Thursday, 24 December 2015

Jembalang Rakus #2

Aku berjalan perlahan menuju ke arah keretaku, pandanganku tumpukan sepenuhnya ke arah kereta berwarna biru milikku itu. Aku tidak ingin pulang terlalu lewat kerana perasaan takut dan seram sudah mulai menyelubungi diriku. Tepat pukul 9:00 malam tadi, ketika aku sedang sibuk melakukan kerja-kerja di pejabat dan hanya tinggal aku seorang saja di dalam pejabat tersebut. Aku terasa seperti ada insan yang sedang memerhatikan aku dari arah hadapan, namun apabila aku mengalihkan pandangan ke arah hadapan, tiada sesiapa di situ. Gelap dan sunyi. Mungkin aku terlalu fikirkan sangat dengan apa yang Kamil katakan awal tadi tentang pejabat ini berhantu. Aku cuba untuk membuang fikiran itu dan memberikan fokus seratus peratus terhadap kerja-kerjaku. Akan tetapi, aku tetap terfikir tentang hantu dan syaitan yang menyeramkan. Aku tidak dapat membuang semua fikiran-fikiran negatif itu dari kepala ini. Akhirnya aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah dan menyambung kerja-kerjaku pada hari isnin nanti saja. 

Aku mencampakkan tali leher dan beg bimbitku ke kerusi bahagian penumpang. Aku menghidupkan enjin kereta, penghawa dingin aku pasangkan ke paras paling rendah. Aku bersandar pada kerusi dan melelapkan mata seketika sementara menunggu enjin kereta panas sebentar. Tidak sampai beberapa saat saja aku melelapkan mata, aku terdengar bunyi hentakan kuat di hud kereta aku. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi sangat terkejut dan terperanjat. Mataku bulat. Tiba-tiba saja aku terasa panas seluruh tubuh. "Bunyi apa tadi tu?" fikirku di dalam hati. Tanpa membuang masa, aku terus keluar dari dalam kereta dan berjalan menuju ke arah bahagian depan kereta. Aku mendapati bahawa ada sedikit calar di bahagian depan hud kereta aku dan ada beberapa titis kesan tidak jauh dari tempat aku berdiri. "Darah ke minyak hitam kereta ni?" aku menjadi bingung sebentar. Aku pandang sekeliling kawasan parking untuk memastikan bahawa aku tidak berseorangan namun, aku memang ternyata berseorangan di situ. Bunyi hentakan tadi membuatkan aku kembali memikirkan tentang hantu. Seluruh tubuh aku terasa panas dan aku mulai berpeluh, lantas aku terus berlari menuju ke dalam kereta dan terus memecut keluar dari kawasan itu. 

"Tak mungkin Kamil dan budak-budak tu nak perdajalkan aku kot?" secara tiba-tiba saja fikiranku tertangkap wajah Kamil dan budak-budak pejabatku yang lain. Apakah mungkin mereka punya angkara tadi? Tapi tidak mungkin mereka berani hendak mencalarkan kereta ku ini. Mau aku pecat semuanya nanti. Aku membuat keputusan untuk bertanyakan soalan tersebut kepada Kamil apabila aku sudah sampai ke rumah nanti. Aku membelok ke kiri dari jalan Kuching menuju ke Sentul, sambil memandu mata aku tidak putus-putus memandang keadaan sekeliling. Memang menjadi tabiat aku apabila memandu, aku akan melihat setiap objek-objek yang wujud di jalan yang aku lalui itu. 

Aku terus membelok ke kanan dan menuju terus ke arah apartment tempat tinggalku. Seperti biasa, aku akan mengangkat tangan dan senyum kepada pak guard berbangsa india yang menjaga di pondok pengawal. Setelah aku memarkirkan kereta, aku terus melangkahkan kaki ku keluar dari kereta. Di dalam fikiran aku pada ketika itu, aku nak sangat balik rumah untuk mandi dan berehat serta berjumpa dengan Kamil. Namun hasratku hampa, apabila aku sudah memasuki rumah, aku lihat tiada kelibat si Kamil. Aku lihat di telefonku, ada wechat dari Kamil. Aku buka dan aku lihat Kamil telah menghantar beberapa keping gambar dia bersama rakan sepejabatnya di dalam bilik karaoke. Aku lihat pada waktu penghantaran dibuat. Pukul 8:32 malam. 

"Tempat karaoke yang dia orang pergi ni jauh dari pejabat, tak mungkinlah dia orang sempat nak balik pejabat lepas tu perdajal aku kot?" bisik aku di dalam hati sendiri. 

"Aduhh. Tak mungkinlah ada hantu kat pejabat aku tu. Dah lama aku kerja, kenapa baru sekarang timbul masalah ni?" rungutku di dalam hati. Aku mencampakkan beg bimbitku ke atas katil dan aku terus merebahkan badanku ke atas tilam yang empuk dan selesa tersebut. Tanpa sempat aku nak tukar baju, aku terlelap dengan sendirinya. Aku terjaga apabila aku terdengar bunyi telefonku yang menandakan bahawa baterinya hampir habis. Aku segera bangun dan mencapai telefonku dengan tujuan untuk mengecajnya kembali akan tetapi!    ..... Bersambung...... Takdelah, tipu je...

Akan tetapi, aku mendapati bahawa diri aku tidak berada dirumah. Aku berada di pejabat, dan aku berbaring di atas sofa di dalam bilik pejabatku. Aku menjadi bingung sebingung bingungnya. Aku bermimpi atau apa? Aku rasa macam dah balik rumah, tapi, kenapa tiba-tiba boleh ada kat pejabat pula ni? Perlahan-lahan aku berjalan menuju ke arah tingkap dan aku menjenguk ke luar tingkap. Keadaan diluar hujan lebat, tidak ada satu pun kenderaan yang kelihatan di atas jalan raya. Aku mengalihkan bebola mataku ke arah jam yang terletak didinding sebelah kananku. Tepat pukul 10:00 malam. Sejenis titis peluh yang sangat besar muncul di kepalaku. Dengan tidak semena-mena, apa yang Kamil katakan pada aku tadi kembali melintasi dibenak fikiran ini. Satu perkataan saja yang muncul difikiran aku, iaitu hantu. Aku cuba untuk menenangkan fikiran dan berfikir secara rasional. Zaman GST macam ni mana ada hantu yang betul-betul hantu dah. Yang hantu tu manusia. Ya! Aku tidak perlu takut kerana yang hantu itu adalah manusia bukannya hantu yang betul hantu. Dengan itu, aku meyakinkan diri aku untuk melangkah keluar dari bilik pejabat tersebut dan menuju ke parking kereta. Jika aku terserempak dengan hantu, aku tumbuk saja wajah hodohnya itu kerana ia bukan hantu yang hantu tetapi hantu yang manusia. 

Aku membuka laci di meja kerjaku dan aku mengambil kunci kereta. Persoalan tentang bagaimana aku boleh tertidur di atas sofa tu, balik nanti saja aku fikirkan. Apa yang penting sekarang, aku perlu balik ke rumah. Nak membuat panggilan ke Kamil pun sudah tidak boleh lagi kerana bateri telefonku telah mati. Tanpa berfikir panjang dan membuang masa lagi, aku terus berjalan menuju ke luar pejabat dan menuju ke tempat parking kereta. Untuk ke parking kereta, aku harus ikut lif. Tapi sayang seribu kali sayang. Apabila aku masuk saja ke dalam lif, keadaan disekelilingku berubah tanpa aku duga. Aku berada di tangga. Aku menoleh ke belakang, lif yang tadi pintunya terbuka sudah tiada. Aku menjadi semakin takut, aku tidak tahu aap yang harus aku lakukan pada ketika itu. Walaupun kawasan itu berlampu akan tetapi lampunya malap, dan ada beberapa lampu yang kelihatannya rosak dan berkelip saja. Aku berdiri tegak seperti tunggul kayu. "Apa yang patut aku buat sekarang?" soal aku di dalam hati. 

Aku harus turun ke paras bawah untuk pergi ke bahagian parking kereta akan tetapi, tangga dihadapan aku pada waktu itu tiada jalan yang menuju ke bawah. Cuma ada jalan untuk ke atas sahaja. Aku membuat keputusan untuk naik saja ke atas dan lihat apa yang akan berlaku. Perlahan-lahan kaki aku melangkah anak tangga. Selangkah demi selangkah, dan mata aku tidak aku alihkan dari memandang ke arah depan kerana aku berwaspada jika tiba-tiba ada hantu yang muncul, boleh aku tumbuk saja wajah hodohnya itu. Aku rasa aku sudah jalan menaiki tangga tersebut dalam lingkungan masa tidak kurang dari dua jam setengah. Tenaga aku semakin berkurangan, aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan ketika itu. "Tangga ni macam tak ada penghujung pun" marah aku di dalam hati. "Siapa yang buat tangga ni woi?!" marahku lagi.

"Hihi..tak tahu.." secara tiba-tiba, ada pula yang membalas soalan aku yang aku ajukan tadi. Aku pasti suara yang dengar itu adalah milik wanita dan ianya datang dari arah belakang aku. Aku menjadi semakin takut. "Tadi kata nak tumbuk, sekarang takut pulak!" bentak aku di dalam hati. Perasaan aku kuat untuk menoleh ke arah suara itu akan tetapi, badan aku tidak ingin menurut kata, seakan-akan tidak merestui pula dengan tujuan dan niat suci murni ku ini. Tiba-tiba bahu aku dicuit dari arah belakang. Aku memang pasti, memang wanita yang menjawab soalan aku tadi yang mencuit bahu aku."Kenapa tercegat je kat situ? Tak nak toleh ke arah saya ke?" tegur wanita itu dengan suaranya yang halus dan penuh lemak berkrim. Aku semakin berpeluh, ketiak aku saja mampu menghasilkan 3 kilogram garam pada ketika itu. "Hee..hee..tak ada jodoh lah, tak dapat restu." aku jawab selamba bapak aku je. Kemudian, jawapan aku itu disambut dengan ketawa hilai daripada wanita tersebut. Terbeliak biji mata aku selepas mendengar dia mengilai, terus aku buka langkah seribu. Aku berlari menaiki tangga itu dengan harapan aku akan sampai ke tempat yang ramai orang. Tapi semakin lama semakin aku menyerah kalah, kerana tangga yang aku naiki itu memang seperti tidak ada kesudahannya. Tenaga aku hampir-hampir habis sama seperti bateri telefonku.

Aku terduduk di tangga, aku cuba untuk merehatkan badan dan caj semula tenaga yang sudah hilang. Tekak aku terasa terlalu haus, aku memerlukan air sangat-sangat pada waktu itu. Selang beberapa saat kemudian, dihadapan aku, berdirinya sekujur tubuh berbaju kurung lusuh. Berambut panjang, berwajah hodoh, kukunya kotor panjang dan tidak potong. Saling tidak tumpah seperti gelandangan saja aku tengok. Niat dihati memanglah nak tengking dia, tapi lepas aku tengok kaki dia terapung dan tak jejak lantai. Terus aku batalkan niat aku. Aku cuba untuk bangun dan kembali berlari lagi entah berapa puluh kilometer. Tapi aku tidak mampu, langkah aku longlai dan akhirnya aku terjatuh. Hantu yang mengganggu aku itu tidak henti-henti ketawa mengilai dan dia semakin menghampiriku. Perkara seterusnya yang berlaku teramatlah mendukacitakan buat diri aku. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku, tetapi ianya telah pun berlaku ke atas diriku. Mungkin inilah nasibku. Secara jujurnya, aku telah dinodai oleh hantu itu dengan rakusnya. Aku tidak dapat berbuat apa-apa kerana tenaga aku telah pun habis sepenuhnya, tiada daya untuk aku menghalang setiap perbuatannya. Aku hanya mampu berserah pada takdir. Terunaku telah diragut oleh seekor jembalang durjana. 

Entah bila aku pengsan, aku pun tidak pasti. Tetapi aku telah dikejutkan oleh pak guard yang menjaga pejabat itu. Pak guard tersebut hanya mampu menggelengkan kepalanya saja apabila dilihatnya aku berada di dalam keadaan yang memalukan, iaitu bogel dan badan aku penuh dengan calar seperti dicakar dengan kucing. "Benda tu selalunya muncul pukul 10 lebih, tak ada sesiapa ke yang beritahu kau untuk balik sebelum pukul 10?" tanya pak guard itu, disebelahnya berdiri lagi seorang pak guard yang sedang menyuluhkan lampu suluh ke arah aku. Aku telah dibantu oleh dua orang pak guard tersebut, mereka telah memanggil Kamil untuk datang menjemput aku. Aduan polis telah pun dilakukan. Dan kini, aku berada di dalam Hospital Bahagia.


--Tamat--

No comments:

Post a Comment