Tuesday, 17 November 2015

Jembalang Rakus #1

Aku merupakan seorang pekerja yang bertauliah lagi saksama. Ramai rakan sekerjaku yang kagum dengan pencapaian yang telah aku buat selama ini. Aku bukanlah seorang yang bijaksana pada mulanya. Aku meminta kerja disyarikat ini dengan menggunakan sijil SPM sahaja. Aku bekerja tanpa pengalaman dan aku bersyukur dengan syarikat yang menerima aku bekerja ini kerana mereka tidak kisah samada aku berpengalaman atau tidak. Aku mengerti bahawa pada zaman serba moden kini makin ramai syarikat yang memerlukan pekerja yang berpengalaman sekurang-kurangnya dua tahun. Sebelum ini sudah banyak syarikat yang menolak permohonan bekerja aku hanya kerana tiada pengalaman. Aku sering terfikir, bagaimanakah seseorang yang lepasan SPM ingin ada pengalaman bekerja jika tidak diberi peluang dan tunjuk ajar? Tidak semestinya kena masuk universiti dan mempunyai degree baru boleh mempunyai pengalaman, itu pun umurnya sudah mencecah 20-an ke atas. Belum tentu boleh dapat kerja lagi jika mempunyai degree. Sesetengah syarikat meletakkan syarat untuk temu duga bagi yang fresh-graduate seperti aku. Aku pun tidak faham dengan daya pemikiran orang seperti itu. Akan tetapi, aku telah membuktikan bahawa aku boleh berjaya tanpa diploma atau pun degree. Dengan hanya menggunakan sijil SPM saja aku telah memperoleh kejayaan. Dan, aku banyak juga menerima pekerja baru yang sama nasib dengan diriku. Ada yang tidak pernah langsung ada pengalaman dan ada juga yang pernah ada pengalaman. Dengan berbekalkan kerajinan dan usaha seratus peratus, kini aku telah berjaya memegang jawatan Manager di syarikat ini. Alhamdulillah aku ucapkan kerana telah diberikan peluang sebegini. 

Pada mulanya gaji asasku hanya RM900.00, namun dengan usaha aku yang bertingkat-tingkat, aku telah dinaikkan jawatan ke manager dan memperolehi gaji asas sebanyak RM5000.00 sebulan, itu belum masuk bonus lagi. Yang penting usaha, berikan fokus seratus peratus dan kedatangan memang kena jaga. Memang akan nampak seperti macai atau pun kuli batak akan tetapi hasilnya nanti pasti memuaskan. Kesabaran juga antara aspek yang penting. Kini umur aku sudah mencecah 22 tahun, hanya mengambil lima tahun untuk aku pegang jawatan sebagai manager. Ramai juga pekerja yang agak tidak puas hati dengan aku kerana aku boleh memegang jawatan ini dalam usia yang sangat muda. Tapi itu semua aku tolak ke tepi, apa yang penting bagi aku sekarang, aku telah pun berjaya. 

Kini, sudah sebulan lebih aku memegang jawatan sebagai manager. Alhamdulillah, ramai pekerja yang bekerja bawah aku sudah tidak menyimpan hasrat dengki pada aku lagi. Mungkin kini mereka sudah sedar dengan apa yang aku beritahu mereka selama ini. Ya, setiap hari aku memberikan syarahan pada mereka dan aku tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buat mereka semua. Aku tidak marah jika mereka melakukan kesilapan, tetapi aku akan tegur dalam keadaan yang tegas supaya mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sehinggakan aku mampu mengubah sikap dan perangai bos aku yang dahulunya suka memarahi semua pekerja. Tetapi selepas dia melihat bagaimana cara aku mendidik pekerja, dia perlahan-lahan berubah. 

"Hoi, jauh termenung nampak? Teringat kat siapa tu Mi?" lamunan aku terhenti selepas ditegur.

"Ahh. Kau ni Kamil. Bagilah salam dulu kalau ya pun. Nak relaks sikit pun tak boleh." balas aku.

"Haha. Jangan berangan sangat Mi. Jadi Mat Jenin nanti, kita kat tingkat 30 ni." sambung Kamil lagi.

"Mulut kau ni memang nak kena cili agaknya. Jangan celupar sangat Kamil, kejap lagi bangunan ni runtuh, kau aku cekik kang." balas aku dalam nada bergurau. 

"Eh, itu ya celupar. Haha!" tawa Kamil disambut dengan tawa aku. Kamil merupakan pembantu kanan aku di dalam syarikat ini. Walaupun usianya 4 tahun jauh lebih tua dari aku, tetapi dia aku anggapkan sebagai kawan dan abang di dalam hidup. Kami berdua menyewa di apartment yang sama dan tinggal sebumbung. Jika tiada Kamil, mungkin tidak berapa ceria pejabat ni sekarang. Kerana Kamil seorang insan yang pandai berjenaka dan pandai mengambil hati semua orang. Ramai yang senang hati dengan kehadiran Kamil. 

"Ni report yang kau minta semalam, Mi." Kamil menghulurkan sebuah fail kepada aku. Aku menerimanya dengan hati terbuka kerana aku tahu aku lah insan yang akan memeriksa fail tersebut. Kemudian Kamil melangkahkan kaki ingin keluar dari bilik pejabat aku itu.

"Fahmi, budak-budak ni ajak karaoke malam ni. Jomlah ikut sekali, esok sabtu kot." pelawa Kamil sambil tersenyum.

"Alaaa. Kau kan tahu yang aku tak suka tempat-tempat macam tu." aku cuba menolak kerana aku memang tidak suka pada hiburan seperti menyanyi. 

"Yalah, yalah. Suka hati kau lah. Jumpa kau kat rumah nanti." kata Kamil sambil tertawa kecil. Dan aku hanya membalas dengan senyuman.

"Fahmi, kau jangan balik lewat sangat. Ingat, limit sampai pukul sepuluh. Kalau lebih daripada tu, mintak pak guard kat bawah sana temankan kau. Kau jangan lupa pesanan ni. Pak guard tu yang bagitau aku." pesan Kamil, kali ni wajahnya berubah sedikit serius. Aku menggangguk tanda mengerti. Kemudian Kamil hilang dari pandangan, dan tinggallah aku berseorangan di pejabat tersebut. Memandangkan semua orang sudah pulang, aku tiba-tiba terasa sunyi pula. Aku bangun dari kerusi dan jalan menuju ke arah tingkap. Aku merenung jauh ke luar tingkap melihat suasana kota yang sedang sibuk. Jalanraya begitu sesak dengan kenderaan. 

"Hmm. Betul ke tempat ni berhantu?" bisik aku sendiri di dalam hati.



Bersambung.


Saturday, 7 November 2015

Jalan Muhibbah

Aku memandu teksi kuningku melalui jalan yang sepi dan sunyi. Jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam. Aku seorang diri melalui jalan itu. Bunyi lagu-lagu yang berkumandang di radio menemani diriku. Rokok di tangan aku buang ke luar tingkap. Sepanjang aku memandu melalui jalan itu, hatiku berdebar-debar. Terlalu banyak cerita yang aku dengar mengenai jalan itu. Apabila tengah malam, barang sesiapa yang melalui jalan tersebut, pasti akan terserempak dengan makhluk yang tidak di ingini. Tidak ada sesiapa pun yang akan berani melalui jalan itu apabila lewat malam. Aku terpaksa melalui jalan itu kerana menghantar pelanggan terakhirku ke rumahnya yang di mana jalannya terpaksa lalu jalan 'berhantu' itu. Namun, aku tetap tabahkan diri kerana aku jika aku menolak pelanggan terakhir aku itu, sudah pasti kuota aku untuk hari itu tidak mencukupi.

Aku merasakan seperti jalan tersebut panjang, terlalu lama aku dijalan tersebut. Aku anggarkan hampir satu jam aku dijalan itu. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi hairan kerana ketika aku menghantar pelanggan aku, tidaklah sebegini lama. Dari jalan besar sehingga ke rumahnya tidaklah sebegitu lama seperti yang sedang aku rasai pada waktu itu. Aku mulai merasakan tidak sedap hati, bulu ditengkuk aku tegak berdiri secara tiba-tiba. Aku menenangkan diri dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Selepas itu, hati aku sedikit tenang. Aku memandang ke arah kelilingku, gelap gelita tanpa apa-apa sebarang cahaya kecuali lampu daripada teksi aku. Entah mengapa aku mengada-ngada untuk memandang ke sekeliling. Tiba-tiba mata aku terpandang satu lembaga yang sedang berdiri ditepi bahu jalan. Aku melintasi lembaga itu, aku buat-buat tidak perasan. Tidak lama kemudian, aku menjeling ke arah cermin pandang belakang dan mendapati bahawa ada manusia sedang duduk ditempat duduk belakang. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi terkejut akan tetapi aku dapat mengawal diri dan memandu seperti biasa. Walaupun pada ketika itu tangan aku menggeletar. Mata aku tumpukan pada arah jalan hadapan. Aku tidak ingin ada perkara yang buruk berlaku pada aku.

"Abang dah lama ke memandu teksi?" jelas kedengaran suara seorang lelaki menegur aku, dan suara itu memang datang dari arah tempat duduk penumpang. Aku menjadi tidak keruan samada ingin menjawab pertanyaan tersebut atau pun mendiamkan diri. Bintik-bintik peluh mulai muncul didahi aku, walaupun penghawa dingin aku sudah pasang hingga ke maximum, tetap terasa panas. Akhirnya aku membuat keputusan untuk mendiamkan diri. Siaran radio tiba-tiba terpadam, aku menjeling ke arah radio. Tidak bercahaya. Tidak mungkin rosak, sudah tentu hal itu berlaku kerana aku sedang didampingi oleh seekor makhluk yang aku tak kenal. Aku kembali menjeling ke arah cermin pandang belakang, makhluk tersebut sedang merenung ke luar jendela. Aku fikirkan bahawa dia sengaja ingin menumpang, aku sengaja berfikir sedemikian untuk menyedapkan hati aku.

"Tidak mengapalah, biarkan sajalah dia menumpang." bisik aku di dalam hati. Aku masih lagi memandu di jalan tersebut. Tidak bertemu lagi dengan jalan keluar. Tiba-tiba dihadapan aku ada lagi seekor lembaga duduk ditepi jalan. Aku buat tidak tahu dan terus memandu seperti biasa dan buat-buat tidak perasan akan lembaga tersebut. Dalam hati aku dah terbayangkan bahawa mesti lembaga itu akan memasuki teksi yang aku pandu. Aku cuba untuk menjeling ke arah cermin akan tetapi jelingan aku terhenti apabila aku terlihat ada makhluk sedang duduk disebelah aku. Matanya terbeliak sambil memandang aku. Wajahnya menyeramkan, mulutnya hanya tersenyum. Makhluk itu tidak mengalihkan pandangannya dari aku. Keadaan tersebut membuatkan aku bertambah cemas, dibahagian tempat duduk belakang sudah kosong. Lembaga yang tadi tidak kelihatan lagi. Kini ada pula penumpang yang baru. Otak aku tidak berfungsi pada waktu itu. Sel-sel otak aku tiba-tiba tidak berhubung. Apakah yang harus aku lakukan? Aku menemui jalan buntu.

"Terima kasihlah sebab tumpangkan saya". lembaga disebelah aku menegur. Tetapi dia tetap memandang ke arah aku. Dan, aku membuat keputusan untuk mendiamkan diri.

"Kenapa abang diam je?". tanya lembaga itu lagi. Bertambah-tambahlah aku cemas. Patutkah aku jawab atau mendiamkan diri. Aku terus memandu seperti tiada apa yang berlaku dan tidak menghiraukan lembaga tersebut.

"Budi bahasa budaya kita bang. Ke abang bisu?" tanya dia lagi. Sudah, dia ceramah aku pula? Makhluk apakah yang sedang duduk disebelah aku pada waktu itu? Begitu pandai sekali dia berbicara.

"Abang berhentikan saya kat depan sana boleh?" tanya dia lagi. Aku menggangguk saja. Kemudian aku berhentikan teksi aku di kawasan yang dia pinta. Sebelum makhluk tersebut melangkah keluar dari kereta, dia sempat meninggalkan sehelai kain berwarna putih untuk aku. Katanya untuk aku lap peluh diwajah aku. Dia tinggalkan kain tersebut ditempat duduk penumpang bahagian depan. Kemudian, aku terus memecut laju membelah kesunyian malam. Aku menjeling ke arah kain tersebut kemudian aku terus memandang ke arah depan. Bau wangi yang tiba-tiba menerjah di dalam teksi aku pada waktu itu sudah tentu datang dari kain yang ditinggalkan.

Aku melihatkan ke arah jam tangan aku, sudah melebihi pukul 3 pagi. Hati aku menjadi resah, sampai bilakah aku harus berada dijalan itu? Aku semakin hilang sabar dengan keadaan yang terjadi pada aku. Aku terus memecut laju tanpa menghiraukan keadaan jalan yang berlubang sana sini. Secara tiba-tiba kain yang berada disebelah aku terbang hinggap ke muka aku. Aku terkejut lalu hilang kawalan pemanduan dan aku terlanggar pokok ditepi jalan. Kepala aku terhentak ke stereng kereta. Dan aku tidak sedarkan diri selepas itu.

Apa bila aku sedar, aku sudah berada dihospital. Kepala aku berbalut, isteri aku berada disebelah dan aku menjadi bingung. Beberapa ahli keluarga aku yang lain turut berada disamping aku. Mereka memberitahu bahawa orang ramai menemui aku pengsan di dalam teksi dan yang ada bersama aku hanyalah sehelai kain berwarna merah akibat darah aku sendiri. Aku nekad mulai hari itu aku tidak akan melalui jalan 'berhantu' itu lagi. Jalan Muhibbah Lorong 19, tidak akan aku lupakan dan tidak akan aku lalui jalan itu lagi.