Saturday, 5 August 2017

Perpustakaan




Kejadian ini berlaku pada tahun 1995, aku masih bersekolah. Aku berada di tingkatan 1. Selalunya aku akan menghabiskan waktu rehat di perpustakaan sekolah saja. Aku tak makan di kantin sekolah kerana aku tidak membawa belanja pergi ke sekolah di atas sebab keluarga aku orang susah. Aku makan apabila aku pulang dari sekolah sahaja. Pada suatu hari, aku berjalan menuju ke arah perpustakaan. Tiba-tiba, ada seorang pelajar perempuan menghampiri aku dari arah belakang. Dia menegur aku,


"Hai! Hehe..." tegur pelajar perempuan tersebut mesra.


"Ohh. hai jugak." balasku malas nak melayan.


"Saya selalu nampak awak pergi perpustakaan sorang-sorang." katanya lagi. Dan, aku hanya menggangguk saja.


"Saya Aminah. Nama awak?" soalnya sambil menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Aku melihat tangan yang dihulurkan. Cantik dan kelihatan begitu mulus sekali. Sudah tentu dia ni tak pernah tolong mak kat dapur.


"Saya Hanafi." jawabku ringkas dan menyambut tangannya. Aminah meminta izin untuk pergi ke perpustakaan bersama aku. Aku tak berkata apa-apa, Tapi dia tetap ikut berjalan disebelah aku. Seperti biasa, aku akan memilih untuk duduk dimeja paling belakang sekali yang di mana di situ agak jauh dari semua orang dan aman. Walaupun perpustakaan tersebut hanya aku saja yang selalu masuk. Tapi aku tetap pilih untuk duduk dimeja paling belakang. Guru yang menjaga perpustakaan tersebut sudah kenal dengan aku dan dia juga sudah tahu pukul berapa aku akan datang.


"Kenapa awak pilih duduk kat sini? Kan tak ada orang kat dalam ni, duduk kat depan je lah." soal Aminah, aku makin bengang pulak dengan dia ni. Banyak betul pertanyaan. Aku menghalakan jari telunjuk aku ke arah bibirku dan membuatkan bunyi "Shhhh" sebagai arahan supaya dia diam. Aminah hanya tersenyum dan mengucapkan maaf. Aku memilih buku-buku sejarah untuk dibaca. Sedang aku leka membaca buku sejarah mengenai negeri Melaka, tiba-tiba Aminah bersuara lagi.


"Awak nak tahu tak kenapa perpustakaan ni tak pernah ada pelajar lain datang?" soalnya lagi sambil perlahan-lahan memusingkan kepalanya ke arah aku.
"Sebab dia orang tak suka membaca." jawabku ringkas. Tiada alasan lain yang munasabah selain dari itu. Tapi Aminah tidak beralih pandangannya dari aku. Dia tetap memandang aku. Aku jadi hairan. Tadi ceria je wajah Aminah, tapi kali ni dia jadi serius pulak. Nak je aku tendang muka dia.


"Sebab dia orang semua takut." ujar Aminah tegas. Membuatkan aku berhenti dari membaca. Aku meletakkan buku sejarah itu ke atas meja dan aku memandang Aminah tepat ke biji matanya. Aku ingin tahu, kenapa dia orang semua takut?


"Awak tak tahu ke pasal cerita ni?" soalnya lagi. Aku menggelengkan kepalaku. Aku memang tak tahu dan tak pernah tahu.


"Saya tahu, sebab awak tak bergaul. Sebab tu awak tak tahu pasal kisah ni. Baiklah, saya akan beritahu awak. Tapi jangan takut pulak. Janji?" tambah Aminah lagi. Dan aku berjanji tak akan takut. Lagi pun, ianya hanya sebuah cerita. Atau khabar angin. Entah betul, entah tidak.


"Hanafi, saya nak ke pejabat guru ni. Nanti macam biasa ya? Jangan lupa tutup semua lampu dan kipas." pinta guru perpustakaan itu kepada aku. Aku hanya angguk kepala saja. Kemudian, aku kembali menumpukan perhatian ke arah Aminah. Tapi anehnya, Aminah sudah tiada lagi di situ. Aku panggil namanya berkali-kali, tapi dia tidak menyahut. Aku bergegas keluar dari perpustakaan itu dan menuju ke arah rak kasut. Hanya kasut aku saja yang kelihatan. Ke mana pula Aminah sudah menghilang? Entah kenapa, tiba-tiba aku terasa seram. Perpustakaan tersebut tiba-tiba aku lihat menjadi suram. Aku cepat-cepat kemas meja yang aku gunakan tadi, tutup lampu dan kipas. Aku terus berambus dari situ. Aku menuju ke kelas, dan cuba untuk melupakan peristiwa tersebut.


Ketika aku dalam perjalanan pulang ke rumah, aku terasa seperti aku diekori. Hati aku betul-betul rasa tak sedap. Tapi aku buat tak tahu saja. Tak pernah pula aku hadapi perkara seperti ni. Malam tu aku ceritakan semuanya kepada ayah dan mak aku. Mereka ketawa, mereka kata mungkin aku terlalu banyak sangat baca buku. Aku jadi tak puas hati pula. Aku nekad, kalau esok Aminah tu datang jumpa aku. Aku nak tanya dia, kenapa dia tiba-tiba hilang. Dia hantu atau apa?
Esoknya, seperti biasa, waktu rehat aku akan pergi ke perpustakaan. Ketika aku tiba di perpustakaan, aku bertanya pada guru yang menjaga itu. Apakah dia ada melihat aku bersama dengan orang lain semalam? Dan guru tersebut menjawab "tidak". Aku sudah mula terasa seram. Aku buat tak tahu saja dan terus memilih meja dibahagian belakang sekali. Demi nak menghilangkan rasa seram, aku memilih untuk membaca buku mengenai sahabat Nabi. Sedang aku asyik membaca, tiba-tiba Aminah menyergah aku. Terkejut aku dibuatnya, ditambah pula yang aku memang syak dia tu hantu. Aku cuba untuk tidak menunjukkan perasaan takut.


"Maaf, semalam terpaksa pergi macam tu je, orang sakit perut. Hehe.." ujarnya sambil memberikan senyuman yang sungguh manis. Terasa sejuk pula hati aku lepas tengok senyuman dia.


"Ok, sekarang saya nak ceritakan pada awak. Pada tahun lepas, awak tak masuk lagi kat sini. Ada seorang senior, perempuan, telah mati dirogol bergilir-gilir kat perpustakaan ni. Lepas kena rogol, dia kena bunuh, dan mayatnya disembunyikan dekat bawah meja ni. Meja yang awak suka gunakan ni." katanya. Perasaan seram terus menyerang aku bertubi-tubi. Entah kenapa otak aku bertindak kejam waktu itu, otak aku menyatakan bahawa Aminahlah perempuan yang kena rogol dan dibunuh itu. Dan sekarang dia nak balas dendam. Aku segera mengemas meja dan ingin berlalu pergi dari situ. Aku tidak melihat kelibat guru yang bertugas di situ, mungkin dia sudah keluar agaknya. Ketika aku hampir sampai ke pintu perpustakaan, tiba-tiba saja pintu tersebut tertutup rapat dengan sendirinya. Tegang seluruh urat-urat dibadan aku.


"Awak nak pergi mana tu? Saya tak habis cerita lagikan..?" soal Aminah, suaranya sayu dan lemah. Aku hanya kaku berdiri di situ.


"Mari duduk sini, sebelah saya." arah Aminah. Aku perlahan-lahan menoleh ke arahnya. Aku dapat lihat wajahnya dengan jelas. Kepalanya berdarah teruk, pakaiannya koyak rabak, seperti ada lobang besar kat kepalanya. Memang menyeramkan! Tanpa berfikir panjang, aku terus mengeluarkan vokal aku yang tertinggi. Aku menjerit sepenuh jiwa raga dan aku tendang pintu perpustakaan sampai terbuka. Kemudian, aku terus berlari sambil menjerit tanpa henti. Entah berapa harkat jeritan aku tu pun tak tahu. Aku berlari terus ke bilik guru, lepas kena lempang dengan Cikgu Asmah, barulah aku berhenti menjerit.


"Sa..saya nampak Aminah kat perpustakaan!" kata aku dengan penuh semangat berkobar-kobar. Kemudian, semua guru yang ada di situ terkejut. Aku dibawa berjumpa dengan guru besar. Aku menceritakan segala-galanya. Rupa-rupanya memang benar sangkaan aku, Aminah itu adalah mangsa rogol dan telah dibunuh. Tidak ada seorang pelajar pun yang tahu akan cerita itu, sebab itu guru-guru di situ agak terkejut kenapa aku yang merupakan pelajar tingkatan 1 boleh jumpa Aminah kat perpustakaan. Mereka menyangkakan aku sebut tentang pelajar bernama Aminah yang lain, tetapi tidak ada lagi pelajar nama Aminah disekolah tersebut melainkan sos cili jenama Aminah Hassan yang digunakan oleh kantin sekolah. Selepas dari itu, pelajar perempuan satu sekolah terkena histeria. Agak pening kepala jugak waktu tu, ada segelintir guru wanita yang terkena histeria juga. Tetapi, ada guru lelaki yang berjaya kawal keadaan dan hentikan gangguan histeria tersebut.


Semenjak dari itu, aku tidak lagi berani menjejakkan kaki aku ke perpustakaan, walaupun blok perpustakaan tersebut sudah dirobohkan dan perpustakaan ditukar bersebelahan dengan pejabat guru. Aku tetap tidak berani.


-Tamat-

No comments:

Post a Comment