Tuesday, 20 June 2017

Gangguan Di Banglo

(Berdasarkan kisah benar)


Beberapa tahun lalu, semasa menjalani latihan industri di sebuah syarikat telekomunikasi tempatan, saya disediakan sebuah rumah banglo besar di sebuah bandar kecil di Melbourne, Australia.

Banglo konkrit berbentuk klasik ini terletak agak jauh daripada rumah-rumah lain. Suasana sunyi sepi. Saya teruja untuk memulakan kehidupan baru walaupun hanya sebuah bandar kecil.

Setiap hari saya menghabiskan masa yang sangat panjang berada di pejabat menyiapkan tugas-tugas penting dan apabila tiba di rumah saya betul-betul letih dan lesu.

Biasanya, selepas balik kerja, saya akan terus mandi dan berbaring di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen sebelum bergerak ke bilik tidur.

Pada suatu malam, saya telah tertidur akibat terlalu letih. Malam itulah saya bermimpi yang sungguh aneh. Dalam mimpi itu saya melihat ada suatu lembaga aneh sedang asyik memerhatikan saya tidur.

Lembaga aneh itu bersandar pada saya dengan wajah yang sangat marah. Wajah lembaga itu kelihatan seperti seorang lelaki tua yang sedang marah.

Matanya merenung tajam ke arah saya seolah-olah tidak berpuas hati. Renungan tajam itu membuatkan saya berasa amat takut lantas terjaga.

Perasaan saya mula bercampur-baur. Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah banglo lama itu. Perasaan saya tidak keruan. Sukar hendak diceritakan.

Pada malam ketiga menginap di rumah banglo itu, tiba-tiba suhu bilik jatuh ke paras yang sangat rendah.

Saya terjaga kesejukan sampai menggigil. Lebih memeranjatkan, saya terbatuk-batuk dan keluar wap semasa bernafas.

Pelik, mengapa suhu bilik tidur saya terlalu sejuk? Adakah suhu sejuk ini datang dari luar? Saya tertanya-tanya sendirian.

Saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa tiba-tiba saja rasa sejuk sampai tahap berais di dalam bilik tidur saya?

Sekonyong-konyong, dari sudut penjuru meja bar, saya terlihat lembaga berkabus yang sedang bergerak beralun, perlahan-lahan melepasi bilik tidur saya. Saya menggosok-gosok mata untuk memastikan bukan bermimpi. Apakah objek aneh itu?

Saya cuba bangun perlahan-lahan sambil menggigil kesejukan. Saya melihat kabus tersebut masih bergerak-gerak, beralun-alun. Saya memberanikan diri berjalan ke hadapan sedikit untuk melihat apakah sebenarnya yang sedang berlaku.

Saya cuba mengekori pergerakan lembaga berkabus itu. Tapi sebaik saya membuka pintu utama dihadapan rumah, kabus itu terus hilang.

Paling memeranjatkan saya, udara di luar rumah panas tapi mengapa dalam rumah bilik tidur sejuk menggila? Saya periksa suis air cond tapi tidak dibuka. Keanehan itu terus menghantui saya.

Seminggu sudah berlalu. Macam biasa balik rumah saya terus masuk ke bilik tidur. Tapi, petang itu sebelum melelapkan mata, saya terdengar bunyi tapak kaki persis seperti ada orang sedang berjalan.

TAP! TAP! TAP!

Bunyi asing itu datangnya dari arah ruang tamu. Tikus? Soal saya sendirian. Tiba-tiba bunyi derap tapak kaki itu hilang. Saya cuba tenangkan hati dan merancang untuk memanggil pembasmi tikus keesokkan hari.

Lalu, saya bangun menuju ke dapur untuk mengambil air minuman. Semasa berjalan di lorong kecil menuju ke dapur, saya terus mematikan langkah.

Saya terkejut besar. Saya ternampak ada sesuatu sedang berdiri di hujung lorong sempit itu. Kelibatnya hitam dan besar. Dada saya mula berdebar-debar. Mujurlah objek itu menghilang daripada pandangan.

Saya terus memberanikan diri terus berjalan ke ruang tamu cuba mencari objek hitam tadi tapi puas melilau memerhatikan ia tidak kelihatan di mana-mana.

Banglo ini memang tidak banyak perabot jadi tiada tempat boleh bersembunyi. Tapi setelah disiasat memang tiada sesiapa pun berada dalam banglo ketika itu kecuali saya seorang.

Setelah mengalami gangguan menyeramkan sejak seminggu tinggal disitu, saya semakin tidak selesa. Apa yang telah berlaku dalam banglo lama ini?

Saya pula tidak bermimpi atau mengalami halusinasi. Saya pasti lembaga besar, hitam berkilat yang saya lihat tadi benar-benar menyerupai seorang lelaki.

Saya berasa bingung. Siapa patut saya tanya dan apa yang patut saya buat untuk mengatasi gangguan mistik ini?

Saya biarkan saja kejadian pelik ini berlalu. Tapi beberapa malam kemudian saya kembali mengalami mimpi ngeri.

Ketika itu saya merasakan ada seorang sedang memerhatikan dan jantung saya berdegup kencang sehinggalah saya terbangun daripada tidur.

Sebaik terjaga, perasaan saya kuat menyuruh agar saya ke bahagian kanan bilik tidur. Tiba-tiba saya terpandang satu lembaga hitam legam lagi besar menyerupai tubuh seorang lelaki. Lembaga itu betul-betuk berdiri berdekatan kaki katil.

Saya tidak mampu bergerak sedangkan lembaga tersebut semakin menghampiri saya. Ketika itulah saya berasa sangat takut sehingga tidak mampu membuka mulut kecuali terus berdoa supaya terselamat sambil menggigil ketakutan.

Nasib baiklah tiba-tiba terpancar cahaya yang datang dari arah bilik mandi. Mungkin itu cahaya dari kenderaan orang yang memandu melepasi banglo yang saya diami.

Tapi, setelah cahaya itu muncul, lembaga hitam legam itu hilang melalui pintu bilik tidur berhampiran. Apakah lembaga yang saya lihat tadi? Hantu?

Saya tidak pernah percaya aktiviti paranormal dan saya beranggapan bahawa hantu hanyalah khayalan imaginasi manusia. Namun, saya tidak berminat hendak mengkaji apakah jenis makhluk aneh yang menghantui banglo lama itu.

Pada masa yang sama, saya tidak sanggup lagi untuk terus menunggu. Entah apa lagi insiden yang bakal berlaku.

Biarlah saya yang meninggalkan banglo ini. Saya membuat keputusan berpindah ke rumah lain.

-Tamat

Tuesday, 13 June 2017

SYIRIK

"Ayah dari mana?"

Soalan pertama yang diajukan dari seorang anak kepada ayahnya yang hilang semenjak pagi lagi dan malam baru kelihatan batang hidungnya.

"Ayah ada urusan hari ni. Sibuk sangat. Maafkan ayah ya, nak?"

"Baiklah. Ayah dah makan ke belum?"

Daus merupakan seorang duda anak seorang, ditinggalkan isteri kerana dirinya tidak mempunyai harta yang banyak. Dia hanya bekerja sebagai seorang pencuci tandas sekolah sahaja.

"Ayah dah makan kat tempat kerja tadi. Hazwan dah makan ke belum?"

Berjantina lelaki dan hidup bersama dengan ayahnya semenjak ibunya lari berkahwin dengan seorang businessman multi level marketing. Berdikari semenjak itu dengan mengemas rumah dan menyediakan makanan buat ayah dan dirinya sendiri.

"Sudah. Hazwan ada masak lebih untuk ayah. Takut ayah tak makan lagi, nanti ayah tak ada tenaga pulak."

Menitis air mata Daus apabila mendengar kata-kata anaknya itu. Masih kecil tapi sudah pandai mengambil hati dan hidup berdikari. Daus merasakan dirinya tidak layak untuk menjadi bapa kepada seorang budak yang begitu baik.

"Hazwan tau ayah belum makan lagi. Sebab tu Hazwan masak lebih. Tengok muka ayah pun dah tau."

Kata-kata anaknya itu membuatkan Daus semakin galak mengeluarkan benih-benih air mata. Dia cuba berbohong agar anaknya tidak risau. Tetapi ketahuan juga.

"Tat tol lah. Macam mana budak ni boleh tau?" bisik Daus di dalam hati.

Hazwan menuju ke dapur dan menghidangkan makanan untuk ayahnya jamu sebentar nanti.

"Ayah, meh lah makan. Muka dah lah tak hensem, dok termenung apa lagi. Lap air mata tu. Dah besar nangis. Gujahabake punya perangai."

Daus turuti arahan anaknya itu. Dia pergi ke dapur dan menjamah hidangan yang tersedia. Megi kari.

Hazwan menemani ayahnya menjamu selera. Walaupun Daus sudah menyuruhnya masuk tidur dahulu kerana esoknya kena sekolah, tapi Hazwan tetap berdegil untuk menemankan satu-satunya ayah yang dia miliki di dunia itu.

"Ayah minta maaf sebab ayah tak dapat nak berikan apa-apa kekayaan buat Hazwan. Hidup kita tak macam orang lain, senang. Semuanya salah ayah."

"Tak perlu ayah mengarut. Cukup ayah ada untuk Hazwan waktu Hazwan perlukan sudah cukup memadai. Yang penting ayah usaha. Ini semua ujian dari Allah. Ayah sendiri yang bagitau kat Hazwan."

Mengalir lagi air mata Daus mendengar kata-kata anak lelakinya yang seorang itu.

"Dah lah ayah. Habiskan makan tu cepat. Ayah menangis pun tak akan dapat ubah apa-apa. Kita kena redha dengan semua ni. Allah sayangkan kita, sebab tu Dia bagi ujian ni pada kita."

Kata-kata yang keluar dari bibir anaknya itu membuatkan Daus bertambah semangat untuk terus berusaha demi mencari rezeki.

"Ayah akan cuba yang terbaik untuk keluarga kita."

Daus kembali menyambung menjamu selera. Namun aktiviti makan malamnya terhenti kerana dia terasa seperti ada sesuatu yang ganjil di dalam mulutnya.

"Aik? Sejak bila megi kari ada letak sotong pulak ni?" soal Daus aneh, sambil mengeluarkan sotong yang dikunyahnya itu dari mulut.

"Mana? Subhanallah. Tu bukan sotong, yah. Tu ekor cicak. Macam mana boleh termasuk pulak..."

Serta merta Daus berlari ke arah sinki dan memuntahkan segala benda yang dia sudah telan tadi.

"Hazwan masakkan yang lain je la untuk ayah, okay?"

"Takpe, nak. Ayah dah kenyang. Pergilah masuk."

Daus menyambung berusaha untuk memuntahkan megi yang sudah berada jauh ke dalam perutnya tadi.

Demi melihatkan ayahnya yang berkelakuan sebegitu. Hazwan membuat keputusan untuk tidak mengganggu dan beredar ke bilik untuk tidur.


Malam masih lagi panjang. Daus menuju ke arah bilik tidur Hazwan demi memastikan anaknya itu sudah tidur nyenyak.

"Tidurlah dengan lena, nak. Ayah akan ubah nasib keluarga kita."

Daus berlalu masuk ke dalam bilik tidurnya. Dia mengunci pintu bilik. Dia membentangkan tikar mengkuang ke atas lantai. Kemudian dia membawa sebungkus kain kuning dari bawah katil.

Daus duduk bersila di atas tikar. Dia membuka ikatan bungkusan kain kuning tersebut. Terdapat satu mangkuk kecil, 5 ketul kemenyan, sekotak mancis jenama matahari, dua biji lemon, dan satu botol kaca kecil yang tidak jelas apa isi di dalamnya.

Daus meletakkan seketul kemenyan ke dalam mangkuk. Lalu dibakar dengan menggunakan 7 batang mancis. Kemudian, dia mengeluarkan sekeping nota yang terlipat kemas. Terdapat pisau kecil di dalam lipatan kertas itu.

Daus menyalai botol kaca ke atas kemenyan yang sudah menjadi bara. Kemudian, dia membaca mantera yang tertulis di nota tersebut. Selesai membaca mantera, Daus memotong lemon pula. Lantas, dia memerah jus-jus lemon tersebut ke bara kemenyan.

Setelah itu, dia kembali menyalai botol kaca tadi.

"Menjelmalah di hadapan ku sekarang. Aku adalah tuan baru mu."

Dengan tidak semena-mena, pintu bilik Daus terbuka dengan sendirinya. Kelihatan seekor makhluk kecil berdiri di situ.

Daus mengukir senyuman setelah melihat kelibat makhluk tersebut.

"Mulai hari ini kau akan lakukan segala arahan yang aku beri. Sebagai ganjaran, aku akan berikan darah aku sebagai santapan kau. Hanya jika kau berjaya.. Faham?"

Makhluk kecil itu mengangguk kepala tanda setuju.

"Baiklah, untuk tugasan pertama kau. Dapatkan aku lima ribu ringgit."

Setelah menerima arahan, makhluk kecil tersebut terus menghilangkan diri. Kemudian Daus terus masuk tidur.

Esok paginya, saat Daus membuka matanya. Dia terkejut apabila melihat di sisinya ada plastik yang berisi duit. Dengan gelojohnya Daus mengeluarkan semua duit dari dalam plastik itu dan mengiranya.

"Li...li...li....lima ribu......"

Daus melonjak kegembiraan. Hasratnya tercapai.

"Yes! Tak sia-sia aku beli toyol ni. Kalau tau, dari dulu lagi aku beli kau, toyol."

Sebulan sudah berlalu semenjak Daus menggunakan khidmat toyol yang di beli di pasar malam. Setiap malam juga Daus mengarahkan toyolnya untuk mencuri duit untuknya. Kekayaan yang sedang dialami oleh Daus itu terlihat oleh anaknya.

"Mana ayah dapat duit banyak-banyak ni? Ayah merompak ke?"

"Eh. Ke situ pulak. Ayah join multi level marketing. Alhamdulillah rezeki kita. Ayah dapat pulangan yang besar."

"Begitu cepat? Dalam masa sebulan je?"

"Hazwan, jangan ragu-ragu dengan rezeki Allah. Bersyukur saja, okay?"

Hazwan terus mendiamkan diri. Jauh dilubuk hatinya timbul sebuah perasaan yang tidak enak. Tapi dia tidak mengendahkan ianya. Dia tetap bersyukur apabila melihat ayahnya sudah berjaya.

Pada suatu pagi, ketika Daus bangun dari tidur. Dia merasakan aneh apabila dia melihat di sisi katilnya tiada duit. Disebabkan perasaan ingin tahu, dia menyeru toyol. Namun, toyol tiada juga memunculkan diri.

"Ayah?"

Daus terkejut apabila melihat anaknya berdiri di muka pintu bilik.

"Hazwan? Kenapa ada kat sini? Tak pergi sekolah ke?"

"Hari ni hari Sabtu. Sekolah tutup. Ayah ni kenapa?"

"Takde apa. Dah-dah. Pergi main kat luar sana. Ayah ada kerja sikit nak buat. Hazwan jangan ganggu ayah, ya?"

Hazwan berlalu pergi tanpa banyak tanya. Daus mencuba lagi. Toyol tersebut tetap tidak muncul. Perasaan marah tanpa sebab tiba-tiba muncul di dalam diri Daus.

Dengan tindakan terburu-buru, Daus mengambil botol kaca yang disimpan dalam bungkusan kain kuning. Dia genggam botol kaca tersebut.

"Kalau kau tak keluar sekarang. Aku pecahkan botol ni." ugut Daus dengan perasaan yang marah.

Tak ada angin, tak ada ribut. Pintu bilik Daus terbuka. Makhluk kecil bernama toyol berdiri di situ. Daus menghampirinya.

"Kenapa tak ada duit pagi ni?"

"Maafkan aku, tuan. Nampak gayanya semua orang aku sudah masuk. Mereka semua sudah memasang pagar sekeliling rumah mereka. Aku tak dapat nak masuk lagi."

"Itu masalah aku ke? Itu masalah aku ke? Aku suruh kau dapatkan aku duit, dan tugas kau pergi dapatkan aku duit."

"Aku tidak cukup kuat untuk mengembara jauh lagi untuk dapatkan duit buat kau. Sudah 8 lapan kampung aku teroka, setakat itu saja kemampuan aku. Jika aku paksa untuk pergi jauh lagi, ikatan antara kau dan aku akan terputus, tuan. Nanti aku lapar, tak ada orang yang boleh bagi aku makan, tuan."

"Menjawab!" herdik Daus. Entah kenapa perasaan marah dalam dirinya membuak-buak. Akibat dari jawapan toyol tersebut. Daus memukul kepala toyol itu bertalu-talu. Toyol tidak boleh melawan kerana Daus adalah tuannya.

"Tuan, sakit. Tolong hentikan." rayu toyol tersebut. Namun, rayuannya di tolak mentah.

Daus terus menerus memukul toyol.

"Aku bayar mahal untuk dapatkan kau. Sekarang kau nak melawan arahan aku? Aku ni tuan kau, tau tak?!"

Daus terus memukul, memijak, menendang tanpa ada rasa belas kasihan. Setelah berasa puas hati, barulah dia berhenti. Dilihatnya toyol belaannya itu tidak bergerak. Terbaring keras di atas lantai.

Daus menolak tubuh toyol menggunakan kakinya. Tetap tiada tindak balas.

"Ahhh.. Sudah.. Mati pulak.. Takpela.. Dengan duit yang ada ni, aku beli yang lain je nanti."

Daus terus beredar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Dia mencari kelibat anaknya, Hazwan. Namun, tidak kelihatan.

"Keluar kot.. Takpela. Harap-harap dia tak dengar aku terjerit-jerit tadi."

Kemudian, Daus kembali ke dalam biliknya. Saat kakinya melangkah masuk ke dalam bilik. Pandangan matanya tertumpu pada tubuh toyol yang terbaring di atas lantai. Dia melihat tubuh toyol agak berlainan.

Daus menghampiri tubuh itu. Dia meneliti tubuh toyol tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila dia mendapati bahawa yang terbaring itu sebenarnya bukan toyol. Akan tetapi adalah Hazwan, anak lelakinya.

"Hazwan! Hazwan! Ya Allah! Apa yang dah berlaku kat kau ni nak???"

Daus memeriksa nadi Hazwan. Tiada denyutan. Dia memeriksa tubuh Hazwan. Terdapat bekas-bekas lebam diseluruh tubuh anaknya itu.

"Ya Allah! Hazwan! Bangun sayang, bangun!"

Daus mengoncangkan tubuh Hazwan. Namun, Hazwan tetap kaku begitu. Terdapat darah yang keluar dari kepala Hazwan. Tulang kepalanya telah pecah.

"Ya Allah, apa aku dah buat ni?"

Akibat kejahilan yang menguasai diri dan ketidaksabaran dalam mendapatkan rezeki. Daus telah tersalah langkah dengan bersekongkol dengan syaitan. Yang di mana anaknya sendiri yang menjadi mangsa.

Daus memeluk erat tubuh Hazwan yang tiada lagi bernyawa. Dia meraung meratapi kesilapan yang telah dia lakukan. Menyesal pun sudah tiada gunanya lagi. Hazwan meninggal dunia akibat di pijak oleh bapa kandungnya sendiri.


-Tamat-