Friday, 8 September 2017
Puaka Papan Ouija.
Anita dan Mariam tinggal bersama disebuah rumah yang mereka sewakan ditengah kota. Mereka berdua suka akan aktiviti yang berkait dengan paranormal. Pada suatu hari, Anita telah membeli papan Ouija(Ouija board) secara online di eBay. Dia mencabar Mariam untuk bermain permainan berpuaka tersebut bersama. Mariam bersetuju.
Hari yang dinantikan telah pun tiba, Anita telah pun mendapat papan Ouija yang dibelinya tempoh hari. Lalu dia menghantarkan pesanan ringkas kepada Mariam bahawa pada waktu malamnya mereka akan bermain papan Ouija tersebut. Mariam berkata dia akan terus pulang ke rumah sejurus dia selesaikan kerja-kerja dipejabatnya, kemungkinan selepas maghrib.
Lima belas minit selepas maghrib, Mariam tiba di rumah. Apabila mendengar suara Mariam memanggil, Anita terus keluar dari bilik tidurnya. Mariam memerhatikan atas meja dibahagian ruang tamu. Terdapat sebuah kotak lebar yang bertulis 'Ouijaboard Curse of Zozo'.
Mereka berdua tidak sabar untuk memulakan permainan tersebut. Mariam dan Anita duduk bertentangan. Mereka membuka kotak Ouija itu. Terdapat beberapa peraturan yang ditulis dalam bahasa inggeris tertera di belakang kotak tersebut. Anita membaca satu persatu. Mereka harus membaca mantera yang disediakan, dan meletakkan jari mereka pada kayu yang berbentuk segitiga. Jika ada makhluk halus berada berdekatan, mereka akan menggerakkan kayu berbentuk segitiga itu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan. Pemain tidak dibenarkan untuk lepaskan jari dari kayu berbentuk segitiga itu. Dan, pemain harus mengucapkan selamat tinggal sebelum menamatkan permainan, jika tidak, makhluk halus yang berhubung dengan mereka akan terus tinggal di situ selama-lamanya.
Anita dan Mariam mengerti dengan semua peraturan yang diberi. Lalu mereka memulakan permainan. Namun, mereka tidak ingkar pada satu peraturan yang bertulis bahawa pemain tidak dibenarkan untuk bermain didalam rumah kerana dikhuatiri makhluk halus akan ingin menetap disitu.
"The keeper of the gate, open the door for them, let the good spirit come across and talk with us. I summon the dead to come here and don't be afraid. This is a safe place where it's free from any harm."
Selepas Anita membacakan mantera, tiba-tiba saja bau busuk menerjah ke hidungnya. Namun dia mendiamkan diri kerana dia masih ingat akan pesan orang-orang tua, jika terhidu bau busuk, jangan ditegur. Kelihatan wajah Mariam berkerut, mungkin dia juga terhidu bau yang sama seperti Anita? Mereka menunggu beberapa minit. Tetapi tiada jawapan atau perkara aneh yang berlaku selain bau busuk tadi.
Kemudian, Anita membaca manteranya sekali lagi. Menyeru si mati untuk berkomunikasi. Akan tetapi, tetap tidak ada jawapan yang di terima. Selang beberapa minit kemudian, terdengar bunyi ketukan datang dari arah luar rumah. Ketukan dari pintu hadapan. Anita ingin bangun akan tetapi dia teringat pada peraturan yang dibacanya tadi.
"If you shy, then I have to say goodbye..."
Selepas mengucapkan selamat tinggal, barulah Anita dan Mariam berani untuk mengangkat jari mereka dari kayu yang berbentuk segitiga itu. Anita bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke arah pintu.
Apabila Anita membuka pintu, alangkah terkejutnya dirinya bila dia melihat dihadapannya ketika itu adalah Mariam. Mariam memohon maaf kerana tiba lewat ke rumah akibat terlalu banyak kerja yang harus disiapkan dipejabat. Mariam berasa hairan melihat wajah Anita yang seperti baru sahaja terserempak dengan hantu.
Anita berlari menuju ke arah ruang tamu, Mariam tiada di situ. Jantung Anita berdegup kencang. Tiba-tiba saja kepalanya terasa pening. Siapa pula yang bermain papan Ouija dengan dia sebentar tadi?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment