Loceng sekolah berbunyi menandakan sudah tamat waktu persekolahan. Hadi yang menghadiri kelas sesi petang itu terus berlari keluar dari bilik darjahnya dan menuju ke pintu pagar sekolah. Dia mencari-cari dimana keberadaan ayahnya. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bersiap-siap kerana ayahnya sudah berjanji untuk membawanya pergi ke menjala pada waktu cuti tahun baru cina yang akan berlangsung pada keesokkan harinya.
Hadi menanti dengan penuh sabar, dia melihat kawan-kawan sekolahnya seorang demi seorang naik ke kereta, motorsikal dan ada juga yang berjalan kaki bersama orang tua mereka. Hadi melihat jam tangan yang berada disebelah kiri lengannya itu. Sudah hampir pukul 7 petang, tidak lama lagi azan maghrib akan berkumandang. Bayang ayahnya tidak juga kelihatan. Namun, Hadi tetap menanti dengan penuh sabar. Dia sentiasa ingat akan pesan ayahnya itu, "Kalau ayah lambat, adik jangan pergi mana-mana. Tunggu je dekat sekolah tu. Duduk dengan pak guard ok? Tunggu sampai ayah datang.".
Disebabkan hari semakin gelap, Hadi berpindah dari menunggu di pondok depan pintu pagar ke pondok pak guard.
"Hadi? Bapak kau tak sampai lagi?" soal pak guard tersebut.
"Belum lagi pakcik. Saya tak tahu ayah dah sampai mana. Mungkin jalan sesak agaknya." jawab Hadi dengan muka masamnya.
"Kalau macam tu, kau ikut aku pergi ke surau belakang sana. Kita pergi siap-siap untuk solat maghrib dulu." ajak pak guard tersebut.
"Tapi nanti kalau ayah sampai tengok saya tak ada, dia risau."
"Tak apa. Aku tinggalkan nota kat atas meja ni. Nanti ayah kau baca, dia tahulah. Solat tak lama pun. Sekejap je. Tak sampai 5 minit. Bapak kau tu entah kat mana-mana sekarang ni."
Hadi angguk kepala tanda setuju dan dia mengikut belakang pak guard itu untuk pergi ke surau.
Ketika mereka lalu didepan tandas, pak guard itu segera menarik tangan Hadi masuk ke dalam tandas.
"Hadi, diam. Jangan bersuara. Aku nampak ada orang asing kat situ." ujar pak guard itu sambil meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Hadi terkejut dengan apa yang pak guard tu buat, tapi dia turuti saja. Dia tidak bersuara seperti yang dipinta. Pak guard itu menjulurkan kepalanya sedikit untuk memeriksa sesuatu. Hadi cuma perhatikan saja.
"Masuk dalam sikit, orang tu nak lalu sini. Jangan bagi dia nampak kita." arah pak guard itu lagi. Hadi akur dan berjalan ke belakang lagi. Jantung Hadi mula berdegup pantas. Dia ketakutan.
"Hadi.. Kau nak tahu tak? Aku tipu kau je. Aku sengaja nak kau masuk perangkap aku." ujar pak guard itu lalu mengeluarkan sebilah pisau dari poket kanannya. Pisau tersebut tidaklah besar mana, tapi mampu mencederakan.
Hadi menjadi gemuruh apabila melihat pak guard itu menghalakan mata pisau tersebut ke arah dirinya. Hadi ketakutan. Dia menyangkakan bahawa dia selamat dengan pak guard tersebut, namun tidak. Rupa-rupanya pak guard itu adalah serigala yang ingin meratah mangsanya. Hadi ingin menjerit tetapi tidak sempat, pak guard tersebut menendang dadanya dahulu dan mengakibatkan Hadi terjatuh ke lantai. Akibat dari tendangannya itu, dada Hadi terasa sangat senak.
Pak guard tersebut tidak melepaskan peluang, dia menikam leher Hadi. Kelihatan darah yang banyak terpancut keluar akibat dari tikaman itu. Nafas Hadi tercungap-cungap, wajah ayah dan ibunya bermain di minda.
"Maafkan aku budak. Tapi, bini aku mengidam jantung budak kecil dan kau bernasib malang hari ni." ujar pak guard sambil menarik keluar pisaunya dari leher Hadi. Semakin banyak darah yang mengalir keluar, lalu membuatkan tubuh Hadi lemah tidak bernyawa. Hadi menghembuskan nafas terakhirnya di dalam tandas sekolah.
Hari sudah gelap, sebuah kereta berjenama negara parking betul-betul depan pagar sekolah. Seorang lelaki separuh usia melangkah keluar.
"Hadi? Hadi?" serunya berkali-kali tetapi anaknya itu tidak kelihatan. Pagar sekolah sudah tertutup rapat. Pondok guard gelap tidak berlampu menandakan bahawa guard sudah pulang ke rumah.
"Allah, mana pula anak aku pergi ni?" dengusnya seorang diri. Kemudian, kedengaran pula azan isyak berkumandang.
Esok harinya, seorang murid yang datang pada awal pagi menjerit ketakutan selepas menemui mayat Hadi di dalam tandas sekolah. Terdapat lubang besar di bahagian dada. Keputusan autopsi menunjukkan bahawa Hadi meninggal dunia akibat pendarahan yang sangat teruk dan dia juga kehilangan jantung. Jantungnya telah dicuri.
Semenjak peristiwa tersebut, ramai ibu bapa tidak berani membiarkan anak-anak mereka menunggu lama ketika tamat waktu persekolahan. Para guru juga turut menyumbang tenaga dengan menawarkan diri mereka untuk menghantar anak murid yang pulang lewat agar tidak menjadi mangsa kepada pembunuh yang telah membunuh Hadi.
Pak guard sekolah yang bertanggungjawab membunuh Hadi hilang tanpa dijejak. Pihak polis masih lagi memburu pak guard tersebut untuk disoal siasat. Dan dia berada dalam senarai yang dikehendaki.
-Tamat-
No comments:
Post a Comment