Sunday, 16 April 2017

Dendam - #Akhir

Adi menghempas tangannya ke atas meja. Dia berasa geram kerana terasa dirinya seperti dimainkan. Mustahil Daus dapat melenyapkan dirinya begitu saja. Bagaimana dia lakukan? Magic? Tidak mungkin pasukan yang dia latih selama ini memberikan maklumat palsu atau pun tersalah pandang. 

"Tuan! Saya berani bersumpah! Memang saya nampak dia keluar dari hotel yang dia menginap tadi dan terus masuk ke dalam kereta. Dan terus menuju ke arah Kuala Lumpur! Saya tak tipu, tuan!" ujar anggota polis yang berada di dalam pasukannya.

Kepala otak Adi tidak dapat nak berfungsi. Dia terlalu kusut. Mungkin benar anggotanya tersalah pandang? Akibat tidak cukup rehat? Mungkin? Walau bagaimanapun, sudah tentu pihak atasannya ingin penjelasan dan Adi harus bertanggungjawab di atas kesilapan besar yang sudah berlaku. Kecuaian yang mengakibatkan kematian orang awam yang tidak bersalah dan tiada kaitan dengan kes yang sedang diuruskan. 

Disebabkan insiden tersebut, Adi bakal kehilangan kerjanya dan berkemungkinan besar dia boleh dipenjarakan. Walau pun Adi merupakan anggota polis berjawatan tinggi, ianya tidak bermakna Adi mempunyai imuniti terhadap kesalahan seperti 'terbunuh' sebab salah informasi. 

Fikiran Adi berhenti dari berfungsi serta-merta. Ahli pasukannya sedang menunggu jawapan darinya. Apa yang harus dilakukan? Di dalam kekalutan yang sedang berlaku, Adi menerima panggilan dari pihak atasan. Darah Adi berderau, dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab. Apa yang harus dia lakukan? 

Adi menceritakan segala yang berlaku kepada pihak atasan. Dia pasrah dan dia sedia menanggung segalanya. Dia sanggup gadaikan kerjayanya yang dia bina selama ini asalkan anak buahnya tidak mendapat hukuman. 

"Tak mengapa, saya nak awak bawa balik mayat tersebut dahulu dan lakukan pemeriksaan. Lakukan pemeriksaan secara terperinci. Selanjutnya kita akan bincangkan selepas pemeriksaan." arah pihak atasan Adi. Adi patuh dengan arahan yang di terimanya, dan dia mengarahkan anak buahnya untuk membawa balik mayat tersebut.

"Jangan cerita apa-apa dulu kepada sesiapa pun. Sehinggalah kita dapat jawapan dari pihak atasan." arah Adi kepada semua anak buahnya. 

Keesokan harinya, Adi tidak datang ke kerja. Dia diarahkan untuk mengambil cuti sehinggalah pemeriksaan terhadap mayat tersebut selesai yang di mana ianya mengambil masa selama lebih dari 24 jam. 

Walaupun Adi cuti, tetapi dia tetap menjalankan kerjanya dari rumah. Adi meneliti bahan-bahan bukti yang berkait dengan kes itu. Dia membaca nota milik pembunuh itu dengan harapan dia dapat mencari maklumat penting. 

"Aku tak tahu apa yang merasuk tubuhku. Tetapi, aku berjaya membunuh semua yang berada di situ. Aku tidak sedar apa yang berlaku."

"Apa yang berlaku pada dia waktu tu? Macam mana dia boleh tak sedar yang dia dah bunuh semua yang ada kat situ termasuk kawan serumahnya? Daus ni siapa sebenarnya?" getus Adi di dalam hati. Dia bangun dari kerusi, dan menuju ke arah jendela rumah. Dia melemparkan pandangannya jauh ke luar rumah. Dia cuba untuk fokus. 

"Macam mana dia boleh tak sedar yang dia telah melakukan pembunuhan? Tak mungkin sebab terlalu marah. Atau, dia memang ada penyakit? Dan, bagaimana dia boleh gantikan dirinya dengan orang lain ketika kami mengepungnya? Riddle yang agak susah untuk aku selesaikan." getus Adi seorang diri. Dia melurut misainya dengan cermat sambil mata terpejam rapat.

Secara tiba-tiba, telefon milik Adi berbunyi. Adi bergegas mendapatkan telefonnya itu. Dia melihat pada skrin telefon itu. Sebuah nombor yang dia tidak kenal. Siapa pula? Adi menjawab panggilan tersebut.

"Hello?" 

"Assalamualaikum Encik Adi." terdengar suara seorang lelaki separa tua di hujung talian.

"Ya saya bercakap. Siapa ni?" soal Adi ingin tahu. Siapa pula lelaki tua yang menghubunginya itu?

"Saya Zakariah, pegawai di penjara. Saya yang menjaga sel di mana Daus menetap ketika berada di penjara. Saya ada sedikit maklumat yang ingin saya kongsikan." ujar Zakariah sopan.

"Menarik. Baiklah, teruskan." 

"Daus ada saka." ujar Zakariah, membuatkan Adi sedikit terkejut. Saka?

"Mengarutlah..." Adi tidak suka apabila mendengar perkataan saka tersebut. Dan dia tak percaya bahawa Daus jadi begitu disebakan saka. 

"Apa yang saya katakan ini adalah benar. Keluarga Daus mungkin dalam kategori warak dan menolak ajaran sesat itu semua. Tetapi dalam hal ini, saya dapat rasakan bahawa Daus telah tertewas dan dia telah menerima saka itu untuk menjadi sebahagian dari hidupnya. Sebahagian dari dirinya. Disebabkan dendam yang ingin dia lunaskan." jelas Zakariah. Adi hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberikan respon.

"Suatu malam ketika dia berada di dalam selnya seorang diri. Saya ada terdengar dia berbual dengan seseorang, sedangkan tiada sesiapa di situ. Antara perbualan mereka yang dapat saya dengar ialah membalas dendam dan menjadi kebal." jelas Zakariah lagi. 

"Saya bukanlah seorang pakar. Tetapi, lebih baik Encik Adi meminta pertolongan dari orang yang pakar dalam bab begini. Seseorang yang tinggi ilmunya dalam hal agama dan tahu caranya untuk menghapuskan makhluk-makhluk seperti jin, syaitan dan sebagainya." tambah Zakariah lagi. 

Adi benar-benar terkedu. Dia tidak dapat mengeluarkan sebarang suara mahu pun ayat. Dia rasakan semuanya itu seperti karut. Tetapi, seperti ada kemungkinan juga ianya benar. Jika tidak, bagaimana Daus boleh melakukan pembunuhan yang dahsyat tersebut?

Selepas menamatkan perbualannya dengan Zakariah, Adi menghubungi pula tempat kerjanya. Namun, hampir lima minit dia menunggu, tiada jawapan. Adi mula berasa hairan dengan keadaan tersebut. Hatinya tiba-tiba saja diserangi perasaan tidak enak. Adi cuba menghubungi tempat kerjanya lagi. Tetap tiada jawapan yang di terima. 

Adi hubungi pula nombor telefon kawannya yang bekerja di situ. 

"Hello? Amin? Kau ada kat office ke?" soal Adi.

"Adi... Tolong... Tolong kitorang......." panggilan dimatikan. Adi terdiam, matanya terbeliak. Apa yang sedang berlaku? Hatinya benar-benar rasa tidak sedap. Lantas, Adi membuat keputusan untuk pergi sahaja ke ibu pejabat polis tempat dia bekerja itu. Semasa dalam perjalanan, Adi cuba hubungi beberapa nombor kawannya yang bekerja di situ, tetapi tidak berjawab. Adi melemparkan telefon bimbitnya ke kerusi bahagian penumpang. Dia harus segera ke ibu pejabat. Dia inginkan jawapan. Apa yang sedang berlaku? Pertolongan apakah yang kawannya itu cakapkan? 

Adi dapat melihat bangunan ibu pejabat dari jauh. Jarak antara dia dan ibu pejabat tidak jauh lagi. Tetapi, disebabkan jalan sesak. Dia terpaksa menunggu. Dengan tidak semena-mena, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama ketuanya di skrin kaca. Adi segera menjawab. 

"Adi! Cepat datang ke pejabat! Suspek hidup semula dan membunuh semua orang!" arah ketuanya itu. Adi tergamam. Apa yang dah terjadi? Adi segera meletakkan keretanya ke sisi jalan. Dan, dia terus keluar dari kenderaanya itu dan berlari ke arah ibu pejabat polis yang tidak jauh lagi dari tempat dia berada. 

Setibanya Adi di lokasi, dia melihat semua anggota polis yang terselamat berada di luar. Adi berlari ke arah ketuanya. 

"Tuan! Apa yang sudah berlaku?" soal Adi menginginkan jawapan.

"Suspek bernama Daus. Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan. Semasa pembedahan hendak dilakukan, dia tiba-tiba saja bangun dan membunuh semua yang berada di depan matanya. Wajahnya dari orang cina tiba-tiba jadi... jadi.. jadi muka dia.. muka suspek.. muka Daus.. Entahlah, saya sendiri pun tak tahu macam mana nak jelaskan." jelas ketua Adi yang sedang keliru. Dan, dibadannya terdapat calitan darah. 

Adi melihat sekelilingnya, ramai anggota yang cedera parah. Ada diantaranya badan terputus, kaki dan tangan terputus. Seperti di rentap kasar dan di gigit. 

"Oh ya, lagi satu. Semua anggota kita sudah tembak suspek. Tetapi, suspek tidak mati. Seolah-olah kebal. Peluru memang tak lut." jelas ketua Adi lagi. 

"Mungkin kita perlukan bantuan dari ustaz-ustaz untuk hal sebegini. Tuan tolong hubungi sesiapa yang boleh membantu, saya nak masuk ke dalam. Saya nak menghadap suspek." ujar Adi dan terus berlari ke dalam. Ketuanya cuba menghalang tetapi tidak berjaya. Adi telah pun terlepas masuk ke dalam bangunan. 

Keadaan di dalam ibu pejabat polis sangat huru-hara. Beberapa mayat anggota pasukan khas di lihat bergelimpangan di merata tempat. Adi melihat ke arah senjata api jenis SMG yang berada di atas lantai. Dia mengambil senjata tersebut. Setelah memastikan senjata itu masih lagi berfungsi dan berpeluru, Adi sarungkan ke badannya. Dia bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dia tahu bahawa peluru tidak dapat membunuh Daus, tapi apa lagi pilihan yang dia ada? Dia akan cuba melengahkan masa sementara menunggu bantuan yang dia harapkan. Iaitu seseorang yang mampu melawan syaitan. 

Adi melangkah kaki menuju ke tingkat dua bangunan tersebut kerana dia terdengar suara lelaki menjerit. Adi bersandar pada sisi dinding, dia cuba untuk mendengar sebarang bunyi. Ada perbualan yang sedang berlaku. Tetapi tidak jelas, berkemungkinan Daus berada di dalam salah satu bilik pejabat yang ada. Adi terus bergerak menuju ke arah suara yang dia dengari sebentar tadi. 

Adi berjalan dalam posisi bersedia untuk menembak. Dia akan terus menembak jika ternampak kelibat Daus.

"Dia sudah melampau. Dia telah membunuh begitu banyak nyawa yang tidak berdosa. Hanya kerana nak melunaskan dendam terhadap pembunuh kepada keluarganya sahaja." getus Adi di dalam hati. 

Adi memberikan fokus telinganya terhadap perbualan yang dia dengari sejak tadi. 

"I sanggup bagi you apa saja! Jangan bunuh I! I merayu pada you!" kedengaran suara Leong merayu agar nyawanya tidak di ambil. Adi tiba di pintu bilik pejabat yang di mana Leong dan Daus berada. Kelihatan Leong sedang tersandar di dinding. Kedua-dua belah tangannya sudah tiada. 

"Nampaknya Daus begitu obses dengan tangan mangsanya. Dia akan cabut tangan mangsanya dulu sebelum bunuh. Pembunuhan jenis apa ni? Kejam sungguh. Lebih baik kau bunuh je dari biarkan dia terseksa macam tu." bisik Adi di dalam hati. Dia cuba untuk melihat kelibat Daus, tapi tidak kelihatan. 

"Mana pula si gila ni?" hati Adi bertambah tidak enak setelah dia tidak melihat kelibat Daus di dalam bilik tersebut. Dengan tidak semena-mena, Adi di tendang dari arah belakang. Tendangan yang biasa tapi kekuatan yang terhasil membuatkan Adi tercampak ke dalam bilik tersebut. Badan Adi terasa bisa, seperti di cucuh dengan menggunakan bara kayu api. 

Perlahan-lahan Adi bangun, dia melihat Daus sudah berada di muka pintu. 

"Celaka! Macam mana pula dia boleh ada kat belakang aku? Betul ada saka lah si jahanam ni!" teriak Adi di dalam hati. Dia menghalakan SMG ke arah Daus, dan terus melepaskan berpuluh das tembakakan ke arah Daus. Ternyata apa yang di beritahu ketika baru sampai tadi adalah benar belaka. Daus tidak berganjak walaupun sedikit. Peluru memang tidak berkesan pada dirinya. 

"Makhluk jenis apa kau ni!? Matilah bodoh!!" jerit Adi dan melepaskan lagi tembakan ke arah Daus. Lagi sekali, ianya tidak memberikan sebarang kesan kepada diri Daus. Sedikit pun darah tidak terpancut keluar. Semua peluru yang di tembak ke arah dirinya jatuh lemah tak bermaya. 

"Cepat bunuh dia tuan polis! Bunuh dia cepat! Selamatkan saya!!!!" jerit Leong.

"Diamlah bangsat! Semua ni berpunca dari kau!" balas Adi berang, dan dia melepaskan tembakan ke arah kaki Leong. Membuatkan Leong menjerit kesakitan lalu jatuh terduduk. Darah yang banyak mengalir keluar. Kemudian, Adi mencampakkan senjatanya ke tepi. 

Lantas, Adi melayangkan tendangan ke arah kepala Leong. Kemudian, dia memijak-mijak kaki Leong yang sedang kritikal dan dalam keadaan yang berdarah teruk. Tidak cukup dengan itu, Adi menggigit pula bahu Leong sehingga terkoyak dagingnya. Tiada apa yang mampu Leong lakukan. Hanya menjerit kesakitan. Adi seperti kerasukan, matanya berubah menjadi warna merah darah. Anak matanya menjadi kecil dan tajam, saling tidak tumpah seperti haiwan pemangsa yang kejam. 

Adi mencakar-cakar tubuh Leong sehingga kulitnya terkoyak dan mengalirkan darah. Adi mengangkat Leong dan menghempas tubuh yang lemah itu ke atas lantai dengan kuatnya. Kedengaran bunyi tulang-tulang yang patah. Leong tidak lagi bersuara namun masih bernyawa. Dia tidak dapat hendak lakukan apa-apa. Hanya menerima dengan penuh kesakitan yang tidak dapat nak diungkapkan dengan melalui kata-kata. Bukan kata-kata cinta atau rindu, akan tetapi kata-kata yang menggambarkan betapa sakit dan peritnya menunggu mati dalam keadaan yang terseksa. Gambaran pembunuhan yang pernah dia lakukan terpancar di depan matanya, wajah-wajah mangsa yang pernah dia bunuh. Wajah-wajah ahli keluarganya. Wajah insan-insan yang pernah merayu agar jangan dicederakan. Leong teringat akan segala perbuatan lampaunya. 

Namun, itu semua sudah tiada erti lagi. Kerana saat itu, dia sedang nyawa-nyawa ikan. Hanya menunggu saat malaikat maut mencabut nyawa dari tubuhnya. Dan, ketika gambaran wajah-wajah yang pernah dia lihat itu sedang berlegar-legar, Adi pula menarik kepalanya sekuat hati. Leong menjerit kuat. Jeritan yang terakhir yang akan keluar dari anak tekaknya. Selepas itu, tiada lagi yang akan kedengaran. Kulit-kulit di leher Leong mulai terkoyak, koyakan seperti koyaknya sekeping kertas. Dan memisahkan antara satu sama dan lain. Begitulah terpisahnya kepala milik Leong dan tubuhnya. Darah memancut keluar. 

Adi menghempas kepala itu ke atas lantai, lalu dipijaknya sehingga pecah. Adi menjerit-jerit seperti orang gila ketika sedang memijak kepala Leong. Apakah dia tidak sedar akan perkara yang sedang dia lakukan? Apakah dia sudah gila? Selepas Adi selesai dengan pembunuhannya, dia jatuh rebah ke bumi. Pandangannya menjadi kabur. Kepalanya menjadi pening yang terlampau. Dan, Adi terus tidak menyedarkan diri.

"Sekarang kau akan faham bagaimana perasaannya bila membunuh dalam keadaan tidak sedar. Dan, disabitkan dengan kesalahan membunuh tanpa niat." ujar Daus, lalu dia tersengih sinis. Kemudian, dia berlalu pergi dari tempat itu. 

Semenjak dari hari itu, tiada jejak Daus ditemui. Lokasi terakhir adalah di rumah saudara kepada Leong, yang di mana seluruh ahli keluarga itu telah mati di bunuh dengan begitu kejam sekali. Kemudian, Daus terus hilang tanpa khabar berita. 

Manakala Adi pula, dia menjadi tidak waras selepas sedarkan diri. Otaknya menjadi tidak betul. Dia melalut mengenai perkara-perkara yang aneh. Walau bagaimanapun, Adi tetap difailkan sebagai pesalah kerana telah mengakibatkan kematian suspek yang telah menyerahkan diri kepada pihak polis dan membiarkan suspek pembunuh bernama Daus melepaskan diri. Rakaman CCTV yang berada di ibu pejabat telah berjaya merakam segala kejadian yang telah berlaku. Ramai yang tidak percaya bahawa Adi secara tiba-tiba boleh beralih pandangan dari menghentikan Daus kepada membunuh untuk Daus. 

Adi ditempatkan di wad sakit mental, di dalam sebuah bilik khas. Kemudian, kes di tutup setelah bertahun pihak polis cuba menjejaki Daus tetapi tidak berjaya. Negara kembali aman seperti sedia kala. 



-Tamat-       

  

No comments:

Post a Comment