Wednesday, 19 April 2017

What A Waste Of Everyone Time.

"Anda tak pernah mengalami perasaan seram? Anda tak pernah berjumpa mahu pun terserempak dengan hantu? Anda ingin tahu bagaimana cara-caranya untuk berjumpa dengan kaum-kaum hantu? Anda ingin rasai sendiri pengalaman bersama dengan hantu? 

Ikuti program terbaru dari kami! ARJUNA PARANORMAL TEAM! Kami menyediakan tempat-tempat yang menarik untuk anda! Anda akan rasai sendiri bagaimana perasaan seram dan takut apabila berhadapan dengan hantu! Mari baca apa komen para peserta yang sudah sertai program kami yang menakjubkan ini!

"Terima kasih Arjuna Paranormal Team! Setelah saya mengikuti program yang bermanfaat ini, hidup saya telah berubah, malam saya kini tiada lagi sepi dan sendiri.." - Melati, 20, Tanjung Rambutan.

"Wow! Saya tak sangka sungguh! Selepas saya menyertai program mencari hantu ni, saya sentiasa terasa diri ni seperti diperhatikan.. Terbaik ARJUNA PARANORMAL TEAM!" - Salman, 32, Kuala Kangsar.

"Kalau sebelum ni saya forever alone, tapi lepas join program ni saya terus ada makwe.. Tak sangka lak kak pon tu boleh mintak nombor telefon.. Terbaiklah!" - Murad, 23, Sungai Petani.

"Saya..saya cuma hantar pizza ni je.. Ada yang order tadi kan?" - Mazlan, 21, Ampang.

"Saya lalu je.. Apa kes ni sebenarnya?? Ni masuk tv ke ni? Mak! Mak! Orang masuk tv mak!" - Zainuddin, 19, Ipoh.

"Woi biadab! Orang tengah malam pertama! Dok rakam pasaipa!!?? Kuangjaq!!" - Amran, 27, Hulu Selangor. 

"Maaf ya, ni pengebumian arwah mak saya. Mohon jangan rakam.. Awak semua ni siapa? Dari mana?" - Amirul, 36, Kuantan.

Anda tunggu apa lagi? Segera hubungi kami di talian 033-455-998 bagi cawangan di AUSTRALIA dan 03-33556684 bagi cawangan di Malaysia! 

Yuran penyertaan bukan RM300, bukan RM200, bukan RM100, bukan RM50!
Yuran hanya RM400 sahaja! 

Jangan tunggu lagi! Hubungi ARJUNA PARANORMAL TEAM segera dan rasai perbezaannya!"


Azlan meletakkan telefonnya ke atas meja. Dia tidak percaya dia adalah di antara manusia yang membaca iklan tersebut sampai habis. Entah berapa minit dalam hidupnya telah pun dibazirkan. Azlan bangun dari kerusi, dia berjalan keluar dari stor. Dia melihat begitu ramai pelanggan berada di stesen minyak tempat dia bekerja tersebut.

"Haish, ramai betul manusia ni. Penat aku nak melayan. Selamatlah ada waktu rehat, kalau tak, memang patahlah pinggang aku ni.." keluh Azlan seorang diri. Kemudian, dia masuk semula ke dalam stor dan kembali duduk. Dia kembali menelaah telefon bimbitnya bagi menghabiskan waktu rehat. Nak tidur tak boleh, sebab terlalu bising. Jadi, terpaksalah dia bazirkan waktu sebegitu saja. 

"Lan.. Esok shift malam boleh? Staff tak cukuplah.. Hari ni balik awal, esok malam masuk kerja.." ujar bos Azlan. Azlan hanya angguk setuju. Apa pilihan yang dia ada? Kalau dia menolak, dia tetap kena kerja juga, mungkin lebih teruk, kena marah. Jadi, terpaksalah Azlan terima saja arahan dari bosnya itu.

"Malam pun apa salahnya, bukan ramai orang pun.. Boleh tidur.." bisiknya di dalam hati. Tanpa perlu dia ketahui dengan siapa dia bakal bekerja esok malam. 

Esok malamnya, Azlan tiba di tempat kerja. Dia hanya menaiki motor kapcai milik arwah bapanya. Nak beli motor baru, duitnya masih belum cukup. Lagi pula, keluarganya orang susah. Dia harus berjimat cermat dan fikirkan tentang belanja sekolah adik-adiknya. Walaupun Azlan mempunyai keputusan SPM yang sangat cemerlang, tapi dia gagal mendapatkan biasiswa untuk sambung belajar. Tambahan pula, ibunya sudah tua dan sering sakit. Jadi, Azlan kena juga pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

Azlan melangkahkan kakinya masuk ke dalam stor. Kelihatan staff siang sedang sibuk melakukan kerja masing-masing. Azlan meletakkan helmetnya ke atas meja. Dan, jauh di sudut stor tersebut, dia ternampak kelibat seorang wanita. Wanita yang dia tak kenali. Azlan memerhatikan saja kelibat wanita itu. Azlan berjalan menuju ke arah suis lampu dan menghidupkan lampu di hujung stor tersebut. Baru lah dia nampak dengan jelas kelibat wanita tersebut. Hantu rupanya. Tanpa perlu buang masa, Azlan terus berjalan keluar dari tempat itu. 

Kemudian, dia di sapa oleh seseorang. 

"Lan! Nak pergi mana tu?"

Pak Majid selaku empunya syarikat menegur Azlan yang dilihatnya melangkah keluar dari stesen minyak itu. Azlan tidak menghiraukan Pak Majid, dia terus berjalan ke arah motornya. Pak Majid yang mulai risau terus meluru ke arah Azlan.

"Lan. Nak pergi mana? Terburu-buru je saya tengok." soalnya setelah dia sampai ke lokasi Azlan.

"Bos, saya nampak benda yang saya tak patut nampak tadi kat dalam stor. Rambutnya panjang, kaki tak jejak tanah, baju dia kotor dan outdated. Saya tak nak kerja malam ni bos. Rasa nak dendam dah ni.. " jawab Azlan, kelihatan tangannya terketar-ketar. Pak Majid hanya memerhatikan saja gelagat pekerjanya itu. Macam tak percaya pula dengan apa yang dia baru saja dengar tadi. 

"Dah.. Dah.. Awak jangan nak mengada-ngada. Awak kena kerja, malam ni tak ada staff. Awak kena jaga dengan saya malam ni." ujar Pak Majid cuba meyakinkan pekerjanya itu. Namun, dilihatnya Azlan seperti mayat hidup pula. Muka pucat lesi, kulitnya berubah menjadi warna putih. Seperti tiada darah yang mengalir. Tahulah bahawa Pak Majid akan ketakutan yang sedang menyelubungi pekerjanya itu.

"Tak ada yang boleh gantikan ke, Bos? Saya betul-betul rasa dan dendam ni.." rayu Azlan lagi. Seluruh tubuhnya menggigil kesejukan. Ketakutan dan keseraman kali pertama terserempak objek yang tak pernah di lihat sebelum ini membuatkan imannya terus gugur.

"Allahuakhbar.. Dan dendam celah mana pulak ni, Lan? Rasa nak demam ke apa?" soal Pak Majid yang agak keliru dengan pertuturan pekerjanya yang agak tak betul. 

"Awak jangan bimbang. Khayalan je semua tu. Jangan risau, saya ada. Kalau ada hantu nak kacau, saya pukul dia." ujar Pak Majid. Kemudian, dia mengarahkan Azlan agar menunggunya di situ sementara dia masuk ke dalam dan mengambil sebotol air mineral. Pak Majid membacakan surah Yassin ke air mineral tersebut. Kemudian, dia menyuruh Azlan untuk minum air tersebut. Selepas Azlan meneguk beberapa kali, barulah semangatnya kembali. Hilang segala gigil-gigil tadi. 

Azlan bersetuju untuk berjaga dengan Pak Majid pada malam tersebut dengan syarat, dia akan ikut ke mana saja Pak Majid pergi. 

"Alahai, malam ni akan menjadi malam yang sangat panjang buat aku..." keluh Pak Majid sendiri. Dia rasa pening selepas mengetahui bahawa pekerjanya seorang yang penakut.

Semua pekerja Pak Majid telah pulang ke rumah, maka tinggallah Azlan dan dirinya saja untuk menjaga stesen minyak itu pada waktu malam. Pelanggan tidaklah ramai apabila waktu malam, tetapi apabila selepas pukul 10 malam. Keadaan akan menjadi sangat-sangat sunyi. Kadang-kadang ada pelanggan, kadang-kadang tak ada langsung. Waktu beginilah yang akan menguji keimanan seseorang. Samada berani atau tidak untuk mengharungi malam yang kelam. 

"Bos, kat kampung kita ni kan. Memang tak ada sesiapa ke yang nak bukak stesen minyak selain bos?" soal Azlan yang sedang duduk disebelah bosnya itu.

"Entahlah, kampung kita ni terlalu ceruk. Pelabur pun malas nak masuk sini. Saya ni nasib baiklah lahir kat kampung ni. So, saya tahu kampung kita ni tak ada stesen minyak lagi, jadi saya bukaklah satu." jawab Pak Majid. 

"Mahal tak bos? Berapa modal nak kena pakai?" tanya Azlan.

"Juta-juta jugak. Nak rolling modal lak dalam RM500 ribu. Bukan sikit tau, kena pergi kursus. Saya bernasib baik sebab ramai orang-orang dalam yang saya kenal. Kalau tidak, memang susah nak dapat permission untuk bukak stesen minyak ni." jawab Pak Majid.

Azlan hanya mendengar saja jawapan yang diberikan, dia berasa kagum dengan kejayaan Pak Majid, bosnya itu. Azlan juga berimpian untuk mempunyai syarikatnya sendiri suatu hari nanti. Tapi, mampukah dirinya? Allah saja yang tahu.

Mereka berdua menghabiskan masa dengan menonton video di telefon. Kebanyakkan video kelakar. Apabila ada video yang sedih, mereka menitiskan air mata sama-sama. Seperti pasangan yang akrab pula. Yuck~

"Saya nak pergi beli makanan, perut lapar. Awak nak kirim apa-apa tak? Saya belanja." soal Pak Majid sambil mengusap-usap perutnya yang agak buncit ke depan itu. 

"Alaa! Alaa! Saya nak ikut! Saya tak nak tinggal sini sorang-sorang! Jangan tinggal kat saya bos!" rayu Azlan yang terus berada dalam ketakutan. Pak Majid menepuk dahinya setelah melihat perubahan yang berlaku pada diri pekerjanya itu. Tadi tengok macam okay je. Ni tiba-tiba terus meracau-racau. 

Akhirnya Pak Majid tidak jadi pergi membeli makanan, dia membuat keputusan untuk masak mee segera sahaja. Azlan yang rasa gembira kerana bosnya itu tidak jadi keluar, terus meluru masuk ke dalam stor demi mengambil air untuk dipanaskan bagi merebus mee segera jenama negara orang lain. 

Secara tiba-tiba, Pak Majid yang sedang berada di kaunter terdengar suara jeritan Azlan datang dari arah stor. Pak Majid terus bergegas berlari mendapatkan Azlan. Setibanya Pak Majid di stor, dia mendapati bahawa Azlan terbaring di atas lantai. Muka Azlan sangat-sangat pucat. 

"Lan! Kenapa? Kenapa?" soal Pak Majid yang menjadi bingung. Azlan menunjukkan jari telunjuknya ke arah siling stor. Pak Majid perlahan-lahan mengalihkan pandangannya ke arah siling tersebut. Kelihatan seekor makhluk yang sangat mengerikan sedang merangkak di siling tersebut. Kepalanya berpusing 360 darjah no scope. Pak Majid dan Azlan sama-sama menjerit. Makhluk tersebut turut menjerit, tapi jeritannya mampu membuatkan bulu roma sesiapa saja meremang atau berdiri tegak. 

Pak Majid terus berlari keluar tanpa mempedulikan pekerjanya yang sedang terbaring lemah dia atas lantai dan mengharapkan bantuan darinya. 

"Bos! Bos! Jangan gari, bos! Jangan tinggalkan saya, bos! Bos!" jerit Azlan meminta bantuan dari bosnya itu, sehinggakan pertuturannya juga berterabur seakan-akan bertih jagung yang terhempas dari tingkat 18. 

Akibat merasakan kasihan, Pak Majid patah balik ke dalam stor demi menyelamatkan pekerjanya. 

"Lan!" jerit Pak Majid.

"Bos!" sahut Azlan.

"Lan!" jerit Pak Majid lagi.

"Bos!" sahut Azlan lagi.

"Bos bos jadah kau! Bangunlah cepat!" jerit Pak Majid yang tiba-tiba menjadi bengang. Azlan segera bangun, dan berlari ke arah Pak Majid. Mereka berdua memerhatikan keadaan sekeliling. Mereka ingin memastikan keadaan selamat untuk berganjak dari situ. Mereka mencari kelibat makhluk ngeri tadi yang tiba-tiba hilang entah ke mana. Mereka tak mahu tiba-tiba saja kena sergah, boleh mengakibatkan jantung berhenti dari berfungsi. 

"Bos, saya takut. Jom kita balik." saran Azlan, namun Pak Majid mendiamkan diri, tidak memberikan sebarang respon. Mata Pak Majid tertumpu pada suatu arah, keretanya yang berada di luar. Azlan juga melihat ke arah yang sama. Kereta bosnya yang terletak di luar. Dan, agak jauh dari pintu. 

"Bos, benda tu ada kat atas bumbung kereta." ujar Azlan. 

"Ya, saya tahu. Kita memang tak selamat kat sini. Ke mana lagi kita harus pergi?" balas Pak Majid. 

"Bos, saya tak akan tinggalkan sisi bos. Percayalah kata-kata saya ni." ujar Azlan sambil matanya bersinar-sinar.

"Sebab awak tu penakut!" balas Pak Majid, kemudian di duku nya kepala Azlan. Mereka berdua berjalan ke arah kaunter, Pak Majid mengambil telefonnya dan membuat panggilan kepada kawannya. 

"Bos, saya tak nak mati. Saya ada keluarga yang nak di beri makan." ujar Azlan. Pak Majid mengalihkan pandangannya ke arah Azlan. Dahinya berkerut. Azlan terdiam, dia tidak tahu kenapa bosnya itu memandangnya seperti itu.

"Bos, sekarang bukan waktunya nak main-main mata. Bos boleh confess lepas kita selamat nanti." ujar Azlan sambil kelopak matanya terkelip-kelip. Pipinya juga berubah menjadi merah, gayanya saling tak ubah seperti orang yang sedang malu. 

Kepala Pak Majid berasap selepas mendengar kata-kata dari mulut Azlan. Matanya bulat terbuntang. Bibirnya menggeletar. Dengan perasaan yang marah, dia terus mengheret Azlan keluar dari stesen minyak itu. 

"Woi! Hantu! Ni budak yang kau nak tu! Kau ambik lah budak ni! Kau ambik lah budak ni!" jerit Pak Majid.

"Apa ni bos! Jangan buat saya macam ni! Jangan bos jangan!" rayu Azlan.

"Kau ambiklah dia! Kau makanlah dia! Aku tak sanggup ada staff gay!" sambung Pak Majid lagi.  

Makhluk yang sedang bertenggek di atas bumbung kereta Pak Majid tadi terus tergamam setelah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Pak Majid. Kemudian, makhluk tersebut terus menghilangkan diri tanpa memberi sebarang notis. 

"Tengok! Hantu tu pun tak nak makan kau sebab kau gay!" tengking Pak Majid yang sudah hilang sabar. Kemudian, dia terus berambus dari situ. 

Azlan menangis teresak-esak. Dia mengelap air matanya. "Sampai hati bos buat saya macam ni. Saya ingatkan malam ni malam untuk kita berdua. Tapi bos tinggalkan saya. Semua lelaki sama je!"

- Tamat - 

Selamat membazir masa dengan membaca cerita ini. xD

No comments:

Post a Comment