Sunday, 22 July 2018
KOMPILASI MATA TAKDE INSURANS by Izyan
AKU BENCI MANUSIA BUAT MAKSIAT
"Aku benci manusia buat maksiat !!"
Aku terhenti di depan pintu surau bila terdengar jeritan tu. Aku menjengah ke dalam surau, nampak seorang perempuan yang dipegang oleh dua kawannya. Perempuan tu menjerit jerit lagi. Aku memberi salam dan terus sahaja mengambil wuduk sebelum menyertai Ustaz Khairi. Ustaz Khairi yang menelefon aku untuk membantunya. Selesai wuduk, aku duduk di sebelah perempuan itu.
Perempuan ini merupakan pelajar semester ketiga di politeknik tempat aku belajar. Kiranya junior aku. Aku namakan dia Arina.
"Assalamualaikum abi. Macam mana?"
Aku bertanyakan ustaz untuk sekadar ambil tahu apa masalah yang dihadapi Arina sampai meracau begini. Dari pandangan aku, di sisi Arina ada seorang lelaki berambut putih berjubah hijau gelap. Umurnya lebih kurang 50 tahun ke atas tapi nampak tegap. Mukanya bengis sekali merenung Arina.
"Waalaikumussalam. Ikut kata kawan-kawan dia ni, lepas maghrib Arina ni tiba-tiba meracau. Mulut asyik cakap benci buat maksiat. Abi pun tak faham. Dah di ruqyah, tapi diikutnya abi baca. Lagi advance siap betulkan kalau abi tersasul"
Ustaz Khairi menggelengkan kepala sambil bercerita. Penat mungkin. Aku diam sambil memerhati Arina dan lelaki tua di sisinya. Lelaki tua itu tidak berganjak dari merenung Arina dengan muka yang bengis. Tidak pula dia menunjukkan muka yang hodoh seperti makhluk-makhluk lain yang pernah aku lihat sebelum ni. Tapi dari mukanya, masih tiada kompromi untuk dia melepaskan Arina dari terus meracau begitu. Aku mengajak ustaz untuk berbincang jauh sedikit dari Arina dan kawan-kawannya.
"Dari mata yan, ada sorang lelaki. Dan yan rasa, dialah punca arina meracau. Tapi bukan macam kes-kes sebelum ni abi. Yang ni tak hodoh. Macam orang biasa mukanya, berjubah hijau berambut putih kemas. tapi macam marah sangat kat arina dari riak muka dia. Kali ni, cuba abi tanya apa dia nak. Boleh kan?" Aku memberi pandangan pada ustaz Khairi
Ustaz Khairi mengangguk faham. Dan ustaz Khairi juga bersetuju dengan cadangan aku. Kebiasaannya memang begitu kalau aku membantu ustaz Khairi dalam kes-kes sebegini. Menjadi 'mata' ustaz Khairi untuk tahu punca masalah sebenarnya. Tidaklah terlalu membantu, kalau ada kes-kes berat, memang sakit jugaklah untuk hadap banyak makhluk yang hodoh yang tak pernah aku fikir.
Aku perhatikan ustaz Khairi cuba berinteraksi dengan makhluk yang menganggu Arina. Pada mulanya dia cuma berdiam. Selepas beberapa ketika, dengan suara yang garau, dia mula bersuara.
"Aku marahkan budak ni! Biar aku hukum dia! Jangan kau masuk campur!" Bentak lelaki tua itu melalui arina.
Masih berkeras untuk berbincang. Sesekali dia mendengus. Aku kasihankan arina, dari matanya, nampak dia keletihan. Aku meminta izin ustaz Khairi untuk bersuara. Ustaz Khairi hanya mengangguk.
"Kalau budak ini punca masalah kau marah, terangkan pada kami apa masalahnya supaya boleh diselesaikan." Aku cuba bersuara
Lelaki tua di sisi arina memandangku tajam. Aku menunduk melarikan pandangan. Muka lelaki tu sangat bengis hingga mukanya merah padam.
"Aku tak pernah kacau manusia. Tapi manusia suka kacau keluarga aku! Sebelum ni aku tak kisah, tapi budak ni melampau! Buat maksiat!" Marah lelaki tua itu lagi.
"Maafkan kami sebab tak nampak bangsa kalian sehingga menceroboh ke kawasan kalian tanpa kami sedar". Ustaz Khairi bersuara kembali.
"Tapi dia nampak aku!" Arina menjerit dan menunjuk kepadaku
Aku terdiam. Berdebar dan dahiku mula berpeluh sejuk bila mata tajam arina memandangku. Bukan arina sahaja, lelaki tua di sisi arina juga ikut menunjuk kepadaku dan merenung tajam. Ahhh! Macam mana dia tahu aku boleh nampak dia.
"Bisiklah apa pun. Cakaplah apa pun dalam hati. Aku dengar!" Dia menambah lagi.
"Sudah. Dia takda kena mengena, sekalipun dia boleh melihat kamu. Cerita apa yang mahu kau cerita" Ustaz membidas.
"Baiklah. Budak ini dah tiga kali ceroboh rumahku. Cucu-cucuku melihat perkara maksiat. Budak ini sering datang dengan pasangan dan buat perkara terkutuk!" Terang lelaki tua itu dengan muka yang bengis memandang arina.
Arina memukul- mukul dirinya sendiri. Ya, kudratnya diambil alih oleh lelaki tua itu. Dari matanya, arina seakan pasrah menerima sakit itu.
Aku terdiam. Patutlah lelaki tua ni marah. Kita manusia sendiri bila ada orang lain menceroboh dan melakukan maksiat di kawasan kita, pasti kita pun marah. Dosa besar yang dibenci Allah. Dibenci agama kita , islam. Aku mengeluh perlahan. Pertamanya, aku malu bila tahu punca masalah yang berlaku. Keduanya, aku sedih dengan arina. Malu sebagai wanita. Tidak sepatutnya maruah berharga sewenangnya diserahkan pada yang bukan berhak.
"Kau kesal dengan sikap manusia sendiri? Itulah kaum manusia. Tuhan meletakkan darjat kalian tinggi, tapi sewenangnya kalian memijak-mijak dengan melakukan dosa"
Arina memandangku dengan senyuman sinis. Sama dengan lelaki tua di sebelahnya.
Sekali lagi kami dihentam dengan kata-kata lelaki tua itu. Ustaz Khairi diam. Dalam hati, aku membenarkan kata-kata itu. Kita selalu mendabik dada berjalan di atas bumi tuhan. Lupa apa tujuan sebenar hidup ini. Aku merenung dalam-dalam mata arina. Dalam separa sedar, arina mengalirkan air mata. Mungkin kesal dengan silapnya sendiri. Ustaz Khairi mula bersuara kembali.
"Baik. Aku dah faham punca masalah yang buatkan kau marah. Aku ambil tanggungjawab ke atas anak ini. Aku akan jaga dan perbetulkan mana kesilapan dia buat." Ustaz cuba menyelesaikan masalah.
"Baiklah. Aku serahkan kembali budak ini kepada kau. Tapi ingat, aku tidak akan berdiam jika maksiat berlaku di tempat aku!" Lelaki tua itu memberi peringatan.
"Kami islam. Kami berjanji dan kami pegang pada janji"
Aku melihat lelaki tua itu berjalan keluar dari musolla. Di depan pintu musolla sedia menunggu dua budak lelaki juga berjubah hitam. Hilang sahaja lelaki tua itu dari pandangan aku, arina mula terbatuk-batuk. Mungkin dah kembali waras. Aku hanya melihat. Entah. Masih rasa kesal dengan perbuatan arina. Marah pun ada. Usia masih muda. Apa dia tak risau jika mengandung ketika masih belajar ni?. Apa yang ibu bapanya akan rasa kalau terjadi? Macam-macam perkara negatif yang aku fikir. Aku tersedar bila ustaz memanggil untuk membantu arina.
"Ustaz, kak, maafkan saya. Saya menyesal"
Aku dan ustaz hanya mengangguk. Tapi alhamdulillah, aku melihat perubahan arina sendiri. Setiap malam, jika tiada assignment, arina mesti datang ke bilik aku. Mahu belajar mengaji dari mula. Arina sendiri mengaku, dengan kes yang berlaku pada dia, dia rasa bersyukur dengan teguran Allah itu. Jika selama ni kawan-kawannya tegur, dia sering buat tak endah dan menganggap kawan-kawannya menyibuk.
BUNUH DIRI
Kes ni berlaku masa aku masih lagi praktikal di sebuah hotel. Masa tu, aku ditugaskan di bahagian housekeeping. Sebelum memulakan tugas, supervisor akan buat briefing tentang pembahagian tugas dan limit masa yg ditetapkan bagi setiap bilik. Untungnya minggu ni tak ramai yang check in. Hari-hari biasa memang tak ramai guest. Tunggu je cuti sekolah nanti. Jenuh buat beratus bilik dlm 3-4 jam. Masa tu, selisih dengan kawan sekerja pun muka kelat semacam.
Pukul 9 pagi kami dah mula bergerak untuk siapkan bilik-bilik di tingkat 3. Hari tu partner aku si Jep. Disebabkan tiada guest yang nak check in cepat, kami bermalas-malasan menyiapkan bilik. Siap pekena kopi 'o dengan nasi lemak beli kat tepi jalan tadi. Si jep pula, boleh sambung tidur lagi atas katil.
"Pehal tidur lagi Jep?" Aku menolak jep menggunakan penyapu
"Semalam aku Tengok bola. Lagi setengah jam kejut. Nanti bising kak tiri hang tu." Jep menjeling aku.
Kak tiri tu supervisor kami. Garang macam singa lapar. Setiap 10 minit walkie talkie berbunyi dengan suara kak tiri tu. Dia sedap la menyandar je kat kerusi sambil tunggu bilik siap. Dengan cara dia macam tu, sampaikan aku ubah cita-cita aku dari jadi chef, nak jadi supervisor housekeeping je. Nasib baik tak termakbul. Fiuuuuu
Pukul 10 pagi aku kejut Jep. Kemain lena Jep tidur, sampai aku terpaksa jirus dengan air. Menggelabah Jep bangun sebab ingatkan hujan. Terbahak bahak aku gelakkan. Padan muka kau jep. Dalam pukul 10:30 pagi, bilik tu siap dikemas. Masa aku nak kemas-kemas troli, aku perasan ada benda jatuh dari tingkat atas, laju dan tak lama kemudian ,ada bunyi
"Bupppp!!"
Serentak tu aku terdengar suara kawan housekeeping yang di tingkat atas menjerit. Aku menjenguk ke bawah nak tengok apa yang jatuh. Di atas jalan tempat parking VIP, terdampar sekujur tubuh meniarap menggelupur menahan sakit dengan darah terus mengalir. Nampak cebisan dari bahagian kepala terkeluar. Aku tergamam. Tangan aku menggigil kesejukkan. Mulut tak berhenti menyebut "Allah..Allah" berulang kali. Tak pernah aku hadap hal macamtu sepanjang aku hidup. Selalunya tengok dalam berita kat tv. Bila jadi depan mata, aku kaku.
"Kau dah kenapa yan? Menggigil semacam" Jep bertanya
aku masih tak mampu bercakap, cuma jari aku tunjuk ke bawah. Jep menjengah ke bawah, dia pun terkejut dan cepat-cepat istighfar. Lidah aku kelu lagi. Air mata laju je keluar takde sebab. Jep ambil air mineral dan bagu aku minum untuk menenangkan perasaan aku. Hari itu, semua tugasan bahagian housekeeping tergendala dek rasa takut dan trauma. Pihak pengurusan hotel minta staf lelaki untuk selesaikan tugasan bilik-bilik yang belum selesai. Kami staf perempuan diarahkan balik ke rumah untuk berehat.
Dalam group whatsapp staf hotel mula kecoh tentang kes siang tadi. Salah sorang staf sekuriti buka cerita sebab dia yang mengendalikan kamera cctv hotel. Pukul 10:20 pagi, seorang perempuan berbaju merah masuk dalam lif hotel dan ke tingkat 11. Staf front office tak perasan masa perempuan tu naik lif. Sampai tingkat 11, berdepan dengan bilik 1105, perempuan tu panjat dan terjun. Konklusinya, perempuan tu datang ke hotel semata-mata untuk bunuh diri. Dan disahkan mati di tempat kejadian.
Lepas baca whatsapp, aku terdiam. Masih lagi trauma dengan apa yg aku tengok siang tadi. Entah macam mana aku nak kerja esok. Dalam trauma tu, tetap juga aku lelap. Sedar-sedar dah subuh. Kawan sebilik aku ni masih tongkat mata sebab tak boleh tidur. Habis aku kena marah sebab boleh tidur dengan lena dalam situasi macamtu. Kihkihkih. Mana aku tahu, mata aku bukan ada insurans pun kan. Dah mengantuk, bantal pun empuk sangat.
Pagi ni semua berborak macam biasa,seorang pun tak buka cerita tentang kes semalam. Mungkin takut. Dan aku pun masih lagi trauma kalau nak ingatkan. Selepas sarapan, supervisor a.k.a kak tiri buat pembahagian tugas. Dalam hati, masing-masing hara supaya tak ditugaskan untuk kemas bilik di tingkat 11. Aku pun tak terkecuali. Aku belum sedia nak tengok apa yang tak sepatutnya. Tapi betullah apa orang kata, yang kita elak elakkan tulah yang akan kita dapat.
"Izyan dengan syah handle tingkat 10 & 11"
Arahan dari supervisor a.k.a kak tiri buatkan aku terkedu. Nak je aku bantah. Tapi aku boleh agak apa yang dia akan cakap dekat aku balik. Paling tidak jawapannya mesti..
"Haaa korang la siapa lagi? Takkan nak panggil nenek korang tolong kemaskan?"
Kalau lah dia tau nenek aku pernah tampar orang jepun tu sampai orang jepun tu merajuk balik negeri dia, mesti dia tak berani nak cakap macamtu.😝 Aku diam dan redha jela dengan tugasan kali ni. Aku pandang syah, tapi syah sengih macam kerang busuk sambil angkat-angkat kening.
"Yang sengih camtu kenapa syah? Tak risau ke nak kemas tingkat 11?"
"Tak risau. Sebab tak banyak bilik. Habis cepat boleh tengok sinetron. Kihkihkih"
Syah dan sinetron berpisah tiada. Aku mula tak sedap hati. Tapi tugas tetap tugas. Aku kena hadap juga.Sebelum mula kerja, aku paksa syah baca doa pendinding diri. Aku aminkan.
Pukul 10 pagi baru kami mula buat kerja, kertas jadual bilik yang perlu dibersihkan aku teliti. Ada 16 bilik di tingkat 10, dan 5 bilik di tingkat 11. Termasuk bilik 1105.
"Syah, settle tingkat 11 dulu eh baru tingkat 10." Aku tanya syah
Syah mengangguk setuju. Untuk siapkan bilik pertama dan kedua, alhamdulillah takde sebarang masalah. Lega rasanya sebab perasaan yang kacau tadi mula hilang sikit demi sedikit. Sampailah masa untuk kemas bilik 1105. Jantung tiba-tiba laju. Aku pandang syah, syah pandang aku.
"Jangan layan sangat perasaan tu yan. Syah yakin semuanya okay."
Aku senyum sikit. Tiba-tiba aku dengar bunyi lif berhenti di tingkat 11. Sekali lagi aku berdebar kuat, macam ada sesuatu yang tak kena. Aku pandang pintu lif, pintu lif terbuka dan buatkan lutut aku lemah terus.
Seorang perempuan berbaju merah keluar dari pintu lif. Bila diamati, Ya! Perempuan sama yang ditunjuk oleh Zack,staf sekuriti hotel semalam dalam group whatsapp. Memang sama. Bajunya pun sama. Mukanya pucat, perempuan itu berjalan ke arah aku dan syah, mukanya penuh dengan rasa sedih. Dia macam tak nampak aku dengan syah kat depan mata, terus jalan bersahaja dengan mukanya yang sedih. Sampai depan bilik 1105, dia berhenti, memalingkan badan ke arah luar dan terus panjat dinding di hadapan bilik 1105 itu, dan dia terjun. Aku masih tergamam. Aku memandang syah.
"Syah nampak tadi?"
"Nampak ape? Lif takde orang. Sajela tu diorang mengusik. Dah jom yan" syah mengajak
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa yang aku nampak? Dalam berfikir-fikir tu sekali lagi bunyi lif berhenti di tingkat 11. Pintu lif terbuka, hidung aku menangkap bau hanyir darah yang kuat. Sampai aku rasa nak muntah. Dari dalam lif tu, Keluar perempuan yang sama tapi dipenuhi basah darah, kepalanya penyek sebelah kiri yang membuatkan mata kirinya terkeluar sedikit. Tangan kanan patah dan terkulai kebelakang. Berjalan ke arah aku dan syah dengan menyeret kaki kiri, penuh darah di atas lantai. Aku ketepi dinding menyorok belakang syah. Tak sanggup dengan apa yang aku nampak kali ni. Syah buat muka pelik, tapi dibiar je aku berdiri kat belakang dia. Aku tengok perempuan itu bersusah payah memanjat tembok tu. Dan perempuan tu terjun lagi.
"Yan, kenapa?"
Syah bertanya dengan muka yang serius tapi ada riak takut pada mukanya.
"Syah, jom turun tingkat 10. Yan tak boleh buat tingkat ni."
Syah mengikut je. Aku ingatkan kat tingkat 10 takde la gangguan macam tadi. Selesai kami siapkan bilik di tingkat 10 dalam pukul 2 petang. Aku duduk rehat kat troli sekejap sambil tunggu syah menanda kertas jadial bilik yang dah siap dibersihkan. Tiba-tiba aku dengar suara panggil nama aku dari atas. Perlahan dan jauh bunyinya.
"Yannnnnn...yannnnnn..."
Aku menyahut dan terus dongak ke atas. Bila aku dingak ke atas, ada kepala yang menjenguk dari tingkat atas. Kepala yang penuh berdarah, lidah yang panjang terjelir. Dari mulutnya keluar darah menitik-nitik. Aku terjatuh kat koridor depan bilik tu dek terkejut teruk. Aku menepuk dada yang macam nak tercabut jantung dibuatnya. Apa je yang kau nak tunjuk ni?. Aku menyoal dalam hati.
Walkie talkie berbunyi, supervisor minta semua staf housekeeping berkumpul di bilik 1105. Aku terdiam. Sungguhnya aku tak nak pergi ke bilik tu lagi. Takut berselisih dengan perempuan tu lagi. Tapi fikir supervisor yang garang macam singa, aku ikut syah naik ke tingkat 11. Sampai di depan bilik 1105, semua staf housekeeping berkumpul. Ada seorang ustaz yang dijemput oleh pihak pengurusan. Kami diminta untuk bersama membaca yassin dan manziil untuk 'membersihkan' kawasan kejadian tu sekaligus melindungi kami para staf.
Masuk bacaan ayat ke 14 surah Yassiin, aku terasa bilik tu berputar. Aku pejamkan mata dan teruskan bacaan. Lepas tu mula aku dengar kawan aku menjerit tiba-tiba. Aku buka mata, depan kawan aku tu ada perempuan yang sama aku jumpa tadi. Mungkin kawan aku nampak perempuan tu. Lepas beberapa minit makhluk tu hilang. Kawan aku tu pengsan. Kami meneruskan bacaan. Sampai bacaan surah ar rahmaan ayat ke 33, perabot dalam bilik tu macam digoncang kuat. Bergegar satu bilik. Aku genggam kuat tangan fatin kt sebelah. Kami teruskan hingga selesai bacaan dan keadaan reda.
"Terima kasih yang sama-sama membantu saya. Dengan kes yang baru berlaku semalam, tak mustahil jin dan syaitan cuba menganggu lagi untuk mengeruhkan keadaan. Jangan takut, bertawakallah pada Allah. Dia sebaik baik tempat berlindung. Esok kita akan baca yassiin dan manzil sampai keadaan pulih. Hanya kalamullah penawarnya"
Terang ustaz yang bertanggungjawab memulihkan kawasan hotel itu. Selama tujuh hari berturut-turut bacaan yassiin dan manziil dibuat di bilik tu. Setiap kali selesai bacaan, kami akan terhidu bau hanyir darah dari luar masuk ke bilik. Bau yang sangat kuat sampai rasa meloyakan.Dan sepanjang tujuh hari itu juga aku nampak perempuan berbaju merah tu naik lif dan terjun dari tingkat 11 berulang kali pada waktu yang sama perempuan tu bunuh diri. Lepastujuh hari, aku tak nampak dah perempuan tu lagi, keadaan di hotel juga semakin baik. Aku yakin yang menyerupai perempuan tu adalah jin. Hanya untuk menakutkan yang namanya manusia. Tapi untuk apa dia berulang kali terjun bangunan tu? Apa yang dia nak tunjuk? Wallahualam. Allah lebih tahu.
Siapa perempuan itu? Ada cerita dari staf kata, perempuan itu ada kaitan dengan pengurus hotel kami. Mungkin ada pergaduhan yang berlaku antara mereka sampai perempuan tu bersumpah untuk ganggu pengurus tu sekalipun dia mati. Betul atau tidak, wallahualam. Cuma ambil sedikit pengajaran dari pengalaman aku ni. Hukum bunuh diri adalah haram di sisi agama islam. Sesukar mana jalan hidup yang kita lalui, tetap ada bahagia pada hujungnya. Allah Maha Adil.
"Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu" (An Nisa' 4:29)
MALAM RAYA
"Haaaa jomlah masuk.." Jerit Dira, adik sepupu aku sambil buka selipar nak masuk ke dalam rumah. Aku yang tengah gosok baju raya terdiam kejap. Dira ni umur 6 tahun. Lepas maghrib tadi, cepat-cepat nak main dekat luar rumah. Seronok nak main bunga api dan ikut abang dia main mercun.
Kawasan luar rumah kampung aku tu taklah terang sangat. Sebab berdepan dengan rumah pakngah aku ni, ada tapak rumah lama arwah atuk aku. Ada lampu jalan yang tak berapa terang dan pelita yang dipasang kat halaman rumah. Kiri kanan semua sawah. Kebiasaan kampung-kampung, memang malam raya meriah dengan bunyi mercun dan meriam. Bergegar satu kampung dek bunyi meriam.
Berbalik pasal Dira ni, masa dia cakap macamtu, aku jengah kat luar rumah. Aku ingatkan dia cakap dengan kucing, rupanya berbaris budak-budak kecik dalam lima orang. Semua tak berbaju. Ada tanduk kat belakang kepala. Kepalanya botak. Badannya ada warna hijau dan ada yang kuning gelap. Mata merah. Aku tengok budak-budak tu dok tolak sesama sendiri. Takut la kot nak masuk. Aku perhati je lagi.
Mula yang depan sekali nak langkah masuk. Aku berdehem. Dia tarik semula kaki. Adik sepupu aku tu dah hilang kat dapur. Tinggal aku sorang kat depan ruang tamu tu. Ditolaknya lagi yg lain suruh masuk dulu. Aku berdehem lagi. Dia tarik lagi kaki tu. Kali ketiga dia intai aku dulu, saja aku membulatkan mata pandang budak-budak tu. Berdesup hilang sekelip mata. Aku nak tergelak pun ada. Risau pun ada. Risau kalau dia bawak datang geng besar, mati aku.
Lepas je aku siap gosok baju tu, aku nak tutup pintu utama tu, sebelum tutup tu aku tengok luar dulu. Kot ada sepupu atau sesiapa yang kat luar. Dari seberang depan kawasan tapak rumah lama tu aku perasan ada sesuatu yang putih tegak berdiri kat situ. Makin aku pandang, makin dekat dan makin dekat. Bila makhluk tu berdiri atas jalan depan rumah tu baru aku nampak keseluruhannya. Pocong. Aku terkaku masa dah nampak jelas tu. Dan pocong tu makin dekat dengan rumah. Dia punya lompatan memang jarak jauh betul dia ambik. Masa betul-betul kat halaman rumah pocong tu melompat, baru aku tersedar dan terus tutup pintu utama tu.
Aku terus lari ke dapur. Nak cover muka takut semua tu aku tolonglah sepupu-sepupu aku buat kerja sambil sembang-sembang dan makan lagi. Lepas je siap makan, aku nak basuh pinggan. Bahagian tempat masak memasak ni dah takde orang. Semua kerja memasak dah siap. Semua dok buat kerja mengemas pula kat depan.
Masa dok ralit basuh pinggan, aku bau sesuatu yang tak seronok datang dari arah tingkap depan singki tu. Aku teruskan je siapkan basuh pinggan, tapi dari ekor mata aku tu nampaklah makhluk yang berbungkus putih tu meliuk-liuk kat luar tu. Makin mengganas aku rasa makhluk tu nak mengacau aku. Adakah atas laporan budak kecik lima ekor tadi?.
Perlahan aku letak pinggan dekat rak tepi singki tu dan tutup paip. Aku tutup je paip tu, makhluk berbungkus putih tu betul-betul depan tingkap kat singki tu. Aku terus pusing dan lari kat ruang tamu. Memang malam tu scene aku lari dari depan ke belakang lepas tu ke depan semula. Tapi aku tak cerita pun kat kakak-kakak aku. Aku diam je. Muka takut, berpeluh sejuk dengan meremang bulu roma terpaksa cover depan diorang.
Kebiasaan bila balik kampung, ruang tamu la jadi bilik kami sekeluarga. Aku tidur dekat dengan tingkap malam tu. Sebelum tidur aku dah siap baca doa, ayat kursi, 3qul dan selawat nabi. Ni memang asas bacaan untuk kita sebelum tidur. Moga Allah jaga kita masa kita tidur sampai kita bangun nanti. Yela, kita taktahu apa yang akan jadi masa tidur kan.
"Tokkkk..tokkkk.."
Aku terjaga dalam pukul 2 pagi macamtu sebab aku dengar bunyi tingkap diketuk. Aku duduk dan tengok ke arah tingkap yang berbunyi tu. Dari dalam nampak samar-samar makhluk berbungkus putih. Mujur sebelum tidur aku dah tutup tingkap tu. Selalunya abah akan biarkan tingkap terbuka sikit, sedap angin malam abah kata. Aku baring semula dan baca ayat kursi dan beberapa ayat pelindung diri. Masa tengah baca tu memang angin kuat dari luar dengan bunyi macam orang mendengus kasar.
Lebih kurang dalam 15 minit baru angin berhenti dan bunyi mendengus tu hilang. Dapatlah aku tidur dengan senang lenang. Esok misi beraya perlu dilaksanakan. Oh ya, esok malamnya tu budak-budak lima ekor tu datang lagi. Tapi sekadar jengah-jengah dari tingkap je. Nak masuk memang diorang tu tak berani. Jadi terjengket-jengket la dari luar tingkap tengok adik sepupu aku tu main game kat handphone. Tengahari keesokannya tu aku nampak lagi budak lima ekor tu duduk atas batas sawah sambil pegang batu leper tapi panjang. Gaya sama macam adik sepupu aku tu main game handphone. Teringin la kot nak main game dekat handphone. Kalau sekarang, adik sepupu aku tu gila fidget spinner, kalau budak lima ekor tu nampak, apa lah diorang guna nak jadikkan fidget spinner tu. 😅
Kalau makhluk yang jenis budak-budak ni, memang perangai macam budak-budak. Dia takut dengan orang dewasa. Jahat tu tetap jahat. Selalu je aku nampak yang jenis budak ni menunggang anjing kat kawasan rumah aku tu. Melolong la anjing tu kene tunggang.
Kalau yang jenis berbungkus putih tu, memang ketar lutut kalau jumpa. Bukan ketar lutut je. Lemah longlai terus. Ada orang kata, kalau benda tu dah mula berguling, habislah kau. Bagi aku, tak kira lah dia lompat ke berguling ke kuak lentang ke. Makhluk tu memang mengerikan. Jenis yang kalau dah mula mengacau tu, sampai dua tiga hari mengacau.
SIHIR KELUARGA
"Saya tak tahulah ustaz, dah dekat setahun saya macam ni. Kat tempat kerja rindu sungguh saya dengan orang rumah saya. Tapi balik je rumah, naik meluat saya tengok orang rumah saya tu"
Aku terdengar dari luar rumah Ustaz Khairi.
Pagi tu, Umi (isteri Ustaz Khairi) meminta aku untuk temannya ke pasar disebabkan Ustaz Khairi ada tetamu pagi tu. Seawal 7 pagi aku dah terpacak depan rumah Istaz Khairi. Seawal-awal aku, awal lagi tetamu Ustaz Khairi tu.
Aku memberi salam dan menjengah ke dalam rumah. Nampak seorang lelaki dalam lingkungan lewat 20-an bersama Ustaz Khairi. Aku membuat 'peace' kat Ustaz Khairi sambil tersengih.
"Waalaikumussalam. Haaa yan masuklah. Umi kat bilik lagi tu."
Aku mengangguk dan terus ke dapur untuk menunggu Umi. Mulanya Ustaz khairi pelawa aku duduk di ruang tamu sementara menunggu Umi bersiap. Tapi ruang tamu Ustaz Khairi terasa sempit dan sesak dada untuk bernafas. Aku memandang lelaki tu lagi sekali. Di belakangnya ada satu makhluk yang badannya seperti melecur teruk tengah bertenggek di atas tengkuknya. Aku melihat saja lelaki tu menggosok-gosok tengkuknya berulang kali.
"Umi, siapa tu?"
Aku bertanya pada Umi. Umi baru sudah bersiap setelah aku tunggu hampir setengah jam. Ni baru nak pergi pasar, belum pergi mall. Mesti ambil masa sejam. Hahaha
"Syakir punya kawan. Ada masalah rumahtangga katanya. Panas bila dengab isteri."
"Aikk. Abi buat kerja pasang aircond rumah orang pulak ke umi? "
"Ehhh kau ni, pepagi buat-buat tak faham. Dah pergi hantar air ni ke depan"
"Tanak..takut"
Aku sengih pandang Umi. Umi menjeling aku dan mengangkat dulang air untuk tetamu bawa ke ruang tamu. Aku hanya memerhati dari dapur. Makhluk di tengkuk lelaki tu merenung aku dari ruang tamu. Aku mengalih pandangan. Moga-moga makhluk tu tak tahu aku nampak dia.
Tiba-tiba Ustaz Khairi memanggil aku dari ruang tamu.
"Yan, duduk jap. Ni Haziq. Kawan Syakir. Nak mintak tolong sikit. Haziq, ni anak saya. Banyak tolong saya dalam urusan macam ni. Kamu ceritalah tentang apa yang pernah kamu nampak sepanjang ada masalah macamni"
Aku duduk dan hanya mengangguk dengar Ustaz Khairi bercakap. Tapi masih aku tak berani memandang lelaki yang bernama Haziq ni. Mukanya dah diselaputi dengan benda-benda kotor yang entah dari mana sumbernya. Bagai dilumur dengan tanah lembik yang bercampur darah.
"Saya dah kahwin 2 tahun. Tapi sejak lima bulan lepas, saya ada masalah dengan isteri saya. Jadi panas hati bila tengok isteri saya. Rasa marah yang meluap. Sedangkan masa saya kat luar dan bekerja, saya rasa rindu sangat dengan isteri saya. Dah cuba kawal emosi, tapi selalu terbabas sampai satu tahap saya rasa nak bunuh je isteri saya."
Lelaki itu meluahkan segala apa yang di rasa. Makhluk yang ditengkuk lelaki tu menekan kuat bahagian kepala lelaki tu dengan kukunya yang tajam. Lelaki tu memicit-micit kepalanya itu. Aku hanya beristighfar berulang kali mendengar ceria darinya.
"Encik rasa sakit tengkuk kan? Lepastu sakit kepala mencucuk-cucuk? Dekat bahagian pinggang ke bawah pun sama kn?"
Aku bertanya dari apa yang aku nampak. Mungkin sebab lelaki ni bercerita masalahnya pada Ustaz Khairi, makhluk yang ada di tengkuknya mencucuk-cucuk kepala lelaki tu dengan kukunya yg tajam. Di bahagian pinggang kebawah, kakinya seperti terikat dengan akar kayu hitam. Melingkar di bahagian kakinya. Dan akar hitam tu seakan hidup. Adakala ia menjerut kuat bahagian kaki lelaki tu.
"Errrr betul tu. Ustaz, dia ni tau ke?"
Lelaki tu menunjuk ke arah aku. Makhluk di belakangnya menjegilkan matanya. Akar-akar yang berbelit di kaki lelaki tu mula menjalar di lantai menuju ke arah aku. Aku beranjak ke belakang sedikit.
"Tak, saya tak tahu."
Aku menjawab dan bangun meninggalkan Ustaz Khairi dan lelaki tu di ruang tamu. Biarlah dahulu Ustaz Khairi dengar masalah lelaki tu. Aku perlu bantu sikit-sikit je nanti.
"Yan nampak ape?"
Tengah aku bersembang dengan Umi, ustaz Khairi datang ke dapur. Tetamunya sudah balik. Tapi makhluk tu masih ada. Mungkin masih tak berpuas hati dengan aku. Aku memberikan isyarat senyap dekat Ustaz Khairi. Kami berbual kosong sehingga aku dah pasti makhluk tu hilang dari pandangan aku.
"Teruk keadaan lelaki tu abi. Makin hari makin parah sakitnya. Kalau dibiarkan, makan dalam nanti."
Aku bersuara selepas makhluk tu tiada lagi dalam rumah Ustaz Khairi.
"Itulah, malam ni kita ke rumah dia lah, jumpa isterinya pulak. Abi dah bagitau Ustaz Rasyid"
Malam tu kami menziarahi rumah lelaki tadi. Dari jauh aku nampak makhluk hitam bermata besar dan berbadan besar mencangkung di depan pintu rumah mereka. Langkah aku terhenti. Serentak dengan Ustaz Rasyid.
"Nampak kan?" Ustaz Rasid bertanya.
Aku mengangguk. Ustaz Rasyid melaungkan azan sebanyak tiga kali. Azan yang pertama, makhluk tu meluru datang ke arah Ustaz Rasyid. Pelbagai cara aku tengok Ustaz Rasyid menepis. Kalau orang yang tak nampak makhuk tu, mesti ingat Ustaz Rasyid buang tebiat. Mana taknya, kejap menepis kiri, menolak ke kanan. Melompat sedikit. Aku tersengih sendiri bila fikir macamtu.
Tapi sengih aku tak lama, makhluk tu menyedari aku ada bersama mereka. Dia meluru ke arah aku. Berdiri di depan aku. Dengan keadaannya yang terapung-apung, dia membalikkan badannya dan masih tetap di depan aku. Menjelirkan lidahnya yang panjat dan penuh serangga macam cengkerik keluar. Aku hanya berzikir berulang kali.
Lebih kurang lima minit baru makhluk tu hilang, kami dijemput masuk oleh lelaki tadi. Isterinya keluar dari bilik. Cantik dan putih isterinya. Tapi di depan isterinya ada makhluk yang seperti nenek tua yang hodoh dan hitam. Adakala dia mengeluarkan bau yang busuk. Rambut putih mengerbang meleret di lantai. Bila isterinya dekat dengan suaminya, isterinya mengeluarkan bau yang busuk yg hanya suaminya sahaja yang dapat bau. Oh bukan suaminya je, aku pun terkena tempias.
Mujur masih ada rasa belas dalam diri pasangan tu. Masih lagi mahu berbincang bersama kami. Isterinya tak boleh tengok suami, mulutnya lancang meminta cerai. 10 kali nampak, 10 kali minta cerai. Sampaikan suaminya tak mahu balik rumah. Tak sanggup nak dengar perkataan tu. Si suami pula, bila nampak muka isteri. Nampak hodoh dan tua.
Rumah mereka terasa bahang. Bahang datangnya dari lantai rumah itu sendiri. Aku meraba lantai rumah itu. Terkejut dek terasa kepanasan yang datang dari lantai tu. Aku hanya mendiamkan diri semasa Ustaz Khairi dan Ustaz Rasyid berbual dengan tuan rumah. Memang ada yang tak kena dengan keluarga mereka.
Selesai semuanya, kami meminta diri untuk pulang. Aku bersalam dengan isteri tuan rumah. Baru menyentuh tangannya, bagaikan ada eletrik. Laju aku menarik tanganku semula. Aku nampak muka isteri tuan rumah itu memandang sinis.
Malam tu, tidur aku diganggu hingga ke subuh. Banyak kali terasa ditolak. Banyak kali juga aku disergah. Ikutkan, segala daya dan semangat mungkin hilang dek terkejut disergah berkali-kali. Mujur teman sebilik aku ni sentiasa memahami keadaan aku. Selalu dipasangkan ayat-ayat quran bila terdengar atau ternampak aku macam diganggu.
Esoknya kami ke rumah tu lagi. Kali ni untuk membantu menyelesaikan masalah. Sebelum tu kami dah berjemaah buat solat hajat. Membantu sekadar mampu kami dengan izin Allah. Sampai je di depan rumah, rumah mereka gelap nampak macam mereka tiada di rumah. Berkali-kali jetuk dan beri salam tiada respon.
Sekali lagi Ustaz Khairi melaungkan azan di depan rumahnya. Datang angin dari arah depan berdesup meniup ke arah kami. Hampir terduduk dengan angin yang tiba-tiba datang tu. Lima minit baru keadaan reda dan barulah keluar pasangan itu.
"Lama ke sampai? Kami tak dengar apa-apa. Rasa mengantuk sangat tadi. Tu terlelap."
Kami hanya berpandangan. Licik jin ni melalaikan mereka. Tujuannya supaya pasangan ni tak berubat dan selesaikan masalah mereka sehingga satu tahap nanti mereka bercerai.
Ustaz Khairi dan Ustaz Rasyid membersihkan laman rumah pasangan tu. Macam-macam jenis barang tertanam. Antaranya patung berpasangan penuh jarum yang di ikat dengan tali putih dan dibalut kain kuning. Di bahagian dapur, ada bangkai ular ditanam memanjang di pintu dapur. Lebih kurang 5-6 barang yang digunakan untuk menyihir pasangan ni.
Akhir sekali barulah Ustaz Rasyid membersihkan pasangan itu dari penyakit dengki manusia. Bila ditanya pada mereka, sama ada mereka tahu siapa yang menghantar sihir tu?. Si suami mengangguk. Katanya dari keluarga belah isterinya. Sebab dari awal perkahwinan, keluarga isterinya tak suka kan lelaki itu. Ada sahaja benda yang jadi untuk pisahkan mereka.
Aku terdiam. Penyakit hati ni tidak kira siapa. Kadang datang dari keluarga dan orang paling rapat. Entahlah. Moga kita semua dijauhkan dari takdir yang buruk.
TETAMU TAK DIUNDANG
"Weh korang, esok kawan aku nak tumpang tidur kat rumah tau. Aku bagitau je kot nanti korang tekejut tengok ade orang lain dalam rumah kita"
Ida yang tiba-tiba munculkan kepala di celah pintu tanpa memberi salam buatkan kami rasa nak baling Ida dengan lesung batu kat dapur. Mana taknya, kami tengah fokus tengok cerita zombie, boleh pula si Ida ni menyergah macam tu je. Aku tengok Fatin dah terperosok kat bucu katil dek terkejut
"Choii la kau ni ida. Salam takde. Main muncul kepala je kat situ. Sebelum kau sergah tu, boleh tak sikat dulu rambut. Nyaris aku tak sembur air milo ni kat muka kau"
Fina menunjukkan baki air milo dalam cawannya. aku nampak yang paling terkejut si Fina tu lah. Tengok luaran dah macam gadis sado. Tapi siapa sangka hati lembut bak kapas. Masa terkejut dengan sergahan Ida, nyaris je muka Fatin ada kesan tapak kaki Fina. Mujur Fatin pandai ilmu elak diri.
"Kahkahkah. Muka macam hape je semua bila terkejut. Eh dah lah! Sambung la movie korang tu. Aku nak bagitahu tu je"
Masih dengar suara nyaring si Ida menggelakkan kami.
Esoknya, masa kawan si Ida ni sampai. Aku, fatin dan fina ada di ruang tamu. Layan kisah dongeng dari seberang. Maklumlah, masa cuti sekolah je ada kisah dongeng ni. Kawan Ida ni masuk tanpa bagi salam, atau mungkin salam dalam hati. Aku hanya memandang dan senyum bila mata kami bertemu. Tiada balasan.
"Korang, ni Awin. Awin, ni semua housemate aku"
Awin salam dengan kami. Tapi mukanya tetap tegang tanpa senyuman. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam. Bila tangan kami bertaut, lekas-lekas aku tarik semula. Tangan itu sejuk. Macam terkena air batu. Awin memandangku pelik. Aku hanya senyum.
"Kenapa yan?"
Fatin menyibuk bertanya.
"Takde ape. Rasa sejuk."
"Eh aku salam biasa je, takde sejuk pun"
Aku menjeling Fatin. Bab menyibuk memang no 1 si Fatin ni. Tambah kalau bab misteri jam 12. Dia yang paling banyak tanya. Tapi, dengar bunyi kucing gaduh pun sekelip mata dia beralih tempat tidur.
Malam tu aku tinggal berdua dengan Fatin. Fina bermalam di rumah saudaranya, dan Afie balik ke kampungnya ada urusan keluarga. Tengah aku syok layan movie baru hasil rembatan dari kawan rumah sebelah, Fatin menepuk aku perlahan.
"Yan..yan.."
"Haaa..kau kenapa?"
"Kau tak nampak apa-apa yang pelik kebkat Awin tu?"
"Hmmm..kenapa?"
"Tadi aku keluar pergi bilik air, dia dok mencangkung depan bilik air. Aku tegurlah. Dia beranjak sikit. Tapi still depan bilik air. Masa aku dalam bilik air tu dia menyanyi macam ni 'satu..satu..satu atas pintu..dua..dua..dua atas para'. Lepastu senyap. Aku keluar je, die berdiri depan pintu bilik air pastu sengih kat aku. Ish seriau la aku yan!"
Aku diam mendengar cerita Fatin. Memang pada awal lagi aku perasan sesuatu yang lain dekat Awin. Tapi selagi takda yg memudaratkan kami atau dia, aku diamkan je. Sbb aku yakin yang sesuatu tu memang milik Awin. Malam tu badan Fatin mula demam. Terkejut dan takut mungkin.
Dalam pukul 3 pagi aku tersedar bila aku dengar bunyi burung. Bingit telinga aku. Tekak pula kering, aku keluar dari bilik. Baru selangkah dua, dalam samar-samar aku nampak perempuan berambut panjang menghadap ke almari di bucu ruang tamu. Terdengar seperti bercakap,tapi sepatah apa pun aku tak faham.
Esoknya aku nampak kotak kayu berbunga atas almari tu. Selama aku duduk rumah tu, aku tak pernah nampak kotak bunga tu. Bila aku tanya Ida, Ida jawab yang kotak tu Awin punya. Aku diamkan dulu.
Malam tu Fatin tiba-tiba duduk sebelah aku atas katil. Dia menyuruh aku buka headphone yang di telinga aku.
"Yan..dengar tak?"
Aku memasang telinga. Sayup-sayup dari celahan pintu bilik aku dengar suara seolah menyanyi.
.'satu..satu..satu atas pintu..dua..dua..dua atas para'.
Fatin pegang kuat tangan aku. Aku pasang ayat al quran. Mulut juga tak berhenti menyebut Allahuakbar. Moga dengan kekuasaan Allah, jin ni berhenti menganggu kami.
"Yan..Fatin.. aku ni.."
Pintu bilik kami diketuk kuat. Fatin lekas bangun hendak membuka pintu. Tapi cepat aku menarik tangannya semula.
"Dia tak cakap dia siapa Tin..jangan bukak"
Fatin mengangguk. Kebiasannya macamtu. Jin akan mempengaruhi dengan wajah dan suara yang serupa utk membenarkan dia masuk ke kawasan yang 'berpagar'. Malam tu aku dan Fatin tak tidur. Gangguan tak berhenti. Kelibat hitam lalu lalang di tingkap bilik. Entah apa mahunya.
Keesokannya Ida memberitahu kami yang Awin dah nak pulang ke rumahnya hari ni. Aku terserempak dengan Awin masa dia nak mandi. Awin memandang aku dan tersenyum sinis dan sempat bisik kat aku.
"Tak tidur ke kau? Takut?"
Alahai...aku dah agak. Masa Awin bersiap tu, aku ternampak Awin meletakkan kotak kayu berbunga tu atas meja di belakang TV. Kalau aku tak nampak, mungkin orang lain tak akan perasan. Sebelum Awin keluar rumah, aku mengambil kotak tu dengan lafaz basmallah dan selawat. Moga tak memudaratkan aku dan kawan-kawan dalam rumah tu.
Aku datang nak bersalam dengan Awin dan menghulurkan semula kotak kayu berbunga tu dengan alasan mungkin dia tertinggal. Awin merenung aku tajam. Renungan dengan peringatan. Dengan kasar dia merampas kotak kayu tu.
Segera aku mesej Ustaz Khairi untuk bantu aku memagar keliling rumah sewa kami yang aku rasa 'pagarnya' dah bocor dek kedatangan Awin. Dan memang tepat sangkaan aku. Ustaz Khairi membersihkan saki baki peninggalan Awin.
Malam tu dari luar rumah macam-macam bunyi aku dengar. Dari suara memanggil-manggil nama aku di luar, sampailah bunyi atap zink rumah dicakar-cakar. Aku hanya mendiamkan diri di dalam bilik. Sampai ke subuh bunyi-bunyi tu menganggu. Esok paginya bila aku tengok sekeliling rumah, rumah di baling dengan tanah dan batu. Nampak kesan tanah pada dinding. Entahlah. Sampai sekarang aku tak tahu apa motif gangguan ni.
KUIL
Seharian hari Sabtu tu, aku dan 3orang classmate selesaikan assignment yang perlukan kami interview pengusaha Dobi di sekitar Selangor. Siap semua kerja dalam pukul 7. Kami singgah dulu untuk solat maghrib sebelum balik ke rumah sewa.
Di sebelah kanan masjid ada sebuah kuil besar. Jaraknya lebih kurang 30meter hanya dipisahkan satu lorong menghala ke kampung dalam. Masa sampai dekat Masjid tu azan maghrib tengah dilaungkan. Aku mendongak ke langit, burung-burung berbunyi riuh. Ada seekor burung antara burung tu agak besar dan berwarna hitam pekat. Ekor dan kakinya berwarna merah menyala.
"Ape bendelah letak masjid sebelah kuil. Tak takut ke?"
Haziq bersuara.
"Takut apa?"
Izah bertanya
"Yelah. Kuil tu kan banyak benda-benda tu"
Haziq menjawab
"Ape kau ziq?? Tu tempat sembahyang kaum lain kan. Hormat la sikit. Cakap bebukan kenapa? Benda tu memana je ada" Farhan menyampuk.
Aku hanya mengangguk tanda bersetuju dengan apa yang Farhan cakap. Kat mana-mana pun ada makhluk-makhluk yang tak nampak dari pandangan normal. Untuk aku yang mata tak berinsurans ni. Di sebelah Haziq sekarang ni pun aku nampak ada makhluk mengikut je dari tadi. Haziq memang mulutnya agak lepas. Main cakap tanpa fikir kesan.
Lepas je solat, aku nampak Haziq dan Farhan dah tunggu dalam kereta. Ada lebih sejam perjalanan balik ni. Langit mula gelap. Aku cadang masuk kereta nak lelap terus. Jalan nak balik ni kiri kanan hutan. Malas nak jamu mata dengan makhluk-makhluk yang tak diundang.
Kereta kami melintasi kuil yang Haziq cakapkan tadi, aku melihat sekilas, ada 3 makhluk yang berdiri tegak tepi jalan berdepan dengan kuil tersebut. Berpakaian seakan sami tapi bermuka hodoh.
"Wehhh..seram kot kuil ni. Aku rase macam-macam ada dalam ni.." Haziq bersuara lagi
"Kau boleh diam jap tak ziq, aku sakit kepala lah" aku membalas. Malas nak melayan mulut Haziq.
Aku memandang lagi makhluk tadi. Salah satu darinya mula mengejar kereta kami. Makin dekat dan makin dekat. Aku memejam mata dan berulang kali baca ayat kursi. Moga dijauhkan perkara yang tidak elok.
Iza menepuk tangan aku, aku membuka dan memandang Iza, dia menggosok-gosok lengannya.
"Yan, tak sedap hati ni. Ade pape ke?" Iza separuh bisik bertanya.
"Takde ape Za. Kau tidur je. Penat kan" aku senyum.
Aku mencari-cari makhluk yang mengekori kami tadi, aku menjengah kedepan. Betul betul depan cermin kereta depan yang menghadap Haziq makhluk tu mencangkung memandang Haziq dengan muka yang marah. Giginya panjang dan bertaring. Mulutnya luas hingga menampakkan seluruh giginya yang panjang. Telinganya juga panjang, dijelirkan lidahnya bercabang di depan Haziq. Menyeringai menampakkan giginya. Mujur sahaja Haziq tak nampak.
Tapi aku tengok Haziq mula gelisah. Digosok leher. Digosok lengannya. Duduknya jugak tak senang.
"Kau kenapa pulak ziq?" Farhan menjeling Haziq di sebelahnya
"Aku rase tak sedap la. Sejuk meremang. Rasa kena perhati." Haziq membalas tapi suaranya bergetar.
Aku melihat Farhan pun mula gelisah.
"Yan, Iza, kita patah balik masjid dulu eh. Aku rase tak sedap hati" Farhan memandang kami.
Aku mengangguk. Aku juga tak sedap hati. Ditambah pula makhluk yang di depan Haziq tu seakan tak mahu berganjak. Masih memandang Haziq dengan bengis dan ngeri.
Kami sampai di parking masjid. Mujur masih ada jemaah yang belum balik ke rumah. Haziq mahu keluar dari kereta, baru je nak berdiri, kakinya longlai dan dia terjatuh. Aku nampak makhluk tadi memeluk kuat kaki Haziq.
Jemaah masjid yang tadi duduk berborak di beranda masjid, berlari mendapatkan kami.
"Kamu ni kenapa? Korang ni dari mana?" Salah seorang pakcik bertanya
"Kami dari Poli, pakcik. Ada assignment kt pekan ni tadi. Singgah maghrib dulu. Baru je gerak tadi, masing-masing tak sedap hati. Tu patah balik sini. Kawan saya ni pulak tetiba je jadi macamni. Tadi elok je" Farhan menerangkan kepada pakcik itu.
Haziq masih terduduk. Mukanya pucat dan berpeluh. Tapi badannya menggigil. Masih tak boleh berjalan sampai perlu dipapah. Makhluk itu masih memeluk kaki Haziq.
Aku melihat pakcik yang bertanya tu memandang berkali-kali ke arah kaki Haziq. Dan dia bersuara.
"Ada buat bukan-bukan ke? Atau cakap bukan-bukan?"
"Takde" haziq jawab ringkas.
Aku menjeling. Dah sakit pun masih degil. Aku membuka cerita dari mula Haziq bercakap mengenai kuil di sebelah masjid tu. Sebab aku tahu sakit Haziq berpunca dari mulutnya yang tak berlapik.
Muka pakcik tu agak terkejut dengan cerita aku. Dia memandang kawan-kawannya. Mereka mengangguk.
"Marilah ke kolah masjid. Pakcik ni taklah pandai mengubat orang. Tapi ikhtiar guna ayat Quran ya. Air kolah ni sebagai alat sahaja. Yang menyembuhkan Allah. Kita cuba ya."
Aku hanya menunggu di luar dengan Iza. Tapi cukup jelas aku mendengar bacaan ayat ruqyah dari pakcik tersebut. Aku menarik nafas lega. Mujur Allah bagi pertolongan.
Lebih kurang setengah jam baru mereka keluar. Haziq dapat berjalan macam biasa. Cuma agak keletihan mukanya.
"Ni anak-anak, pakcik pesan sikit. Mulut kena biasa lazimi dengan zikir. Supaya tak terkeluar perkataan buruk atau kotor dari mulut kita. Bukan je manusia tak suka, ada yang lain tak suka juga." Pakcik itu tersenyum.
Sebelum gerak pulang, aku mengucapkan terima kasih pada pakcik dan jemaah masjid yang membantu kami. Sempat aku bertanya dengan pakcik tersebut.
"Pakcik, kuil tu sebenarnya takde kan?"
"Ya nak. Memang selalu jadi macamni. Bila mulut tak jaga, memperlekehkan, tu yang jadi macam tu. Memang dulu ada kuil kat sana tu, tapi jadi kuil usang sejak ketua saminya meninggal. Macam-macam cerita la jadi lepastu, tu yang diorang robohkan. Selalunya memang orang luar yang kena macamni. Ada yang lagi teruk. Jadi ingatlah selalu. Belajar menghormati dan cakap benda-benda baik je"
"Baik pakcik. Assalamualaikum"
Kami gerak balik lebih kurang pukul 12 tengah malam. Sewaktu melintasi kawasan kuil tu, makhluk 3 itu masih tegak berdiri di situ. Lama aku perhati. Lebih kurang 100meter jarak, kuil tu hilang dari pandangan aku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment