Saturday, 9 September 2017

Penyakit Yang Aneh






Terdapat sebuah kampung yang diberi nama Buah Kundur. Seperti kebiasaannya, kampung tersebut berada dalam keadaan yang aman dan damai. Tiada masalah antara jiran, tiada pergaduhan berebut bini atau lelaki, tiada kes getah kena curi, tiada kes paranormal. Penduduk di kampung tersebut mengamalkan sifat bermuafakat. Mereka akan saling bantu membantu antara satu sama lain. Walaupun membantu kampung sebelah yang berada dalam kesusahan. 
Seperti kampung Getah Pelepah, yang dulunya aman tetapi pada suatu hari kampung tersebut didatangi oleh seorang lelaki tua yang berpakaian serba hitam dan mengenakan kaca mata hitam di lengan kirinya. Dia mendakwa bahawa dirinya adalah seorang pakar perubatan persendirian. Dia datang ke kampung tersebut kerana mendapat aduan dan laporan yang menyatakan di mana penduduk kampung itu diserang oleh wabak penyakit Bum Bum Tam Tam. 

Pesakit akan berjoget mengikut rentak muzik yang tidak sedap didengari sambil punggungnya dihayunkan turun naik, turun naik. Apabila terdengar muzik berhantu itu dimainkan, mereka akan terus membuat aksi aneh tersebut. Penduduk telah memanggil begitu ramai pawang-pawang yang pakar bagi mengubati penyakit yang serius itu. Namun, semuanya menjumpai jalan buntu. Akhirnya mereka menyerah kalah.

Penduduk kampung Buah Kundur memberi kata sepakat untuk membantu kampung jiran dengan membuat aduan secara atas talian. Akhirnya, aduan mereka dibalas. Seorang pakar perubatan persendirian menawarkan dirinya untuk mengubati penyakit yang aneh tersebut. 

"Encik Mus tolonglah sembuhkan penyakit anak-anak kami ini" rayu seorang ibu yang kasihan pada anaknya yang sedang menanggung derita wabak penyakit Bum Bum Tam Tam.

"Usah khuatir. Saya akan berusaha. Selebihnya serahkan pada yang Maha Esa." balas Mus tenang sambil kaca mata hitamnya diselitkan ditelinga. 

Mus atau nama penuhnya Mus bin Mas merupakan graduan segar dari Kolej Aswara, dia mahir dalam bidang instrumen klarinet. Dia menggunakan kemahirannya untuk membantu orang ramai. Walaupun dia berasal dari bandar, namun dia tetap akan membantu sesiapa sahaja walaupun pesakitnya itu berada di seberang laut sana. 

Pada hari pertama ketika Mus tiba di kampung apa entah namaya tadi aku lupa, dia terus meminta ketua kampung untuk membawanya ke rumah pesakit yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Mus ingin membuat kajian terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang operasi menyelamat. Setelah semua rumah pesakit sudah dikunjungi, dia kembali ke rumah ketua kampung untuk membincangkan perkara yang telah dia kaji.

"Dari pemerhatian saya, penyakit aneh ini hanya menyerang remaja sahaja. Ini disebabkan diri mereka, jiwa mereka, berada dalam satu keadaan yang sangat lemah. Bila lemah, penyakit ini mudah untuk menembusi pertahanan diri masing-masing. Jadi, saya ada beberapa soalan yang ingin saya ajukan pada tok ketua. Harapnya tok ketua dapat jawab dengan jujur." ulas Mus dengan riak wajahnya yang begitu tenang seperti Sakata Gintoki.

Ketua kampung telah berjaya menjawab segala pertanyaan dari Mus dengan tenang, jujur, tepat, padat, dan pantas. Namun setiap jawapan yang di terima amatlah tidak memuas hatikan. Kerana, ketua kampung hanya menjawab "Tidak tahu." sahaja. Apa guna dia menjadi ketua kampung kalau tidak tahu je memanjang. Senang buat duit nampak? Pijak nak pijak?

Walaupun Mus tidak mendapat jawapan yang dia inginkan, akan tetapi ianya tidak mematahkan semangat dirinya untuk membantu. 

Secara tiba-tiba dan tiada kena mengena, seorang penduduk kampung berlari ke arah Mus yang baru saja keluar dari rumah ketua kampung dalam keadaan gelisah dan gersang. Dia memaklumkan bahawa seorang remaja sedang diserang dengan penyakit aneh itu ketika sedang membawa basikal. Mereka semua berlari menuju ke destinasi yang katakan. 

Setibanya mereka di tempat kejadian, kelihatan seorang remaja sedang berjoget di atas basikal sambil punggungnya dihayun ke atas dan ke bawah. 

"Pegang dia! Pegang! Jangan bagi lepas!" arah Mus kepada penduduk kampung yang berada di situ.

Remaja tersebut meronta-ronta minta dilepaskan ketika tangan dan kakinya dipegang erat oleh penduduk kampung. 

"Tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam tam.. Bum bum tam tam.. Bum bum tam tam.." kedengaran bunyi muzik yang menjadi punca utama datang dari arah poket seluar remaja tersebut. 

Dengan pantas, Mus menyeluk poket seluar remaja itu dan mengambil sejenis alat yang diberi nama 'telefon pintar'. Sebuah video aneh sedang dimainkan dikaca skrin telefon milik remaja tersebut. Dengan pantas, Mus menghempas telefon itu ke atas tanah. Hancur berkecai telefon tersebut. Kemudiannya, barulah remaja itu berhenti dari meronta-ronta. Air matanya mengalir membasahi pipi. 

Ibu bapa kepada remaja itu mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan yang telah Mus hulurkan. 

"Jangan bimbang. Selagi alat tersebut tidak bersama dengan adik ni. Penyakit itu tidak akan mengganggu. Anak pakcik dan makcik telah pun sembuh." ujar Mus sambil melipat lengan bajunya. Lalu dia berlalu pergi menuju ke rumah para pesakit yang dikatakan telah menghidap penyakit Bum Bum Tam Tam. 

Setiap dari remaja di kampung tersebut memiliki alat yang berpuaka itu. Alat-alat itu diarahkan dirampas oleh Mus dan dibawa ke sebuah tanah lapang. Semua ibu bapa akur dengan perintah yang diberi. Pada petangnya, semua penduduk kampung berkumpul di tanah lapang yang terletak dihujung kampung.

Mus mengumpulkan semua alat yang berpuaka itu ditengah-tengah. Lalu, dia menuang minyak tanah ke atas alat berpuaka itu semua. Lalu, dia mengarahkan seorang penduduk untuk menyalakan api. Kemudian, api itu dilontar ke arah alat yang berpuaka tersebut.

Maka, menyalalah api merah yang membara bersama tiupan angin damai pada petang itu.

"Saya memberi jaminan kepada semua. Anak-anak anda tidak akan diganggu lagi oleh penyakit yang aneh tersebut. Alat yang sedang dibakar itulah punca utamanya. Jangan berikan pada mereka alatan sebegitu rupa selagi umur tidak mencecah usia matang. Dengar nasihat saya ini. In shaa Allah anak-anak anda akan terus terselamat." ucap Mus dalam nada yang tinggi agar semua orang mendengar apa yang dia katakan. 

Seminggu sudah berlalu, kampung apa nama tadi aku dah lupa sudah kembali menjadi aman. Akan tetapi, kampung jiran tidak berpuas hati kerana apa yang dilakukan oleh Mus tersebut bagi mereka adalah salah. Namun, kampung haa aku dah ingat nama, Getah Pelepah, tidak mengerti apa yang dimarahnya oleh kampung Buah Kundur. 

Sebulan kemudian, seorang lelaki dari kampung Buah Kundur datang ke kampung Getah Pelepah dan membuka sebuah kedai alatan elektronik. Mimpi ngeri penduduk pelepah berlaku lagi tetapi kali ini terkena pada warga dewasa. Ketika kedai tersebut memasang sebuah lagu, penduduk-penduduk dewasa berjoget mengikut rentak.

"Ayam mee! Ayam ayam ayam ayam mee!!!!!" 




-Sudah tamatlah anneeeyy...-

Friday, 8 September 2017

Puaka Papan Ouija.









Anita dan Mariam tinggal bersama disebuah rumah yang mereka sewakan ditengah kota. Mereka berdua suka akan aktiviti yang berkait dengan paranormal. Pada suatu hari, Anita telah membeli papan Ouija(Ouija board) secara online di eBay. Dia mencabar Mariam untuk bermain permainan berpuaka tersebut bersama. Mariam bersetuju.

Hari yang dinantikan telah pun tiba, Anita telah pun mendapat papan Ouija yang dibelinya tempoh hari. Lalu dia menghantarkan pesanan ringkas kepada Mariam bahawa pada waktu malamnya mereka akan bermain papan Ouija tersebut. Mariam berkata dia akan terus pulang ke rumah sejurus dia selesaikan kerja-kerja dipejabatnya, kemungkinan selepas maghrib.

Lima belas minit selepas maghrib, Mariam tiba di rumah. Apabila mendengar suara Mariam memanggil, Anita terus keluar dari bilik tidurnya. Mariam memerhatikan atas meja dibahagian ruang tamu. Terdapat sebuah kotak lebar yang bertulis 'Ouijaboard Curse of Zozo'.

Mereka berdua tidak sabar untuk memulakan permainan tersebut. Mariam dan Anita duduk bertentangan. Mereka membuka kotak Ouija itu. Terdapat beberapa peraturan yang ditulis dalam bahasa inggeris tertera di belakang kotak tersebut. Anita membaca satu persatu. Mereka harus membaca mantera yang disediakan, dan meletakkan jari mereka pada kayu yang berbentuk segitiga. Jika ada makhluk halus berada berdekatan, mereka akan menggerakkan kayu berbentuk segitiga itu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan. Pemain tidak dibenarkan untuk lepaskan jari dari kayu berbentuk segitiga itu. Dan, pemain harus mengucapkan selamat tinggal sebelum menamatkan permainan, jika tidak, makhluk halus yang berhubung dengan mereka akan terus tinggal di situ selama-lamanya.

Anita dan Mariam mengerti dengan semua peraturan yang diberi. Lalu mereka memulakan permainan. Namun, mereka tidak ingkar pada satu peraturan yang bertulis bahawa pemain tidak dibenarkan untuk bermain didalam rumah kerana dikhuatiri makhluk halus akan ingin menetap disitu.

"The keeper of the gate, open the door for them, let the good spirit come across and talk with us. I summon the dead to come here and don't be afraid. This is a safe place where it's free from any harm."

Selepas Anita membacakan mantera, tiba-tiba saja bau busuk menerjah ke hidungnya. Namun dia mendiamkan diri kerana dia masih ingat akan pesan orang-orang tua, jika terhidu bau busuk, jangan ditegur. Kelihatan wajah Mariam berkerut, mungkin dia juga terhidu bau yang sama seperti Anita? Mereka menunggu beberapa minit. Tetapi tiada jawapan atau perkara aneh yang berlaku selain bau busuk tadi.

Kemudian, Anita membaca manteranya sekali lagi. Menyeru si mati untuk berkomunikasi. Akan tetapi, tetap tidak ada jawapan yang di terima. Selang beberapa minit kemudian, terdengar bunyi ketukan datang dari arah luar rumah. Ketukan dari pintu hadapan. Anita ingin bangun akan tetapi dia teringat pada peraturan yang dibacanya tadi.

"If you shy, then I have to say goodbye..."

Selepas mengucapkan selamat tinggal, barulah Anita dan Mariam berani untuk mengangkat jari mereka dari kayu yang berbentuk segitiga itu. Anita bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke arah pintu.

Apabila Anita membuka pintu, alangkah terkejutnya dirinya bila dia melihat dihadapannya ketika itu adalah Mariam. Mariam memohon maaf kerana tiba lewat ke rumah akibat terlalu banyak kerja yang harus disiapkan dipejabat. Mariam berasa hairan melihat wajah Anita yang seperti baru sahaja terserempak dengan hantu.

Anita berlari menuju ke arah ruang tamu, Mariam tiada di situ. Jantung Anita berdegup kencang. Tiba-tiba saja kepalanya terasa pening. Siapa pula yang bermain papan Ouija dengan dia sebentar tadi?