Thursday, 3 May 2018

Orang Gaji #1





Angin bertiup lembut pada malam itu, Namun,kedinginan malam tetap saja mampu menggetarkan mereka yang masih berembun di luar. Sesekali kedengaran cengkerik berbunyi di kiri dan kanan jalan yang sunyi. Seakan-akan saling berlumba untuk menjulang gelaran juara di malam hari.

Kelihatan sebuah teksi sedang dipandu perlahan melalui sebatang jalan di hadapan sebuah kawasan perumahan. Halim sempat menjeling deretan rumah dikawasan perumahan itu yang sedang dilaluinya kini. Pandangannya berubah pula kepada jam digital di dalam teksi yang memaparkan pukul 11.55 malam. Dadanya berdebar tiba-tiba apabila mengenangkan sebuah rumah banglo di pinggir jalan yang terletak hampir 300 meter di hadapan.

Halim menekan satu suis. Alunan lagu daripada radio yang tadinya perlahan kedengaran menjadi halwa telinga, mulai kuat berkumandang di dalam teksinya kini.

“Ehem! Ehem!” Halim berdehem sekali dua untuk mengusir rasa debar yang semakin menebal dalam hati. Rasa takut yang hadir cuba dikawal. Teksi terus dipandu sebaik yang mungkin.

Sara yang berada di tempat duduk belakang teksi itu menjeling sekali lalu tingkah si pemandu.

“Macam-macam” bisik Sara perlahan. Agaknya pemandu ini takut kerana terpaksa menghantarnya ke rumah banglo itu? Sudahlah di perhentian teksi di pekan tadi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke situ. Rata-rata pemandu teksi yang ditemuinya semuanya memberikan jawapan yang ‘menolak’ permintaan Sara.

“Ehem!”

Halim berdehem lagi. Kali ini lebih kuat daripada yang tadi. Entah kenapa terasa dingin tiba-tiba. Terasa bulu romanya tegak berdiri. Terasa bagaikan ada mata yang sedang memerhati. Jantungnya pula semakin kuat berdegup. Rasa takut semakin kuat mencengkam apabila pintu pagar rumah banglo itu sudah kelihatan di pandangan mata.

“Abang takut ke?” tegur Sara sambil berkerut dahi. Soalannya tidak berbalas. Kerutan di dahi semakin bertambah. Sara mula menjengah ke luar tingkap teksi memerhati banglo yang menjadi destinasinya. Hanya bumbung rumah banglo itu sahaja yang kelihatan dari luar. Dinding batu yang tinggi yang dihiasi lampu-lampu yang cantik menyala, teguh memagari di sekeliling kawasan rumah tersebut.

Teksi yang dipandu Halim mula terhenti tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang amaran awal. hentinya betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo tersebut. Halim menelan air liur. Dia yang tadinya tenang mulai menggigil sedikit. Kedua-dua tangannya masih kemas menggenggam stereng kereta.

“Ya Allah...” Halim merintih perlahan. Matanya sedikit terjegil apabila memerhati ke arah pintu pagar rumah banglo tersebut. Ketakutan semakin menebal mencengkam diri. Dia mula kelam kabut cuba menghidupkan enjin kereta dengan tangannya yang terketar-ketar.

“Waktu-waktu ni juga kau nak buat perangai, kan?!” Halim menjerkah dek hilang sabar setelah beberapa kali mencuba untuk hidupkan enjin keretanya, namun masih gagal. Di antara sabar yang kian menipis dan takut yang kian menebal, dia merasa lebih takut di saat itu.

“Tak apa bang. Memang inilah rumahnya yang saya cakap tadi. Berapa ringgit dollar tambangnya?” Sara mula melepaskan soalan.

Halim tidak mengendahkan. Tangannya terus memulas kunci kereta berulang kali.

“Abang? Berapa dollar?” Tegur sara lagi setelah soalannya masih belum menerima sebarang jawapan. Dia terus memerhatikan tingkah laku Halim. Sesekali kepalanya menggeleng perlahan. Pandangannya ditala semula kepada rumah banglo yang terletak di pinggir jalan itu.

Pelik-pelik orang kat sini. Sudahlah tadi di stesen teksi tiada sesiapa yang sudi menghantarnya ke rumah banglo ini dan sekarang, si pemandu teksi ini pula takut semacam dengan rumah banglo ini. Kenapa ya? Sara terus berbicara dalam diam.

“Sial! Sial!”

Suara Halim yang membentak menarik semula perhatian Sara. Pemandu teksi itu kembali dipandang. Kelihatan lelaki itu masih lagi berusaha menghidupkan enjin keretanya. Sesekali lelaki itu turut memandang ke arah rumah banglo itu.

“Abang, berapa ringgit saya kena bayar ni? Saya tahu tadi saya sebut dollar, saya silap, maafkan saya. Berapa ringgit ni nak kena bayar?” Sara bertanya lagi.

“Hei! Kau nak turun, turun je lah!!” herdik Halim. Dadanya berombak menahan rasa yang bercampur baur. Tangannya terus memulas kunci kereta dengan harapan enjin kereta dapat dihidupkan.

Sara semakin keliru. Ish! Tanya pasal tambang je pun, nak marah-marah apahal? Dia tak perlukan duit tambang teksi dia ke apa? Akur dengan arahan Halim, Sara mula melangkah turun dari teksi itu biar pun serba salah. (Sara tak reti tengok meter tambang agaknya?)

“Terima kasih, bang.” ucap Sara berbahasa. Biar pun masih lagi keliru dan sedikit terasa dengan sikap si pemandu, dia masih lagi menjaga budi bahasanya. Perlahan-lahan Sara keluarkan telefonnya dan rakam perangai si pemandu teksi tersebut. “Aku akan viralkan kau, siaplah!” jerkahnya dalam hati.

“Ingat tau, kat tempat orang nanti Sara kena pandai jaga diri. Jaga budi bahasa kita, nak. In sha Allah kalau kita buat baik dengan orang, orang pun suka. Bila orang suka, tak ada lah musuh.”

Itulah pesanan maknya. Pesanan yang masih lagi segar dalam minda. Pesanan itulah yang dibawanya bersama ke tempat asing ini untuk mencari rezeki. Sara yang sudah melangkah keluar dari teksi tadi bersuara.

“Nanti, kalau abang nak......”

Belum sempat nak habiskan kata-katanya, pemandu teksi itu terus berjaya menghidupakan enjin dan terus memecut laju meninggalkannya seorang diri berdiri di pinggir jalan tersebut. Sara semakin bingung dengan tingkah laku si pemandu teksi tersebut. Dia hanya mampu memerhati teksi itu yang semakin hilang dari pandangan dan sempat juga dia lihat teksi itu drift kat corner hujung jalan.

“Nanti kalau abang nak duit tambang tu, datang jumpa saya kat sini” ucap Sara perlahan sambil menggaru hidungnya yang gatal. Kesal dengan sikap pemandu teksi yang membawanya ke situ. Kemudian, tidak mahu mengambil bayaran pula. Terasa bersalah pula kepada pemandu tersebut.

Sara memerhati sejenak dinding batu dan pintu pagar di hadapannya. Daripada celahan ukiran bunga berwarna emas di pintu pagar itu, rumah banglo tersebut sudah kelihatan di pandangan mata. Bibirnya mula menguntunkan senyuman.

“Inilah rumahnya.” Sara mengangguk berpuas hati. Langkah mula diatur memasuki halaman rumah banglo tersebut. Matanya menjeling memerhati halaman yang disimbahi cahaya daripada lampu hiasan yang terdapat pada dinding batu sekeliling kawasan tersebut.

“Cantik!” Sara menzahirkan rasa kagumnya memerhati pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman tersebut di satu sudut. Terdapat juga ornamen air pancut dihiasi dua biji patung bangau putih di sudut kiri halaman itu. Bunyi airnya yang tenang mengalir terasa cukup mendamaikan.

Sebuah gazebo yang berdekatan dengan ornamen itu membuatkan Sara terus tersenyum sendirian. Gazebo coklat itu tidak ubah seperti pondok tradisional Melayu. Pondok yang mengingatkannya pada suasana di kampung halaman.

“Kau buat apa di sini?!”

Satu suara yang menegur menyentak Sara. Dia yang tadinya asyik memerhati gazebo itu mengubah pandangan mencari punca suara yang menegurnya dari belakang tadi. Kelihatan seorang wanita lewat 50an sedang terpacak berdiri menghadapnya.

Wanita itu menilik Sara atas dan bawah. Riak wajahnya seperti terkejut melihat susuk tubuh gadis itu. Sara pula berasa tidak enak ditenung sebegitu rupa oleh wanita yang sedang memegang sebuah baldi itu.

“Err...saya datang sini....”

“Sebab apa?!”

Wanita bersuara keras, namun masih terkawal. Sesekali dia menjeling sekeliling memerhati kalau-kalau ada sesiapa yang turut berada di situ selain mereka berdua.

Sara mengetap bibir menahan rasa gugup. Pandangan matanya saling bertaut dengan sepasang mata wanita itu yang masih tajam merenung dirinya. Kenapa dengan makcik ni? Macam terkejut tengok aku kat sini? Agaknya dia tak sangka aku nak sampai sini lewat malam? Pelbagai andaian semakin memenuhi benak Sara.

“Sebab apa?! Macam mana kau boleh masuk?!”

Wanita itu melepaskan lagi soalannya. Bebola matanya yang sedikit menjegil itu terus menatap Sara tidak lepas.

“Err.... tadi tu... Saya tengok pintu pagar terbuka, jadi...”

Belum pun sempat Sara menyudahkan kata-katanya, wanita itu laju sahaja menoleh ke belakang. Kelihatan pintu pagar yang masih terbuka.

“Tak guna! Mesti aku yang terlupa nak tutup tadi.” wanita itu menggerutu perlahan menyesali kesilapan dirinya sendiri. Kemudian dia menoleh kepada Sara semula. Pandangan matanya dikecilkan sewaktu melirik gadis itu.

“Kau jangan nak macam-macam! Kau ingat aku tak tahu kenapa kau datang sini!?” Tidak bertangguh wanita itu terus melepaskan kata-katanya kepada Sara.

Sara berkerut dahi. Dia semakin bingung. Belum pun habis memikir ragam pemandu teksi tadi, sekarang dia harus berhadapan pula dengan karenah wanita ini.

“Apa yang makcik cakapkan ni? Saya datang sini sebab tawaran kerja tu. Tuan rumah ni nak guna khidmat orang gaji, kan? Sebab tu saya datang sini kalau-kalau ada rezeki saya, tapi itulah... sepatutnya petang tadi saya dah sampai, tapi di pekan tu tak ada seorang pun pemandu teksi yang sanggup  hantarkan saya ke sini. Sebab tu saya lewat.” ujar Sara terus menjelaskan perihal dirinya.

Wanita itu diam tidak berkutik buat beberapa ketika. Hanya sepasang matanya yang masih lagi tajam merenung Sara. Angin malam yang sesekali menyapa membuatkan Sara mula berdebar. Jantungnya pula berdetak kian rancak melihatkan renungan tajam wanita tua itu.

Apa kena dengan makcik ni? Macam ada apa-apa pula dia tengok aku macam tu. Pelik sangatkah kalau aku lambat sampai? Marahkah? Bukannya aku sengaja. Kata-kata Sara terus berlegar-legar dalam hatinya.

“Jadi, kau datang sini sebab kerja tu? Bukan sebab yang lain?”. Wanita tersebut mula bersuara selepas beberapa ketika.

Laju kepala Sara mengangguk tanda mengiakan. Biar pun terasa pelik dengan soalan yang kedua daripada wanita itu, dia terus mengangguk. Terasa semakin menebal perasaan ingin tahu dalam hatinya ketika itu. Ringan saja mulutnya rasa untuk bertanya kepada wanita itu. Sebab yang lain? Sebab apa?

“Emmm.. baiklah kalau macam tu. Aku tak suka sebarang masalah nanti. Lagipun, tuan dengan puan pun macam tu. Merak tak suka ada sebarang masalah. Kau faham?”

Sara mengangguk lagi. Tiap patah perkataan wanita itu terus diberikan perhatian sebaik mungkin.

“Ikut aku.” Wanita itu terus melangkah sambil membawa baldi sebaik memberikan arahan. Sara hanya mengikut dari belakang. bau busuk yang datang mencuit deria pernafasannya membuatkan Sara menutup hidung.”Makcik ni kentut ke?” ujarnya dalam hati. Langkah kaki terus diarah mengikut wanita itu yang menghala ke arah belakang rumah.

“Bau apa ni makcik?” soal Sara yang akhirnya terlepas juga soalan tersebut dari mulutnya akibat tidak tahan dengan bau yang begitu busuk seakan-akan makcik tersebut sedang tahan berak. Wanita itu yang berada di hadapannya mula berhentikan langkah. Sara yang mengekori sejak tadi turut sama berhenti. Wanita itu menoleh ke belakang memandag ke arah Sara. Matanya menjegil memandang Sara seperti ingin tercabut keluar saja dua biji mata tersebut.

“Jangan tegur! Aku tak suka faham!?”. Keras suara wanita itu berdesis kepada Sara.

Sara menelan air liur. Lidahnya terus kelu. Terangguk-angguk kepalanya sebagai tanda jawapan pada soalan tersebut. Matanya tiba-tiba terpandang pada baldi yang sedang dipegang oleh wanita itu. Belum sempat hendak menjengah isi kandungannya, wanita tersebut memulakan langkahnya semula sambil membawa baldi berwarna merah itu.

“Apa yang dia bawa? Takkanlah bawa pakaian malam-malam macam ni? Ke dia berak dalam baldi tu lepas tu buang kat hiasan bunga-bunga kat halaman depan sana?” bisik Sara sendiri. Pelbagai soalan dan andaian terus muncul dalam minda anak muda itu. Namun, kakinya tetap saja setia mengekori langkah wanita itu sehingga mereka tiba di pintu belakang rumah.

Sara terus mengikut wanita itu yang kini sudah melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu dapur yang tadinya terbuka kembali dirapatkan dan dikunci oleh wanita tersebut. Sara hanya memerhati wanita yang sudah beruban itu dan keadaan dapur yang suram hanya diterangi cahaya dari lampu hiasan dinding luar. Selesai melakukan kerjanya, wanita itu menoleh ke arah Sara yang masih tercegat berdiri.

“Nama aku Mariam. Nama glamour Maria. Orang dalam rumah ni cuma panggil aku Mak Yam je. Aku juga orang gaji dalam rumah ni. Aku yang paling lama di sini jadi kau kena dengar cakap aku. Tuan dan puan dah tidur. Esok saja aku kenalkan kau pada mereka. Apa yang penting, di dalam rumah ni ada peraturan. Kau akan hanya buat kerja-kerja yang aku suruh saja, faham?”

“Faham, Mak Yam.” sahut Sara sambil angguk kepalanya tanda mengerti. Segaris senyuman diberikan seiring tangan yang dihulur untuk bersalaman sebagai tanda perkenalan. Tangan tidak disambut. Sebaliknya, Mak Yam hanya menjeling. Riak wajahnya masih lagi serius. Tidak senyum langsung pada Sara. Matanya mengisyaratkan ke satu arah.

“Sana bilik kau. Ingat! Kau jangan sesekali nak memandai-mandai kat sini!” Mak Yam sekali lagi memberi peringatan kepada Sara.

“Baik Mak Yam.” jawab Sara sopan. Kakinya mula mengorak langkah ke arah yang ditunjukkan oleh Mak Yam dengan ekor matanya tadi. Sebuah bilik yang sederhana besar lengkap almari dan katil membuatkan Sara tersenyum.

“Ini pun dah cukup.” ucapnya syukur. Badannya yang letih terus direbahkan ke atas katil. Matanya mulai kuyu. Di dapur, Mak Yam sibuk menyental tangannya yang mempunyai kesan darah yang hampir kering. Air jernih yang mengalir di sinki terus berubah warna menjadi merah kehitaman. Dalam cahaya samar, Mak Yam tersenyum sendirian.


Bersambung....



No comments:

Post a Comment