Friday, 14 April 2017

Dendam - #2

Adi membelai-belai misainya yang kelihatan seperti 'cowboy'. Dia dan pasukannya masih belum menjumpai klu yang seterusnya untuk memburu Daus. Adi khuatir jika urusan balas dendam ini akan melibatkan nyawa yang tak berdosa. Seperkara lagi yang membuatkan Adi pening adalah peristiwa pada malam kejadian. 

Dalam fail laporan forensik ada menyatakan bahawa mangsa-mangsa pembunuhan di dapati seperti di serang binatang buas. Tapi, bukti-bukti yang ada menunjukkan ke arah Daus, bermakna Daus yang lakukan? Tanpa dia sedar? Pihak forensik tidak dapat merungkaikan misteri yang terjadi. Jadi, Adi dan pasukannya yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan misteri pembunuhan bersiri tersebut. 

Sudah hampir sebulan berlalu, masih belum ada kedengaran lagi aktiviti pembunuhan dari Daus. Pihak polis juga masih lagi memburu suspek bernama Leong. Dia merupakan suspek pembunuhan pada hari kejadian. Leong bertanggungjawab dalam kematian keluarga Daus. 

"Leong ni suspek terakhir. Kita kena tangkap dia sebelum Daus menjumpai dia." ujar Adi kepada pasukannya ketika mereka mengadakan perjumpaan penting di ibu pejabat polis yang terletak di tengah ibu kota. 

"Teruskan tingkat integriti kita sebagai anggota polis. Orang awam dah mula mempersoalkan kemampuan kita dalam menjaga keamanan negara. Kita tidak mahu perkara sebegini berlanjutan. Jadi, kita semua kena berusaha keras!" tambahnya lagi dengan penuh bersemangat dan berdedikasi. 

"Tapi tuan! Bagaimana dengan keselamatan kami pula?" soal salah seorang anggota polis. 

"Itu adalah tanggungjawab kita. Kita wajib gadaikan nyawa kita sendiri demi keselamatan dan keselesaan orang awam. Biarlah kita tidak tidur malam, bersengkang mata, tidak cukup makan, kekurangan dari orang lain. Asalkan negara kita berada dalam keadaan yang aman, harmoni dan damai!" balas Adi dengan penuh semangat yang membara di dalam dada. 

Kata-katanya itu di sambut meriah oleh anggota yang lain. Mereka semua bersetuju dengan apa yang diucapkan oleh ketua mereka itu. Secara tiba-tiba, seorang anggota polis bergegas masuk ke dalam bilik mesyuarat tersebut. 

"Tuan! Kita telah mendapat maklumat tentang keberadaan Daus!" jeritnya di muka pintu

Semua yang berada di dalam bilik tersebut terus meluru keluar. Adi selaku ketua pasukan, dia berada di bahagian depan. 

"Daus.. Dia dah berjaya membunuh anak tiri kepada Leong. Lokasi terletak di Danga Bay, Johor." ujar salah seorang anggota polis. 

"Cis! Kita dah terlambat. Kat Johor pula tu! Kita pula masih berada di Kuala Lumpur!." ujar Adi keberangan. 

"Jadi, apa yang patut kita lakukan sekarang, tuan?" 

"Jangan bimbang. Saya ada jalan penyelesaiannya. Saya akan menggunakan kuasa imaginasi dunia novel untuk teleportkan kita semua ke lokasi kejadian!" ujarnya lagi.

Lima jam kemudian, Adi dan pasukannya telah tiba di lokasi pembunuhan. Pembunuhan telah dilakukan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24jam. Hati mangsa di robek keluar. Orang awam yang berada di situ tidak dapat membantu banyak. Mereka semua tidak sedar bila masa pembunuh berada di situ kerana, tahu tahu saja mangsa tengah menggelupur atas tanah. 

"Hentikan segala siasatan. Kita pergi ke balai polis berdekatan. Kita jadikan markas buat sementara dahulu sebelum kita cari klu yang seterusnya. Hujan pun sudah mulai membasahi bumi. Ayuh kalian!" arah Adi kepada pasukannya. 

Pada malam tersebut, Adi tidak dapat melelapkan mata. Dia bertungkus lumus mencari klu di mana keberadaan Daus. Dia harus hentikan segala perbuatan Daus. Sudah berpuluh cawan kopi pekat Adi masukkan ke dalam mulut lalu ke perut. Matanya kian berat, tapi dia gagahkan juga dirinya untuk bekerja. Sedangkan pasukannya yang lain sedang tidur nyenyak. 

Beberapa minit kemudian, Adi menerima panggilan telefon dari ibu pejabat yang menyatakan bahawa Leong membawa keluarganya datang ke Bukit Aman untuk mencari perlindungan buat keluarganya. Dan, dia menyerahkan diri. Dia rela tinggal di dalam penjara dari di bunuh oleh Daus. Kerana pembunuhan yang dilakukan oleh Daus, terlalu kejam dan tidak berhati perut. Sama seperti apa yang telah dia lakukan suatu ketika dahulu. Sempat juga Leong menerima hadiah saguhati dari pihak polis yang merupakan sedas sepakan dan tumbukan. 

"Apa punca dia menyerahkan diri?" soal Adi.

"Dia kata, dia terdengar bunyi haiwan bernafas dalam rumah dia. Dia dan keluarga dia ketakutan. Dan, beberapa kali juga dia nampak kelibat Daus lalu lalang di ruangan dapur rumahnya itu." suara di hujung talian menjawab soalan Adi. 

Adi mematikan talian, dia kembali termenung. Jauh di sudut hatinya, dia sebenarnya berasa kasihan terhadap Daus. Mengikut dari nota yang ditinggalkan Daus, dia ni mangsa keadaan sebenarnya. Itu pun jika apa yang tertulis dalam nota tersebut adalah BENAR. Dan, bukan REKAAN. 

Beberapa jam kemudian, Adi menerima laporan bahawa pihak polis sudah habis menyiasat rumah milik Leong, tiada satu pun bukti yang menunjukkan bahawa Daus pernah berada di situ. Perkara tersebut membuatkan Adi bertambah runsing.

"Leong tu merapu ke apa? Ke sebab dia dihantui dosa-dosa lampau sampai merepek-repek? Tapi tak apalah, dia dah serahkan diri kira baguslah tu. Senang sikit kerja aku." bisiknya sendiri. 

Adi pulang ke Kuala Lumpur untuk menyoal-siasat Leong, manakala pasukannya pula terus menetap di Johor dan meneruskan kerja mereka dalam mencari keberadaan Daus.

Setibanya Adi di Kuala Lumpur, dia tidak terus ke ibu pejabat. Akan tetapi, dia pulang ke rumah dahulu untuk berehat. Tubuh badannya terlalu letih akibat tidak cukup tidur. Adi memanjakan dirinya dengan mandi sabun di dalam bilik air. Dia ingin menyegarkan badan dahulu sebelum masuk ke alam mimpi. Dia tidak mahu tidur dalam keadaan badan yang melekit dek peluh dan kotor, dia khuatir nanti termimpikan yang bukan-bukan. 

Seusainya mandi, Adi mengenakan seluar pendek tanpa berbaju sahaja. Seterusnya, Adi merebahkan badan ke atas tilamnya yang empuk. 

"Ah kau! Balik-balik terus tidur. Jumpa mak pun tidak! Terus tidur! Tak sayang kat mak lagi lah tu.." kedengaran seseorang menegur Adi dari muka pintu biliknya. Suara tersebut membuatkan Adi terkejut dan terus bangun dari baringnya. Dia memandang keadaan sekeliling. 

"Setiap kali aku balik, mesti akan dengar suara arwah. Apalah dosa aku ya Allah." keluh Adi di dalam hati. 


-bersambung

No comments:

Post a Comment