Monday, 7 May 2018

Johari #2





Dua orang pegawai polis kelihatan meninggalkan kawasan perumahan Johari. Mereka mengambil kenyataan dari Johari berkaitan tulisan yang tertera di dinding rumahnya itu. Imah dan anaknya kelihatan gelisah dengan peristiwa itu namun tiada kemalangan jiwa.



Johari masih berfikir siapa punya angkara dan macam mana tulisan tersebut boleh berada di situ. Dia diberitahu bahawa berkemungkinan pembunuh tersebut memang berjaya memecah masuk ke dalam rumahya tanpa meninggalkan sebarang kesan.



“Abang, Imah rasa tak sedap hatilah.” luah isteri Johari selepas peristiwa pagi itu.



“Abang faham. Tapi sekarang ni kita biarkan kes ni kepada pihak polis. Biarkan mereka yang lakukan kerja. Kita tunggu dan lihat. Buat sementara waktu, setiap masa kena pastikan pintu semua berkunci termasuk bilik air.”



“Tapi orang tu boleh masuk tanpa dikesan. Mungkin kita kena pasang CCTV.”



“Bernas juga idea tu, tapi bukan murah modal yang nak digunakan.”



“Kalau macam tu, kita pindah jelah. Cari tempat baru.”



“Amboi, amboi. Senang betul cakap. Mana nak korek duit?”



“Alah. Dalam tv tu Imah tengok boleh je dia orang pindah rumah kalau dia orang rasa tak selamat kat rumah yang dia orang menetap.”



“Haa. Tu lah dia. Ni lah isteri-isteri zaman sekarang. Banyak sangat tengok drama pukul 7. Banyak sangat tengok cerita-cerita yang mengarut. Ini lah dia. Ini lah.”



Johari bangkit dari kerusi dan meninggalkan isterinya di situ bersama anaknya. Johari menuju ke luar rumah, dia membawa keluar sekotak rokok jenama Mahalbro dari dalam poket seluar. Dia menyalakan sebatang rokok, kemudian dia buang.



“Tak sedap langsung.”



Pada malam itu, Johari tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya masih terganggu dengan situasi yang mengganggu keluarganya. Dia masih berfikir, mengapa namanya ada di dinding rumah kawannya dan kemudian berada di rumah dia pula?



Semua perkara yang tiba-tiba saja berlaku itu benar-benar mengganggu fikirannya. Johari mengiringkan tubuhnya ke kiri dan menatap wajah isterinya yang tercinta.



“Minta-minta tak adalah benda-benda yang buruk berlaku terhadap aku dan keluarga. Aku sayang keluarga aku ni...” bisik Johari di dalam hati.



Kemudian isterinya menguap dan melepaskan sejenis bauan yang kurang enak dari mulutnya. Johari serta merta menutup lubang hidungnya.



“Pftt! Busuk betul. Mesti dia tak gosok gigi sebelum tidur tadi.”



Kemudian Johari terus tertidur atau terpengsan akibat terhidu bau yang keluar dari mulut isterinya.



Dua hari kemudian, Johari telah pergi ke tempat kerjanya seperti biasa dan isterinya pula akan menghantar anaknya ke sekolah. Setelah itu isterinya akan pergi ke rumah Jemah untuk bergosip sebarang dua sebelum pulang ke rumah untuk melakukan rutin hariannya sebagai suri rumah sepenuh masa.



Ketika Imah sedang membasuh pakaian, dia terdengar bunyi besi berlaga di bahagian ruang tamu. Bunyi tersebut seperti bunyi pisau yang dilagakan dengan pisau. Imah meninggalkan kerjanya dan pergi memeriksa punca bunyi tersebut.



Imah merasakan aneh, kerana dia tidak melihat apa-apa kelibat pun yang berada di dalam rumah tersebut. Bunyi yang didengari tadi pun sudah tiada. Imah beranggapan bahawa dia hanya berimaginasi. Lalu, Imah menyambung semula kerja-kerjanya.



Beberapa minit kemudian, Imah merasakan bahawa dibelakangnya seperti ada orang sedang berdiri. Perlahan-lahan Imah menoleh. Hatinya lega kerana tiada sesiapa di situ. Merasakan bahawa dirinya ketika itu berada dalam keadaan paranoia, Imah membuat keputusan untuk memeriksa setiap kunci di rumah itu. Dia ingin memastikan keadaan semuanya selamat.



“Hmm..pelik. Semenjak kes semalam, aku rasa macam tak selamat lagi duduk kat rumah ni.” ujar Imah sambil mencekak pinggang dan matanya melilau sekeliling ruang dapur.



Telinga tertangkap lagi bunyi besi berlaga itu dibahagian ruang tamu. Jantung Imah tiba-tiba saja berdegup kencang apabila dia terdengar bunyi itu. Perasaan takut mulai menguasai dirinya. Sudahlah berseorangan di rumah lepas tu ada kejadian aneh pula berlaku.



“Ahh. Sudah. Aku tengah high ke apa ni? Takkan bau serbuk pencuci boleh high?”



Imah perlahan-lahan mengorak langkah menuju ke ruang tamu rumah. Bunyi tersebut semakin kuat didengarinya. Seakan-akan ianya benar-benar berada di bahagian ruang tamu. Namun, sama seperti tadi, tiada sebarang kelibat pun kelihatan di situ. Dan bunyi tersebut berhenti serta merta. Imah menjadi sangat keliru bercampur takut. Apa punca kepada bunyi itu? Imah menggeledah setiap pelusuk ruang tamu untuk mencari punca bunyi yang didengarinya. Setiap sudut diperiksa dengan teliti, setiap wayar dia perhatikan. Imah berfikiran positif dan beranggapan bahawa ada speaker tersembunyi di ruang tamu itu dan menghasilkan bunyi besi berlaga. Mungkin suaminya ingin bergurau dengannya.



Hampir sejam dia mencari dan menggeledah, tetap tidak jumpa apa yang dia fikirkan. Bintik-bintik peluh kelihatan di dahi Imah. Lalu dia kesat dengan menggunakan lengannya. Imah menghela nafas panjang. Hatinya masih gusar dan tidak berpuas hati selagi tidak menjumpai punca kepada bunyi tersebut.



Imah meneruskan pencariannya. Dia geledah lagi ruang tamunya sehinggakan tempat itu bersepah dengan barang-barang yang sepatutnya sudah dikemas. Ketika Imah sedang sibuk mencari punca kepada bunyi besi berlaga tersebut, hidungnya terhidu sejenis bau yang kurang enak. Segala pergerakkannya terhenti tatkala hidungnya menghidu bau yang begitu kuat itu. Imah amat kenal dengan bau tersebut. Ianya adalah bau sesuatu yang terbakar.



Ketika otak Imah masih cuba berfikir secara rasional. Kelihatan asap hitam yang tebal mulai memenuhi ruangan rumah tersebut. Imah ketakutan dan kebingungan. Dia menjadi sangat panik dan otaknya berfikir untuk pergi ke dapur dan mencari punca kebakaran. Imah segera berlari ke dapur namun pandangannya menjadi kabur akibat asap yang tebal dan hidungnya pula sudah dimasuki asap. Pernafasan Imah semakin tersekat.



Setibanya Imah diruangan dapur, matanya tertumpu pada satu kelibat. Seseorang yang dia kenal. Johari. Suaminya yang dia paling cintai, tak bermaksud dia ada dua suami cuma dia cinta sangat-sangat kat suami dia. Dan suaminya sedang tersenyum kepada Imah. Sebuah senyuman yang begitu mengerikan. Imah sudah tidak mampu untuk bertahan. Api semakin marak, asap semakin tebal. Pernafasannya semakin sukar, pandangan mata menjadi semakin kabur. Sebelum Imah tumbang, dia sempat mendengar suaminya itu ketawa dengan begitu kuat sekali. Seperti apa yang dilakukannya terhadap Imah ketika itu merupakan sebuah kejayaan yang dia idamkan selama ini. Takkan minta pindah rumah pun Johari sanggup melakukan perkara sebegitu terhadap isterinya sendiri?



-bersambung

No comments:

Post a Comment