Kisah ini berlaku pada beberapa tahun lepas, yang dimana ketika itu aku baru saja melangkau ke alam remaja. Aku dan kawan-kawan aku pergi memancing di sebuah hutan. Di dalam hutan tersebut terdapat lubuk yang dimana di dalamnya terdapat banyak ikan. Tidak ramai yang tahu akan kewujudan lubuk tersebut. Jadi, kami antara yang beruntung dapat tahu akan kewujudan tempat tersebut. Daripada Kuala Lumpur, kami terpaksa menaiki kereta dan menuju ke Terengganu. Lokasinya adalah rahsia.
Apabila kami tiba dilokasi, kami sempat berjumpa dengan otai-otai yang tinggal berdekatan. Mereka menasihati kami agar berhati-hati ketika memancing dilubuk tersebut kerana disetiap lubuk pasti akan ada penunggu. Kami faham dan kami akan berhati-hati.
Kami meletakkan kereta dipinggir hutan, dan kami kena berjalan lebih kurang 8 kilometer untuk sampai ke lubuk tersebut. Perjalanan agak memenatkan dan mencabar kerana hutan disitu penuh dengan lecak dan semak tinggi. Apabila kami tiba ke destinasi, matahari mula tenggelam. Jadi, kami kena segera menyalakan api dan pasang khemah. Lubuk yang diperkatakan terletak hanya beberapa kaki sahaja dari tempat kami mendirikan khemah. Kami semua seramai 4 orang berasa tidak sabar untuk memancing disitu.
Pada malam tersebut, kami hanya memasak mee segera sahaja kerana itu sahaja yang kami reti masak. Dan, pada malam itu juga kami mencuba nasib memancing disitu. Pertama sekali, kami menggunakan umpan udang. Dan, kami ada membawa beberapa umpan yang lain dan umpan plastik. Hampir sejam joran kami terpacak disitu, satu pun tidak kena.
Kemudian, kawan aku berkata bahawa dia terlihat ada seseorang yang sedang berdiri diantara celah-celah pokok memandang ke arah kami. Apabila yang lain melihat, tidak ada orang disitu. Aku juga ada pergi mendekati pokok itu untuk siasat samada betul ke orang yang kawan aku nampak tadi. Aku tak pasti apa yang dia lihat, tapi aku tengok tak ada jejak atau apa-apa bekas yang menandakan bahawa ada orang berdiri kat celah-celah pokok tersebut.
Entah kenapa tiba-tiba kami semua rasa macam tak sedap hati pula. Kawan aku yang seorang lagi tu, dia pernah beberapa kali datang ke lubuk ni dengan orang lain. Dia kata, pernah juga dia perasan benda-benda aneh berlaku waktu mereka memancing kat situ. Kemudian, dia meyakinkan kitorang bahawa benda tu cuma nak tengok-tengok je kalau kita ada langgar pantang larang ke apa.
Aku pun tak tahu apa pantang larang dia. Mungkin pantang larang masuk ke hutan macam yang selalu aku dengar tu lah kot. Jangan cakap celupar, jangan cakap besar, tidak bising, tidak buat sampah, tidak buat maksiat dan paling penting jangan tegur. Tapi kawan aku yang ternampak tadi tu aku tak tahu nak kata dia tegur atau bukan. Tapi aku rasa macam dia tegur.
Hampir 3 jam kami pacakkan joran, tapi tiada satu ekor ikan pun yang mengena. Mungkin ikan semua sedang tidur barangkali. Lalu kami semua membuat keputusan untuk tidur sahaja. Ketika kami tengah tidur pada malam tu, tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara yang agak kasar datang dari luar khemah. Kami semua terkejut. Suara tersebut menyuruh kami agar bangun dan keluar dari khemah. Kami juga nampak beberapa lampu suluh yang menyuluh ke arah khemah kami. Kami ketakutan ketika itu. Siapa yang memanggil kami untuk keluar?
Kawan aku bertindak berani dengan membuka zip khemah dan secara tiba-tiba dia ditarik keluar. Dan kami semua tak dapat melihat kerana terlalu banyak lampu suluh yang disuluhkan ke arah kami. Aku cuba dapat rasa yang tangan aku ditarik. Aku ketakutan, risau jika mereka itu semua penjahat.
Tapi sangkaan aku meleset, mereka semua rupanya anggota polis. Ada dua orang dan beberapa orang lain lagi yang aku tak pasti siapa.
"Korang camping tengah-tengah taman ni buat apa?"
Kami terkedu apabila diajukan soalan tersebut. Kami melihat kawasan sekeliling. Benar! Kami memang berada di taman. Dihadapan kami pula adalah tasik.
"Korang tahu tak korang tak dibenarkan untuk memancing ditasik ni?"
Kami benar-benar keliru. Dan kami diberitahu bahawa kami berada di Taman Tasik Titiwangsa. Kami juga telah menakutkan pengunjung dari siang tadi. Abang polis tu kata bahawa kami melibas-libas parang ke arah orang awam.
Macam mana semua ni boleh berlaku? Dan pada malam tu kami semua terpaksa tidur dalam lokap.
-tamat-
No comments:
Post a Comment