suci al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah. Setiap hari mereka datang untuk bersedekah, akan tetapi ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Apabila mereka datang, pasti akan terjumpa bungkusan bubur nasi di atas pusara Ramli, hal itu membuatkan Rosli dan Mila jadi tidak senang duduk. Sudah seminggu mereka datang ke tanah perkuburan itu. Dan, perkara yang sama juga akan berlaku. Bermacam persoalan bermain dikotak fikiran mereka berdua. Siapakah yang melakukan perkara sebegitu? Akhirnya Rosli nekad untuk berjumpa dengan tukang penggali kubur. Namun jawapan yang diterimanya agak mengecewakan yang di mana si penggali kubur itu tidak singgah ke kubur langsung untuk minggu itu disebabkan demam panas yang hadir menemani.
"Kalau bukan dia siapa pulak yang datang? Masalahnya kat kubur abang kau je kita jumpa benda tu." soal Mila tidak puas hati. Perkara tersebut benar-benar mengganggu fikiran mereka berdua, sehinggakan Rosli terpaksa berjumpa dengan ketua kampung dan memberitahu akan hal tersebut. Ketua kampung berjanji akan mengarahkan anak-anak buahnya untuk berjaga ditanah perkuburan itu memandangkan orang yang sepatutnya menjaga tidak dapat membantu. Dan Rosli menawarkan diri untuk turut menyertai dan membantu. Dua orang anak buah ketua kampung akan datang ke rumah Rosli pada belah malam untuk menjemput dia pergi berjaga ditanah perkuburan, dan selepas subuh akan ada dua orang yang datang bagi menggantikan tempat mereka.
"Kau ingat Li. Benda ni bukan untuk suka-suka. Kubur tu." pesan Mila.
"Ya kak, jangan risau. Tau lah saya jaga diri kejap lagi." balas Rosli. Lalu dia pun berlalu pergi dari rumah itu bersama dengan dua orang anak buah ketua kampung.
Setibanya mereka di kawasan perkuburan, hidung mereka menangkap suatu bau yang sangat harum. Bulu roma ditengkuk mereka tiba-tiba menegak, mereka saling berpandangan sesama sendiri. Niat dihati masing-masing memang nak berpatah balik tapi disebabkan desakan dari Rosli, maka mereka bertiga meneruskan juga operasi. Mereka menuju ke arah pondok buruk yang di bina berhampiran akan tetapi dikelilingi semak samun, mereka menjadikan tempat itu sebagai markas kerana ianya terhalang daripada penglihatan sesiapa sahaja yang datang. Mereka akan bermalam di pondok tersebut tanpa unggun api kerana mereka ingin menyiasat siapakah dalang yang meletakkan bungkusan makanan di atas pusara Ramli tanpa 'orang' itu mengetahui mereka ada di situ.
"Selamat tak ada nyamuk, kalau tak jenuh nak menggaru sana sini." kata salah seorang dari anak buah ketua kampung.
"Nyamuk pun takut nak datang kubur malam-malam gini. Hahaha!" balas lagi seorang disambut dengan ketawa. Lalu mereka pun ketawa.
Hampir 4 jam mereka berada disitu, namun masih tidak ada kelibat manusia pun yang muncul. Sementara mereka menjaga, bermacam topik mereka bualkan daripada sejarah hinggalah sains fiksyen. Tiba-tiba mereka terasa mengantuk, namun mereka tetap cuba untuk menahan. Terlintas difikiran Rosli, perasaan mengantuk yang hadir ketika itu agak kuat dari biasa. Selalunya dia tidak mengantuk sebegitu teruk sekali. Secara tiba-tiba, bau busuk datang menerpa dihidung masing-masing. Mereka saling berpandangan, pelbagai persoalaan bermain dibenak fikiran mereka ketika itu. Namun, mereka tidak menyuarakan mahu pun mempersoalkan. Salah seorang dari anak ketua kampung tersebut mencuit bahu si Rosli dan menunjukkan ke arah pusara arwah Ramli. Mereka bertiga terlihat satu kelibat datang dari arah hutan berhampiran dan menghampiri pusara Ramli. Salah seorang dari anak buah ketua kampung menyarankan untuk pergi mendekati kelibat tersebut untuk menangkap dia, dia khuatiri jika ada orang yang mengamalkan ilmu hitam menyalahgunakan pusara-pusara yang ada. Namun, Rosli mengarahkan mereka untuk duduk diam disitu dan menanti apa yang akan dilakukan seterusnya oleh kelibat tersebut.
Tidak lama kemudian, kelibat tersebut berjalan mengelilingi pusara Ramli dan ada asap putih tiba-tiba menjelma ditengah-tengah pusara tersebut. Mereka bertiga terkejut dengan situasi yang berlaku namun, tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Mereka terus memerhatikan gerak geri kelibat itu dan ditengah-tengah asap putih itu, muncul satu lagi kelibat yang kelihatan seperti mayat berbungkus kain kapan. "Pocong?" terlintas difikiran mereka bertiga. Kemudian, kelibat itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain berwarna hitam dan ianya adalah bungkusan makanan di dalam polisterin, lalu diletakkan ia di atas pusara Ramli. Pocong itu tadi membongkok seakan-akan sedang memakan bungkusan makanan itu. Selepas ia selesai, ia bangun semula dan kembali menjadi asap putih lalu asap itu masuk semula ke dalam pusara Ramli. Kelibat yang berdiri sejak tadi terus berjalan pergi menuju ke arah hutan tempat dia muncul tadi. Rosli dan dua lagi anak buah ketua kampung menggaru kepala.
"Aku dah agak, ni mesti mangkuk tu amalkan ilmu hitam."
"Maafkan aku Li. Nampaknya ada orang jadikan arwah Ramli sebagai khadam. Mesti ada kerja jahat yang dia nak buat tu."
"Dan makanan itu adalah upah dia. Hmm..aku rasa ada baiknya kita terus pergi ke balai raya. Kita beritahu mereka semua." cadang Rosli dan mereka berdua pun setuju. Setengah jam kemudian, setelah mereka memastikan keadaan agak selamat, mereka pun berambus dari tanah perkuburan tersebut dan menuju ke arah balai raya. Bau busuk yang menepa ke hidung mereka tadi masih tidak hilang sehinggalah mereka tiba di balai raya itu, barulah bau busuk tersebut hilang. Tapi, mereka bertiga jadi hairan bila sudah sampai ke destinasi.
"Mana semua orang? Takkan balik tidur pulak?" tanya Rosli kehairanan. Balai raya itu tidak pernah kosong dengan manusia. Setiap malam pasti akan ada anak-anak buah ketua kampung datang melepak kerana tugas mereka adalah untuk menjaga kawasan kampung, tidak mungkin pada malam itu mereka tidak bertugas pula? Selangkah demi selangkah mereka masuk ke dalam balai raya itu.
"Wan, Ajak.. Korang pasti ke malam ni ada orang bertugas selain korang berdua? tanya Rosli lagi kepada dua orang anak buah ketua kampung itu yang sedang berdiri dibelakang Rosli.
"Ada. Aku pasti. Dia orang mana pandai ponteng kerja atau pun tinggalkan kerja. Selalunya balai raya ni mesti akan ada seorang atau dua yang tinggal. Siang dan malam, tak pernah tak ada orang. Paling kurang pun, 4 orang mesti ada. Tak mungkin dia orang pergi tandas sampai 4 orang?" jawab Wan.
"Telefon aku tiba-tiba tak ada talian ni. Nak buat panggilan pun tak boleh ni." rungut Ajak. Tiba-tiba mereka bertiga terdengar bunyi pintu dihempas dengan kuat sekali, bunyi itu datang dari arah belakang balai raya tersebut. Lalu mereka bertiga pergi menuju ke arah datangnya bunyi itu untuk menyiasat. Tapi sebelum mereka tiba ke arah bunyi itu, Ajak mengarahkan mereka untuk berhenti. Rosli dan Wan menjadi hairan dengan Ajak.
"Mana ada pintu kat belakang sana." tegur Ajak. Lalu mereka tertanya-tanya. Wan menyarankan untuk pergi siasat andai ada perompak atau pun ada haiwan liar melanggar dinding.
"Tak Wan. Kau fikir logik ok. Dinding kat sini konkrit. Bunyi tu kat belakang sana, pintu tak ada. Kita dengar bunyi pintu terhempas. Mana datang logiknya kalau..." kata-kata Ajak terhenti apabila mereka bertiga terdengar bunyi suara seorang wanita sedang ketawa di atas bumbung balai raya tersebut. Bulu roma ditengkuk mereka tiba-tiba menegak setegak-tegaknya, dan mereka saling berpandangan sesama sendiri. Siapa pula yang memanjat bumbung balai raya pada waktu itu? Rosli melihat waktu di jam tangannya dan ia menunjukkan tepat pukul empat pagi. Bintik-bintik peluh mulai menjelma di dahi mereka bertiga. Dan suara wanita ketawa itu semakin galak, tidak ada apa yang dapat mereka bertiga lakukan ketika itu. Hendak melarikan diri tetapi khuatir dikejarnya pula. Hendak menunggu sahaja di dalam balai raya tersebut, risau nanti wanita yang sedang ketawa di atas bumbung masuk ke dalam balai raya pula. Mereka bertiga menjadi buntu dan tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan.
"Ki..kita...la...lari...la..laju..laju...samp...sampai...ru...ru..mah....tok....ke...ketua..." saranan yang dikeluarkan oleh Ajak. Tanpa memberikan kata setuju, Wan dan Rosli terus berlari selaju mungkin dan meninggalkan Ajak seorang diri berdiri di tengah-tengah balai raya itu. Ajak berpaling dengan pantas sekali dan melihat mereka berdua sudah jauh meninggalkan balai raya. Suara wanita itu semakin kuat kedengaran. Ajak terus berlari tak cukup tanah dan memanggil Wan dan Rosli.
"Woi! Apa pasal tinggalkan aku woi!?????" jerit Ajak. Namun mereka berdua sudah jauh ke hadapan dan tidak dapat mendengar jeritan dari Ajak. Ketakutan benar-benar menyelubungi diri mereka. Perasaan untuk menoleh teramat kuat di dalam diri Ajak, tapi dia pernah mendengar kata-kata orang tua bahawa jika diganggu dengan makhluk halus, jangan pernah menoleh ke arah belakang jika kita tidak dapat melihat dia, akan tetapi jika makhluk halus itu berada di hadapan kita, kita kena cepat-cepat toleh ke belakang dan jangan tengok dia. Setelah mengingati pesanan-pesanan itu, Ajak membatalkan saja niatnya untuk menoleh bagi melihatkan kelibat wanita yang sedang ketawa itu.
Akhirnya, Ajak sampai juga ke rumah ketua kampung. Ajak menjadi begitu terkejut sekali apabila dia mendapati ada beberapa lagi anak buah ketua kampung berada di situ bersama ketua kampung sendiri. Nafasnya tercungap-cungap. Dia dihulurkan air untuk menghilangkan dahaga ditekak akibat berlari sejauh lima kilometer. Kemudian, Wan dan Rosli datang menghampiri Ajak.
"Asal korang tinggalkan aku? Nasib baik aku selamat." rungut Ajak sambil menumbuk tangan Wan. Kemudian ketua kampng datang menghampiri mereka bertiga dan menanyakan soalan. Setelah menceritakan semuanya, barulah mereka tahu kenapa balai raya itu kosong tadi. Rupa-rupanya, mereka yang sepatutnya bertugas pada malam itu turut mendengar suara ketawa dari wanita itu. Ketua kampung menjadi hairan seketika, kerana tidak pernah kampung Indah Bayu tersebut diganggu oleh makhluk halus. Selalunya dia hanya mendengar khabar angin sahaja.
"Sekarang ni kita tunggu tok imam dari kampung sebelah untuk datang ke sini. Kemudian kita pergi ke balai raya tersebut. Bila matahari sudah terbit nanti kita pergi pula ke tanah perkuburan tu. Aku sendiri nak tengok bungkusan makanan yang diletakkan di atas kubur Ramli." kata ketua kampung kepada semua yang berada disitu. Kemudian semuanya menjadi diam seketika seperti ada malaikat lalu pula.
"Tolong! Tolong!" semua orang menjadi terkejut apabila mendengar suara wanita meminta tolong. Rosli terus berlari ke arah suara itu apabila dia mengetahui bahawa yang sedang meminta tolong itu adalah kakak iparnya sendiri. Lalu orang ramai pun turut mengikuti jejak langkah Rosli. Mila memeluk Rosli sekuat hati dan mengatakan bahawa dia di ganggu oleh makhluk yang dia sendiri tidak pasti ketika sedang tidur.
"Kalian semua segera pulang ke rumah dan pastikan keadaan keluarga!" arah ketua kampung kepada semua anak buahnya yang berada di situ. Kemudian mereka semua pun bergegas pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang keluarga mereka di ganggu pula oleh makhluk itu. Ketua kampung mengajak Rosli dan Mila untuk naik ke rumah dan berehat di situ sahaja sementara menunggu tok imam tiba.
Bersambung..
Sila like page Seram Mengarut di Facebook. Alucard Monsieur
No comments:
Post a Comment