Matahari mulai timbul dari arah timur. Kedinginan pada waktu pagi itu begitu menyenangkan. Mila, Rosli dan Qadim sedang berjalan melalui jalan raya yang sunyi tanpa hadir sesiapa. Selepas waktu subuh tadi, mereka terpaksa berpisah dengan lelaki tua tersebut. Beliau kini sedang meneruskan perjalanannya. Ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah, mereka bertiga berbual kosong demi menghilangkan bosan. Namun, perbualan mereka terhenti saat Qadim menyedari bahawa mereka sedang diperhatikan dari suatu sudut yang tidak pasti. Kini mereka bertiga berada di dalam keadaan yang berwaspada. Pada bila-bila masa saja mereka akan diserang.
"Nampak gayanya bomoh tu sudah sembuh." jelas Qadim. Mereka bertiga mempercepatkan pergerakan kaki supaya cepat tiba ke rumah. Setibanya mereka dirumah, Qadim dan Rosli melabuhkan punggung dipangkin demi menghilangkan rasa penat akibat berjalan. Manakala Mila pula terus masuk ke dalam rumah bagi menyediakan sarapan untuk pagi itu. Sedang Qadim dan Rosli termenung dipangkin, mereka dikejutkan oleh suara jeritan dari Mila. Lalu, mereka berdua bergegas berlari menuju ke dalam rumah demi mendapatkan Mila. Selepas mereka tiba dilokasi, mereka kelihatan agak terkejut dengan situasi yang berlaku pada ketika itu. Mila sedang memegang semangkuk bubur ayam dalam keadaan terketar-ketar.
"Bu..bu..bubur...ni...si..si..siapa..yang..bu..buat?" tanya Mila gagap. Qadim dan Rosli menjadi hairan dengan perkara yang berlaku. Qadim mengambil bubur itu dari tangan Mila dan memeriksa ia.
"Bubur ni telah disantau. Kau ada makan tak tadi?" tanya Qadim tegas. Mila hanya mengangguk tanda dia tidak sentuh sesuap pun bubur itu. Qadim terus mencampakkan mangkuk berisi bubur itu keluar rumah.
"Arwah suami aku saja yang minat makan bubur ayam itu. Itulah makanan terakhir dia akan tetapi dia tidak sempat untuk menjamahnya." kata Mila sambil menangis. Qadim hanya memandang ke arah luar rumah sementara Rosli berdiri di antara sinki dan meja makan dan matanya merenung ke arah lantai rumah sambil menggenggam penumbuknya ketat. Kemarahan mulai membuak di dalam hati Rosli pada saat itu.
"Dia nak main cara halus." kata Qadim.
"Siapa yang bodoh sangat nak terpedaya dengan trick macam ni? Ingat ni telemovie ke apa?" sambungnya lagi. Rosli meminta agar Qadim membawa kakak iparnya menuju ke arah ruang tamu untuk menenangkan diri sementara dia di dapur menyambung kerja Mila yang tertangguh. Qadim mengangguk tanda setuju dan mengajak Mila untuk ke ruang tamu rumah dan Mila hanya menuruti perintah. Perasaan marah masih lagi belum reda di dalam hati Rosli, perasaan ingin membunuh bomoh jahat itu semakin menebal di dalam sanubarinya.
"Aku nak lelap sebentar jika kau tak kisah, Qadim." kata Mila dan Qadim membenarkan dia untuk melelapkan mata. Qadim menuju ke arah tangga depan rumah dan duduk di situ. Tidak lama kemudian Rosli muncul bersama sedulang air dan sedikit ubi rebus untuk dijamah pada pagi itu.
"Kakak aku mana?" tanya Rosli.
"Dia tidur kejap." jawab Rosli.
Mila yang sedang bersendirian di atas katil termenung jauh. Dia mengimbas kenangan-kenangan indah waktu bersama dengan suaminya ketika dia masih hidup lagi. Tidak dapat menahan sebak di hati, akhirnya airmata wanitanya kini gugur. Dan, dia terlelap dengan sendirinya. Dalam tak sedar, Rosli dan Qadim juga turut tertidur tanpa niat di tangga rumah. Dan dari jauh, munculnya seorang lelaki berpakaian seakan pendekar berjalan menuju ke arah rumah mereka. Setibanya lelaki itu di kaki tangga rumah, dia mengeluarkan sebilah keris lalu ditikamnya ke arah dada Rosli berkali-kali. Darah yang banyak memancut keluar akibat tikaman tersebut. Lalu, lelaki itu terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik di mana Mila sedang nyenyak dibuai mimpi.
Beberapa jam kemudian, Qadim dikejutkan dengan suara seorang lelaki yang amat dia kenali. Perlahan-lahan Qadim membuka matanya. Sinaran matahari membuatkan matanya agak pedih untuk dibuka. Kemudian, sebaldi air disimbahkan ke arah mukanya, barulah Qadim dapat membuka matanya seperti biasa. Dihadapannya berdiri seorang lelaki yang teramat dia kenal.
"Tok Penghulu?" kata Qadim. Dia menjadi hairan kenapa tok penghulu kampung bunian itu boleh berada disitu. Dan dia menjadi terkejut apabila dia mengetahui disebelahnya adalah jenazah Rosli yang berlumuran dengan darah. Lalu tok penghulu pun menceritakan segalanya kepada Qadim. Qadim termenung panjang, dia tidak menyangkakan bahawa dia boleh terpedaya dengan tipu muslihat syaitan.
"Macam mana tok penghulu tau semua perkara ni?" tanya Qadim.
"Aku bukan biasa-biasa seperti kamu, Dim. Melalui ilmu yang aku perolehi, aku boleh tahu apa yang berlaku dan siapa dalangnya. Dari rumah lagi aku sudah dapat rasakan bahaya yang sedang mengelilingi diri kamu. Lalu, aku tidak dapat menahan perasaan bimbang dan aku datang untuk membawa engkau pulang." jawab Tok Penghulu tenang. Qadim terus termenung, hatinya merasakan begitu sedih pada saat itu. Dia tidak dapat menyelamatkan Rosli dan Mila pula sudah diculik oleh bomoh itu.
"Ayuh Qadim, mari kita selesaikan jenazah ini dulu dan jenazah hidup yang berkeliaran dikubur sana." ajak Tok Penghulu. Qadim tersentak apabila mendengar apa yang keluar dari mulut tok penghulu.
"Jenazah hidup? Apa maksud tok?" tanya Qadim kehairanan.
"Aku percaya bahawa ianya adalah jenazah abang kepada jenazah didepan kita ni." jawab tok penghulu.
Lalu mereka berdua pun terus memulakan tugas-tugas memandikan jenazah untuk dikebumikan. Kemudian jenazah Rosli diusung oleh tok penghulu seorang diri untuk dibawa pergi ke tanah perkuburan. Qadim agak terkejut dengan kekuatan fizikal yang dimiliki oleh tok penghulu itu. Setelah selesai melakukan proses pengebumian, mereka mencari-cari pula jenazah hidup yang disebutkan oleh tok penghulu awal tadi.
"Mila....abang nak bubur...abang nak bubur, Mila...~~~"
Qadim dan Tok penghulu menjumpai jenazah hidup itu dirumah milik Mila. Ketahuanlah mereka bahawa jenazah ini adalah Ramli arwah suami Mila dan abang kandung kepada arwah Rosli. Qadim menitiskan air matanya. Dia merasa sangat kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan seluruh kampung Indah Bayu. Niat dia ingin membantu tetapi apakan daya, dia sendiri hanyalah manusia biasa dan tidak mampu untuk melawan takdir.
"Banyak lagi yang kau perlu pelajari, asahkan dulu ilmu yang ada. Aku akan bantu kamu, Qadim." kata Tok Penghulu kepada Qadim yang sedang mengesatkan air matanya.
"Baiklah tok.." balas Qadim sambil melemparkan sebuah senyuman yang membuktikan bahawa dia masih lagi tabah dan kuat untuk meneruskan kehidupannya. Lalu mereka berdua menghampiri jenazah hidup tersebut. Bumi bergegar sekali lagi dikampung Indah Bayu akibat proses yang dilakukan oleh mereka berdua demi menghapuskan syaitan yang menghuni badan jenazah itu. Qadim berjanji di dalam hatinya bahwa dia akan menjadi lebih kuat dan menjadi lebih bersedia lagi untuk menyelesaikan tugas yang ditinggalkan oleh rakan setugasnya. Dan dia berjanji bahawa dia akan mencari bomoh itu hingga ke lubang cacing dan menyelamatkan Mila.
-Tamat-
Cerita best. Tp mcm xhabis je
ReplyDeletebest giler..tpi cerita tergantung
ReplyDelete