Saturday, 13 February 2016

Rumah Kayu #2

          Selesai makan malam, Mokhtar bersama Wak Abu duduk bersebelahan di pangkin yang terletak tidak jauh dari tangga untuk menaiki ke rumah Wak Abu. Mokhtar memerhatikan lampu kalimantang yang tergantung di atas pokok menerangi pangkin tersebut. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Wak Abu yang sedang sibuk dari tadi membalut kretek. Agak banyak juga yang dibalutnya. Mungkin untuk bekalan ke jamban jika waktu-waktu kecemasan. Wak Abu menyalakan kretek yang dibalutnya sebentar tadi, kemudian dihembuskan asap ke arah depan. Berkepul-kepul asap tersebut. Kadang-kala, dia membuat pelbagai bentuk ketika menghembuskan asap kretek itu. Ada bentuk bulat, bentuk petak, bentuk segitiga, bentuk 28 19 30 dan bentuk dacing.
         
          "Kau memang nekad ke nak tinggal di rumah peninggalannya si Zubir?" tanya Wak Abu tidak semena-mena.
          "Itu yang isteri saya inginkan, saya kena tunaikan." jawab Mokhtar ringkas.
          "Apa yang kau dengar masa dalam rumah tu siang tadi?" tanya Wak Abu lagi. Kali ini riak wajahnya berubah serius.
          "Saya dengar bunyi orang berbisik. Saya tau mana arah bisikan tu, tapi bila saya toleh. Tak ada sesiapa pun." jawab Mokhtar, wajahnya berkerut. Selepas mendengar kata-kata Mokhtar, Wak Abu termenung panjang. Mokhtar pun hanya mendiamkan diri saja sambil melemparkan pandangan ke arah parit.
          "Wak Abu, ada apa-apa ke tentang rumah tu yang saya wajib tau?" tanya Mokhtar pula.
          "Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?" balas Wak Abu.
          "Sebab masa saya buka pintu rumah tu, saya rasa macam ada yang tak kena je. Hati saya tiba-tiba rasa tak sedap." jawab Mokhtar kemudian dia mengeluh panjang. Wak Abu masih mendiamkan diri tanpa membalas persoalan yang bermain difikiran anak buahnya itu.
          "Wak Abu mesti tau sesuatukan tentang rumah tu? Saya dan Kenanga nak tinggal lama kat situ. Kami nak beranak-pinak kat situ. Saya tak nak ada apa-apa masalah yang tak diingini berlaku terhadap keluarga saya." sambung Mokhtar lagi. Dan Wak Abu terus mendiamkan diri tanpa bercakap sepatah perkataan. Kretek di tangannya juga tidak berhisap.
          "Please Wak. Bagitau saya benda yang patut saya tau tentang rumah tu." tambah Mokhtar lagi, kali ini nada suaranya mendayu dan dia merayu kepada Wak Abu agar jangan merahsiakan apa-apa perkara dari dia tentang rumah tersebut.

          Namun, Wak Abu membuat keputusan untuk mendiamkan diri saja. Disebabkan kesal dengan sikap Wak Abu, Mokhtar mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah saja untuk menjenguk apa yang sedang di buat oleh Kenanga. Apabila dia tiba di bahagian ruang tamu rumah Wak Abu, kelibat Kenanga tiada di situ. Lalu Mokhar berjalan menuju ke arah dapur di mana dia terdengar suara Kenanga dan Mak Nipah berborak-borak. Apabila dia tiba di bahagian dapur. Dia terus memberikan salam. Mak Nipah dan isterinya sedang rancak berborak tentang kenangan silam.
          "Kalau kau nak tau, Tar. Kenanga ni dulu pernah tendang budak lelaki kat sekolah dia tau." kata Mak Nipah sambil tersenyum.
          "Eh, janganlah bagitau Mak. Malulah Kenanga." sampuk Kenanga sambil tertawa kecil. Mokhtar pula hanya tersenyum riang dan memasang telinga untuk mendengar cerita dari mulut Mak Nipah.
          "Budak lelaki tu selalu buli dia dan kawan-kawan dia, Satu hari tu, Kenanga ni dah marah sangat. Dia tendang budak yang ganggu dia tu sampai masuk ke dalam parit." kata Mak Nipah di ikuti ketawa besar bersama-sama Mokhtar dan Kenanga.

          "Apakah harus aku memberitahu pada anakmu, Zubir? Apakah harus aku menceritakan semuanya? Aku takut jika anakmu dan suaminya jadi takut lalu lari pula nanti." bisik Wak Abu di dalam hati. Wajahnya kelihatan gelisah dan runsing. Seperti ada masalah besar yang sedang berlaku.
          "Mokhtar! Mari ke pangkin ni sebentar!" jerit Wak Abu memanggil Mokhtar. Kemudian, Mokhtar terpacak di depan pintu dan memandang ke arah Wak Abu.
          "Mari sini. Duduk dengan aku. Ada cerita aku ingin beritahu." sambung Wak Abu lagi. Mokhtar tidak menjawab tetapi di akur dan turun menuruni tangga dan berjalan menuju ke arah pangkin. Setelah dia duduk disebelah Wak Abu. Wak Abu terus memberitahukan rahsia tentang rumah itu kepada dia.
          "Dengar sini baik-baik, nak. Rumah arwahnya Zubir itu. Sebenarnya, HIDUP." kata Wak Abu kepada Mokhtar yang sedang menumpukan pandangan matanya ke arah dia.

          Setelah menghirup sedikit air kopi yang di bancuh oleh Mak Nipah. Mokhtar meminta untuk beransur ke luar rumah untuk duduk bersama Wak Abu dan membiarkan Mak Nipah berbual dengan Kenanga. Dia tidak ingin mengganggu mereka berdua kerana topik perbualan mereka kebanyakkannya hanyalah mengenai wanita, kehidupan seorang isteri. Topik-topik itu semua membuatkan Mokhtar menjadi cepat muak dan bosan. Ketika Mokhtar ingin turun tangga menuju ke arah pangkin. Dia menjadi hairan kerana dilihatnya Wak Abu sedang bercakap seorang diri di situ.
          "Wak!" jerit Mokhtar dan mengakibatkan Wak Abu yang sedang rancak berkata-kata tadi terdiam dan mengalihkan pandangannya ke arah Mokhtar. Wajah Wak Abu terkejut. Mukanya tiba-tiba menjadi pucat. Dia melihat ke arah sebelah kirinya, tiada sesiapa. Habis tu, dengan siapa dia beritahu tentang rahsia rumah kayu tu?
          "Wak cakap dengan siapa?" tanya Mokhtar ketika menghampiri Wak Abu. Wajah Wak Abu benar-benar pucat dan mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak boleh kerana tekaknya terasa sakit.
          "Wak, kenapa ni? Muka Wak pucat semacam je. Wak okay tak?" tanya Mokhtar lagi setelah dia melihat keadaan Wak Abu seperti orang ternampak hantu.
          "Takda siapa. Aku bersajak saja tadi." jawab Wak Abu menipu. Mokhtar menjadi hairan dengan tingkah laku Wak Abu. Mukanya pucat tiba-tiba saja selepas dia menegur. Takkan bersajak boleh jadi pucat macam tu?
          "Dengar sini. Esok kita ke rumah tu, aku akan tolong kau kemas-kemas rumah tu. Kemudian, kita buat kenduri doa selamat. Bukan apa, dah terlalu lama sangat rumah tu terbiar kosong." sambungnya lagi.
          "Ya tak ya jugak. Rumah tu lama sangat kosong. Jadi, suara yang saya dengar tu mestilah suara yang menumpang." kata Mokhtar kepada dirinya sendiri.
          "Tentang tu kau jangan bimbang. Nanti aku minta saja tolong sama imam kampung kita untuk halau 'benda' yang menumpang tu." balas Wak Abu, dia bersyukur kerana Mokhtar masih tidak tahu tentang perkara sebenar. Tetapi, lambat laun Mokhtar kena tahu juga perkara sebenar. Namun, Wak Abu membuat keputusan untuk tidak memberitahu dia pada waktu itu. Cuma yang menjadi tanda tanya, dengan siapakah dia berbual tadi?

          Keesokkan harinya, Wak Abu dan Mokhtar bersama dengan seorang pemuda kampung bernama Zaman bergerak menuju ke arah rumah tersebut untuk membersihkannya. Zaman di suruh untuk membantu Mokhtar kemas di bahagian dalam rumah. Mereka berdua diarahkan supaya kemas pada satu ruang bersama-sama kerana bila kerjasama lebih cepat siap. Sementara Wak Abu sendiri akan membersihkan bahagian luar rumah. Setelah semuanya bersetuju, mereka pun terus melakukan kerja masing-masing. Zaman berdiri dibelakang Mokhtar ketika da sedang membuka kunci pintu rumah itu. Setelah pintu di buka dan salam pun di beri. Mereka berdua pun masuk melangkah kaki ke dalam rumah. Zaman memberitahu Mokhtar bahawa dia terbau benda busuk seperti bangkai. Mokhtar turut dapat menghidu bau tersebut. Zaman menyarankan agar buka tingkap dahulu supaya bau tersebut cepat hilang, kemudian barulah cari mana punca bau busuk tersebut.
          Setelah semua tingkap di ruang tamu dan bilik di buka. Mereka pun berjalan menuju ke arah dapur. Zaman perasan seperti ada objek di atas lantai dapur tersebut tetapi dapat lihat samar-samar saja kerana keadaan di dapur gelap. Selepas membuka kesemua tingkap, mereka lihat di atas lantai dapur itu terdapat banyak bangkai kucing bulu berwarna hitam. Keadaan tersebut membuatkan mereka menjadi sangat terkejut.
          "Semalam abang masuk, abang tak perasan ke bangkai-bangkai ni semua?" tanya Zaman ingin tahu. Mokhtar menggelengkan kepala dan memberitahu bahawa bangkai itu semua tidak wujud pada hari sebelumnya. Zaman berlari ke luar rumah memanggil Wak Abu untuk melihat bangkai-bangkai itu semua. Setibanya Wak Abu di dapur. Dia juga turut terkejut melihat perkara tersebut. Sambil mengangkat bajunya untuk menutup hidung akibat tidak tahan dengan bau busuk tersebut, dia mengajak Zaman dan Mokhtar untuk beredar saja. Mereka berdua tidak membantah dan mengikut Wak Abu menuju ke luar rumah. Tetapi, ketika mereka bertiga melintasi bilik besar, mereka bertiga terdengar suara perempuan. Kali ini ianya bukan suara bisikan. Suara itu amat jelas kedengaran.
          "Busuk ke? Pergilah kemas kalau rajin." kata suara misteri itu. Zaman yang ketakutan, terus berlari terjun keluar tingkap. Mokhtar dan Wak Abu juga terus berlari keluar rumah melalui pintu hadapan. Apabila mereka bertiga sudah berada di luar, kedengaran pula suara perempuan misteri itu ketawa mengilai. Membuatkan mereka bertiga berlari masuk ke dalam kereta. Mokhtar tergesa-gesa menghidupkan enjin kereta.

          Akibat ketakutan yang amat sangat, dia terus menggerakkan keretanya tanpa menurunkan brek tangan. Zaman yang perasan akan kesilapan yang dilakukan Mokhtar, segera menurunkan brek tangan mengakibatkan Wak Abu dan Mokhtar menjerit serentak.
          "Bila masa kau ada dalam kereta?!" jerit Mokhtar.
          "Bukan kau naik motor ke!?" jerit Wak Abu pula.
          "Ya Allah. Korang kalau ya benar takut pun janganlah sampai lupa ingatan. Kan saya datang menumpang sekali tadi. Motor kat rumah Wak Abu." balas Zaman resah dengan perangai mereka berdua. Walaupun dalam keadaan kelam kabut begitu, dia masih mampu untuk mengawal perasaan.
          "Saya rasa lebih baik kita terus pergi rumah pak imam dengan ketua kampung. Minta laporkan peristiwa tadi pada mereka." cadang Zaman. Mokhtar bersetuju lalu terus memandu keretanya menuju ke rumah pak imam. Setelah tiba di rumah imam, Wak Abu pun menceritakan perkara yang berlaku di rumah itu. Pak Imam mengurut janggutnya macho. Lalu dia kata dia akan bantu dan mengajak mereka untuk membawa dia ke rumah tersebut. Zaman ditinggalkan di rumah Wak Abu kerana pak imam menyuruhnya untuk memanggil tiga orang anak muridnya untuk datang ke rumah itu bersama barang yang di pesan. Zaman akur dengan permintaan pak imam dan pergi melaksanakan tugasnya menaiki motor. Kemudian, mereka pergi berjumpa dengan ketua kampung pula. Pada mulanya, ketua kampung tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun, setelah pak imam sendiri yang memberitahu bahawa dia juga turut merasakan perkara yang aneh. Ketua kampung terus bersetuju untuk membantu dari segi apa saja. Tetapi dia mengarahkan mereka semua untuk pergi dahulu dan dia akan menyusul selepas 30 minit.

--Bersambung--

1 comment: