Tuesday, 2 August 2016

Kesantauan

Seorang lelaki bernama Mael Gangsa sedang sibuk memerhatikan ayam-ayamnya di dalam reban. Mael begitu risau jika ada musang yang datang dan memakan ayam-ayamnya itu. Mael teramatlah sayang pada ayam-ayam yang dia jaga sejak kecil itu. Mael akan memastikan ayam-ayam betinanya bertelur tanpa ada sebarang gangguan. Nanti telurnya itu akan dijual di dalam kampung. Ramai pelanggan Mael yang suka membeli telur milik Mael, ada juga yang suka membelai. Pada suatu malam, seperti biasa, Mael akan keluar ke kedai untuk membeli sekotak rokok untuk dihisapnya ketika menjaga ayam-ayamnya. Selepas dia membeli sekotak rokok, dia ingin pulang ke rumah pula dan melakukan kerja-kerja hariannya. Tapi, telinga dia tertangkap satu umpatan dari orang-orang di situ.

"Tengok tu. Umur dah 30 tapi kerja jual telur ayam! Hahahahaha! Orang kerja kat bandar dapat duit banyak, bawak kereta BMW. Dia jalan kaki je."

"Hahahaha.. Harapkan muka jambu tapi miskin buat apa? Hahahahahaha"

Mael berlalu pergi dari situ dengan hati yang terbakar akibat terdengar kutukan dari orang-orang kampung. Mael tiba di perkarangan rumahnya, dia melihat kereta-kereta mewah yang dia beli cash tahun lepas. Ada Buggatti, Lamboghini, Ferrari, BMW, Mercedes, Audi R8, Mazda, Supra, Skyline, Evo 12, dan tak lupa juga koleksi motor-motor super yang dia beli cash juga pada awal tahun, Ducati, Kawasaki, Honda, dan Suzuki. Mael hanya mengeluh melihat kenderaan mewahnya yang dia beli atas hasil titik peluhnya sendiri tetapi tetap dipandang hina oleh orang kampung. Kemudian, Mael terus melangkah masuk ke dalam rumah. Orang gajinya datang dari arah dapur dan menghidangkan air kegemarannya iaitu teh tarik. Mael menghirup air tersebut perlahan-lahan. Selepas itu, Mael pun terus berlalu pergi ke reban ayam.

Mael menghisap rokok yang baru dibelinya tadi dikedai runcit Ah Seong. Mael menghembuskan asap rokok dengan perasaan yang lega. Mael bersandar disebatang pokok. tetapi dia merasakan hairan pula. Pokok tersebut dia rasakan seperti lembut pula. Tiba-tiba, Mael menghidu bau kapur barus yang sangat kuat. Hati Mael berubah menjadi tidak sedap. Batang pokok yang Mael bersandar tadi seperti bergerak-gerak. Mael berdiri tegak dan menoleh secepat mungkin ke arah belakang. Dia mendapati batang pokok yang dia bersandar tadi bukanlah pokok. Tetapi pocong. Mael melompat dan melarikan diri dari situ. Dia masuk ke dalam rumahnya. Sambil mengusap dadanya yang berdebar-debar, dia cuba mengintai ke belakang rumah untuk memastikan apakah benar yang dilihatnya tadi atau hanya ilusi akibat rasa letih? Mael berjalan menuju ke pintu dapur rumah dengan niat untuk mengintai, tetapi pocong tersebut sedang duduk atas kerusi di meja makan dapur. Lagilah membuatkan Mael menjadi takut teramat sangat. Tanpa membuang masa, Mael pun melarikan diri keluar dari rumah itu, dia tak rasa selamat untuk tinggal dalam rumah itu pada malam tersebut. Orang gajinya juga berlari keluar mengikuti Mael.

Mereka berlari menuju ke rumah Tok ketua. Mael memanggil-manggil tok ketua keluar rumah. Apabila tok ketua keluar rumah, dia pun menceritakan perkara yang berlaku ke atas dirinya itu. Tok ketua mengajak anak lelaki nya untuk ikut bersama. Orang gajinya tinggal di rumah tok ketua saja. Manakala Mael, dia ikut pergi bersama dengan tok ketua.

"Muka dia kamu nampak ke Mael?" soal tok ketua ingin tahu.

"Tak nampak tok ketua. Muka dia pun berbalut." jawab Mael yang masih lagi tak cukup nafas akibat berlari.

"Aku rasa budak-budak kampung yang dengki dengan kamu ni. Dia orang saja nak menyakat. Lagi-lagi suami si Leha tu. Dia tu cemburu dengan kejayaan kamu." balas tok ketua.

"Pedulikanlah dia orang tok. Yang penting kita tengok siapa yang jadi pocong tu dulu. Saya tak boleh benda-benda paranormal ni tok. Saya tak suka terjah menerjah ni. Saya suka share je." sambung Mael lagi.

Mereka pun tiba diperkarangan rumah Mael. Bau kapur barus memang kuat disekitar itu. Anak lelaki tok ketua nampak gayanya sudah memulakan langkah pertama, cabut lari balik rumah dulu akibat takut.

"Apa punya anak. Kau tinggalkan aku seorang diri kat sini." rungut tok ketua kesal dengan sikap anaknya yang tidak mengajak dirinya sekali untuk pulang.

"Macam ni lah Mael. Aku tak nampak apa-apa pun. Lebih baiklah aku balik je ke rumah aku. Tak elok keluar malam-malam buta ni." ujar tok ketua sedikit menggigil.

"Ish..Apa ni tok? Saya minta tolong dari tok. Tok tak masuk pun lagi ke dalam rumah saya. Kita kat luar lagi ni. Jangan macam ni tok." pujuk Mael dengan harapan tok ketua tidak lari seperti anaknya itu.

Mael menolak tok ketua ke depan. Dia bersembunyi dibelakang tok ketua. Mereka tiba dihadapan pintu rumah Mael.

"Assalamualaikum.." tok ketua beri salam.

"Asal tok bagi salam pulak? Mana ada orang kat dalam rumah tu?" tegur Mael yang pelik dengan sikap tok ketua kampungnya itu. Sejujurnya tok ketua itu berada dalam keadaan ketakutan. Kerana dia pun tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegitu.

"Cepatlah tok. Bukan pintunya tu." desak Mael.

"Pintu berkunci, macam mana aku nak bukak?" jawab tok ketua sedikit menggigil.

"Mana ada kunci, saya main keluar tadi. Tak sempat nak kunci pintu pun." balas Mael sambil terus mendesak tok ketua untuk membuka pintu hadapan rumahnya.

Tok ketua tiada pilihan lain selain membuka pintu rumah Mael. Bau kapur barus semakin kuat. Mael terus mendesak dan mendesak. Lagi sikit tangan tok ketua nak memegang tombol pintu rumah Mael.

"BAPAK!"

Tok ketua dan Mael terjerit akibat terperanjat dengan suara yang menegur. Akibat dari itu, mereka berdua terus berlari dan menghala ke arah jalan raya. Mereka berdua ditahan oleh tok imam dan beberapa lagi orang kampung.

"Bapak kenapa? Saya bawa tok imam ni haa.." kata anak lelaki tok ketua.

"Laaa. Aku ingatkan amendalah tadi. Kamu rupanya, Seman?" balas tok ketua cuba untuk berlagak kool.

"Ingatkan berani sangat. Rupa-rupanya penakut kamu ni tok ketua?" tanya Tok imam yang hairan dengan perangai tok ketua tersebut.

Tok imam pun melangkahkan kakinya menuju ke rumah Mael. Dia mengajak Mael untuk ikut dia bersama. Manakala yang lain tunggu diluar rumah sahaja. Wajah Mael berubah apabila nama dia saja yang dipanggil untuk menemani tok imam. Tetapi, akibat desakan tok imam sendiri. Mael terpaksa akur saja dengan arahan. Bau kapur barus semakin kuat ketika mereka melangkah kaki memasuki rumah tersebut. Keadaan di dalam rumah tidak terusik. Semua barang berada di tempat yang sepatutnya. Mael mengikut rapat dibelakang tok imam. Dia benar-benar takut dengan situasi yang dia hadapi ketika itu.

"Kamu ada membela apa-apa ke, Mael?" soal tok imam.

"Bela? Saya bela ayam je lah tok. Selain dari tu saya tak bela pun" jawab Mael yang tak faham dengan soalan sebenar dari tok imam itu.

Tiba-tiba, muncul sekujur tubuh berbalut dengan kain kafan dihadapan mereka. Mael dah menggigil seluruh tubuh. Dia rasa seperti ingin pengsan saja di situ. Tetapi tok imam memaksa Mael untuk kuatkan diri dan jangan berhenti untuk berzikir. Mael hanya menggangguk tanda setuju dan mencuba sebaik mungkin. Kemudian, tok imam pun memulakan kerjanya. Bau busuk tiba-tiba datang menerpa ke lubang hidung mereka. Mael ingin muntah, tapi dia menahan. Barang-barang di dalam rumah itu berterbangan dengan tiba-tiba. Mael terasa terancam berada di situ. Tetapi ketika dia ingin melarikan diri, tok imam memegang tangangnya dan mengarahkan dia untuk berada di situ dan jangan pergi ke mana-mana. Mael terpaksa akur dengan arahan tok imam. Lagi pula, rumah itu rumah dia.

Kemudian, kedengaran pula bunyi guruh dilangit berdentum dengan hebatnya. Beberapa ekor burung gagak hitam muncul dan terbang masuk ke dalam rumah. Gagak itu semua cuba untuk menyerang tok imam tetapi tok imam terlebih dahulu mengelak dan membatalkan serangan gagak-gagak itu. Bangkai gagak hitam yang terhempas ke atas lantai terbakar dan menghasilkan bau busuk yang teramat sangat. Pocong tersebut masih lagi berada di situ berdiri setempat tanpa berbuat apa-apa. Mael tiba-tiba terasa sakit dada dan ingin muntah. Dia cuba menahan. Akibat terlalu perit, dia luahkan saja. Darah yang banyak keluar dari mulutnya beserta paku dan batu-batu tajam yang sangat banyak.

"Santau" ujar tok imam. Dan dia mula melakukan beberapa pergerakan seperti bersilat. Selepas itu, dia mengeluarkan sebilah keris yang diselitkan dicelah pinggang. Tok imam kembali bersilat. Mael semakin lemah, semakin dia batuk, semakin banyak paku dan batu tajam yang keluar. Kemudian, tok imam melompat ke arah pocong itu dan melakukan beberapa tikaman ke tubuh pocong itu. Akibat dari tikaman keris tok imam, pocong itu terbakar. Jelas kedengaran suara yang garau menjerit kesakitan. Api yang marak sedang menjilati tubuh pocong tersebut. Hairannya, lantai di situ tidak ada sebarang kesan terbakar. Akhirnya, pocong tersebut lesap dan hilang sebegitu sahaja. Mael jatuh rebah dan tidak menyedarkan dirinya.

Keesokkannya, heboh satu kampung tentang peristiwa yang menimpa diri Mael. Ramai yang datang berkunjung untuk mengetahui kisah sebenar. Tok imam mengarahkan semua orang untuk bertenang dan membiarkan Mael berehat. Mael diberitahu oleh tok imam bahawa dia telah pun di santau oleh orang kampung itu juga. Semuanya akibat dengki dan cemburu di atas kejayaan Mael dalam kerjayanya sebagai tauke telur ayam. Orang yang bersifat dengki itu telah pun berambus dari kampung tersebut kerana khuatir dirinya ditangkap dan dipukul secara berjemaah. Hanya tok imam saja yang tahu siapa dalang kepada sihir santau tersebut.

-Tamat-

No comments:

Post a Comment