Sunday, 14 May 2017

Yang Terakhir

Izwan baru saja pulang ke rumahnya setelah seharian berpenat di tempat kerja. Setiap kali dia pulang, isterinya pasti akan menyambut di muka pintu. Senyuman dari isterinya tersebut mampu menghilangkan segala penat yang dia alami sepanjang hari.

Seperti kebiasaannya, Izwan akan mandi dan duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu isterinya menyediakan makan malam. Tiada apa yang menarik di televisyen melainkan berita-berita semasa dan dunia. Namun, Izwan tetap menonton disebabkan tiada rancangan lain lagi yang ada pada pukul lapan malam.

Setelah isterinya selesai menghidangkan makanan, Izwan pun terus menutup televisyen dan menuju ke meja makan. Mereka berdua menjamu selera sambil berbual-bual kosong. Begitulah rutin harian yang dilalui mereka berdua. Namun, pada malam tersebut terdapat kelainan. Sebenarnya Izwan dapat merasakan perasaan yang tidak enak semenjak pulang dari kerja tadi. Akan tetapi dia tidak memberitahu pada isterinya. Izwan fikir itu hanyalah perasaannya sahaja.

Selesai makan malam, Izwan membantu isterinya di dapur. Seperti biasa, Izwan akan membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan. Ketika Izwan sedang melakukan kerjanya di sinki, telinganya tertangkap bunyi air menitis. Yang anehnya, bunyi tersebut bukan datang dari sinki tersebut. Izwan benar-benar rasa hairan. Tidak mungkin dia boleh dengar bunyi selain dari air sinki yang sedang mengalir itu. Lalu, Izwan bertanyakan hal tersebut kepada isterinya. Adakah isterinya mendengar bunyi yang sama. Namun, hanya Izwan sahaja yang mendengar bunyi tersebut.

Selesai mencuci pinggan mangkuk, Izwan berjalan menuju ke ruang tamu. Dan, telinganya masih lagi terdengar bunyi  air menitis. Izwan cuba mencari punca dari mana datangnya bunyi tersebut. Puas dia mengelilingi rumah mencari punca, tetapi tidak menjumpainya. Lalu, Izwan putuskan untuk mencari di laman rumah. Ketika dia melangkahkan kakinya keluar. Matanya terlihat seseorang yang sedang berdiri di luar pagar. Berpakaian serba hitam, berpurdah, dan aura warna hitam mengelilingi insan tersebut.

Izwan dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Lantas, dia berlari ke dalam rumah dan mendapatkan isterinya yang sedang berbaring di atas tilam. Akibat riak dan gerak-geri Izwan kelihatan seperti cemas. Isterinya menjadi bimbang. Namun, Izwan tidak menjawab pertanyaan isterinya itu. Lalu, dia mengarahkan isterinya supaya mengambil wudhuk. Tanpa bantahan, isterinya turuti juga arahan suaminya. Lagi pula, mereka belum menunaikan fardhu isyak lagi.

Selepas mereka selesai solat, bau kapur barus bercampur kemenyan tiba-tiba saja memenuhi ruang bilik tidur mereka. Isterinya Izwan menjadi takut lalu dia duduk rapat dengan suaminya. Izwan memberitahu juga akan hal sebenar pada isterinya bahawa ada syaitan yang ingin mengganggu. Kemudian, Izwan terdengar lagi bunyi titisan air yang entah datang dari mana. Ketahuanlah Izwan bahawa bunyi itu bukan datang dari paip yang bocor atau sinki. Tetapi, sejenis hasutan. Apabila Izwan amati bunyi titisan air tersebut, dia dapat mendengar ianya seperti bisikan yang sangat halus.

"Kau yang terakhir.. Kau yang terakhir.. Kau yang terakhir.."

Izwan hanya tersenyum. Lalu dia terus berdoa pada Allah supaya dirinya dan keluarga dapat dijauhkan dari gangguan syaitan tersebut. Izwan memulakan amalan yang pernah diajarkan kepadanya oleh seorang guru pada suatu ketika dahulu. Isterinya turut mengikut telunjuk suaminya. Keadaan menjadi semakin teruk apabila suasana di dalam bilik tiba-tiba menjadi malap. Namun, itu semua tidak mampu mematahkan usaha Izwan untuk terus beramal demi menghalang gangguan dari syaitan yang di laknat tersebut.

Bintik-bintik peluh mulai membasahi dahi Izwan. Bacaan surah Ayatul Qursi semakin kuat dilafazkan. Izwan tidak mahu mengalah dan tunduk pada syaitan yang ingin mengganggu.

"Pergi! Sini bukan tempat kau! Kau takkan dapat ganggu aku sekeluarga! Hapuslah kau syaitan durjana!"

Amaran dilayangkan. Izwan menunjukkan bahawa dia bukanlah calang-calang orangnya. Selepas amaran di beri, gangguan berhenti serta-merta. Namun, Izwan tidak berhenti di situ. Dia mengarahkan isterinya agar terus duduk di sebelah, jangan berganjak ke mana-mana. Isterinya akur dengan arahan dari Izwan. Izwan menghabiskan bacaan surah Yassin. Kemudian, dia bangun. Dan, menyuruh isterinya agar berjalan rapat dengannya.

Izwan dan isteri berjalan keluar dari rumah dan berhenti di laman rumah. Izwan memetik beberapa daun bidara yang memang sengaja ditanamkan di laman rumah. Kemudiannya, dia merebus daun-daun bidara itu, setelah itu, dia membacakan Ayatul Qursi dan Surah Tiga Qul. Lalu, Izwan menghembus ke arah air rebusan tersebut. Lantas, dia mengarahkan isterinya untuk meminum air rebusan tersebut, diikuti oleh Izwan. Selesai minum, Izwan memasukkan air rebusan tersebut ke dalam botol penyembur.

Dengan penuh berhati-hati, dia sembur air rebusan ke seluruh rumah. Di luar dan di dalam rumah. Selepas selesai menyembur, bau daging busuk pula muncul entah dari mana. Hampir saja Izwan dan isteri termuntah akibat bau busuk tersebut. Izwan menyiasat dari mana datang bau busuk tersebut. Rupa-rupanya datang dari arah dapur rumah. Izwan mendapati bahawa terdapat 4 kepala tikus di atas lantai dapur. Dan, beberapa ekor ulat mayat sedang melingkar di sekitar kepala tikus tersebut.

Izwan segera mendapatkan telefonnya dan membuat panggilan kepada sahabatnya yang lebih berilmu dalam perkara sebegitu. Selepas setengah jam, sahabatnya, Amar, tiba di rumah. Amar memerhatikan kawasan sekeliling rumah yang kelihatan seperti kelam dan gelap. Dengan lafaz Bismillahirahmannirahim, Amar melangkahkan kaki kanan memasuki kawasan rumah Izwan.

Kedatangannya Amar tidak di sambut seperti yang disangkakan. Dia mengetuk pintu dan memberikan salam berkali-kali. Namun, Izwan atau isterinya tidak membuka langsung pintu. Amar membuat panggilan pula kepada sahabatnya itu. Kedengaran bunyi telefon datang dari dalam rumah. Namun tidak berjawab. Amar dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang berlaku. Perkara yang tidak elok.

Amar membuat keputusan untuk menghubungi balai polis dan menceritakan apa yang sudah berlaku. Tak mengambil masa yang lama, pihak polis tiba selepas 10 minit kemudian. Mereka melihat Amar sedang berdiri dihadapan rumah seorang diri. Dua orang anggota polis tersebut datang menghampiri Amar. Amar menceritakan sekali lagi apa yang berlaku kepada dua orang anggota polis tersebut. Lalu, dua orang anggota polis itu berjalan menuju ke pintu hadapan. Mereka memberikan salam dan mengetuk daun pintu. Namun, sama seperti Amar tadi juga. Izwan atau isterinya tidak membuka pintu.

Pihak polis membuat andaian bahawa Izwan atau isterinya sedang berada di dalam masalah kalau diikutkan dari cerita yang Amar telah beritahu tadi. Mereka memberikan amaran untuk memecahkan pintu hadapan jika tiada sesiapa yang buka pintu tersebut. Pihak memberikan masa selama 10 saat.

10..

9..

8..

7..

6..

5..

4..

3..

2..

1..

Pintu tetap tertutup rapat.

Akhirnya, pihak polis tersebut terpaksa menendang daun pintu sekuat hati sehingga pintu tersebut terbuka. Setelah berjaya menendang buka pintu hadapan. Keadaan dalam kelihatan sangat gelap. Dua orang anggota polis tersebut mengeluarkan lampu suluh dan menyuluh ke bahagian dalam rumah. Terdapat bekas darah di permukaan lantai.

"Kita ada situasi yang sedang berlaku. Pergi minta bantuan." arah anggota polis kepada rakan setugasnya. Lalu dia terus berlari ke arah kenderaan peronda dan mencapai radio untuk meminta bantuan.

Amar diarahkan supaya berdiri di luar kawasan rumah. Jiran-jiran yang ada di situ semakin ramai yang keluar dan ingin melihat apa yang berlaku. Perasaan bimbang mulai menguasai diri Amar. Dia risau jika ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap sahabatnya itu.

Dua orang lagi anggota polis tiba di lokasi. Kini mereka berempat mula masuk ke dalam rumah. Suis lampu di dinding di petik. Cahaya memenuhi ruang tamu. Terdapat bekas darah di atas lantai. Ianya kelihatan seperti seseorang yang sedang berlumuran darah di heret pergi ke tempat lain. Mereka berempat mengikuti kesan darah tersebut. Sehinggalah mereka tiba di bahagian dapur. Apa yang mereka saksikan bukanlah sesuatu yang indah.

Dua mayat telah ditemui berada di dapur. Kedua-dua mangsa tersebut berada dalam keadaan yang mengerikan. Izwan dan isterinya telah menemui ajal di dalam rumah mereka sendiri. Si isteri telah disiat-siat kulitnya. Mata di cungkil keluar. Leher di kelar. Suaminya pula, kemaluan di potong. Jari jemari di kerat. Telinganya juga di potong. Dan dadanya ditikam dengan menggunakan pisau pemotong sayur.

Terdapat pakaian yang berlumuran darah berdekatan dengan mangsa. Dan beberapa bekas tapak kasut berdarah kelihatan di atas lantai. Anggota polis tersebut mengikut jejak darah tersebut sehingga dia tiba ke bahagian belakang rumah. Kelihatan jejak tersebut menuju ke bahagian depan rumah. Anggota polis tersebut terus memandang ke arah Amar.

Seorang lagi anggota polis yang berada di dalam rumah telah menjumpai sekeping nota. Isi kandungan nota tersebut berbunyi

"Aku bangga! Aku bangga! Aku di pilih untuk jadi yang ketiga! Maafkan aku Izwan, Farah. Korang berdua terpaksa aku jadikan korban supaya kegelapan akhirnya dapat menerima diri aku!! Ambillah aku! Aku telah jalankan tugas yang di beri dengan sempurna.

Yang benar,
Amar Rushdi."

Anggota polis tersebut terus memberkas Amar yang berdiri seperti orang bodoh di luar kawasan rumah. Dia yang tidak tahu apa-apa, terpinga-pinga ketika polis tersebut memasangkan gari di tangan.

"Kau ingat lepas apa yang kau dah buat, kau boleh terlepas dengan trick bodoh? Lain kali hapuskan bukti dulu, amatur!"

Amar di tolak masuk ke dalam kenderaan polis di bahagian belakang. Dia bertanya tentang apakah salah yang telah dia lakukan. Namun, pihak polis tidak mahu menjawab soalan Amar.

Esoknya, terpampang di bahagian muka surat depan akhbar. "Yang Terakhir sudah di tangkap". Orang ramai masih lagi tertanya-tanya, pembunuhan misteri apakah yang sedang di lakukan. Yang pertama, yang kedua, yang ketiga, kini yang terakhir pula. Siapa dalang di sebalik kejadian? Pihak polis masih lagi cuba untuk merungkai misteri yang sedang melanda negara.

-Tamat-

No comments:

Post a Comment